Khamis, 28 Mei 2015

12 anggota polis ditahan berhubung kes kubur besar


KUALA LUMPUR – Seramai 12 anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan 139 kubur besar dan kecil serta 28 kem di Bukit Wang Kelian, Perlis, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lapan daripada anggota polis terbabit ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala empat lagi anggotanya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau memberi jaminan siasatan mengenai kes penemuan kubur dan kem pemerdagangan manusia akan dibuat secara menyeluruh, tanpa mengira pangkat.

"Siasatan tidak hanya tertumpu kepada penglibatan anggota polis malah renjer hutan.

"Saya tak kira siapa dia, apa pangkat dia, asalkan ada bukti-bukti yang menunjukkan pengli­batan mereka dalam penyeludupan manusia ke dalam Malaysia, kita (kerajaan) akan ambil tindakan.

"Tidak ada benda yang kita selindungkan... saya juga telah minta pegawai yang menyelidik ini dari Bukit Aman yang kita boleh harapkan, bersama dengan SPRM," katanya ketika menggulung usul mengenai penemuan kawasan perkuburan besar di Perlis.

Usul itu dikemukakan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Alor Setar) yang antaranya ingin mengetahui bagaimana kem pemerdagangan dan kubur berkenaan baru ditemui tanpa penge­tahuan kerajaan selama ini.

Wan Junaidi berkata, polis telah mengambil langkah awal selepas menerima maklumat berhubung cubaan menyeludup masuk pendatang secara besar-besaran terutama dari Myanmar ke Malaysia melalui perairan dan daratan khususnya dari kawasan utara negara.

Beliau berkata, polis telah mengadakan tiga operasi khas dikenali Ops Pintas yang bermula pada Januari 2014 dan berjaya menahan seramai 290 pendatang tanpa izin selain 43 anggota sindiket yang terdiri daripada ejen, tekong atau transporter (pengangkut) melibatkan warga Malaysia dan warganegara asing.

"Hasil operasi telah menyebabkan migran yang berada di sempadan gagal bolos masuk dan terpaksa berlindung di khemah-khemah sementara yang dibina oleh sindiket dalam hutan di sempadan untuk menunggu peluang seludup ma­suk ke dalam negara," katanya.

Mengenai bagai­mana pihak ber­kuasa tidak dapat mengesan khemah tersebut dengan lebih awal, Wan Junaidi berkata, kedudukan khemah yang terletak di kawasan bukit yang curam dan sukar dikesan antara faktor utama petempatan itu gagal dikesan lebih awal.

"Keadaan bentuk muka bumi begitu rupa dan kawasan terpencil, pihak ber­kuasa tidak menjangka terdapat se­barang aktiviti manusia di kawasan berkenaan." katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Wan Junaidi menafikan dakwaan bahawa pelarian yang ditahan di Kem Belantek di Sik, Kedah tidak mendapat layanan serta bekalan makanan yang secukupnya.

"Esok saya akan melawat sendiri dan membawa bekalan makanan yang bernilai lebih RM60,000 hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Malaysia yang prihatin dan peka dengan orang dalam tahanan,” katanya. – BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/parlimen/12-anggota-polis-ditahan-berhubung-kes-kubur-besar-1.96646#sthash.ATYDVJuV.dpuf

Tiada ulasan: