Jumaat, 30 November 2007

Suara Orang Kita

Menang sorak, kampung tergadai
Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kesebelas atau dengan kata lain ‘Sidang Bajet’ berakhir dua hari lalu.


Seperti tahun-tahun sebelum ini, suasana persidangan DUN yang berlangsung hampir seminggu itu tidak banyak berubah.

Bertikam lidah antara wakil kerajaan dengan pembangkang, tidak menjawab soalan dengan tepat, perli memerli, kata mengata, ingkar arahan Speaker, menjawab secara sinis dan sindir serta tepuk meja merupakan adegan biasa yang boleh dilihat dalam persidangan itu.

Ada yang tanya, sidang DUN kali ini tidak tegang seperti sebelum inikah. Kita jawab, "Mahu tidak tegang, bukan setakat perang mulut, malah hampir mencetuskan suasana seperti apa yang berlaku dalam sidang dewan di negara Taiwan".

Cuma tidaklah sehebat di Taiwan yang menyaksikan wakil kerajaan dan pembangkang tarik menarik rambut atau baju, tumbuk menumbuk muka atau perut, baling membaling kerusi atau fail dan lempar melempar kasut atau selipar tumit tinggi.

Di Kelantan semuanya terkawal dan wakil kedua-dua pihak pun masih lagi waras.

Bila rakyat tanya kenapa boleh jadi begitu? Kita hanya mampu menjawab, "Entahlah, barangkali mungkin itu syarat persidangan kot". Padahal kita ada jawapan lain yang lebih baik, tetapi kerana malas memanjangkan cerita, kita hanya jawab pendek dan selamba.

Jawapan sebenar ada pada tubuh badan wakil rakyat berkenaan. Hanya mereka tahu kenapa perkara itu berlaku. Semuanya terletak kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.

Mereka ini yang akan menentu atau mencorakkan sama ada dewan itu bersidang dalam suasana harmoni atau sebaliknya. Ketegangan bukan berpunca daripada campur tangan pemerhati, juga bukan kerana faktor tiada bekalan elektrik, tetapi ia berpunca daripada hati atau niat seseorang wakil rakyat.

Kalau mereka masuk ke dewan dengan niat hendak mencari jalan penyelesaian yang dihadapi rakyat dan mencari kaedah terbaik bagaimana hendak meningkatkan ekonomi negeri, insya-Allah persidangan itu akan berlangsung dalam suasana perdebatan yang sihat.

Segala masalah berbangkit dapat diselesaikan. Tetapi jika mereka masuk ke dewan untuk mengutuk pihak lawan dengan kata-kata kesat seperti ‘tidak cerdik’ atau ‘jakun’, tentunya ia akan menimbulkan ketegangan, dan ketegangan itu tidak akan berakhir walaupun sampai berterusan sampai ke hari kiamat selagi mereka yang ‘bertitle’ Yang Berhormat ini tidak ubah perangai.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, (muka surat 510) perkataan ‘jakun’ membawa erti penduduk asli Semenanjung Malaysia (yang tinggal di hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan). Inilah antara perkataan atau ayat yang dilemparkan seorang YB dari wakil kerajaan kepada seorang ADUN dari pembangkang menyebabkan berlaku ketegangan dan hampir berlaku sepak menyepak.

Bagaimanapun, suasana itu dapat dikawal apabila beberapa orang YB dari kedua-dua pihak cuba menenangkan keadaan dan ia kembali seperti biasa apabila Speaker mengarahkan dua ADUN berkenaan duduk di kerusi masing-masing dan memberi tumpuan kepada sesi perbahasan.

Sejarah menunjukkan dalam tempoh 17 tahun sejak 1990, masalah rakyat di negeri ini tidak pernah dapat diselesaikan. Pelbagai isu berbangkit selama ini sehingga kini belum dapat diatasi sepenuhnya seperti penempatan rakyat miskin, perumahan, tanah, peneroka haram, pembalakan haram, kemiskinan tegar dan sebagainya.

Sepatutnya, persidangan DUN tempat terbaik untuk semua pihak mencari jalan penyelesaian, bermuafakat dan bermuhasabah diri. Mencari kelemahan diri dan baiki. Bukan hanya tahu membantah terhadap pihak yang mengemukakan cadangan.

Umum tahu, di luar gelanggang (Sidang DUN) Pas dan UMNO atau BN merupakan musuh tradisi yang sukar untuk disatukan. Tetapi di dalam gelanggang Pas merupakan kerajaan, manakala BN adalah pembangkang. Mereka harus sepakat. Menolak unsur dendam, benci, marah dan tidak sehaluan yang bersarang dalam diri. Yang penting ketika itu ialah masa depan rakyat dan negeri khususnya.

Jadilah pemimpin yang matang dan profesional ketika berada dalam dewan. Jangan berperangai seperti kebudak-budakan. Kawal tutur kata, awasi gerak laku dan berhati-hati dengan ucapan. Ini kerana sidang DUN itu dirakam dan videonya dijual di merata kedai.

Malulah kalau rakyat tengok gelagat kita. Selama ini kita selalu menyebut "dewan yang mulia ini" di depan rakyat. Tetapi apabila rakyat melihat gelagat kita yang menjerit-jerit dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak lawan, rakyat tidak akan menghormati lagi kemuliaan dewan, sebaliknya beranggapan dewan tidak ubah seperti pentas ceramah.

Bezanya pentas ceramah tidak mempunyai pihak lawan, tetapi di dewan rakyat ada pihak lawan. Ini yang dikhuatiri akan berlaku. Persepsi rakyat terhadap kemuliaan dewan selama ini akan terhakis dengan sendirinya setelah melihat gelagat pemimpin mereka. Gelagat yang memalukan tercetus daripada isu yang remeh temeh.

Akhirnya apa yang mereka dan rakyat dapat? Mereka (ADUN) hanya menang sorak, sedangkan (rakyat) kampung tergadai. Rakyat di bawah terus terhimpit dengan masalah yang tidak dapat diselesaikan dari setahun ke setahun, dari sepenggal ke sepenggal.

Bilakah sesi tegang dalam DUN akan berakhir? Jawapannya, selagi YB-YB tidak mengamalkan sikap profesional sebagai Yang Berhormat, selagi itu kata putus dan suasana panas akan berlanju-tan. Rakyat akan muak dengan adegan-adegan seumpama itu.

Abe Li

Mulai hari ini - setiap Jumaat, saya akan cuba paparkan coretan saya iaitu Abe Li dan Suara Orang Kita untuk tatapan pelayar blog ini. Walaupun ia disiarkan dalam akhbar Sinar Harian setiap Jumaat di muka surat K20, namun saya terpanggil untuk memaparkan dalam laman ini.
MANDUL : DBP SAMA MACAM ORANG KELANTAN…
// ADA orang cakap di parlimen bahawa Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) kini telah ‘mandul’. Kata YB berkenaan DBP gagal mengembangkan istilah bahasa Melayu, banyak ambil istilah orang putih dan mudah sahaja jadikan istilah kita.
Sungguhpun Abe Li bukan pakar bahasa, bukan juga Ahli Yang Berhormat, apa yang dicakapkan di dewan itu menarik bunyinya. Sebab itu Abe Li rasa hendak tumpang semangkuk.
Selama ini yang Abe Li tahu istilah mandul itu ditujukan kepada orang perempuan yang telah berkahwin tetapi tidak boleh beranak. Mandul hanya pada perempuan, kita tidak boleh kata lelaki mandul.
Ada pun orang lelaki @ suami yang tidak dapat menghamilkan isterinya tidak boleh dipanggil mandul, sebab ada istilah yang lebih tepat untuk lelaki seperti ini, iaitu ‘mati pucuk’.
Kini istilah mandul telah diluaskan penggunaannya. Apa sahaja yang tidak produktif, atau tidak berkesan, boleh disebut mandul.
DBP mandul sebab bahagian istilahnya lembab, gagal mencapai matlamat mengembangkan istilah Melayu. Lepas ini jika ada mana-mana organisasi atau PBT atau apa sahaja yang tidak menepati sasaran, boleh juga kita kata mandul.
Maka boleh buat ayat begini: "Majlis daerah sekian-sekian telah diberi anugerah penyapu kerana mandul."
// ARAKIAN maka murkalah bos DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah dengan tuduhan mandul itu. Nampaknya dia tidak setuju betul anak buah pimpinannya dituduh mandul, lebih-lebih lagi apabila tuduhan itu dibuat di parlimen.
Katanya apa yang dinyatakan oleh YB berkenaan bukan sahaja satu penghinaan tetapi sekali gus memperlekeh usaha yang dilakukan oleh DBP dan ahli akademik juga pakar bahasa yang bertungkus lumus selama ini.
Bukanlah hendak memujuk atau menyatakan simpati, tetapi pada hemat Abe Li Dr Firdaus tidak perlu berasa terhina. Sebab bukan DBP sahaja yang mandul, ada sekian banyak agensi dan PBT lain di seluruh negara yang juga boleh dimasukkan dalam istilah mandul.
Malah, kalau hendak dikira DBP sendiri, bukan bahagian istilah sahaja yang mandul. Kepimpinan DBP patut insaf, dan mengakui bahawa banyak bahagian-bahagian lain di organisasi tersebut juga telah mandul.
// ABE LI tidak tahu setakat mana kemandulan Jawatankuasa Istilah DBP seperti yang didakwa di Dewan Rakyat itu. Sebagai orang biasa, kerdil pula, Abe Li melihat perkembangan bahasa kita seperti adanya sahaja.
Tetapi sekadar meneliti istilah-istilah baru berdasarkan Kamus Dewan, mungkin ada benarnya tuduhan bahawa jawatankuasa tersebut belum berjaya memperkaya khazanah istilah bahasa Melayu.
Apa yang jelas kita terlalu banyak mengambil istilah Inggeris untuk dengan mudah dijadikan istilah kita. Kata Dr Firdaus DBP telah berjaya mencipta lebih sejuta istilah baru sejak agensi itu ditubuhkan.
Bagi Abe Li tidak ada apa yang hendak dimegahkan walaupun kita mencipta 10 juta istilah, sekiranya istilah-istilah tersebut hanya saduran dari istilah-istilah Inggeris.
Mudah sangat hendak menmbah istilah kita: hanya cari mana-mana istilah Inggeris yang menarik, kemudian diubah ejaan atau ditukar sebutannya, dan diisytiharkan sebagai istilah Melayu!
Maka jadilah istilah-istilah baru bahasa Melayu seperti ‘administrasi’ (dari perkataan Inggeris administration), aktual (actual), bajet (budget), detergen (detergent), konsultansi (consultant), konsekuen (consequence), paracut (parachute) dan banyak lagi.
// BUKAN tidak boleh mengambil istilah asing untuk dijadikan istilah kita. Sekiranya kita memang tidak ada istilah untuk sesuatu perkara, tentu sekali kita boleh ambil istilah asing.
Sebagai contoh, tidak ada istilah Melayu untuk ‘carbon dioxide’, maka kita boleh tukar istilah itu untuk dimelayukan menjadi ‘karbon dioksida’.
Kita tidak ada istilah ‘bicycle’, jadi tidak salah untuk kita menukar istilah asal Inggeris itu menjadi ‘basikal’. Demikian juga halnya ‘rocket’ menjadi ‘roket’.
Tetapi apa perlunya kita mengambil istilah-istilah Inggeris untuk menggantikan istilah-istilah yang memang telah sekian lama wujud dalam perbendaharaan kata kita?
Mengapa perlu guna ‘administrasi’ sedangkan kita sudah ada perkataan ‘pentadbiran’? Kenapa guna ‘detergen’, kita boleh pakai ‘serbuk’ atau ‘cecair pencuci’?
Kita sudah ada istilah ‘belanjawan’ dan telah digunakan sejak sebelum perang dunia, kenapa tiba-tiba perlu diubah menjadi ‘bajet’?
Apa kurangnya ‘akibat’ maka kita perlu menggunakan ‘konsekuen’? Kenapa perlu pakai ‘konsultansi’ bukankah kita sudah ada ‘perunding’. Kenapa ‘paracut’ dan tidak ‘payung terjun’?
Pada hemat Abe Li apa yang perlu ditambah ialah istilah yang tidak ada dalam bahasa Melayu, bukan membuang istilah yang sedia ada untuk ditukar kepada istilah yang diklonkan dari bahasa Inggeris.
// KALAU setakat ambil istilah orang puteh kemudian tukar jadi istilah Melayu tidak payah tubuh jawatankuasa khas di DBP, sebab kawan-kawan Abe Li di Kelantan pun pandai cipta istilah Inggeris menjadi istilah daerah.
Orang Kelantan sudah lama guna istilah ‘pozik’ yang diambil dari istilah Inggeris ‘deposit’ (pendahuluan). ‘Rizak’ (keputusan) adalah dari istilah asal ‘result’, ‘saksobar’ dari perkataan ‘shaft absorber’, dan ‘giabok’ dari perkataan ‘gear box’.
Malah, di Kelantan ‘gear box’ tidak sahaja merujuk kepada alat ganti kenderaan, tetapi digunakan seharian untuk sejenis hidangan yang amat digemari, iaitu ‘sup giabok’.

Khamis, 29 November 2007

Duta berani redah demo 1,000 aktivis anti-Malaysia


Beginilah keajaiban negara bernama Malaysia.


JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain memerlukan hanya tiga minit untuk menyuraikan demonstrasi anti-Malaysia, yang sebelum itu berkobar-kobar dan kononnya akan berlangsung satu tindakan nekad di hadapan kedutaan di Jakarta pagi ini.

Lebih 1,000 pendemonstrasi anti-Malaysia daripada kalangan aktivis kebudayaan Reog Ponorogo, yang diapi-apikan semangat anti-Malaysia oleh pelbagai laporan media massa yang menuduh Malaysia telah mengambil dan mengakui berhak terhadap kesenian itu, akhirnya menyuraikan diri selepas mendengar penjelasan itu.

"Saya jelaskan di sini bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah mengakui tarian Reog itu berasal dari Malaysia walaupun tarian itu ada di Johor dan Selangor," katanya dengan menggunakan alat pembesar suara.

Kira-kira 150 tahun lalu, rakyat dari Indonesia yang berhijrah ke Malaysia membawa kebudayaannya dan ia dipraktikkan oleh anak cucu mereka di sana sehingga hari ini, katanya dari atas pentas yang berupa sebuah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin demonstrasi itu.

Setelah penjelasan yang menggunakan hanya kira-kira 50 patah perkataan sahaja itu, Zainal Abidin terus turun dari pentas itu dan kembali meneruskan tugas di pejabatnya, meninggalkan para pendemonstrasi itu terdiam seperti terpukau.

Akhirnya, sedikit demi sedikit mereka bergegas meninggalkan Jalan Rasuna Said yang sesak di hadapan kedutaan dan tiada satu pun lagi antara puluhan topeng singa Reog itu yang galak menari-nari dengan garang seperti kira-kira sejam sebelumnya.

Beberapa hari sebelum ini, heboh disebarkan khabar bahawa lebih 3,000 Reog (topeng singa berupa beruk) akan berdemonstrasi anti-Malaysia sehinggakan hampir semua stesen televisyen Indonesia membawa van siaran luar mereka bagi menyiarkannya secara langsung peristiwa itu.

Namun, tidak satu pun media massa dalam talian dan televisyen yang meliputi demonstrasi itu melaporkan aspek kecekapan diplomasi Zainal Abidin yang tampil dengan tenang menamatkan demonstrasi itu tanpa sebarang insiden buruk.

Kerana menjangkakan demonstrasi itu akan melibatkan tindakan keras dan kasar, ratusan polis Indonesia telah dikerah berkawal dan pagar dawai tajam anti-perusuh telah dipasang di hadapan pintu masuk ke kedutaan.

Sebelum keluar bertemu pendemonstrasi itu, Zainal Abidin bersetuju menerima beberapa orang wakil mereka di pejabat beliau.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Zainal Abidin berkata terlalu banyak tuduhan jahat dilemparkan terhadap Malaysia sejak kebelakangan ini dengan banyaknya laporan media dan perbincangan di laman web tempatan kononnya Malaysia telah mencuri pelbagai seni dan budaya Indonesia dan mengakui berhak ke atasnya.

"Entah dari mana timbulnya tuduhan kononnya Malaysia juga telah mempaten semua bentuk seni dan budaya itu termasuk batik dan lagu," katanya yang menjelaskan bahawa semua tuduhan itu tidak benar.

Duta Besar itu sendiri telah berkali-kali mengulangi penjelasan tersebut kepada media massa tetapi tuduhan demi tuduhan terus berlaku sehingga beliau berpendapat ada elemen jahat yang ingin merenggangkan hubungan akrab Malaysia dengan Indonesia dengan mengeksploitasikan seni dan budaya.

Eksploitasi seni dan budaya dilakukan oleh elemen jahat ini kerana ia merupakan isu warisan yang dibanggakan oleh rakyat Indonesia dan sangat sensitif di jiwa mereka serta dapat pula dengan mudah digunakan untuk membakar sentimen anti-Malaysia, jelasnya. BERNAMA

Rabu, 28 November 2007

Jenazah Siti Salmah selamat dikebumi

JOHOR BAHARU - Siti Salmah Jasni, gadis yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi semalam selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam, Felda Taib Andak, Kulai, di sini (28hb Nov 2007/Rabu).

Allahyarham yang dilapor kritikal dan mengalami tekanan darah semakin rendah sebelum menghembus nafas akhir pada pukul 5.40 pagi disembahyangkan di Masjid Nur Saadah, Felda Taib Andak sebelum dikebumi selepas solat Zohor.

Siti Salmah, 18, pada 2 Nov lalu, selamat menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak selepas menerima sumbangan jantung dan paru-paru dari keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah.

Allahyarham yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN dilapor menunjukkan perubahan positif dari hari ke hari sebelum kritikal dan mengalami tekanan darah semakin rendah sejak malam semalam.

Pagi semalam doktor membuka tiub pernafasan yang dipakai Siti Salmah tetapi memasang semula pada petang setelah organ baru itu didapati belum kuat untuk berfungsi sendiri.

Bapa Allahyarham, Jasni Zainal, 52, berkata, beliau redha dengan kematian anaknya selepas melihat kesungguhan IJN dan menyedari risiko pembedahan yang dilakukan.

"Sudah takdir. Saya berterima kasih dan percaya IJN sudah melakukan yang terbaik untuk Siti Salmah walaupun tidak sangka anak saya akan meninggal dunia selepas melihat keadaannya yang positif beberapa hari lepas," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Jasni, seorang pemandu lori berkata, Siti Salmah anak kelapan dari 12 beradik itu berada dalam keadaan baik tengah hari semalam sebelum mengalami tekanan darah rendah kira-kira pukul 11 malam sehingga awal pagi ini.

"Saya kagum kerana dia masih menerima kenyataan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada paras lutut kerana menghadapi masalah urat pada 7 Nov lepas.

Hari ini sudah takdir dia meninggal dunia dan saya sempat memenuhi permintaannya termasuk membelikan "walkman" untuk dia mendengar lagu," katanya.

Ibu Siti Salmah, Sabariah Mustafa, 49, pula ketika ditemui turut menyifatkan anaknya itu seorang yang kuat semangat walaupun manja dengan keluarga.

Beliau berkata, Siti Salmah kelihatan sihat tengahari semalam dan sempat memegang erat tangannya ketika beliau melawat anaknya itu.

"Saya juga sedar risiko pembedahan ini. Kejayaan pemindahan jantung terhadap Tee Hui Yee sebenarnya menguatkan semangat kami sekeluarga untuk mencuba pembedahan itu, namun mungkin Tuhan lebih sayangkan anak saya," katanya. - BERNAMA

AL-FATIHAH

Saranan Dr Faiz membujang hingga 2011 tidak sihat, diskriminasi


Saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis supaya bakal angkasawan negara, Mejar Dr Faiz Khaleed tidak berkahwin sehingga misi menghantar angkasawan kedua negara direalisasikan pada tahun 2011, disifatkan sebagai tidak sihat.
Ia hanya akan menimbulkan tekanan kepada Dr Faiz dan mereka yang berminat menyertai program angkasawan negara pada masa hadapan.
Cadangan supaya Dr Faiz tidak berkahwin... tidak sihat. Adakah ini satu dasar kerana kenyataan tersebut berunsur diskriminasi.
Ia juga mempunyai elemen tekanan kepada mereka yang berminat menyertai program angkasawan.
Pada 10 Nov lalu, Dr Jamaluddin mengeluarkan kenyataan bahawa Dr. Faiz tidak digalakkan mendirikan rumahtangga sehingga misi penghantaran angkasawan kedua negara selesai pada tahun 2011.
Ia bertujuan memastikan Dr Faiz sentiasa fokus pada setiap sesi latihan yang perlu diikutinya kelak, kata Dr Jamaludin, yang menjelaskan bahawa ia bukanlah satu paksaan, tetapi meminta bakal angkasawan negara itu memikirkan secara serius perkara itu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Dr Faiz ketika memberikan reaksi berhubung perkara itu akur dengan saranan menteri itu dan menyifatkan soal perkahwinan bukan masalah utama kerana menyedari keutamaannya pada masa ini adalah untuk menjayakan misi negara.
Turut dibangkitkan ialah isu cadangan pembelian kapsul Soyuz TMA11 yang ditawarkan Russia kepada Malaysia.
Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN Larut) menyifatkan pembelian kapsul Soyuz itu boleh menjadi satu mercu tanda dan bahan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.

Selasa, 27 November 2007

Penerima organ, Siti Salmah meninggal dunia


KUALA LUMPUR: Siti Salmah Jasni, gadis yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak pada 2 Nov lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini (27hb Nov 2007/Selasa).


Jurucakap IJN berkata, Siti Salmah meninggal dunia pada jam 5.40 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN.


Keluarga Siti Salmah telah membawa pulang jenazah ke Kulai, Johor untuk dikebumikan, katanya kepada Bernama di sini.


Siti Salmah, 18, yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari sejak lima tahun lalu menerima sumbangan jantung dan paru-paru selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan organ itu.


Selepas pembedahan yang dilakukan oleh sekumpulan pakar IJN, Siti Salmah dilaporkan menunjukkan perubahan positif dari hari ke hari.


Semalam doktor membuka tiub pernafasan tetapi memasang semula pada petang setelah organ baru itu didapati belum kuat untuk berfungsi sendiri.


Keadaan gadis itu kemudian dilaporkan kritikal dan tekanan darah semakin rendah sebelum menghembuskan nafas terakhir. BERNAMA.


Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Amin

Laibaikallah hu malabaik

Kepada Jemaah Haji, Saya merakamkan ucapan Selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah dan Selamat Kembali Ke Tanah Air.
Semoga kalian memperoleh haji mabrur. Insya-Allah.

Isnin, 26 November 2007

Gempa bumi di Indonesia

Terkini!!..


Pelajar Malaysia selamat gempa di Indonesia26-11-2007 04:10:38 PM


JAKARTA - Gempa bumi berkekuatan 6.7 pada skala Richter (SR) yang menggoncang Kepulauan Lombok dan mengorbankan dua orang awal hari ini (26 November 2007/Isnin) turut dirasai para pelajar Malaysia di Bali yang berdekatan tetapi semua mereka berada dalam selamat.


Seorang pemimpin pelajar, Nasri Mohamad Hatta, 22, berkata, beliau terus mengirim khidmat pesanan ringkas (sms) kepada sebahagian pelajar lain sebaik merasakan goyangan gempa bumi itu kirakira tengah malam tadi waktu tempatan dan mendapat jawapan mereka semua selamat.

"Ketika kejadian, saya dan dua rakan serumah iaitu Khasfi Ahmad dan Edmond Tee, yang juga rakan sekuliah di tahun keempat pengajian perubatan di Universiti Udhayana di sini sedang menelaah kerana minggu ini kami akan menduduki peperiksaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kerusi yang diduduki terasa bergerak-gerak beberapa saat dan pada masa yang sama gelas air di atas meja bergetaran manakala kepalanya pula tiba-tiba terasa agak pening.

Menyedari ia akibat gempa bumi, beliau yang menyewa di Jalan Ida Bagus Oka di Denpasar, terus menghubungi rakanrakan lain dari Malaysia untuk bertanyakan keadaan dan khabar mereka sebagaimana prosedur standard menghadapi bencana yang diajarkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (JPMI).

"Alhamdulillah semua 179 pelajar Malaysia di sini selamat," kata Nasri yang juga anggota jawatankuasa penaja Kelab Umno Bali.

Goncangan kuat gempa bumi di Bima dan Dompu, Kepulauan Lombok di wilayah Nusa Tenggara Barat pada 12.02 pagi ini dilaporkan menyebabkan ratusan rumah runtuh.

Menurut Pusat Krisis Bencana di Kementerian Kesihatan Indonesia, tiga penduduk termasuk seorang kanak-kanak mati di Bima, dan lebih 50 yang lain dirawat kerana pelbagai kecederaan manakala data mangsa di tempat lain belum diperoleh.

Berdasarkan catatan Badan Meteorologi dan Geofizik Indonesia, tiga gempa susulan berkekuatan 5 hingga 6 skala Richter berlaku lagi di kepulauan itu sehingga pukul 9 pagi ini.

Gempa bumi berkekuatan 5.1 pada skala Richter itu juga menggoncang Nusa Tenggara Timur, berpusat di 62km dari Pelabohanbajo yang berdekatan pada 9 pagi ini. BERNAMA

Hussein Abu Hassan kembali ke rahmatullah


PELAKON Studio Merdeka yang cukup terkenal Hussein Abu Hassan meninggal dunia awal Subuh tadi (26hb November 2007/Isnin) di Wad Nefrologi, Hospital Besar, Kuala Lumpur.

Pelakon lelaki yang sinonim dengan watak jahat dalam filem Melayu ini menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 5 pagi tadi akibat komplikasi buah pinggang yang dialaminya sejak sekian lama.

Allahyarham dilahirkan di Alor Gajah, Melaka pada 5 Mei 1937 dan mula menceburi bidang lakonan sebagai watak sambilan dalam filem Sri Mersing pada 1960.

Ini diikuti dengan filem Tun Teja, Fajar Menyingsing, Air Mata Duyung, Siti Payung, Panglima Besi, Amok Tok Nading, Laksamana Do Re Mi dan Loceng Maut.

Beliau juga sering ditawarkan watak dalam filem luar negara seperti Muah (Hong Kong), International Trades, Crazy Pikoy Goes To Malaysia (Filipina) dan Bailey Big Deal (Australia). Lakonannya dalam filem arahan P. Ramlee menerusi Laksamana Do Re Mi terserlah menerusi watak Laksamana Pasola.

Pada tahun 1975, beliau menjadi pengarah melalui filem pertamanya, Bunga Padi Berdaun Lalang diikuti Panglima Badul, Senja Merah, Gila-Gila Remaja, Kanta Serigala dan Bujang Selamat.

Tahun lalu, Hussein menerima Anugerah Seniman Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005.

Menurut anak saudara Allahyarham, pelakon terkenal Rosyam Nor ketika dihubungi pagi tadi, ayah saudaranya sudah sekian lama menderita penyakit buah pinggang.

Anaknya Faizal Hussien, Fairuz, Dilla dan anak saudaranya Rosyam Noor mengikut jejak langkah Allahyarham dalam bidang seni

“Jenazah Allahyarham telah dibawa ke rumahnya untuk dimandi dan dikapankan di Taman Gombak Setia awal pagi tadi. Allahyarham adalah seorang ayah yang penyayang. Dia sentiasa menitikberatkan hubungan kekeluargaan.

“Walau macam mana sibuk, dia mahu semua anak-anaknya berkumpul di rumahnya,” jelas Rosyam yang sibuk menguruskan jenazah Allahyarham ketika panggilan dibuat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, seniwati Mahyon Ismail, 65, tiga anak, Dilla, 44, (penulis skrip); Fairuz, 42, (penyanyi); dan Faizal, 40, (pelakon), dan empat cucu hasil perkahwinan ketiga-tiga anak mereka - Natrah (Ayang), 24; Marlissa (12); dan Syarifudin (11) dan Fazryn, dua tahun.

Allahyarham turut mempunyai kenangan berlakon dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Kesemua anak-anak Allahyarham menceburi bidang seni tetapi dalam cabang berbeza. Faizal memilih bidang lakonan, Fairuz mempelopori muzik R&B di Malaysia manakala Dilla, 43, novelis dan juga penulis skrip.

Keadaan Allahyarham semakin uzur sejak dimasukkan ke hospital pada 20 Ogos lalu. Menurut Rosyam, sepanjang Ramadan lalu anak-anak sentiasa berkumpul di rumah. Mereka bimbang dan begitu mengambil berat keadaan ayah mereka.

“Allahyarham mahu semua anak-anak sentiasa berada di sisinya. Saya pernah diberitahu yang terjadi satu peristiwa di mana kesemua sepupu dan mak saudara saya sibuk di lokasi. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita Allahyarham jatuh sakit.

“Kesemua mereka bergegas pulang dan ketika sampai mereka lihat pagar pintu depan terbuka dan lampu terang benderang. Allahyarham sengaja berbuat begitu kerana mahu pintu sentiasa dibuka bagi menunggu anak-anaknya balik,” jelas Rosyam.

Rosyam sendiri kalau sesibuk mana akan menjenguk dan bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan ayah saudara yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk bertapak dalam industri perfileman ini. Rosyam telah diberi peluang memegang watak sampingan dalam filem ‘Gila-gila Remaja' - pada tahun 1984.

Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumah mereka di Taman Gombak Setia untuk dimandi dan dikapankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Setapak selepas Zuhur tadi.

Al-Fatihah

Awas! Hati-Hati - Demi Maruah Anda

DEMI MARUAH ANDA
Hal ini berlaku di suatu tempat di Kuala Lumpur..Ia dimaklumkan oleh seorang rakan (kaunselor) yang berdepan dengan masalah ini, latas dia mengirimkan emel (cerita ini) kepada saya. Lalu, atas dasar prihatin, saya masukkan dalam blog ini untuk tatapan dan pengajaran kepada semua terutama kaum wanita.

Cara baru merogol perempuan.
Satu hari, perempuan ini keluar dari pejabat (selepas habis kerja). Waktu itu agak-agak dekat malam. Dalam perjalan pulang, perempuan itu terserempak dengan seorang kanak-kanak menangis di tepi jalan. Kerana kesian dengan budak itu, dia menghampirinya dan bertanyakan budak berkenaan kenapa menangis. Budak tu pun bagitau yang dia dah sesat dan minta dihantar balik ke rumahnya.
Budak kecik itu kemudian menunjukkan sekeping kertas yang tertulis alamat rumah. Tanpa berlengah, perempuan yang berhati mulia itu (tanpa mengesyaki apa apa) terus bawa budak tu ke alamat tersebut. Setibanya di rumah budak itu, kawan kita ni menekan loceng pintu.. sejurus kemudiannya dia tiba-tiba pengsan kerana loceng berkenaan telah disambungkan dengan wayar berkuasa tinggi.
Keesokkan harinya, apabila dia tersedar, dia berada di sebuah rumah kosong di kawasan berbukit - dalam keadaan telanjang.
Kondom ada di mana-mana dengan air mani berhamburan. Tak kurang 20 kondom semuanya. Perempuan ini langsung tak mengenali penyerangnya.
Begitulah jenayah akhir-akhir ini mensasarkan mangsanya. Mereka sanggup menggunakan kanak-kanak untuk memuaskan nafsu.
Jadi, jika anda terserempak dengan keadaan sebegini, jangan sesekali menurut kemahuan kanak-kanak itu, sebaliknya hantar saja ke balai polis berdekatan. Habis cerita. Nak tunjuk simpati pun ada caranya.

Harap kepada pembaca yang membaca kisah benar ini, petiklah cerita ini dan hantarlah kepada rakan-rakan wanita anda.. selamatkan mereka. Jangan biar naluri keprihatinan mereka mendatangkan bahaya pada mereka sendiri.

10 perkahwinan paling sensasi di Malaysia


1.Perkahwinan Yang Paling Ditunggu Ramai
Siti Nurhaliza & Datuk Khalid Mohamed Jiwa (21-08-2006)
Majlis perkahwinan Siti Nurhaliza Taruddin merupakan perkahwinan yang paling ditunggu oleh seluruh rakyat Malaysia. Siti mula memberi isyarat kepada umum bahawa hatinya sudah berpunya ketika menerima Anugerah Bintang Popular 2005 dengan ucapan, "Ini merupakan hadiah kepada peminat, terima kasih kepada teman-teman seperjuangan dan juga orang yang saya sayangi".
Makan hati seluruh jejaka Malaya apabila mendapat tahu Siti memilih lelaki yang jauh lebih matang dengan misai lebat di bibir! Mulalah ramai lelaki yang menanam misai dengan harapan dapat memikat gadis-gadis yang ayu macam Siti. Kata Siti, dia suka cara Datuk K melayan anak-anak. Nampaknya skill pandai melayan anak juga boleh digunakan sebagai taktik memikat hati wanita. Sudah setahun lebih berumahtangga, Siti dan Datuk K masih mendapat perhatian peminat dan media hingga ke hari ini.


2. Perkahwinan Yang Diserbu Tetamu Tidak Diundang Paling Ramai
Ziana Zain & Armin Zaharin (2-5-1998)
Artis berpinggang kerengga ini cukup top pada tahun 90-an dengan lagu-lagu bernada tinggi serta diketahui umum sebagai gadis pujaan hati Azwan Ali. Pertunangan Ziana dengan seorang kakitangan MAS tidak dapat dihidu wartawan tetapi apabila dia diijabkabulkan dengan Armin Zaharin di rumah ibubapanya di Subang, majlis perkahwinan Ziana telah diserbu oleh 15,000 peminat yang tidak diundang.
Dikhabarkan, bapa Ziana, Pak Zain yang terkenal dengan sifatnya yang baik hati, telah memesan dua lori nasi minyak untuk menampung tetamu yang begitu ramai. Pandai betul Pak Zain cari syarikat yang boleh hantar nasi minyak pakai lori. Perkahwinan beliau juga telah menyebabkan Ogy dan rancangan Melodi disaman Azwan Ali berikutan komen Ogy yang mengatakan Azwan makan hati sengsorang kerana Ziana sudah bernikah. Ziana dikurnia dua orang anak lelaki bersama Armin dan kekal sehingga ke hari ini.

3. Perkahwinan Ditaja Paling Singkat
Erra Fazira & Yusry (15-3-2003)
Erra Fazira merupakan pelakon handalan cantik jelita dan Yusry KRU pula ialah seorang artis lelaki kacak bergaya serta kaya. Apabila kedua selebriti ini memutuskan untuk mendirikan rumahtangga, begitu ramai pihak yang mahu menaja kerana pasti perkahwinan ini akan mendapat coverage luar biasa.
Tekaan pihak penaja tepat sekali apabila perkahwinan Erra dan Yusry merangkul takhta Wedding of the Year 2003 apabila majlis perkahwinannya dibuat secara besar-besaran di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Run Razak Kuala Lumpur dan dihadiri oleh 10,000 peminat. Nak tambah glamor, kedua mempelai guna banyak angka tiga seperti nikah pada 15-3-03, wang hantaran bernilai 33,333.33, entourage pihak lelaki seramai 33 orang dan mereka kena datang pukul 3.30 petang. Malangnya, pasangan Erra dan Yusry mampu bertahan selama tiga tahun sahaja dan bercerai pada 16-6-06.

4. Perkahwinan Yang Mempunyai Hantaran Paling Tinggi
Mazuin Hamzah & Pengiran Sufri (11-12-1987)
Kisah cinta penyanyi dan pemain drum kumpulan Quinary M yang kecil molek bernama Mazuin Hamzah, umpama kisah dongeng Cinderella yang dilamar putera raja. Pertemuan pertama Mazuin dengan Pengiran Sufri berlaku pada tahun 1987 dan dalam tahun yang sama, Mazuin menggemparkan Malaysia apabila dipinang oleh Pengiran Muda Sufri Bolkiah dengan hantaran bernilai satu juta ringgit.
Tak kiralah bagaimana rupa paras bakal suami atau perangainya, dilamar oleh putera raja dari golongan keluarga diraja paling kaya di dunia, tak rasa nak kahwin pun tiba-tiba jadi rasa. Pada 11 Disember 1987, mereka disatukan secara gilang gemilang di Brunei selepas berbulan-bulan persediaan dilakukan oleh pihak istana. Selepas berkahwin, Mazuin diberi gelaran Pengiran Bini Mazuin dan tinggal di istana. Namun selepas 17 tahun bersama, pasangan ini bercerai dan Mazuin hanya membawa gelaran Hajah Mazuin binti Hamzah sahaja.

5. Perkahwinan Duda Malaysia Paling Laku
M. Nasir & Marlia Musa (31-08-2000)
Komposer dan penyanyi terkenal M. Nasir ialah jenis lelaki semakin tua semakin menarik. Walaupun beliau seorang duda beranak lima, faktor ini tidak menjadi halangan untuk dirinya digilai oleh ramai wanita Malaysia daripada pelbagai lapisan umur. Pada 31 Ogos 2000, beliau memilih untuk bernikah dengan pelakon popular Marlia Musa yang membuat ramai wanita ternganga tidak percaya.
Menurut Marlia, M. Nasir merupakan cinta pertamanya dan bagi M. Nasir, Marlia merupakan wanita yang boleh mengisi kekosongan hidupnya dan anak-anak.’’Saya suka sesuatu perkara misalnya sejenis kain dan dia (Marlia) ada kain itu," kiasan yang sukar dimengerti oleh orang biasa. Marlia disunting dengan mas kahwin berupa tiga belas keping wang dinar bernilai RM2,000 termasuk lima anak segera daripada perkahwinan M.Nasir yang sebelumnya.

6. Perkahwinan Tutup Kontroversi
Linda Rafar & Keifli (1-5-1999) vs Edry & Milia Mohamad (5-11-1999)
Linda Rafar, penyanyi kumpulan ala-ala Spice Girls Malaysia yang berada di bawah naungan KRU Records pernah mempunyai hubungan cinta dengan Edry KRU, adik paling bongsu kumpulan tiga beradik KRU. Pada tahun 1999, 11 gambar bogel dengan aksi-aksi lucah yang begitu mirip kepada mereka berdua telah terpampang di Internet. Sejurus selepas kontroversi itu tercetus, Linda dan Edry menutup cakap-cakap orang dan kontroversi yang melanda dengan bernikah dengan pasangan masing-masing.
Linda Rafar bernikah dengan pemandu go-kart kebangsaan, Keifli Datuk Othman pada 1 Mei 1999 manakala Edry pula bernikah dengan Milia Mohamad, setiausaha kepada abangnya Norman pada 5 November 1999. Perkahwinan Linda Rafar dengan Keifli mampu bertahan selama lima tahun sahaja setelah mendapat dua orang hero dan mereka bercerai talak satu pada 5 Ogos 2004. Edry pula baru sahaja menimang cahayamata ketiga pada 15 Mei 2007.

7. Perkahwinan Yang Mengetepikan Wartawan Hiburan
Natasha Hudson & Datuk Shahrin Zahari (4-08-2007)
Natasha Hudson, model terkenal kacukan Melayu-Indonesia-Australia, tidak putus dilanda pelbagai serangan gosip tabloid apabila beliau menamatkan perkahwinannya dengan Mohd Faiz Mohd Raih, seorang anak Datuk yang hanya bertahan selama lima bulan sahaja. Pada 4 Ogos 2007, sekali lagi Natasha menggemparkan dunia hiburan apabila perkahwinannya dengan Datuk Shahrin Zahari, Pengarah Eksekutf Verti Global yang diadakan di Carcosa Seri Negara tidak membenarkan wartawan hiburan masuk untuk membuat liputan.
Alasan yang diberi ialah takut nak jemput ramai tak cukup nasi. Ramai wartawan yang hadir kecewa dengan sikap Natasha kerana wartawan datang nak buat liputan, bukan nak makan nasi. Akibat peristiwa itu, wartawan hiburan secara sebulat suara telah memboikot Natasha. Walaupun Natasha sedih kerana disisihkan kerana pendiriannya tentang hal peribadi, dia telah pun selamat bernikah dan jelas sekali pilihan Natasha ialah seorang Datuk sebagai pasangan hidupnya dan bukan sekadar anak Datuk.

8. Perkahwinan Mengubat Hati Luka
Ina Naim & Suhaimi (12-8-07)
Nor Diana Naim pernah bertunang dengan Mawi, penyanyi tersohor Malaysia sebelum Mawi dijulang sebagai juara Akademi Fantasia ke-3 lagi. Selepas memenangi AF, ramai yang tak sabar-sabar nak tahu siapa tunang Mawi. Mula-mula Ina hanya low profile tetapi apabila Ina berdepan dengan keadaan perhubungan yang semaking meruncing, Ina mendapat liputan meluas daripada wartawan hiburan.
Tidak lama kemudian, hubungan pasangan ini terputus dan bertitik tolak daripada kegagalan cintanya dengan Mawi, Ina semakin agresif dengan buku tulisannya dan pembabitannya dalam dunia muzik dengan terhasilnya album sulung beliau yang berjudul "Duhai Hati". Pada bulan Jun, dunia hiburan dikejutkan dengan berita Ina Naim bertunang dengan bekas ahli kumpulan nasyid In-Team, Mohd Suhaimi Saad dan dinikahkan dua bulan selepas itu pada 12 Ogos 2007. Kalau nak dinamakan jodoh, tak dapat yang paling popular, yang popular sikit pun jadilah.

9. Perkahwinan Menggunakan Angka Sama Paling Banyak
Eizlan Yusof & Vie Shantie Harun Khan (7-7-07)
Apa ada pada nombor? Nampaknya jika anda seorang artis yang mahu berkahwin, nombor yang dipilih kenalah cantik dan unik, barulah ada style! Bagi pasangan pelakon kacak popular, Eizlan Yusof dan model cantik, Vie Shanti Harun Khan, angka tujuh merupakan sejarah bagi diri mereka berdua. Eizlan bernikah pada 7 Julai 2007 (7-7-07) setelah mula berkenalan pada 7 Julai tahun sebelumnya.
Eizlan dan Vie dua-dua lahir pada bulan 7, jumlah wang hantaran Eizlan kepada model sambilan ini berjumlah RM77,777.77 yang diiringi 7 dulang barangan. Beliau juga berharap anaknya dilahirkan dalam bulan tujuh juga. Untuk mereka yang ingin mendirikan rumahtangga pada tahun hadapan, cepat-cepat tempah tok kadi pda 8-8-08 supaya rumahtangga anda ‘ong’ selamanya. Kalau tak dapat tarikh tersebut, 18-8-8 atau 28-8-8 juga cantik.

10. Perkahwinan Dengan Hantaran Paling Istimewa
Erra Fazira dan Engku Emran 25-10-2007
Erra Fazira sekali lagi masuk senarai dengan menamatkan zaman jandanya dengan Ketua Pengarah Operasi Suria FM, Engku Emran pada 25 October 2007 lalu. Erra membuat keputusan untuk memilih Emran selepas kononnya berlaku adegan tumbuk menumbuk antara Hans dan Emran di rumah Erra beberapa minggu sebelum itu. Walaupun Emran dikatakan sakit ditumbuk, Hans sakit lagi teruk apabila Erra memilih Emran untuk menjadi suami.
Erra membuat pengumuman bahawa bukan harta yang dicarinya tetapi cinta dan kasih sayang, lantas dia hanya mahukan senaskah Al-Quran sebagai hantaran. Untunglah Emran dapat isteri yang bukan sahaja cantik malah baik dan merendah diri. Majlis perkahwinan Erra kali ini dibuat secara sederhana di kalangan keluarga dan teman-teman, bekas suami juga dijemput tetapi Yusry tentu sekali ada komitment lain ketika itu.

Sabtu, 24 November 2007

Ringan-ringan (emel dari rakan)

Mengapa teman sekerja? Seseorang mudah jatuh hati dengan rakan sekerja disebabkan beberapa faktor:

Hampir
Seseorang terpikat dengan rakan sekerja kerana rakan sekerja sentiasa ada di sekitar mereka. Kajian mendapati semakin kerap anda bersama seseorang, semakin besar kemungkinan anda akan sukakannya.

Mudah
Bagi kebanyakan yang bujang dan bekerja, hampir keseluruhan masa yang ada disalurkan untuk kerja dan selebihnya untuk rehat. Untuk keluar mencari kekasih tentu memakan masa maka pejabatlah tempat yang paling mudah dan menjimatkan masa untuk tujuan itu.

Keselamatan
Biasanya seseorang itu cukup mengenali rakan sekerja. Personaliti dan kelakuan mereka dapat dilihat melalui gaya, cara berkomunikasi dan keupayaan mengatasi tekanan kerja. Melalui aspek ini, seseorang dapat menilai sama ada rakan itu berbahaya atau tidak.

Kemesraan
Bila bekerjasama untuk sesuatu tempoh yang lama, seseorang akan mudah berkongsi harapan, impian dan masalah dengan rakan sekerja. Kemesraan ini akan mewujudkan kepercayaan antara mereka.

Persamaan
Individu cenderung bekerja dengan orang yang menyamai diri mereka dari pelbagai aspek antaranya kelas sosial, pendidikan, pendapatan, minat dan sikap. Hubungan rakan sekerja berupaya mewujudkan rasa cinta berdasarkan persahabatan rasa hormat.

Hormat
Persamaan dari segi tanggungjawab dan peranan dalam melaksanakan tugas serta menaikkan taraf ekonomi mewujudkan kesalingbergantungan dalam hubungan rumah tangga. Dengan itu, golongan lelaki akan lebih menghormati hak dan peranan kaum wanita.

Celaru
Suasana tempat kerja yang kadangkala tertekan, kompetitif atau menyeronokkan akan membuatkan perasaan seseorang menjadi celaru dan biasanya mereka gemar meluahkannya kepada lelaki atau wanita menarik berdekatan.

Selalu bersama
Perhubungan di tempat kerja biasanya terjadi dalam profesion yang mana pekerjanya akan menghabiskan masa yang lama bekerjasama, dalam suasana yang sama, saat senang dan sukar serta saling bergantung antara satu sama lain dalam hal kerja.

Baik buruk hubungan sepejabat
PROFESOR Komunikasi dari Universiti Seattle, Amerika Syarikat, Mara Adelman berpendapat suasana tempat kerja akan suram tanpa hubungan cinta. Hubungan sebegini, katanya, dapat membuatkan ruang korporat yang agak serius supaya lebih beremosi.
Kajian juga mendapati hubungan cinta sesama rakan sekerja dapat meningkatkan produktiviti seseorang pekerja sekali gus menunjukkan hubungan dengan teman sepejabat memberi kebaikan kepada mereka yang menjalinkannya.

Kebaikan
Anda tidak perlu lagi membuang masa mencari calon suami atau isteri dan mencuri masa untuk bertemu orang tersayang selepas waktu pejabat atau menunggu masa cuti untuk berjumpa kerana masing-masing dapat bersua di pejabat bila-bila masa yang dimahukan.
Peluang untuk mengenali pasangan lebih banyak berbanding jika mereka bekerja di lain pejabat. Dengan itu, masing-masing lebih memahami pasangan masing-masing. Berada di bawah bumbung syarikat yang sama membuatkan kedua-duanya memahami tugas kerja pasangan dan ini dapat mengelak daripada timbulnya konflik akibat tekanan kerja.
Selain menjimat masa, perbelanjaan juga dapat dikurangkan. Pasangan boleh berkongsi kereta bersama untuk pergi dan balik kerja. Namun, menjalin hubungan dengan teman sekerja juga mengundang risiko.

Keburukan
Terlalu kerap bertemu, di rumah dan tempat kerja setiap hari boleh menimbulkan rasa jemu yang mungkin menjadi punca pergeseran. Setiap orang memerlukan masa untuk bersendiri, melakukan hobi atau bertemu rakan. Perhubungan ini juga dibimbangi akan mengganggu profesionalisme pekerjaan. Misalnya, jika ada yang memegang jawatan tinggi dan pasangannya pula bekerja di bawah mereka, layanan terhadap pekerja lain mungkin akan berbeza.
Mudah dilanda perasaan cemburu. Perhubungan dengan rakan sekerja berlainan jantina terpaksa dibataskan kerana bimbang pasangan akan cemburu. Sedikit sebanyak ia akan menggugat kebebasan bekerja dan mengganggu kelancaran kerja.
Perhubungan akan sentiasa menjadi perhatian rakan sekerja di sekeliling. Sedikit hal berbaur negatif boleh menjadi buah mulut sepejabat. Masalah dalam perhubungan atau jika keduanya berpisah, ditakuti memberi kesan kepada prestasi kerja.

Jumaat, 23 November 2007

PAS marah, Annuar Teraniayai


Berikut saya paparkan laporan daripada sebuah blog politik yang ditujukan kepada saya. Blog guanodemo.net ini adalah milik sebuah parti politik yang pemimpinnya (ketuanya) amat-amat saya kenal. Kami pernah menjadi kawan baik suatu ketika dahulu. Sekarang bukan kawan baik lagi. Saya tinggalkan dia kerana pada saya dia tidak layak untuk menjadi pemimpin. Pada saya selagi dia tidak ubah perangainya yang suka bermain mata dengan anak dara orang, gewe orang atau bini orang, selagi itu saya tidak akan mendekatkan diri untuk berkawan dengannya.

Dia telah mengupah seorang penulis (juga kawan baik saya yang pernah bekerja dalam satu akhbar tidak lama dulu) untuk mengendalikan laman webnya. Dan dia juga dikatakan merestui dengan laporan yang bakal tuan puan tatap di bawah sebentar lagi. Pada saya, bergaduh atau bermasam muka dengan pemimpin politik adalah perkara biasa. Selagi saya bergelar wartawan selagi itulah saya menjadi kawan dan musuh pemimpin politik.

Hari ini tuan puan baca dulu laporan yang ditulis oleh penulis upahan pemimpin politik itu mengenai saya dan akhbar Sinar Harian. Selepas ini saya akan paparkan pula jawapan terhadap kritikan itu. Selamat membaca:-

Berita yang disiarkan dalam laman wen guanodemo.net

PAS marah, Annuar Teraniaya

Oleh: Pak Teh Muda
Saturday, 10 November 2007
poktehmuda@yahoo.com.my

Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

Bahagian Pertama
Sidang Dewan Negeri Kelantan (DUN) akan bersidang lagi. Kali ini untuk memperkatakan Bajet 2008.
Saya tidak mahu mengulas mengenai apa yang dijangka dibentangkan oleh Kerajaan Negeri kali ini dalam siri ini.
Saya cuma mahu mengimbas kembali sidang DUN yang lepas iaitu pada 25 dan 26 Jun lalu untuk mengingatkan kembali bagaimana suasana politik Kelantan sedikit diganggu-gugat oleh kesan sidang DUN berkenaan.
Ia bukan sekadar lima usul yang ditolak tetapi kejadian yang ada kaitan dengan pembentangan usul berkenaan.
Masakan tidak, laman web, blog dan akhbar nyamuk yang bersimpati dengan PAS membidas Datuk Seri Panglima Annuar Musa yang kononnya berkonspirasi dengan sebuah akhbar tabloid yang ketika itu edarannya terhad di Kelantan.
Ia tidak lain dan tidak bukan gara-gara sebuah berita dalam akhbar tabloid Sinar Harian diterbitkan pada 25 Jun 2007 iaitu hari pertama sidang DUN berkenaan,
Akhbar berkenaan melalui tajuk "Sidang DUN Kelantan Tegang" di muka 2 melaporkan, "Seperti biasa, sidang bermula, Annuar sebagai ketua pembangkang bangun mempersoalkan Dewan kenapa lima usul yang dikemukakan ditolak sewenang-wenangnya, sedangkan ia berkaitan dengan kepentingan rakyat dan perlu diselesaikan.
Menurut pemerhati politik, tindakan Dewan Kelantan menolak usul itu menyebabkan berlaku ketegangan antara pembangkang dengan barisan kerajaan negeri yang masing-masing bertikam lidah untuk mempertahankan hak."
Ini bermakna pembaca "seolah-olah" sudah mengetahui apa yang berlaku dalam sidang DUN kerana pembaca medapat berita berkenaan seawal 7.00pagi sedangkan DUN bermula hanya 9.00 pagi pada hari berkenaan.
Dengan kata lain, pembaca akhbar berkenaan pada pukul 7.00 pagi sudah membaca bahawa sidang DUN tegang gara-gara Annuar membantah tindakan Speaker menolak lima usul berkenaan.
Amatlah jelas pemberita Sinar Harian, secara berani dan begitu yakin melaporkan bahawa Annuar persoalkan usul BN ditolak dan suasana sidang DUN berkenaan tegang pada 25 Jun itu. Siapa tidak terkejut jika laporan pemberita berkenaan keluar lebih awal daripada peristiwa sebenar?
Dengan kata lain laporan yang sepatutnya berbentuk ramalan menjadi ‘satu kejadian yang benar belaka"
Jangan persalahkan pemimpin dan wakil rakyat Pas. Malah jangan juga persalahkan akhbar rasmi Pas, Harakah, 1-15 Julai 2007 apabila penulis rencana bertajuk Lakonan Annuar Musa malukan Mustapha" mengatakan: "Belum pernah dibuat orang apabila kemalangan jam 9.30 pagi tetapi berita mengenainya disebarkan akhbar seawall 7.00 pagi".
Memang wajar kalau mereka semua dan yang bersimpati dengan PAS marah. Saya sendiri tertanya-tanya, apa "game" yang cuba dimainkan oleh pemberita dan akhbar berkenaan?
Bagaimanapun, saya tidak pula nampak ada laporan seperti disebut dalam akhbar rasmi Pas, Harakah yang mengatakan "Annuar dilihat bangun mengetuai 21 anggota DUN BN yang lain keluar dewan pada sidang DUN berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi."
Memang benar Annuar melakukan tindakan demikian tetapi tiada dalam laporan Sinar Harian 25 Julai 2007 itu. Apakah laporan oleh Harakah ini sengaja memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan "menyerang Annuar"?
Penulisan Annual Bakri Haron bertajuk "Lakonan Annuar Musa malukan Mustapha" jelas ada fakta silap.
Saya tidak tahu bagaimana beliau boleh mengatakan Sinar Harian membuat laporan kononnya "Annuar cuma dilihat meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri pada jam 9.30pagi".
Di sini, nampaknya apa yang benar-benar berlaku pada pagi sidang pertama DUN kelantan yang tidak diramalkan oleh Sinar Harian tetapi Annual Bakri Haron dalam Harakah pula mengatakan Sinar Harian melaporkan demikian.
Kerana laporan-laporan silap oleh Sinar Harian ini, Annuar dan UMNO dituduh berkonspirasi jahat dengan akhbar berkenaan memburukkan kerajaan Islam (?) dan dengan ketentuan Allah, Tuhan sengaja dedahkan segala kerja jahat dan hati busuk pemimpin UMNO.
Persoalannya, benarkah Annuar dan UMNO melakukan demikian? Dan kedua, siapakah antara kita yang yang tahu Tuhan sengaja dedahkan kerja jahat?
Lagipun, wajarkah kita membabitkan Tuhan dalam soal ini?
Persoalan saya ialah apakah etika kewartawanan dan persuratkhabaran diamalkan pemberita dan dua akhbar berkenaan yang dengan berani meramal dan menyiarkanberita sedemikian dan yang satu lagi mengulas tanpa merujuk kepada berita sebenar?
Pemberita akhbar lain, selain Harakah, termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Bernama, The Star juga tahu bahawa lima usul akan dikemukakan. Ia berasaskan sidang media yang diadakan oleh Annuar beberapa hari sebelum itu.
Namun tiada siapa berani meramalkan "setepat" yang disiarkan oleh Sinar Harian.
Malah lebih buruk, hasil tersiarnya berita berkenaan pada pagi itu bermulalah tuduhan kononnya suatu perancangan teliti yang jahat antara Annuar dan pemberita berkenaan sudah diatur.
Apa lagi, Pas tidak memberi peluang langsung dan "merembat" Annuar habis-habisan malah sanggup melihatkan Tuhan dalam tuduhan itu.
Hakikatnya, kemarahan Pas jelas bukan sahaja kepada berita berkenaan.
Lebih menaikkan darah wakil rakyat PAS di sidang DUN berkenaan ialah setiap yang dilaporkan itu tepat dan benar belaka. Dengan kata lain setiap detik perkembangan persidangan ia bagaikan bergerak seperti dilaporkan.
Annuar sehingga hari ini tidak menafikan tuduhan Pas bahawa wujud perancangan teliti antaranya dengan pemberita berkenaan.
Malah Annuar juga tidak pun "menyerang" akhbar berkenaan yang membuat laporan yang menyebabkan dia tersepit antara kemarahan Pas dan laporan yang tidak beretika.
Tidak menjawab bukan bermakna Annuar bersalah tetapi mungkin Annuar menyerahkan kepada rakyat untuk memikirkannya.
Yang pasti kedua-dua akhbar berkenaan memang tidak beretika. Pemberita Sinar Harian menulis mendahului peristiwa dan laporan Harakah pula tidak memetik sumber dan sengaja selewengkan fakta.
Saya mengatakan tidak beretika kerana, kedua-duanya tidak sedikit pun merasa bersalah kepada Annuar dengan membuat laporan dan ulasan palsu sedemikian.
Saya mendekati orang yang rapat dengan Annuar dan mereka menafikan pemimpin mereka berbuat demikian.
Penyiaran berita yang mendahului peristiwa yang sepatutnya disiarkan berupaya berita ramalan yang menggunakan perkata seperti "dijangka keluar dewan" atau sebagainya itu tidak pernah dirancang atau dibincangkan bersama oleh Annuar dan Sinar Harian.
Sepanjang pengalaman saya yang tidaklah lama berbanding rakan lain yang lebih lama, kira-kira 25 tahun dalam bidang ini, inilah pertama kali saya membaca berita yang 100 peratus tepat dan mendahului masa.
Saya kira saya tidak akan bertemu lagi cara pemberitaan dan laporan seperti ini dalam mana-mana juga akhbar untuk tempoh satu atau dua dekad akan datang, jika dipanjangkan umur!
Lupakan Harakah kerana ai akhbar sebuah parti pembangkang tetapi sikap pemberita dan akhbar Sinar Harian yang ‘buat tidak tahu" ini bertentangan sekali dengan sikap mereka terhadap satu laporan lain beberapa hari selepas kejadian itu.
Ia lanjutan sebuah rencana dalam akhbar berkenaan bertajuk "Air: Rakyat Kecewa- Bahagian Pertama" di muka K18, 1 Julai 2007, menyebabkan ada ancaman daripada pihak-pihak tertentu yang terbabit dengan pengurusan air di Kelantan yang mahu menyaman akhbar berkenaan.
Yang anehnya, pemberita yang sama menulis berita yang mendahulu waktu itu dilaporkan bertemu dengan pihak-pihak yang dikatakan mahu menyaman akhbar berkenaan dan akur dengan kehendak pihak berkenaan.
Apakah kehendak mereka yang mengugut mahu menyaman akhbar berkenaan?
Bahagian kedua rencana berkenaan tidak lagi disiarkan dan menyiarkan jawapan kepada rencana bahagian pertama pertama.
Persoalannya, pada ketika pemberita dan akhbar berkenaan tidakpun meminta maaf dalam kes dengan Annuar tetapi dalam kes kedua, mereka bukan sahaja enggan menyiarkan rencana bahagian kedua, sebaliknya akur menyiarkan jawapan kepada rencana bahagian pertama.
Ironinya, perkara yang disebut dalam rencana yang menjadi kontoversi itu sudah disebutkan banyak kali oleh Annuar pada ceraman-ceramah UMNO secara terbuka, selain disebutkan di dalam sidang DUN itu, ketika mencelah mengemukakan pertanyaan ketika wakil BN membahaskan usul.
Malah,perkara yang disebutkan oleh Annuar itu pada saya hanya sebahagian kecil sahaja daripada apa yang mahu diucapkan oleh pembentang usul mengenai kedudukan semasa mengenai pentadbiran syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad yang tidak diluluskan oleh Speaker DUN berkenaan.
Jelaslah di sini, ada kebimbangan besar di kalangan wakil rakyat DUN atau Menteri Besar sendiri terhadap usul berkenaan jika dibenar untuk dibahaskan.
Tetapi saya yakin ‘bangkai gajah’ pastinya sukar untuk ditutup dan akan terbuka juga lambat laun, sama ada melalui laporan kepada Badan Pencegah Rasuah atau melalui ceramah-ceramah UMNO yang giat dijalankan sekarang.
Persoalannya, dalam kedua-dua kes ini, siapakah yang berkonspirasi, pemberita dengan Annuar atau akhbar berkenaan dengan pembangkang atau ia mempunyai agendanya sendiri?
Saya mengatakannya sedemikian kerana kenapa dengan meluluskan siaran berita "mendahulu waktu" itu, pemberita berkenaan terlepas begitu sahaja.
Malah jika mereka tersilap (memang tersilap pun), maaf hendaklah dipohon daripada Annuar dan tidak membiarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO itu diserang "empat penjuru oleh PAS".
Bagi saya jawapan ada pada akhbar dan pemberita berkenaan.
Pengajaran penting di sini ialah, walau sejauh mana wujud kepentingan peribadi atau perniagaan, etika perlu ditegakkan kerana jangan biarkan "kerana nila setitik rosak susu sebelanga".
Hakikatnya, bukan mudah menjadi pemberita dan bukan mudah menguruskan sebuah akhbar, walaupun ia sebuah akhbar untuk sebuah negeri sahaja.

Ikuti Bahagian Kedua yang akan menyusul…

Pesanan Semasa Mendengar Azan

Assalamualaikum
Untuk menambah ceriakan lagi blog ini atau dengan kata lain mempelbagaikan pengisiannya, saya akan masukkan emel-emel yang saya terima daripada rakan-rakan yang dikenali mahupun tidak dikenali untuk dimuatkan dalam blog ini. Ia tidak lain bagi tujuan pengongsian pengetahuan dengan pelayar-pelayar blog ini. Terima kasih.

Emel 1:
Alhamdulilah....baru saja terima peringatan dari seorang lagi hamba Allah.

Pesanan Semasa Mendengar Azan...
Cuba kita fikirkan.. mengenai ini.. renung-renunglah buat seketika..
Semasa di sekolah kita diajar utk menghormati Lagu Negaraku... yelah tak salah menghormati lagu negara kita.. sbb tanah air kita..
Laungan azan pun kena ambik kira fadhilatnya..Ingat memperingatilah sesama kita termasuk diri saya juga. Tahukah anda..
Sebenarnya azan yg berkumandang setiap kali masuk waktu sembahyang sentiasa berterusan dan bersambungan 24 jam tanpa henti-henti di seluruh dunia yang fana ini.
Subhanallah...! emel ini sedikit sebanyak menyedarkan ku betapa miskinnya diri ini mengenai ilmu Allah.
Apa yang menarik perhatian saya ialah serangkap ungkapan di bawah. Mari kita sesama renungkannya... Ada betul jugak apa yang nyatakan itu.

Pesanan Semasa Mendengar Azan...
Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. lidahnya kelu, keras dan hanya mimikmukanya yang menahan kesakitan ‘sakaratul maut’.
Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya." Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang.
Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya.
Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah.." yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini! tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.
"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah.." semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin.. amin.. amin Yarobbal a’lamin.."

WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W. kepada SAIDINA ALI R.A.;
Wahai Ali, bagi orang ‘ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wang RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tetapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket. 45 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk pertandingan bola sepak. Semua insan ingin memasuki syurga tetapi tidak ramai yang berfikir dan berbicara tentang bagaimana untuk memasukinya.
Sekian.

Musuh UMNO ialah UMNO bukan Pas

Hari ini (23hb November 2007 / Jumaat) saya menerima sekurang-kurangnya 30 panggilan. Semuanya daripada peminat kolum Suara Orang Kita (yang kini ditukar kepada Kita Kutir di muka surat K20). Saya minta maaf kepada pembaca semua. Kolum itu ditiadakan pada saat-saat akhir setelah pihak pengurusan mendapati tulisannya agak 'keras'. Saya akur dan saya minta maaf kepada pengurusan Sinar Harian. Apapun untuk pembaca, saya lampirkan tulisan Kita Kutir itu dalam ruangan blog saya.
Berikut adalah tulisan kolum saya yang sepatutnya disiarkan hari ini:-


Musuh UMNO ialah UMNO bukan Pas

Rata-rata tempat, termasuk kedai-kedai kopi kalau kita berada di situ, antara topik perbualan hangat daripada ‘ahli mesyuarat tingkap’ itu ialah mengenai pilihan raya umum. Mendengar setiap patah perkataan daripada perbualan atau perbincangan tidak formal itu seolah-olah mereka yang menentukan bila tarikh pilihan raya. Seolah-olah mereka yang menentukan siapa layak menjadi calon dan siapa tidak layak.
Budaya ini tidak pernah lupus daripada rencah kehidupan orang Melayu kita sejak negara bergelar Malaysia ini melaksanakan pilihan raya pertama pada tahun 1955. Tidak cukup secawan kopi, secawan kopi tongkat ali ditambah lagi bagi merancakkan sesi perbualan yang kemudian bertukar menjadi perbahasan.
Dalam perbahasan itu berlakulah perselisihan pendapat sehingga membawa kepada bermasam muka dan tidak lagi tegur menegur. Kemesraan mula hilang, persahabatan menjadi permusuhan, jiran tetangga tidak lagi dikunjungi dan wujudlah unsur tuduh menuduh, kafir mengkafirkan.
Ini bukan perkara baru. Ia akan tercetus setiap kali tiba musim pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Calon sama calon duduk semeja bergurau senda, rakyat sama rakyat bergaduh sesama sendiri di kampung. Wakil rakyat sama wakil rakyat berjabat tangan sambil berpeluk-pelukan, pengundi sama pengundi memutuskan silaturahim.
Sampai bila budaya ini akan terus terpapar dalam adat masyarakat Melayu? Adakah ia akan berakhir sekiranya ditakdirkan UMNO dan Pas bersatu? Tidak mungkin. Walaupun UMNO dan Pas bersatu sekali pun budaya berpecah sesama sendiri tidak dapat diselamatkan.
Ia seolah-olah menjadi darah daging bagi orang Melayu kita terutama masyarakat kampung dan mula diikuti oleh masyarakat desa serta bandar. Pada kita selagi ada warung kopi, selagi mereka berkumpul dan membicarakan isu politik, selagi itulah bibit perpecahan akan wujud.
Untuk membuktikan kata-kata ini, kita tidak perlu pergi jauh, tidak perlu menjadikan Israel-Palestin sebagai contoh, cukuplah dengan mengambil kisah-kisah yang berlaku dalam UMNO dan Pas, hatta mana-mana parti yang ada di negara ini sekalipun.
Contoh ketara ialah perpaduan dalam UMNO. Selain parti itu mempunyai musuh tradisi seperti Pas, Dap dan Parti Keadilan, UMNO juga mempunyai musuh yang besar iaitu sesama sendiri. Musuh ini lebih hebat dalam mencipta fitnah dan strategi untuk menjatuhkan kawan.
Sejarah politik Kelantan sendiri membuktikan, musuh dalaman akan melakukan apa sahaja untuk melihat rakan mereka kecundang. Mereka tidak mahu rakyat suka kepada rakannya. Mereka cuba memasukkan unsur hasutan supaya rakyat membenci rakan berkenaan.
Lebih-lebih lagi kalau mereka nampak rakan ini mempunyai peluang untuk menang sama ada dalam pertandingan peringkat bahagian (parti) atau pilihan raya. Mereka memperhebatkan propaganda supaya rakan ini jatuh tersungkur. Pada mereka lebih baik sama-sama jatuh (kalah) daripada memakan hati melihat rakan itu naik.
Senario ini yang berlaku hebat sekarang, yang mana ada bekas pemimpin peringkat bahagian dikatakan iri hati atau cemburu dengan kejayaan yang dilakukan rakannya. Dia tidak boleh naik dalam politik. Dia tidak boleh dibiarkan terus memimpin UMNO Bahagian itu kerana mempunyai kes yang boleh merosakkan imej parti. Sebab itu pucuk kepemimpinan menggugurkannya daripada bahagian pada akhir tahun 2003.
Dia kemudian diambil oleh pimpinan baru UMNO Kelantan untuk membantu pengurusan dan jentera parti. Dia dipungut bukan kerana pengaruh atau jasanya terhadap parti, tetapi diambil atas dasar belas kasihan semata-mata.
Tetapi bekas pemimpin ini ibarat seperti melepaskan anjing tersepit. Kalau dia tidak menggigit orang yang membantunya, dia akan mengganggu ketenteraman jiran. Jiran yang kita maksudkan ialah pemimpin-pemimpin yang diberi amanah untuk menjaga DUN masing-masing sehingga menjelangnya pilihan raya umum.
Itulah yang berlaku kepada seorang pemimpin DUN di sini. Pemimpin itu bertungkus lumus sejak tahun 2004 lagi untuk memantapkan jentera parti dengan merencana dan merangka pelbagai program serta aktiviti bagi memastikan rakyat memberi sokongan kepada BN. Tidak sedikit wang ringgit dihabiskan.
Malangnya, apabila kedudukan pemimpin itu dilihat sudah solid (kuat) dan ketika para pengundi luar mula berikrar mahu memberi sokongan kepada pemimpin berkenaan pada pilihan raya umum akan datang, tiba-tiba tercetus isu mendakwa pemimpin berkenaan giat mencuri pengundi luar.
Siapa yang memulakan isu itu? Ternyata ia bukan dicetuskan oleh Pas, Parti Keadilan mahupun DAP, tetapi daripada kalangan ahli UMNO itu sendiri.
Kenapa jadi begitu? Kerana dia masih berpegang kepada prinsipnya yang dulu-dulu bahawa UMNO dan BN Kelantan tidak boleh menang dalam pilihan raya umum.
Tanpa memikirkan penat lelah pucuk pimpinan UMNO Kelantan bekerja keras menyusun dan menguatkan parti untuk menumbangkan Pas, golongan parasit ini pula berusaha secara senyap-senyap untuk menggagalkannya. Kita tidak mahu menyalahkan parasit ini kerana memang tugasnya begitu, tetapi kita tertanya-tanya kenapa pucuk pimpinan boleh berminat mengambil parasit ini berada dalam pengurusan parti.
Mustahil pucuk pimpinan tidak mengenali ‘feel’ perangai bekas pemimpin berkenaan kerana rekod salah lakunya sentiasa ada dalam simpanan dan boleh dikaji pada bila-bila.
Ingatlah, selagi golongan parasit ini tidak dihapuskan dalam UMNO, jangan menaruh harapan tinggi untuk BN Kelantan menumbangkan Pas dan membentuk kerajaan pada tahun 2008.

Rabu, 21 November 2007

Pengalaman kerjaya


Assalamualaikum
Sebelum ini saya pernah mempunyai blogger. Tetapi kerana sibuk dengan kerja (ketika itu di Utusan Malaysia Kota Bharu) menyebabkan saya tidak dapat menguruskan blog itu. Akibat terlalu lama tidak diaktifkan, akhirnya ia diblokkan.

Kemudian pada Oktober 2006, saya dilamar oleh Karangkraf Sdn Bhd dan memulakan tugas sebagai Wartawan di akhbar Sinar Harian Kelantan pada 01hb Disember 2006. Dua bulan saya mengambil masa untuk berfikir termasuk melakukan solat Sunat Istiqarah sama ada perlu atau tidak saya berhijrah.

Akhirnya Allah membuka pintu hati saya dan saya menerima untuk bekerja dengan akhbar yang bermottokan "Suara Cakna, Komuniti Anda". Tiga bulan bekerja (Mac 2007) saya diberi tanggungjawab untuk menyunting bahan berita dan dilantik sebagai Penyunting.

Tiga bulan kemudian (Jun 2007) saya dinaikkan pangkat daripada Penyunting kepada Wartawan Kanan oleh pengurusan Karangkraf Sdn Bhd. Dengan itu tanggungjawab saya ialah mengetuai 13 Skuad Cakna di 10 jajahan dan tujuh wartawan di HQ Kota Bharu.

Tidak cukup dengan itu, pada 16 November 2007 saya sekali lagi berdepan dengan perubahan jawatan iaitu daripada Wartawan Kanan kepada Ketua Wartawan. Tanggungjawab saya semakin besar dan berat. Saya turut dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan penerimaan pembaca terhadap akhbar komuniti ini. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan berazam akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh pihak pengurusan.

Tentu pembaca tertanya-tanya kenapa saya mengaktifkan semula blog ini. Adakah dengan kenaikan pangkat itu bermakna saya mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada blog ini? Salah terkaan itu. Sebenarnya, saya semakin sibuk, malah nak melihat wajah anak-anak pun teramat sukar. Bukan itu sahaja masa off saya dua hari seminggu pun lesap begitu sahaja. Saya bekerja tujuh hari satu minggu dan menghabiskan masa antara 12 ke 18 jam sehari. Masuk pejabat waktu pagi, balik rumah lewat tengah malam.

Letih? Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi kerana tanggungjawab dan komitmen terhadap kerja, saya akur dan terus bekerja. Dalam bekerja, saya mempunyai pendirian dan prinsip, selain dalam menulis sesuatu artikel, saya tidak tersasar daripada melanggar etika kewartawanan. Walaupun sebelum ini ada tulisan saya dianggap berunsur fitnah dan diugut saman, tetapi Alhamdulillah berdasarkan fakta dan sikap profesional saya sebagai wartawan, saman itu dibatalkan.

Ini menunjukkan bahawa sebarang artikel yang saya hasilkan bukan berdasarkan perasaan atau keseronokan semata-mata, tetapi berasaskan kepada fakta. Sebagai contoh, artikel saya bertajuk "Krisis Tiga Abdul" yang saya tulis pada tahun 1999 telah mencetuskan kontroversi antara saya dengan Menteri Besar.

Laporan itu menyebabkan Menteri Besar melantik peguam dan menghantar surat saman. Saya menerimanya dengan hati terbuka. Satu tahun saya berdepan dengan proses saman, sehinggalah pada tahun berikutnya, dalam satu majlis Menteri Besar bersama perantau, beliau mengakui bahawa krisis itu memang wujud.

Keesokan harinya, semua surat khabar menyiarkan laporan bertajuk: "Tok Guru akui krisis dengan timbalannya". Pengakuan Menteri Besar dan laporan besar-besaran akhbar arus perdana meletakkan saya dalam keadaan selamat atau zon selesa. Sejak itu saya dimaklumkan Menteri Besar menarik balik samannya terhadap saya.

Pendirian dan prinsip saya ketika menulis adalah mutlak, "Saya menulis perkara yang benar". Pendirian dan prinsip itu saya bawa dalam hidup saya walaupun di mana saya bekerja. Apabila berada di Sinar Harian, saya diberi kolum untuk memuatkan tulisan berbaur teguran, sindiran, kritikan dan pandangan. Saya telah mengendalikan kolum "Sejambak Budi", "Analisis Berita", "Suara Orang Kita", dan terbaru "Kita Kutir". Malangnya (inilah kelemahan saya) saya tidak menyimpan tulisan itu.

Tabiat dan perangai saya ialah baca akhbar jam 9 pagi, jam 10 pagi akhbar itu diletakkan merata tempat. Saya tidak dianugerahkan sikap atau perangai mahu menyimpan. Itulah antara kelemahan ketara diri saya.

Melalui kolum dan tulisan itu jugalah saya dihentam, dikritik, ditegur dan disindir, dipuji, disanjung, disukai dan diminati. Majoriti yang menghentam, mengkritik, menegur dan menyindir saya ialah orang-orang politik. Dan majoriti pihak-pihak yang memuji, menyanjung, menyukai dan meminati kolum saya ialah golongan komuniti yang merasakan diri mereka teraniayai dan tidak ada pembelaan diberikan pemimpin politik sama ada Pas mahupun Umno.

Ada yang tegur melalui sms atau telefon dan tidak sedikit yang menghentam saya melalui blogger politik. Pada mulanya saya menganggap ia sebagai biasa dan akan mendewasakan saya dalam profesion kewartawanan, tetapi sebagai manusia, saya tidak terlepas daripada perasaan marah.

Kerana itulah saya meminta bantuan seorang kawan untuk mengaktifkan blog saya dan saya akan menggunakan ruangan ini untuk membela diri daripada hentaman puak-puak politik karut marut ni.

Saya kata karut marut kerana saya sudah lama berdepan dengan orang politik ni. Saya terlibat dalam dunia kewartawanan sejak tahun 1984 dan sehingga kini. Saya kenal sorang-sorang perangai, feel dan sikap orang politik. Saya bukan nak bual besar. Dan nama saya pun memang tidak asing pada mereka, walaupun kini saya cuba mengasingkan diri daripada mereka.

Kepada tetamu yang melayari laman ini, saya mohon berbanyak maaf kalau merasakan tulisan saya ini berbaur riak, ego dan sebagainya. Maaf.

Selamat Datang

Assalamualaikum
Terima kasih kepada tetamu yang telah memasuki blog ini. Diharapkan selepas kalian memasuki blog ini dan setelah meninjau, menatap, membaca dan melayang pandang setiap tulisan yang ada dalam blog ini akan melahirkan suatu keputusan yang hanya kalian sahaja yang tahu.

Sesungguhnya pengisian blog ini tidak dapat lari daripada mengandungi unsur-unsur politik. Ia penting bagi memberi ilmu, pendedahan, pengetahuan, pengajaran, kesedaran dan apa-apa saja yang berkaitan dengannya sama ada yang berlaku dalam negeri mahupun luar negeri.

Jika ada kekhilafan dalam blog ini saya terlebih dahulu memohon berbanyak maaf kerana "Apa yang buruk itu adalah dari saya, yang baik dan sempurna itu datang dari Allah."

Selamat melayari laman manzaidiamn.blogspot.com