Jumaat, 23 November 2007

PAS marah, Annuar Teraniayai


Berikut saya paparkan laporan daripada sebuah blog politik yang ditujukan kepada saya. Blog guanodemo.net ini adalah milik sebuah parti politik yang pemimpinnya (ketuanya) amat-amat saya kenal. Kami pernah menjadi kawan baik suatu ketika dahulu. Sekarang bukan kawan baik lagi. Saya tinggalkan dia kerana pada saya dia tidak layak untuk menjadi pemimpin. Pada saya selagi dia tidak ubah perangainya yang suka bermain mata dengan anak dara orang, gewe orang atau bini orang, selagi itu saya tidak akan mendekatkan diri untuk berkawan dengannya.

Dia telah mengupah seorang penulis (juga kawan baik saya yang pernah bekerja dalam satu akhbar tidak lama dulu) untuk mengendalikan laman webnya. Dan dia juga dikatakan merestui dengan laporan yang bakal tuan puan tatap di bawah sebentar lagi. Pada saya, bergaduh atau bermasam muka dengan pemimpin politik adalah perkara biasa. Selagi saya bergelar wartawan selagi itulah saya menjadi kawan dan musuh pemimpin politik.

Hari ini tuan puan baca dulu laporan yang ditulis oleh penulis upahan pemimpin politik itu mengenai saya dan akhbar Sinar Harian. Selepas ini saya akan paparkan pula jawapan terhadap kritikan itu. Selamat membaca:-

Berita yang disiarkan dalam laman wen guanodemo.net

PAS marah, Annuar Teraniaya

Oleh: Pak Teh Muda
Saturday, 10 November 2007
poktehmuda@yahoo.com.my

Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

Bahagian Pertama
Sidang Dewan Negeri Kelantan (DUN) akan bersidang lagi. Kali ini untuk memperkatakan Bajet 2008.
Saya tidak mahu mengulas mengenai apa yang dijangka dibentangkan oleh Kerajaan Negeri kali ini dalam siri ini.
Saya cuma mahu mengimbas kembali sidang DUN yang lepas iaitu pada 25 dan 26 Jun lalu untuk mengingatkan kembali bagaimana suasana politik Kelantan sedikit diganggu-gugat oleh kesan sidang DUN berkenaan.
Ia bukan sekadar lima usul yang ditolak tetapi kejadian yang ada kaitan dengan pembentangan usul berkenaan.
Masakan tidak, laman web, blog dan akhbar nyamuk yang bersimpati dengan PAS membidas Datuk Seri Panglima Annuar Musa yang kononnya berkonspirasi dengan sebuah akhbar tabloid yang ketika itu edarannya terhad di Kelantan.
Ia tidak lain dan tidak bukan gara-gara sebuah berita dalam akhbar tabloid Sinar Harian diterbitkan pada 25 Jun 2007 iaitu hari pertama sidang DUN berkenaan,
Akhbar berkenaan melalui tajuk "Sidang DUN Kelantan Tegang" di muka 2 melaporkan, "Seperti biasa, sidang bermula, Annuar sebagai ketua pembangkang bangun mempersoalkan Dewan kenapa lima usul yang dikemukakan ditolak sewenang-wenangnya, sedangkan ia berkaitan dengan kepentingan rakyat dan perlu diselesaikan.
Menurut pemerhati politik, tindakan Dewan Kelantan menolak usul itu menyebabkan berlaku ketegangan antara pembangkang dengan barisan kerajaan negeri yang masing-masing bertikam lidah untuk mempertahankan hak."
Ini bermakna pembaca "seolah-olah" sudah mengetahui apa yang berlaku dalam sidang DUN kerana pembaca medapat berita berkenaan seawal 7.00pagi sedangkan DUN bermula hanya 9.00 pagi pada hari berkenaan.
Dengan kata lain, pembaca akhbar berkenaan pada pukul 7.00 pagi sudah membaca bahawa sidang DUN tegang gara-gara Annuar membantah tindakan Speaker menolak lima usul berkenaan.
Amatlah jelas pemberita Sinar Harian, secara berani dan begitu yakin melaporkan bahawa Annuar persoalkan usul BN ditolak dan suasana sidang DUN berkenaan tegang pada 25 Jun itu. Siapa tidak terkejut jika laporan pemberita berkenaan keluar lebih awal daripada peristiwa sebenar?
Dengan kata lain laporan yang sepatutnya berbentuk ramalan menjadi ‘satu kejadian yang benar belaka"
Jangan persalahkan pemimpin dan wakil rakyat Pas. Malah jangan juga persalahkan akhbar rasmi Pas, Harakah, 1-15 Julai 2007 apabila penulis rencana bertajuk Lakonan Annuar Musa malukan Mustapha" mengatakan: "Belum pernah dibuat orang apabila kemalangan jam 9.30 pagi tetapi berita mengenainya disebarkan akhbar seawall 7.00 pagi".
Memang wajar kalau mereka semua dan yang bersimpati dengan PAS marah. Saya sendiri tertanya-tanya, apa "game" yang cuba dimainkan oleh pemberita dan akhbar berkenaan?
Bagaimanapun, saya tidak pula nampak ada laporan seperti disebut dalam akhbar rasmi Pas, Harakah yang mengatakan "Annuar dilihat bangun mengetuai 21 anggota DUN BN yang lain keluar dewan pada sidang DUN berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi."
Memang benar Annuar melakukan tindakan demikian tetapi tiada dalam laporan Sinar Harian 25 Julai 2007 itu. Apakah laporan oleh Harakah ini sengaja memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan "menyerang Annuar"?
Penulisan Annual Bakri Haron bertajuk "Lakonan Annuar Musa malukan Mustapha" jelas ada fakta silap.
Saya tidak tahu bagaimana beliau boleh mengatakan Sinar Harian membuat laporan kononnya "Annuar cuma dilihat meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri pada jam 9.30pagi".
Di sini, nampaknya apa yang benar-benar berlaku pada pagi sidang pertama DUN kelantan yang tidak diramalkan oleh Sinar Harian tetapi Annual Bakri Haron dalam Harakah pula mengatakan Sinar Harian melaporkan demikian.
Kerana laporan-laporan silap oleh Sinar Harian ini, Annuar dan UMNO dituduh berkonspirasi jahat dengan akhbar berkenaan memburukkan kerajaan Islam (?) dan dengan ketentuan Allah, Tuhan sengaja dedahkan segala kerja jahat dan hati busuk pemimpin UMNO.
Persoalannya, benarkah Annuar dan UMNO melakukan demikian? Dan kedua, siapakah antara kita yang yang tahu Tuhan sengaja dedahkan kerja jahat?
Lagipun, wajarkah kita membabitkan Tuhan dalam soal ini?
Persoalan saya ialah apakah etika kewartawanan dan persuratkhabaran diamalkan pemberita dan dua akhbar berkenaan yang dengan berani meramal dan menyiarkanberita sedemikian dan yang satu lagi mengulas tanpa merujuk kepada berita sebenar?
Pemberita akhbar lain, selain Harakah, termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Bernama, The Star juga tahu bahawa lima usul akan dikemukakan. Ia berasaskan sidang media yang diadakan oleh Annuar beberapa hari sebelum itu.
Namun tiada siapa berani meramalkan "setepat" yang disiarkan oleh Sinar Harian.
Malah lebih buruk, hasil tersiarnya berita berkenaan pada pagi itu bermulalah tuduhan kononnya suatu perancangan teliti yang jahat antara Annuar dan pemberita berkenaan sudah diatur.
Apa lagi, Pas tidak memberi peluang langsung dan "merembat" Annuar habis-habisan malah sanggup melihatkan Tuhan dalam tuduhan itu.
Hakikatnya, kemarahan Pas jelas bukan sahaja kepada berita berkenaan.
Lebih menaikkan darah wakil rakyat PAS di sidang DUN berkenaan ialah setiap yang dilaporkan itu tepat dan benar belaka. Dengan kata lain setiap detik perkembangan persidangan ia bagaikan bergerak seperti dilaporkan.
Annuar sehingga hari ini tidak menafikan tuduhan Pas bahawa wujud perancangan teliti antaranya dengan pemberita berkenaan.
Malah Annuar juga tidak pun "menyerang" akhbar berkenaan yang membuat laporan yang menyebabkan dia tersepit antara kemarahan Pas dan laporan yang tidak beretika.
Tidak menjawab bukan bermakna Annuar bersalah tetapi mungkin Annuar menyerahkan kepada rakyat untuk memikirkannya.
Yang pasti kedua-dua akhbar berkenaan memang tidak beretika. Pemberita Sinar Harian menulis mendahului peristiwa dan laporan Harakah pula tidak memetik sumber dan sengaja selewengkan fakta.
Saya mengatakan tidak beretika kerana, kedua-duanya tidak sedikit pun merasa bersalah kepada Annuar dengan membuat laporan dan ulasan palsu sedemikian.
Saya mendekati orang yang rapat dengan Annuar dan mereka menafikan pemimpin mereka berbuat demikian.
Penyiaran berita yang mendahului peristiwa yang sepatutnya disiarkan berupaya berita ramalan yang menggunakan perkata seperti "dijangka keluar dewan" atau sebagainya itu tidak pernah dirancang atau dibincangkan bersama oleh Annuar dan Sinar Harian.
Sepanjang pengalaman saya yang tidaklah lama berbanding rakan lain yang lebih lama, kira-kira 25 tahun dalam bidang ini, inilah pertama kali saya membaca berita yang 100 peratus tepat dan mendahului masa.
Saya kira saya tidak akan bertemu lagi cara pemberitaan dan laporan seperti ini dalam mana-mana juga akhbar untuk tempoh satu atau dua dekad akan datang, jika dipanjangkan umur!
Lupakan Harakah kerana ai akhbar sebuah parti pembangkang tetapi sikap pemberita dan akhbar Sinar Harian yang ‘buat tidak tahu" ini bertentangan sekali dengan sikap mereka terhadap satu laporan lain beberapa hari selepas kejadian itu.
Ia lanjutan sebuah rencana dalam akhbar berkenaan bertajuk "Air: Rakyat Kecewa- Bahagian Pertama" di muka K18, 1 Julai 2007, menyebabkan ada ancaman daripada pihak-pihak tertentu yang terbabit dengan pengurusan air di Kelantan yang mahu menyaman akhbar berkenaan.
Yang anehnya, pemberita yang sama menulis berita yang mendahulu waktu itu dilaporkan bertemu dengan pihak-pihak yang dikatakan mahu menyaman akhbar berkenaan dan akur dengan kehendak pihak berkenaan.
Apakah kehendak mereka yang mengugut mahu menyaman akhbar berkenaan?
Bahagian kedua rencana berkenaan tidak lagi disiarkan dan menyiarkan jawapan kepada rencana bahagian pertama pertama.
Persoalannya, pada ketika pemberita dan akhbar berkenaan tidakpun meminta maaf dalam kes dengan Annuar tetapi dalam kes kedua, mereka bukan sahaja enggan menyiarkan rencana bahagian kedua, sebaliknya akur menyiarkan jawapan kepada rencana bahagian pertama.
Ironinya, perkara yang disebut dalam rencana yang menjadi kontoversi itu sudah disebutkan banyak kali oleh Annuar pada ceraman-ceramah UMNO secara terbuka, selain disebutkan di dalam sidang DUN itu, ketika mencelah mengemukakan pertanyaan ketika wakil BN membahaskan usul.
Malah,perkara yang disebutkan oleh Annuar itu pada saya hanya sebahagian kecil sahaja daripada apa yang mahu diucapkan oleh pembentang usul mengenai kedudukan semasa mengenai pentadbiran syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad yang tidak diluluskan oleh Speaker DUN berkenaan.
Jelaslah di sini, ada kebimbangan besar di kalangan wakil rakyat DUN atau Menteri Besar sendiri terhadap usul berkenaan jika dibenar untuk dibahaskan.
Tetapi saya yakin ‘bangkai gajah’ pastinya sukar untuk ditutup dan akan terbuka juga lambat laun, sama ada melalui laporan kepada Badan Pencegah Rasuah atau melalui ceramah-ceramah UMNO yang giat dijalankan sekarang.
Persoalannya, dalam kedua-dua kes ini, siapakah yang berkonspirasi, pemberita dengan Annuar atau akhbar berkenaan dengan pembangkang atau ia mempunyai agendanya sendiri?
Saya mengatakannya sedemikian kerana kenapa dengan meluluskan siaran berita "mendahulu waktu" itu, pemberita berkenaan terlepas begitu sahaja.
Malah jika mereka tersilap (memang tersilap pun), maaf hendaklah dipohon daripada Annuar dan tidak membiarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO itu diserang "empat penjuru oleh PAS".
Bagi saya jawapan ada pada akhbar dan pemberita berkenaan.
Pengajaran penting di sini ialah, walau sejauh mana wujud kepentingan peribadi atau perniagaan, etika perlu ditegakkan kerana jangan biarkan "kerana nila setitik rosak susu sebelanga".
Hakikatnya, bukan mudah menjadi pemberita dan bukan mudah menguruskan sebuah akhbar, walaupun ia sebuah akhbar untuk sebuah negeri sahaja.

Ikuti Bahagian Kedua yang akan menyusul…

Tiada ulasan: