Sabtu, 24 November 2007

Ringan-ringan (emel dari rakan)

Mengapa teman sekerja? Seseorang mudah jatuh hati dengan rakan sekerja disebabkan beberapa faktor:

Hampir
Seseorang terpikat dengan rakan sekerja kerana rakan sekerja sentiasa ada di sekitar mereka. Kajian mendapati semakin kerap anda bersama seseorang, semakin besar kemungkinan anda akan sukakannya.

Mudah
Bagi kebanyakan yang bujang dan bekerja, hampir keseluruhan masa yang ada disalurkan untuk kerja dan selebihnya untuk rehat. Untuk keluar mencari kekasih tentu memakan masa maka pejabatlah tempat yang paling mudah dan menjimatkan masa untuk tujuan itu.

Keselamatan
Biasanya seseorang itu cukup mengenali rakan sekerja. Personaliti dan kelakuan mereka dapat dilihat melalui gaya, cara berkomunikasi dan keupayaan mengatasi tekanan kerja. Melalui aspek ini, seseorang dapat menilai sama ada rakan itu berbahaya atau tidak.

Kemesraan
Bila bekerjasama untuk sesuatu tempoh yang lama, seseorang akan mudah berkongsi harapan, impian dan masalah dengan rakan sekerja. Kemesraan ini akan mewujudkan kepercayaan antara mereka.

Persamaan
Individu cenderung bekerja dengan orang yang menyamai diri mereka dari pelbagai aspek antaranya kelas sosial, pendidikan, pendapatan, minat dan sikap. Hubungan rakan sekerja berupaya mewujudkan rasa cinta berdasarkan persahabatan rasa hormat.

Hormat
Persamaan dari segi tanggungjawab dan peranan dalam melaksanakan tugas serta menaikkan taraf ekonomi mewujudkan kesalingbergantungan dalam hubungan rumah tangga. Dengan itu, golongan lelaki akan lebih menghormati hak dan peranan kaum wanita.

Celaru
Suasana tempat kerja yang kadangkala tertekan, kompetitif atau menyeronokkan akan membuatkan perasaan seseorang menjadi celaru dan biasanya mereka gemar meluahkannya kepada lelaki atau wanita menarik berdekatan.

Selalu bersama
Perhubungan di tempat kerja biasanya terjadi dalam profesion yang mana pekerjanya akan menghabiskan masa yang lama bekerjasama, dalam suasana yang sama, saat senang dan sukar serta saling bergantung antara satu sama lain dalam hal kerja.

Baik buruk hubungan sepejabat
PROFESOR Komunikasi dari Universiti Seattle, Amerika Syarikat, Mara Adelman berpendapat suasana tempat kerja akan suram tanpa hubungan cinta. Hubungan sebegini, katanya, dapat membuatkan ruang korporat yang agak serius supaya lebih beremosi.
Kajian juga mendapati hubungan cinta sesama rakan sekerja dapat meningkatkan produktiviti seseorang pekerja sekali gus menunjukkan hubungan dengan teman sepejabat memberi kebaikan kepada mereka yang menjalinkannya.

Kebaikan
Anda tidak perlu lagi membuang masa mencari calon suami atau isteri dan mencuri masa untuk bertemu orang tersayang selepas waktu pejabat atau menunggu masa cuti untuk berjumpa kerana masing-masing dapat bersua di pejabat bila-bila masa yang dimahukan.
Peluang untuk mengenali pasangan lebih banyak berbanding jika mereka bekerja di lain pejabat. Dengan itu, masing-masing lebih memahami pasangan masing-masing. Berada di bawah bumbung syarikat yang sama membuatkan kedua-duanya memahami tugas kerja pasangan dan ini dapat mengelak daripada timbulnya konflik akibat tekanan kerja.
Selain menjimat masa, perbelanjaan juga dapat dikurangkan. Pasangan boleh berkongsi kereta bersama untuk pergi dan balik kerja. Namun, menjalin hubungan dengan teman sekerja juga mengundang risiko.

Keburukan
Terlalu kerap bertemu, di rumah dan tempat kerja setiap hari boleh menimbulkan rasa jemu yang mungkin menjadi punca pergeseran. Setiap orang memerlukan masa untuk bersendiri, melakukan hobi atau bertemu rakan. Perhubungan ini juga dibimbangi akan mengganggu profesionalisme pekerjaan. Misalnya, jika ada yang memegang jawatan tinggi dan pasangannya pula bekerja di bawah mereka, layanan terhadap pekerja lain mungkin akan berbeza.
Mudah dilanda perasaan cemburu. Perhubungan dengan rakan sekerja berlainan jantina terpaksa dibataskan kerana bimbang pasangan akan cemburu. Sedikit sebanyak ia akan menggugat kebebasan bekerja dan mengganggu kelancaran kerja.
Perhubungan akan sentiasa menjadi perhatian rakan sekerja di sekeliling. Sedikit hal berbaur negatif boleh menjadi buah mulut sepejabat. Masalah dalam perhubungan atau jika keduanya berpisah, ditakuti memberi kesan kepada prestasi kerja.

Tiada ulasan: