Rabu, 28 November 2007

Jenazah Siti Salmah selamat dikebumi

JOHOR BAHARU - Siti Salmah Jasni, gadis yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi semalam selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam, Felda Taib Andak, Kulai, di sini (28hb Nov 2007/Rabu).

Allahyarham yang dilapor kritikal dan mengalami tekanan darah semakin rendah sebelum menghembus nafas akhir pada pukul 5.40 pagi disembahyangkan di Masjid Nur Saadah, Felda Taib Andak sebelum dikebumi selepas solat Zohor.

Siti Salmah, 18, pada 2 Nov lalu, selamat menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak selepas menerima sumbangan jantung dan paru-paru dari keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah.

Allahyarham yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN dilapor menunjukkan perubahan positif dari hari ke hari sebelum kritikal dan mengalami tekanan darah semakin rendah sejak malam semalam.

Pagi semalam doktor membuka tiub pernafasan yang dipakai Siti Salmah tetapi memasang semula pada petang setelah organ baru itu didapati belum kuat untuk berfungsi sendiri.

Bapa Allahyarham, Jasni Zainal, 52, berkata, beliau redha dengan kematian anaknya selepas melihat kesungguhan IJN dan menyedari risiko pembedahan yang dilakukan.

"Sudah takdir. Saya berterima kasih dan percaya IJN sudah melakukan yang terbaik untuk Siti Salmah walaupun tidak sangka anak saya akan meninggal dunia selepas melihat keadaannya yang positif beberapa hari lepas," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Jasni, seorang pemandu lori berkata, Siti Salmah anak kelapan dari 12 beradik itu berada dalam keadaan baik tengah hari semalam sebelum mengalami tekanan darah rendah kira-kira pukul 11 malam sehingga awal pagi ini.

"Saya kagum kerana dia masih menerima kenyataan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada paras lutut kerana menghadapi masalah urat pada 7 Nov lepas.

Hari ini sudah takdir dia meninggal dunia dan saya sempat memenuhi permintaannya termasuk membelikan "walkman" untuk dia mendengar lagu," katanya.

Ibu Siti Salmah, Sabariah Mustafa, 49, pula ketika ditemui turut menyifatkan anaknya itu seorang yang kuat semangat walaupun manja dengan keluarga.

Beliau berkata, Siti Salmah kelihatan sihat tengahari semalam dan sempat memegang erat tangannya ketika beliau melawat anaknya itu.

"Saya juga sedar risiko pembedahan ini. Kejayaan pemindahan jantung terhadap Tee Hui Yee sebenarnya menguatkan semangat kami sekeluarga untuk mencuba pembedahan itu, namun mungkin Tuhan lebih sayangkan anak saya," katanya. - BERNAMA

AL-FATIHAH

Tiada ulasan: