Jumaat, 29 Mei 2015

Kenapa 1MDB membayar AS$1.6 bilion kepada syarikat Jho Low?

Jho-Low_arul-kanda_300

Laman web pemberi maklumat, Sarawak Report, kini mahu presiden 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy menjelaskan transaksi firma itu dengan Good Star Limited, sebuah syarikat yang dikuasai ahli perniagaan Low Taek Jho, selepas beliau menafikan memberikan kenyataan palsu kepada Bank Negara hari ini.

Dalam satu kenyataan, Sarawak Report berkata, ia mempunyai bukti yang penyata bank palsu digunakan bagi menyokong dakwaan yang terdapat wang tunai di dalam akaun dana pelaburan negara itu di dalam Bank BSI Singapura.

Putrajaya berkata baru-baru ini, wang yang ditebus dari Kepulauan Cayman sebenarnya aset dalam bentuk dolar Amerika Syarikat di Bank BSI.

"Memandangkan Kandasamy sekarang bersedia menjawab beberapa butiran periferal berhubung laporan kami, mungkin beliau juga akan tampil dengan penjelasan dan penerangan mengenai fakta penting perkara itu, iaitu kenapa 1MDB membayar AS$1.6 bilion kepada Good Star Limited?” soal Sarawak Report.

Laman itu juga menuduh Arul, yang juga pengarah eksekutif kumpulan 1MDB, menghantar melalui faks penyata bank palsu kepada Bank BSI di Singapura.

"Jika Encik Kandasamy tidak melaporkan perkara ini kepada Bank Negara, mengapa dia tidak melaporkannya? soal Sarawak Report.

Terdahulu hari ini, Arul berkata Sarawak Report berbohong mengenai 1MDB membekalkan maklumat palsu dan dakwaan tidak berasas langsung” mengenai penyata bank syarikat itu.

"Ini satu pembohongan. Saya tidak pernah memberi sebarang kenyataan begitu kepada Bank Negara. Untuk menyatakan sebaliknya adalah terang-terangan palsu dan tidak betul, begitu juga apa-apa dakwaan yang berdasarkan premis ini."

Katanya, 1MDB bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung akaunnya dan memberi jaminan, siasatan yang dijalankan akan memberi jawapan kepada soalan mengenai urus niaga dan hutang syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Tiada ulasan: