Isnin, 23 November 2015

Tian Chua atur pertemuan Nurul Izzah - Jacel Kiram


Pemimpin kanan PKR dan individu yang pernah menuduh UMNO di sebalik pencerobohan Lahad Datu, Tian Chua dinamakan sebagai dalang yang mengatur pertemuan antara Nurul Izzah Anwar dan anak pemimpin Sulu, Jacel Kiram.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menamakan Tian Chua sebagai individu yang bertanggungjawab mengaturkan pertemuan antara Nurul Izzah dan Jacel yang menimbulkan kemarahan awam baru-baru ini.

Beliau berkata, Tian Chua juga merupakan individu yang bertanggungjawab menjalankan tindakan secara halus dalam mengatur tuntutan ‘Kesultanan Sulu’ terhadap Sabah sebelum ini.

"Saya harap Tian Chua hati-hati dalam perbuatannya, Tian Chua harus lebih teliti dalam mengatur program untuk pemimpin-pemimpin partinya, jangan sembarangan mengeluarkan kenyataan beliau itu..." katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China pada Isnin.

Tian Chua sebelum ini pernah didakwa kerana melakukan fitnah jahat dengan menuduh wujud konspirasi dalam UMNO sehingga menyebabkan peristiwa pencerobohan Lahad Datu Febuari 2013.

Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah kerana ketiadaan bukti kukuh.

Nurul Izzah mencetuskan kontroversi selepas Jacel memuat naik gambar mereka bersama dalam Facebook yang menunjukkan kedua-dua wanita memegang poster menuntut pembebasan bapa Nurul Izzah iaitu bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jacel, anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu Jamalul Kiram III, adalah antara dalang bertanggungjawab dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 yang menyebabkan 10 polis dan tentera negara terkorban.

Menurut Zahid, beliau akan mendapatkan nasihat dari Jabatan Peguam Negara mengenai bagaimana untuk menangani isu itu.

"Ini bukan soal jenayah. Ia adalah satu perkara maruah dan kedaulatan negara.

"Kita boleh ada perbezaan pendapat dan kita boleh menerima perbezaan dalam pandangan. Walau bagaimanapun, perkara-perkara kedaulatan dan maruah negara, tidak ada kompromi," ujar beliau.

Bagaimanapun, Tian Chua dalam satu kenyataan kepada pemberita di lobi Parlimen menyifatkan tuduhan Zahid tidak berasas dan sama sekali tidak mencerminkan kenyataan yang sepatutnya dikeluarkan oleh Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

"Saya minta supaya Menteri Dalam Negeri tarik balik pertuduhan yang tidak ada asas dan tidak bertanggungjawab.

"Sebagai menteri beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara bertanggungjawab.

"Jika tidak ia adalah satu hujah yang tidak berasas dan tidak memberi imej yang positif kepada keselamatan negara," katanya.

Nurul Izzah sebelum ini menyatakan kekesalannya berhubung penyebaran gambar berkenaan dan menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dengan Jacel Kiram dan tidak pernah berkenalan dengan wanita tersebut.

Katanya Jacel merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.

Semua yang hadir pada majlis itu bergambar dengan beliau sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta.

Tiada ulasan: