Khamis, 12 November 2015

Tanah runtuh: Lebuh raya Karak sesak teruk


Kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, Pahang, semalam, mencemaskan penggun
KEJADIAN tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Bentong, Pahang, semalam, mencemaskan pengguna jalan raya berkenaan.


BENTONG 11 Nov. – Kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.5 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi di sini hari ini menyebabkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan, selain mengakibatkan keadaan kesesakan lalu lintas luar biasa di kedua-dua arah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, runtuhan itu turut menyebabkan laluan tersebut dipenuhi dengan lumpur dan sampah sarap.

Malah laluan alternatif melalui Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur juga terputus disebabkan kejadian tanah runtuh yang turut berlaku di situ ekoran hujan lebat.

Difahamkan, kejadian tersebut menyebabkan dua buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah lori tangki terperangkap. Sehingga berita ini ditulis pada pukul 9 malam, kesesakan teruk masih berlaku berserta hujan dan kesan runtuhan dijangka mengambil masa untuk dibersihkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, pemberita turut dimaklumkan beberapa kakitangan yang menetap di kuarters Jabatan Hutan Bentong turut terputus hubungan dan kini sedang menunggu bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan mereka.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohamad Mansor Mohd. Noor berkata, setakat pukul 9 malam ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Jentolak telah dihantar oleh pihak berkaitan untuk membersihkan kawasan tersebut pada pukul 8 malam ini," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Karak, Ahmad Shaperi Mohd. Sham berkata, selain lebuh raya berkenaan yang terjejas akibat tanah runtuh, laluan lama Bentong-Kuala Lumpur juga tidak dapat dilalui berikutan keadaan yang sama.

"Keadaan kesesakan teruk menyukarkan kita untuk sampai ke sana," katanya.

Sementara itu, seorang guru, Norhamizah Megat, 31, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Janda Baik ke Bentong terpaksa menempuh kesesakan teruk berjam-jam sejak pukul 6.50 petang ini.

"Saya bertolak dari Janda Baik pada pukul 5.30 petang, apabila sampai di Lentang saya dapati kenderaan di hadapan langsung tidak bergerak," katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui tentang kejadian tanah runtuh berkenaan menerusi laman sosial Facebook dan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp daripada rakan-rakannya.

Tiada ulasan: