Khamis, 21 Mei 2015

RMK11: RMK11 Untuk Malaysia Yang Lebih Baik Bagi Rakyat Malaysia Dibentangkan

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Razak mengambil masa lebih sejam membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) hari ini, yang jelas menunjukkan beliau hanya mempunyai satu matlamat - demi kepentingan dan kesejahteraan kira-kira 30 juta rakyat Malaysia.

Mesej yang beliau sampaikan menunjukkan keazaman perdana menteri untuk meletakkan rakyat Malaysia pada kedudukan lebih baik tatkala negara memasuki fasa pembangunan lima tahun yang terakhir sebelum mencapai status negara maju menjelang 2020.

Ucapan Najib yang ditunggu-tunggu di Dewan Rakyat, disiarkan secara langsung, dipenuhi dengan pelbagai inisiatif, dengan penekanan terhadap pendidikan dan inovasi untuk negara terus maju sepanjang tempoh 2016-2020 bagi memastikan rakyat Malaysia setaraf dengan rakyat di negara-negara maju.

Dalam RMK11 yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan RM260 bilion, Najib menggariskan banyak projek infrastruktur yang akan dilaksanakan, dan teras perancangan itu berobjektif menyediakan rakyat bagi maksud menjadi warganegara sebuah negara maju.
Apa yang dihasratkan pentadbiran Najib digariskan dalam RMK11 bertemakan - 'Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat' - pelan strategik yang membuka laluan kepada Malaysia untuk melakar kejayaan pada masa depan selaras dengan kehendak rakyat dan apa sepatutnya menjadi hak mereka.

Kata Najib, dokumen RMK11 juga merupakan kesinambungan Dasar Transformasi Nasional yang dirangka sebagai satu peta hala tuju negara, dengan tujuan mentransformasi Malaysia secara tuntas dan holistik.

"Ringkasnya, kita mahu mencapai satu bentuk kecapan kemakmuran dan kejayaan negara kepada seluruh rakyat di mana tidak ada mana-mana golongan pun yang akan berasa tercicir atau terpinggir," katanya.

RMK11 akan dilaksanakan berasaskan enam teras strategi dan enam pemacu perubahan serta peruntukan yang diperlukan bagi mencapai matlamat sebuah negara maju dan inklusif pada 2020.

Enam strategi tersebut ialah inklusiviti, kesejahteraan rakyat, modal insan, pertumbuhan hijau, infrastruktur serta inovasi dan produktiviti.

Enam pemacu perubahan yang digariskan untuk memastikan kejayaan kesemua strategi itu ialah meningkatkan produktiviti, menjana kekayaan melalui inovasi, mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah, menteraskan pendidikan dan latihan teknikal (TVET), melaksana pertumbuhan hijau dan melabur di bandar-bandar berdaya saing. Najib berkata bagi menjamin seluruh rakyat dapat menikmati manfaat kemakmuran dan pembangunan negara, kerajaan melalui strategi inklusiviti antaranya menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan purata isi rumah golongan berpendapatan 40 peratus rendah (B40) daripada RM2,500 kepada RM5,000 pada 2020.

Bagi menangani kos sara hidup golongan itu yang kini sekitar 2.7 juta isi rumah pula, inisiatif seperti Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia akan terus dilaksanakan.

Kerajaan juga meletakkan sasaran meningkatkan saiz masyarakat kelas menengah daripada 40 peratus sekarang kepada 45 peratus menjelang 2020.

Dalam usaha memperkasa komuniti untuk membina masyarakat yang produktif dan sejahtera, RMK11 turut menumpukan kadar penglibatan tenaga kerja wanita dengan menyasarkan peningkatan daripada 54 peratus pada 2014 kepada 59 peratus menjelang 2020.

Najib seterusnya berkata potensi golongan belia akan ditingkatkan melalui pelbagai program pengupayaan, pendidikan dan latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan.

Selain itu, fasiliti untuk warga emas akan ditambah baik sepanjang tempoh rancangan itu dan bagi golongan orang kurang upaya, kerajaan akan memperkukuh kesejahteraan mereka dengan memperluaskan lagi peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan kepada mereka.

Dalam pada itu, pengumuman Najib bahawa kerajaan akan meningkatkan penyediaan prasarana asas luar bandar seperti jalan raya terutama di Sabah dan Sarawak disambut hangat anggota dewan, khususnya anggota Parlimen daripada kedua-dua negeri itu.

Menurut Najib, di bawah RMK11 kerajaan akan membina 3,000 kilometer lagi jalan berturap di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020 dan akses kepada bekalan air dan elektrik di seluruh negara akan dipertingkat kepada 99 peratus pada 2020.

Turut diumumkan bekalan air bersih dan terawat yang bernilai RM10 bilion akan diluluskan melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar, dan lebih RM3 bilion lagi turut diluluskan untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar.

"Ini akan memberi impak kepada hampir 40,000 rumah," katanya disambut tepukan anggota Parlimen yang hadir.

Turut menarik perhatian pada perbentangan RMK11 ialah perancangan kerajaan untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan.

Ini termasuk pembinaan enam hospital baharu dan 165 Klinik 1Malaysia di seluruh negara selain meningkatkan nisbah doktor dengan penduduk, kepada seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.

Bagi meneruskan agenda pemilikan perumahan rakyat, sejumlah 653,000 unit rumah lagi akan dibina oleh pelbagai pihak.

Selain itu, satu program baharu akan dilaksana bertujuan membaik pulih 400,000 rumah di kampung dan luar bandar melibatkan peruntukan RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap rumah.

Dalam aspek pembangunan modal insan, RMK11 menyasarkan untuk mewujudkan sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu serta memperkenalkan Indeks Gaji Nasional sebagai petunjuk dan penanda aras kepada majikan dalam menetapkan gaji yang setimpal dengan produktiviti, kemahiran, kelayakan dan kepakaran pekerja. Kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk Tabung Pembangunan Kemahiran bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendapat pendidikan berbentuk kemahiran dan vokasional.

"Melalui program ini, lepasan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berpeluang mendapat pekerjaan dengan kadar pendapatan, nilai tambah yang tinggi dalam sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan penerbangan, perkapalan serta automotif," kata perdana menteri.

Dalam pembentangan itu, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan menarik perhatian bahawa dalam membuat segala perancangan, lebih utama adalah perlu wujudnya kesefahaman nasional tentang hala tuju negara pasca 2020.

Beliau berkata ini perlu bagi membolehkan perencanaan dibuat dalam meneruskan momentum pertumbuhan dan rentak perjalanan negara ini supaya tidak tersasar. - BERNAMA

Tiada ulasan: