Rabu, 21 November 2007

Pengalaman kerjaya


Assalamualaikum
Sebelum ini saya pernah mempunyai blogger. Tetapi kerana sibuk dengan kerja (ketika itu di Utusan Malaysia Kota Bharu) menyebabkan saya tidak dapat menguruskan blog itu. Akibat terlalu lama tidak diaktifkan, akhirnya ia diblokkan.

Kemudian pada Oktober 2006, saya dilamar oleh Karangkraf Sdn Bhd dan memulakan tugas sebagai Wartawan di akhbar Sinar Harian Kelantan pada 01hb Disember 2006. Dua bulan saya mengambil masa untuk berfikir termasuk melakukan solat Sunat Istiqarah sama ada perlu atau tidak saya berhijrah.

Akhirnya Allah membuka pintu hati saya dan saya menerima untuk bekerja dengan akhbar yang bermottokan "Suara Cakna, Komuniti Anda". Tiga bulan bekerja (Mac 2007) saya diberi tanggungjawab untuk menyunting bahan berita dan dilantik sebagai Penyunting.

Tiga bulan kemudian (Jun 2007) saya dinaikkan pangkat daripada Penyunting kepada Wartawan Kanan oleh pengurusan Karangkraf Sdn Bhd. Dengan itu tanggungjawab saya ialah mengetuai 13 Skuad Cakna di 10 jajahan dan tujuh wartawan di HQ Kota Bharu.

Tidak cukup dengan itu, pada 16 November 2007 saya sekali lagi berdepan dengan perubahan jawatan iaitu daripada Wartawan Kanan kepada Ketua Wartawan. Tanggungjawab saya semakin besar dan berat. Saya turut dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan penerimaan pembaca terhadap akhbar komuniti ini. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan berazam akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh pihak pengurusan.

Tentu pembaca tertanya-tanya kenapa saya mengaktifkan semula blog ini. Adakah dengan kenaikan pangkat itu bermakna saya mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada blog ini? Salah terkaan itu. Sebenarnya, saya semakin sibuk, malah nak melihat wajah anak-anak pun teramat sukar. Bukan itu sahaja masa off saya dua hari seminggu pun lesap begitu sahaja. Saya bekerja tujuh hari satu minggu dan menghabiskan masa antara 12 ke 18 jam sehari. Masuk pejabat waktu pagi, balik rumah lewat tengah malam.

Letih? Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi kerana tanggungjawab dan komitmen terhadap kerja, saya akur dan terus bekerja. Dalam bekerja, saya mempunyai pendirian dan prinsip, selain dalam menulis sesuatu artikel, saya tidak tersasar daripada melanggar etika kewartawanan. Walaupun sebelum ini ada tulisan saya dianggap berunsur fitnah dan diugut saman, tetapi Alhamdulillah berdasarkan fakta dan sikap profesional saya sebagai wartawan, saman itu dibatalkan.

Ini menunjukkan bahawa sebarang artikel yang saya hasilkan bukan berdasarkan perasaan atau keseronokan semata-mata, tetapi berasaskan kepada fakta. Sebagai contoh, artikel saya bertajuk "Krisis Tiga Abdul" yang saya tulis pada tahun 1999 telah mencetuskan kontroversi antara saya dengan Menteri Besar.

Laporan itu menyebabkan Menteri Besar melantik peguam dan menghantar surat saman. Saya menerimanya dengan hati terbuka. Satu tahun saya berdepan dengan proses saman, sehinggalah pada tahun berikutnya, dalam satu majlis Menteri Besar bersama perantau, beliau mengakui bahawa krisis itu memang wujud.

Keesokan harinya, semua surat khabar menyiarkan laporan bertajuk: "Tok Guru akui krisis dengan timbalannya". Pengakuan Menteri Besar dan laporan besar-besaran akhbar arus perdana meletakkan saya dalam keadaan selamat atau zon selesa. Sejak itu saya dimaklumkan Menteri Besar menarik balik samannya terhadap saya.

Pendirian dan prinsip saya ketika menulis adalah mutlak, "Saya menulis perkara yang benar". Pendirian dan prinsip itu saya bawa dalam hidup saya walaupun di mana saya bekerja. Apabila berada di Sinar Harian, saya diberi kolum untuk memuatkan tulisan berbaur teguran, sindiran, kritikan dan pandangan. Saya telah mengendalikan kolum "Sejambak Budi", "Analisis Berita", "Suara Orang Kita", dan terbaru "Kita Kutir". Malangnya (inilah kelemahan saya) saya tidak menyimpan tulisan itu.

Tabiat dan perangai saya ialah baca akhbar jam 9 pagi, jam 10 pagi akhbar itu diletakkan merata tempat. Saya tidak dianugerahkan sikap atau perangai mahu menyimpan. Itulah antara kelemahan ketara diri saya.

Melalui kolum dan tulisan itu jugalah saya dihentam, dikritik, ditegur dan disindir, dipuji, disanjung, disukai dan diminati. Majoriti yang menghentam, mengkritik, menegur dan menyindir saya ialah orang-orang politik. Dan majoriti pihak-pihak yang memuji, menyanjung, menyukai dan meminati kolum saya ialah golongan komuniti yang merasakan diri mereka teraniayai dan tidak ada pembelaan diberikan pemimpin politik sama ada Pas mahupun Umno.

Ada yang tegur melalui sms atau telefon dan tidak sedikit yang menghentam saya melalui blogger politik. Pada mulanya saya menganggap ia sebagai biasa dan akan mendewasakan saya dalam profesion kewartawanan, tetapi sebagai manusia, saya tidak terlepas daripada perasaan marah.

Kerana itulah saya meminta bantuan seorang kawan untuk mengaktifkan blog saya dan saya akan menggunakan ruangan ini untuk membela diri daripada hentaman puak-puak politik karut marut ni.

Saya kata karut marut kerana saya sudah lama berdepan dengan orang politik ni. Saya terlibat dalam dunia kewartawanan sejak tahun 1984 dan sehingga kini. Saya kenal sorang-sorang perangai, feel dan sikap orang politik. Saya bukan nak bual besar. Dan nama saya pun memang tidak asing pada mereka, walaupun kini saya cuba mengasingkan diri daripada mereka.

Kepada tetamu yang melayari laman ini, saya mohon berbanyak maaf kalau merasakan tulisan saya ini berbaur riak, ego dan sebagainya. Maaf.

Tiada ulasan: