PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak
membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) yang akan menjadi landasan
hala tuju pembangunan lima tahun negara, di Dewan Rakyat, pagi ini. - Foto
Yazit Razali
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, wa bihi Nastai'n Selawat dan Salam kepada Rasul
Junjungan, Nabi Muhammad SAW, suri tauladan sepanjang zaman.
Tuan Yang Dipertua,
Saya dengan penuh ta'zim berdiri dalam Dewan yang
mulia ini, untuk mengemukakan satu usul:
Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran
pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan
Malaysia Kesepuluh; merestui usaha Kerajaan untuk meneruskan Dasar Transformasi
Nasional atau DTN dalam merangka dan merencana Rancangan Malaysia ke 11
seterusnya; meluluskan pelaksanaannya bertunjangkan falsafah Dasar Transformasi
Nasional dalam ikhtiar menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, menurut
Kertas Perintah 23 Tahun 2015; dan Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia
Ke-11, Dewan yang mulia ini menyeru agar semua pihak bersama-sama dan berusaha
menjayakan matlamatnya.
Tuan Yang Dipertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat,
1. Beberapa hari yang lalu, kita baru sahaja
meninggalkan bulan Rejab. Hari ini pula, Khamis 21 Mei, jatuhnya bersamaan 3
Syaaban 1436 Hijrah, pada salah satu bulan yang mulia, sampailah masa dan ketika
yang ditetapkan oleh Allah SWT, bahawa, sebuah lagi dokumen penting lagi
bersejarah akan dipersembahkan.
2. Sepertimana tercatat dalam kitab suci Al-Quran,
Surah Ali-Imran Ayat 26 dan Ayat 54. Mafhumnya, naik turun atau jatuh bangun
sesebuah kerajaan itu adalah dalam rahsia dan kekuasaan penuh Pemilik semesta
raya, bukannya di tangan makhluk.
3. Begitulah juga, kemampuan manusia merancang,
amat terbatas, kerana sebaik-baik Perancang adalah Tuhan seru sekalian alam.
Tuan Yang Dipertua,
4. Menyusur titian masa, semenjak tahun 1971 hingga
1990, kita telah melalui Dasar Ekonomi Baru atau DEB, dipelopori oleh
Allahyarham Tun Abdul Razak, yang mengutamakan pembasmian kemiskinan dan
penyusunan semula masyarakat.
5. Di mana ketika itu, untuk mencapai sasaran sosio
ekonomi yang lebih saksama, sebagai satu cara mewujudkan keharmonian dan
perpaduan dalam negara, yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan
agama.
6. Kemudiannya, bermula tahun 1991, sampai kepada
tahun 2000, diperkenalkan pula, oleh Tun Dr. Mahathir, Dasar Pembangunan
Nasional yang berfokuskan pembangunan seimbang dan membawa kepada lahirnya
Wawasan 2020.
7. Dalam pada itu, Dasar Wawasan Negara
dilaksanakan, melewati tahun 2001 hingga 2010. Dasar ini pula, memberi
penekanan kepada pembangunan masyarakat berasaskan pengetahuan dan mewujudkan
bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif lagi makmur, menuju negara maju
menjelang 2020.
8. Selanjutnya, dalam episod-episod bersilih ganti,
diperkukuhkan lagi dengan beberapa gagasan dan misi nasional oleh Allahyarham
Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tuan Yang Dipertua,
9. Sebelum itu, elok saya menjelaskan kepada
Ahli-Ahli Yang Berhormat, khususnya, dan rakyat dikasihi di luar sana, tentang
pelbagai dokumen yang dibentangkan oleh pihak Kerajaan, sama ada dalam parlimen
atau, di majlis-majlis rasmi.
10. Pertamanya, saban tahun, dalam dewan yang mulia
ini, Kerajaan usulkan bajet-bajet negara, yang diselaraskan oleh Kementerian
Kewangan.
11. Manakala, kira-kira 3 minggu yang lepas, di
Angkasapuri, saya telah menyampaikan Laporan Tahunan, merangkumi Program
Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.
12. Dokumen itu pula, diseliakan oleh pasukan
PEMANDU, bersama kementerian-kementerian dan agensi yang berkaitan.
13. Rancangan Malaysia ini pula, ianya di bawah
kelolaan Unit Perancang Ekonomi atau EPU. Untuk pengetahuan ramai, semenjak
Unit ini ditubuhkan pada tahun 1961, tugas utamanya adalah untuk menyediakan
Rancangan pembangunan negara.
14. Jadinya, jika dihimbau semenjak 5 dekad lalu, melalui
10 rancangan Malaysia, Kerajaan Barisan Nasional telah menempa dan mencipta
pelbagai ceritera kejayaan yang dapat diperbanggakan.
15. Ini bermakna, Alhamdulillah, negara bertuah ini
telah mencapai kemajuan yang dikagumi, dan terus berada di jajaran yang betul
serta kukuh.
Tuan Yang Dipertua,
16. Di sinilah, satu hal yang perlu difahami
baik-baik, bahawa, kesemua dasar dan wawasan,... setiap satu rancangan,...
adalah tali temali, saling kait berkait dan lengkap melengkapi antara satu sama
lain secara konsisten sejak puluhan tahun yang lalu.
17. Ertinya,... adalah tidak benar, jika sesetengah
pihak menuduh kononnya, dasar Kerajaan hari ini terpisah daripada dasar-dasar
yang sebelumnya.
18. Dalam konteks ini, ingin saya tegaskan bahawa,
segala perancangan,... gagasan dan dasar Kerajaan Perikatan, membawa kepada
Barisan Nasional,... sejak meraih kemerdekaan,... bawah pimpinan Tunku Abdul
Rahman ketika itu,... hinggalah kini, kita terus berkesinambungan dan
beristiqamah pada landasan dan menuju matlamat yang sama.
19. Jelasnya,... bertitik tolak dari Rancangan
Malaysia Pertama yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Parti Perikatan selepas
Pilihanraya Umum Malaysia yang pertama tahun 1964, sehinggalah Rancangan
Malaysia Kesepuluh, kita telah mampu memperoleh pelbagai nikmat kejayaan.
Tuan Yang Dipertua,
20. Antara 10 pencapaian dan kisah yang boleh
diperbanggakan sepanjang sepuluh Rancangan Malaysia yang lalu adalah,...
Pertamanya,... pada tahun 1970 nilai KDNK adalah 71.1 bilion ringgit,
berbanding pada tahun 2014, ia telah meningkat kepada 1.1 trilion ringgit.
21. Malaysia juga boleh berbangga, kerana telah
berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi, antara yang tertinggi di Asia, yakni
secara purata pada kadar 6.2 peratus setahun sejak lima dekad yang lalu.
22. Kedua, dari sudut struktur ekonomi, kita telah
beralih daripada sebuah negara dominan sektor pertanian, dengan sumbangan 31.8
peratus kepada KDNK pada tahun 1970, kepada sebuah negara berasaskan pembuatan
dan perkhidmatan, dengan sumbangan pada kadar 76.5 peratus kepada KDNK. Walhal,
sektor pertanian telah menguncup kepada paras 9.2 peratus pada tahun lepas.
23. Ketiga, pendapatan bulanan purata isi rumah,
juga meningkat lebih 20 kali ganda. Yakni, daripada 264 ringgit sebulan pada
tahun 1970 kepada 6,141 ringgit sebulan pada tahun 2014. Manakala, pendapatan
penengah atau median income sebulan pada tahun 1970 daripada 166 ringgit, telah
meningkat kepada 4,585 ringgit sebulan tahun lalu.
24. Keempat, setakat RMK-10, sebanyak 76.1 peratus
daripada isi rumah keseluruhan sudah memiliki kediaman. Bagi isi rumah miskin
pula, 75.3 peratus telah berjaya mempunyai rumah sendiri.
25. Kelima, sehingga kini, 95.1 peratus daripada
penduduk di seluruh negara, telah mendapat akses kepada bekalan air bersih, dan
97.6 peratus pula, mendapat bekalan elektrik.
26. Keenam, jika pada tahun 1970, hanya 75 peratus
rakyat Malaysia boleh membaca dan menulis. Syukurlah, hal ini, kadar literasi
telah meningkat kepada 98 peratus.
27. Ketujuh, sebanyak 27 peratus daripada tenaga
buruh kini mempunyai pendidikan tertiari, iaitu meningkat empat kali ganda
berbanding 6 peratus pada tahun 1980 ketika penghujung Rancangan Malaysia
Ketiga.
28. Kelapan, kadar pengangguran telah menurun
daripada 7.4 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 2.9 peratus pada 2014.
29. Kesembilan, hak milik ekuiti Bumiputera dalam
sektor korporat pula, telah meningkat sebanyak 10 kali ganda, yakni, daripada
2.4 peratus pada tahun 1970, kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.
30. Dan kesepuluhnya, kadar kemiskinan telah
berkurang daripada 49.3 peratus pada tahun 1970, kepada hanya 0.6 peratus pada
2014 yang lalu. Jadinya, bersyukur kita bahawa, kemiskinan tegar telah berjaya
dibasmikan.
Tuan Yang Dipertua,
31. Sebermulanya saya mengambil tampuk kepimpinan
negara pada 3 April 2009, Kerajaan telah melakarkan Dasar Transformasi
Nasional, sebagai falsafah teras kepada pentadbiran negara dihitung dari tahun
2011 sehingga 2020.
32. Dasar Transformasi Nasional ini, dirangka
sebagai satu peta halatuju negara, dengan tujuan mentransformasi Malaysia
secara tuntas dan holistik, demi melonjakkan kita sebagai sebuah negara maju,
High Income Advanced Economy.
33. Ia berasaskan kriteria-kriteria antaranya,
untuk mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with
equity, kompetitif, progresif, rakyat yang bersahsiah dan morally strong, dalam
satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu, mengamalkan pula kesederhanaan
yakni wasatiyyah, berpaksikan kepada prinsip 1Malaysia.
34. Ringkasnya, kita mahu mencapai satu bentuk
kecapan kemakmuran dan kejayaan negara kepada seluruh rakyat, di mana tidak ada
mana-mana golongan pun yang akan berasa tercicir atau terpinggir.
Tuan Yang Dipertua,
35. Di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional
inilah, lahirnya setakat ini 6 program. Program Transformasi Kerajaan, Program
Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Politik, Program Transformasi
Komuniti, Program Transformasi Sosial dan Program Transformasi Fiskal. Hari
ini, satu lagi kertas mustahak, akan saya sampaikan, yakni Rancangan Malaysia Kesebelas.
36. Berhubung rapat dengan falsafah tunjang Dasar
Transformasi Nasional yang saya takrifkan sebentar tadi pula, sebelum saya
meneruskan dengan pembentangan, moleklah diberi gambaran, bagaimanakah yang
dikatakan rupa wajah sebuah Malaysia yang maju itu kelak, pabila tiba
penghujungnya Rancangan Malaysia Kesebelas ini.
37. Sebagaimana kita perlu faham, Rancangan
Malaysia Kesebelas ini merupakan pelonjak akhir sebelum kita memasuki
gelanggang negara maju. Pada waktu itu, kita seharusnya telah mencapai beberapa
perkara seperti:
38. Pendapatan Negara Kasar per Kapita telah
mencecah 15 ribu dolar Amerika. Dari piawaian antarabangsa, nilai ini telah
menepati tahap pendapatan sebagai negara maju. Walaupun demikian, sesebuah
negara maju tidak boleh hanya didefinasikan dari sudut pendapatan per kapita.
39. Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu
membangunkan sebuah tamadun holistik, di mana masyarakatnya memiliki
nilai-nilai tinggi, berakhlak, mencintai pula ilmu pengetahuan, rajin membaca,
menghargai seni budaya dan warisan serta memiliki minda yang mencerminkan pula
rakyat sebuah negara maju.
Tuan Yang Dipertua,
40. Makanya, melangkah ke hadapan, buat julung kali
setelah menerima mandat daripada rakyat secara demokrasi pada pilihanraya umum
ke-13 yang lalu, dengan kehendak dan izin yang Maha Berkuasa, saya bentangkan
di sini, Rancangan Malaysia Kesebelas dengan Enam Strategi Tumpuan : Pertama :
Inklusiviti; Kedua : Kesejahteraan Rakyat; Ketiga : Modal Insan; Keempat :
Pertumbuhan Hijau; Kelima : Infrastruktur; dan Keenam : Inovasi dan
Produktiviti
41. Bagi mempastikan Enam Strategi Tumpuan RMK-11
ini berjaya mencapai matlamatnya, game changers berikut, akan dilaksanakan
sebagai pemangkin ke arah lonjakan yang signifikan bagi menjana pertumbuhan
ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif. Pertama :
Meningkatkan Produktiviti; Kedua : Menjana Kekayaan Melalui Inovasi; Ketiga :
Mempertingkat peratusan masyarakat kelas menengah; Keempat : Menteraskan
Pendidikan dan Latihan Teknikal atau TVET; Kelima : Melaksana Pertumbuhan
Hijau; dan Keenam : Melabur di Bandar-bandar Berdaya Saing.
Tuan Yang Dipertua,
42. Merujuk strategi tumpuan inklusiviti, Kerajaan
akan berikhtiar bersungguh-sungguh agar tiada golongan rakyat yang akan
tercicir daripada menikmati manfaat kemakmuran dan pembangunan negara.
43. Adalah hakikat, di dunia ini, bagaimana maju
pun sesebuah negara itu seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun,
there will always be vulnerable groups, mereka yang berpendapatan
rendah,...golongan gelandangan dan yang tidak mempunyai pekerjaan.
44. Selain daripada itu, Malaysia akan terus
menangani golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah yakni Bottom 40
percent, atau selepas ini saya akan sebut sebagai B40. Untuk makluman, menurut
perangkaan, golongan B40 ini, kini adalah sekitar 2.7 juta isi rumah.
45. Oleh yang demikian, dalam tempoh Rancangan ini,
Kerajaan mensasarkan pendapatan purata isi rumah B40 meningkat daripada lebih
kurang 2,500 ringgit sebulan pada tahun 2014 kepada lebih 5 ribu ringgit
sebulan pada tahun 2020 kelak. Ke arah ini, Kerajaan akan mengambil usaha-usaha
yang intensif antaranya merapatkan jurang pencapaian pendidikan dan kemahiran
serta meningkatkan produktiviti.
46. Bahkan, kadar pekali Gini negara dijangka
semakin mengecil daripada 0.401 pada tahun 2014, kepada 0.385 pada tahun 2020.
Untuk makluman semua, dari sudut ekonomi, lebih kecil nilai pekali Gini,
bererti kita makin berada dalam keadaan lebih baik, dengan pengagihan
pendapatan yang lebih saksama di kalangan rakyat.
47. Bagi menangani kos sara hidup isi rumah B40
ini, inisiatif-inisiatif seperti Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Kedai
Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia dan Kedai Agrobazaar Rakyat 1Malaysia
akan terus dilaksanakan. Pelbagai lagi inisiatif baru akan dibuat dan
diperkenalkan sepanjang tempoh Rancangan ini.
48. Pendapatan isi rumah B40 juga dapat
dipertingkatkan melalui pendidikan dan kemahiran tinggi. Bagi yang berminat
untuk berniaga pula, program sokongan keusahawanan akan ditambah baik
khususnya, perusahaan mikro dan kecil.
49. Di samping itu, saya menyeru dan mahukan sektor
swasta, terutamanya syarikat multinasional dan syarikat besar tempatan, supaya
menyumbang kepada pembangunan golongan ini dengan cara menempatkan premis
perniagaan atau kilang-kilang mereka, di kawasan majoriti penduduk B40.
50. Seperkara lagi, masyarakat kelas menengah
seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan, dapat ditingkatkan saiznya daripada 40
peratus sekarang, kepada 45 peratus bila tibanya tahun 2020.
Tuan Yang Dipertua,
51. Dalam hal memperkasa komuniti untuk membina
masyarakat yang produktif dan sejahtera, tentulah tumpuan akan diberikan kepada
kanak-kanak, belia, warga emas, wanita dan kaum majoriti Bumiputera.
52. Bagi golongan wanita, peranan mereka bukan
sahaja terhad kepada pembentukan keluarga yang bahagia tetapi juga menyumbang
kepada kemajuan sosioekonomi.
53. Kadar penglibatan tenaga kerja wanita akan
meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2014, kepada 59 peratus menjelang
2020.
54. Kerajaan juga akan terus melaksanakan dasar
yang menentukan pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan
pada kadar 30 peratus di sektor awam dan swasta.
55. Kepada golongan belia pula, yang menjadi
harapan dan aset penting negara, dengan Dasar Belia Negara yang baru, Kerajaan
mahukan potensi mereka dicapai sepenuhnya melalui pengupayaan, pendidikan dan
latihan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kesukarelawan.
56. Ke arah ini, seperti mana dalam Bajet 2015 yang
lalu, Kerajaan telah mengumumkan cadangan pelaksanaan tiga projek perintis bagi
1Malaysia Youth City, iaitu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan peruntukan
sebanyak 100 juta ringgit.
57. Di bawah RMK-11 pula, 1Malaysia Youth City akan
mempunyai ekosistem komprehensif, bagi membolehkan belia meningkatkan keupayaan
dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan di samping menikmati
kemudahan rekreasi, perumahan, termasuklah rumah transit.
58. Bagi golongan kanak-kanak pula, pusat penjagaan
kanak-kanak berkeperluan khas akan diperbanyak. Sementara itu, bagi yang
berumur 13 hingga bawah 18 tahun, dan tinggal di institusi kebajikan akan
diberi peluang untuk mendapat pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional
atau TVET.
59. Selanjutnya, sumbangan dan khidmat bakti yang
telah ditabur oleh warga emas kepada negara ini akan senantiasa dihargai.
Justeru, sebagai masyarakat penyayang dan prihatin, fasiliti penjagaan warga
emas akan ditambah baik dan diperbanyakkan dari masa ke semasa sepanjang tempoh
Rancangan ini.
60. Seterusnya, bagi golongan orang kurang upaya,
Kerajaan akan memperkukuh kesejahteraan mereka dengan memperluaskan lagi
peluang pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan kepada mereka.
61. Melalui Rancangan ini, Kerajaan dengan
kerjasama sektor swasta mensasarkan penambahan 7 lagi pusat kehidupan berdikari
baharu di seluruh negara, yang akan memberi manfaat kepada sejumlah hampir 11
ribu OKU.
62. Kerajaan juga komited mencapai sasaran
penyertaan OKU untuk mengisi lebih 16 ribu jawatan dalam sektor awam melalui
pertimbangan khas. Kini, seramai hampir 4 ribu OKU sedang berkhidmat dalam
sektor awam.
Tuan Yang Dipertua,
63. Selaras dengan konsep inklusiviti, bagi
mempastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia
tanpa mengira gender, etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi,
tumpuan turut diberikan kepada semua kumpulan etnik, sub-etnik dan kumpulan
minoriti hatta rakyat Malaysia berketurunan Siam dan Portugis.
64. Antaranya, Program Skim Pinjaman Khas Kampung
Baru Cina akan diteruskan dengan menumpukan kepada pinjaman mikro kredit.
65. Bagi masyarakat India pula, satu Blueprint yang
menggariskan hala tuju pembangunan sosioekonomi mereka akan disediakan.
66. Untuk Orang Asli dan Bumiputera di Sabah serta
Sarawak, tumpuan akan diberikan kepada pemberian hak milik tanah adat atau NCR
bagi menggalakkan pembangunan tanah dengan teknologi moden melalui agensi
kerajaan berkaitan.
67. Kepada masyarakat Melayu di perkampungan
tradisi terutama nelayan dan petani serta isi rumah yang bekerja sendiri, akan
disediakan kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan termasuk memodenkan
aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka.
Tuan Yang Dipertua,
68. Bercakap tentang pembangunan bandar dan luar
bandar secara saling melengkapi, penyediaan prasarana asas luar bandar seperti
jalanraya akan diteruskan, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
69. Kerajaan akan membina 3 ribu kilometer jalan
berturap lagi di luar bandar bagi tempoh 2016 sehingga 2020. Akses kepada
bekalan air dan elektrik di seluruh negara pula, akan dipertingkatkan kepada 99
peratus pada tahun 2020.
70. Bagi bekalan air bersih dan terawat melalui
Projek Bekalan Air Luar Bandar pula, sukacita dinyatakan, lebih 10 bilion
ringgit akan diluluskan.
71. Manakala, lebih 3 bilion ringgit lagi, turut
diluluskan untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar. Ini,... akan memberi
impak kepada hampir 40 ribu rumah.
Tuan Yang Dipertua,
72. Dari aspek pembangunan ekonomi wilayah, dalam
tempoh 2011 sehingga 2014, lima koridor, iaitu Iskandar Malaysia, Koridor
Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor
Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak, telah berjaya menarik pelaburan komited
sebanyak 307 bilion ringgit, dengan 57 peratus atau 175 bilion ringgit
pelaburan. Jumlah pelaburan ini, menjana sebanyak lebih 427 ribu peluang
pekerjaan.
73. Maka, untuk RMK-11 ini, Kerajaan mensasarkan
sebanyak 236 bilion ringgit pelaburan dan mewujudkan sebanyak 470 ribu
pekerjaan lagi di kelima-lima koridor wilayah tersebut.
Tuan Yang Dipertua,
74. Berhubung hal pembangunan ekonomi wilayah juga,
sukacita saya umumkan,... Kerajaan akan mewujudkan Malaysia Vision Valley.
75. Malaysia Vision Valley ini yang terletak di
bahagian barat Negeri Sembilan, meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson
dengan cadangan kawasan seluas 108 ribu hektar.
76. Sebagai makluman, Malaysia Vision Valley ini
merupakan satu lagi projek pembangunan bersepadu baharu, meliputi beberapa
kluster strategik yang bertujuan untuk melengkapi pembangunan di Lembah Klang,
khususnya di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Tuan Yang Dipertua,
77. Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pula, akan terus
menjadi agenda nasional. Peratus Bumiputera kepada populasi negara kini, adalah
68 peratus berbanding 62 peratus 25 tahun yang lalu.
78. Maka dengan itu, inisiatif-inisiatif bagi
Bumiputera bukan sekadar harus, tetapi wajib dilaksanakan. Kerajaan akan tetap
memperjuangkan dasar-dasar Bumiputera, tetapi mestilah berasaskan meritokrasi
sesama Bumiputera.
79. Seterusnya, ucapan Agenda Pemerkasaan Ekonomi
Bumiputera yang dilancarkan pada 2013, kita komited dan berazam sepenuhnya,
untuk mensasarkan kadar 30 peratus Pemilikan Ekuiti Bumiputera, berjaya dicapai
menjelang 2020 nanti. Insya-Allah.
80. Seterusnya lagi, untuk meningkatkan pemilikan
ekuiti korporat Bumiputera, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa, pengeluaran
wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk melabur dalam Amanah
Saham Bumiputera 2 akan dilancarkan, tertakluk kepada syarat penabungan minima.
Tuan Yang Dipertua,
81. Kesejahteraan rakyat adalah segala-galanya. Apa
ertinya kemajuan tanpa sentosa dan bahagia mendatangi kehidupan.
82. Oleh itu, di bawah RMK-11 ini, tahap kesihatan
rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Ke arah itu,
antara inisiatifnya, bilangan katil di kedua-dua hospital awam dan swasta akan
ditingkatkan sebanyak 25 peratus kepada 73 ribu katil pada tahun 2020.
83. Sasaran ini akan dicapai antaranya, menerusi
pembinaan 6 hospital baru di Kemaman, Bentong, Baling, Pendang, Pasir Gudang
dan Maran. Manakala, 2 buah hospital di Sabah iaitu Hospital Tawau dan Hospital
Kota Marudu serta Hospital Miri di Sarawak akan dinaiktaraf. Selain pembinaan
hospital baru, Kerajaan juga sedang giat menyiapkan hospital di Sri Aman,
Sarawak.
84. Di samping itu, bagi menambahbaik akses kepada
penjagaan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar, sebanyak 165 buah
Klinik 1Malaysia akan dibina dengan kos sebanyak 33 juta ringgit.
85. Pada masa yang sama, lebih ramai pakar
perubatan dan kakitangan kesihatan yang berkemahiran tinggi akan disediakan.
Matlamat Rancangan ini, menjelang tahun 2020, nisbah doktor kepada penduduk
dijangka meningkat kepada seorang doktor bagi setiap 400 penduduk.
86. Dalam perkara ini, sekalipun World Health
Organization atau WHO, tidak menetapkan apa-apa nisbah khusus, namun sekadar
perbandingan dan makluman, Ahli-Ahli Yang Berhormat, nisbah doktor kepada
populasi kita kalau nak dibandingkan dengan negara Singapura 1 kepada 502,
manakala di United Kingdom adalah 1 kepada 358. Ini adalah satu hal yang sungguh
positif.
87. Bahkan, selain daripada perkhidmatan kesihatan
awam kita yang hampir percuma, yakni bayaran hanya seringgit jika kita ke
Hospital Kerajaan dan Klinik 1 Malaysia,...bagi rawatan pesakit luar.
88. Secara keseluruhannya lagi, WHO telah mengiktiraf
bahawa, sistem perkhidmatan kesihatan di negara ini adalah antara yang terbaik
di rantau Pasifik Barat.
89. Meskipun begitu, kita perakui hakikat bahawa
kita masih perlu menangani kekurangan pakar-pakar perubatan khususnya, di
kawasan-kawasan luar bandar.
Tuan Yang Dipertua,
90. Rumah tempat tinggal, dan bumbung tempat
berlindung dari panas dan hujan, adalah antara 3 keperluan asas kehidupan
kepada semua.
91. Seiring ini, bagi meneruskan agenda pemilikan
perumahan rakyat, semenjak 2013, Kerajaan mensasarkan untuk membina 1 juta
rumah mampu milik untuk rakyat.
92. Jadinya, bagi merealisasikan sasaran tersebut,
pembinaan perumahan mampu milik kepada rakyat dibuat melalui kerjasama antara
kerajaan negeri dan sektor swasta antaranya, menerusi program PR1MA, Perumahan
Penjawat Awam 1Malaysia, Projek Perumahan Rakyat dan Rumah Mesra Rakyat
1Malaysia.
93. Daripada jumlah 1 juta unit rumah yang
dihasratkan tersebut, sebanyak 182 ribu unit rumah dijangka dapat disiapkan
sepenuhnya pada akhir tahun 2015. Di samping itu, kira-kira lebih 23 ribu unit
telah disediakan oleh kerajaan negeri dan FELDA.
94. Jikalau, dalam tempoh RMK-10, sekitar 74,300
unit rumah mampu milik telah dibina oleh sektor swasta di pelbagai negeri, di
bawah RMK-11 pula, sejumlah 653 ribu unit rumah lagi akan dibina juga oleh
pelbagai pihak.
Tuan Yang Dipertua,
95. Sebagai satu program baru lagi, yang akan
mengubah wajah rumah-rumah di kampung dan luar bandar, sukacita saya
mengumumkan bahawa, satu program baik-pulih secara besar-besaran melibatkan
sebanyak 400,000 rumah dalam tempoh Rancangan. Sebanyak 5,000 ringgit hingga
10,000 ringgit akan diperuntukkan kepada setiap rumah. Tuan Yang Dipertua,
96. Sememangnya bidang sukan merupakan medium
perpaduan yang sangat diminati dan popular di kalangan rakyat. Oleh itu,
Kerajaan akan menggalakkan bidang ini demi melahirkan atlet-atlet jagoan dan
bertaraf dunia seperti Dato' Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Sazali Abdul
Samad dan Pandelela Rinong.
97. Lantaran itu, bagi melahirkan lebih ramai atlet
yang cemerlang, di bawah RMK-11, Universiti Malaya dipilih untuk menumpukan
kecemerlangan dalam sukan badminton, manakala Universiti Teknologi MARA akan
menumpukan kepada kecemerlangan sukan bola sepak.
98. Di samping itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar
Dahari, di Gambang Pahang, yang telah dilancarkan pada tahun 2014 akan terus
diperhebat demi mempastikan pembangunan pemain, kejurulatihan, kemudahan dan
pertandingan secara berterusan, dilaksanakan pada peringkat usia muda.
Tuan Yang Dipertua,
99. Kemajuan juga bererti berkembangnya kesenian,
kebudayaan dan ketamadunan. Sebab itulah, RMK-11 turut mementingkan golongan
karyawan dan penggiat seni tanahair.
100. Untuk itu, aktiviti kesenian akan dipergiat
dengan menaik taraf Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan atau ASWARA,
daripada tahap akademi kepada status universiti dalam usaha menghasilkan
penggiat seni dan budayawan yang berkaliber. Sehubungan itu juga, industri
kreatif akan terus dipergalakkan.
Tuan Yang Dipertua,
101. Modal insan adalah sumber terpenting kepada
pembangunan negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada
kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah.
102. Berhubung ini, sukalah saya maklumkan, melalui
RMK-11 ini sejumlah 1.5 juta peluang pekerjaan baharu, bakal diwujudkan.
103. Antara langkah yang akan diambil ialah,
menambah baik produktiviti buruh dan gaji, serta mempertingkatkan kecekapan
operasi pasaran buruh.
104. Selanjutnya, pada akhir tempoh RMK-11 kelak,
Kerajaan mensasarkan peningkatan produktiviti buruh pada kadar purata 3.7
peratus setahun, berbanding 2.6 peratus setahun pada RMK-10.
105. Dalam Rancangan ini, Kerajaan juga mensasarkan
agihan pampasan pekerja kepada KDNK meningkat kepada 40 peratus, berbanding
dengan 34 peratus pada tahun 2013. Maksudnya, jika sesebuah syarikat menjana 10
ribu ringgit, agihan yang diberikan kepada pekerja adalah secara puratanya 4
ribu ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
106. Merujuk kepentingan dan kebajikan warga kerja,
Kerajaan akan memperkenalkan Indeks Gaji Nasional sebagai petunjuk dan penanda
aras kepada majikan dalam menetapkan gaji yang setimpal dengan produktiviti,
kemahiran, kelayakan dan kepakaran pekerja.
107. Dalam pada itu, paras Gaji Minimum akan terus
dikaji secara berkala berasaskan persetujuan tripartite, yakni pihak Kerajaan,
majikan dan kesatuan pekerja.
Tuan Yang Dipertua,
108. Realitinya lagi, dalam menuju negara maju,
kita memerlukan lebih ramai pekerja yang berkemahiran tinggi. Oleh sebab itu,
Kerajaan mahu supaya lebih ramai pelajar yang mendapat pendidikan berbentuk
kemahiran dan vokasional dilatih dan dilahirkan, yang jumlahnya kini hanya 25
peratus daripada tenaga kerja.
109. Rancangan ini bermatlamat melonjakkan
jumlahnya kepada 35 peratus, supaya dapat beriring dengan graduan akademik dan
profesional.
110. Sebab itulah, dalam mengatasi dan mendepani
keperluan ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET akan
diperkasakan.
111. Ke arah ini, sukacita saya mengumumkan antara
lain, 1 bilion ringgit akan diperuntukkan kepada Tabung Pembangunan Kemahiran,
berbanding 500 juta ringgit pada tempoh Rancangan yang lalu.
112. Melalui program ini, lepasan TVET berpeluang
untuk mendapat pekerjaan dengan kadar pendapatan nilai tambah yang tinggi dalam
sektor-sektor seperti minyak dan gas, kejuruteraan penerbangan, perkapalan
serta automotif.
113. Selain itu, Program Sistem Latihan Dual
Nasional disesuaikan daripada model latihan TVET di negara Jerman yang 70
peratus kandungan latihan adalah berorientasikan apprenticeship. Ianya dijangka
meningkatkan jumlah pelatihnya daripada 164 ribu kepada 225 ribu pelatih pada
tahun 2020.
114. Sehubungan ini, bagi menggalakkan penglibatan
sektor swasta dalam program apprenticeship ini, Kerajaan bercadang memberi
insentif berbentuk geran dan pengecualian cukai pendapatan.
Tuan Yang Dipertua,
115. Laginya, dalam ikhtiar meningkatkan kualiti
penyampaian pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sedang
dilaksanakan dengan rapi.
116. Daya saing sesebuah negara bergantung kepada
penguasaan kita dalam pendidikan STEM atau Science, Technology, Engineering and
Mathematics. Begitu juga, pentingnya penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dan
bahasa kebangsaan sebagai pengukuhan jati diri rakyat Malaysia.
117. Di samping itu, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
serta pendidikan agama dan moral adalah di antara subjek yang perlu diberi
keutamaan.
Tuan Yang Dipertua,
118. Seperkara yang mustahak lagi, ingin saya
nyatakan kepada Dewan yang mulia, dalam tempoh Rancangan,... kadar penyertaan
murid dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah akan disasarkan
kepada 100 peratus enrolmennya menjelang 2020.
119. Untuk pendidikan rendah dan menengah juga,
sejumlah sekurang-kurangnya 80 buah sekolah baru akan dibina di seluruh negara
dalam tempoh 2 tahun pertama semasa Rancangan, meliputi antaranya 2 buah di
Perlis, 2 buah di Melaka, 5 buah di Sabah dan 5 buah lagi di Sarawak.
120. Ini tidak termasuk sebagai contoh, dua buah
Maktab Rendah Sains MARA yang akan dibina di Sik, Kedah dan Tanah Merah,
Kelantan, serta sebuah sekolah menengah yang majoritinya Orang Asli di Sungai
Siput, Perak yang sudah hampir siap binaannya.
121. Manakala, beberapa buah Sekolah Berasrama
Penuh akan dibina, seperti di Keningau, Sabah dan Manjung, Perak.
122. Menyentuh pendidikan tinggi pula, Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) merupakan antara
strategi utama RMK-11.
123. Langkah ini dijangka dapat menyokong
pencapaian sasaran 80 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam
bulan selepas menamatkan pengajian.
Tuan Yang Dipertua,
124. Berbicara tentang pertumbuhan hijau, pada
Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Copenhagen 2009, Malaysia telah dengan secara
sukarela mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau
Greenhouse Gas daripada KDNK, sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020.
125. Sehingga akhir tahun 2013, Malaysia telah
berjaya mengurangkan sebanyak 33 peratus intensiti pelepasan Greenhouse Gas
daripada KDNK, hasil daripada pelaksanaan langkah mitigasi.
126. Di sudut ini juga, senario global warming yang
berlaku di seluruh dunia telah mengakibatkan pelbagai bencana alam seperti
banjir, hakisan pantai dan tanah runtuh. Ini telah menjejaskan aktiviti ekonomi
serta punca pendapatan dan keselamatan rakyat.
127. Selain itu, untuk projek Rancangan Tebatan
Banjir atau RTB, antaranya, Kerajaan akan melaksanakan RTB Sungai Kelantan
secara bersepadu melalui pembinaan empangan Nenggiri dan Lebir.
128. Projek-projek lain termasuklah RTB Sungai
Kuantan, Pahang, Sungai Moyog di Sabah, Sungai Perak dan Sungai Kemaman di
Terengganu.
Tuan Yang Dipertua,
129. Pembangunan infrastruktur adalah tulang
belakang dalam melonjakkan kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.
130. Rancangan ini menarik perhatian kepada
antaranya beberapa pembangunan infrastruktur yang akan memberi impak tertinggi
dalam mencapai status negara maju. Ini, termasuklah pembinaan lebuhraya,
kemudahan MRT dan LRT, loji janakuasa elektrik, loji rawatan air, dan inisiatif
jalur lebar berkelajuan tinggi.
131. Bagi pembangunan rangkaian jalan raya, Lebuh
Raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer yang sedang dibina, akan meningkatkan
hubung-jalin di Sabah dan Sarawak.
132. Manakala, Central Spine Road, yang
menghubungkan Kuala Krai ke Simpang Pelangai Pahang dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala
Krai akan menambah-baik hubung-jalin di Semenanjung Malaysia dan memangkin
pertumbuhan di wilayah pantai timur.
133. Kemudiannya lagi, Lebuh Raya Pantai Barat yang
dijangka siap pada tahun 2019, akan menyediakan akses yang lebih baik kepada
penduduk pantai barat di Perak dan Selangor. 134. Juga, Projek Landasan
Berkembar Gemas-Johor Bahru dengan jarak 197 kilometer akan dilaksanakan.
Tuan Yang Dipertua,
135. Bagi pengangkutan awam juga, suka saya
kongsikan, pembinaan Klang Valley Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh ke
Kajang, Laluan Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya dan LRT3, kesemuanya akan
berlangsung dalam RMK-11.
136. Pembinaan High Speed Rail juga untuk makluman
Tuan Yang Dipertua, yang akan menjajari Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, hingga
ke Jurong East di Singapura, akan dilaksanakan.
137. Kemudahan ini bakal mempercepatkan perjalanan
KL ke Singapura, pada hanya 90 minit. Setelah siapnya projek ini kelak, akan
meningkatkan manfaat ekonomi antara kedua-dua buah negara yang paling pesat
membangun di rantau ini.
Tuan Yang Dipertua,
138. Berkait perkhidmatan jalur lebar pula,
Kerajaan akan meningkatkan liputannya secara menyeluruh, melalui Inisiatif
Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi atau HSBB2, dan Inisiatif Jalur Lebar Pinggir
Bandar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
139. Dengan ini, sukacita dimaklumkan, menjelang
2020, semua isi rumah di ibu negeri dan kawasan pertumbuhan berimpak tinggi,
akan mendapatkan akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan 100 megabit sesaat.
140. Manakala, saudara-saudara kita di kawasan
pinggir bandar dan luar bandar pula akan dapat akses perkhidmatan jalur lebar
20 megabit sesaat...dalam kata lain, lagi laju daripada rumah kita sekarang
ini.
Tuan Yang Dipertua,
141. Seterusnya, loji-loji janakuasa elektrik
baharu untuk menjana 7,626 Megawatt kuasa elektrik akan dibina. Antaranya
adalah 3 buah projek loji janakuasa elektrik arang batu di Johor, Perak dan
Negeri Sembilan serta 2 buah projek loji janakuasa elektrik gas di Pulau Pinang
dan Johor.
142. Ini semua, dengan anggaran jumlah kos
pelaburan sebanyak 28 bilion ringgit dan akan mewujudkan lebih kurang 35,000
jumlah peluang pekerjaan baharu. Tuan Yang Dipertua,
143. Loji Rawatan Air Langat 2 pula adalah penting
bagi menjamin bekalan air yang berterusan. Margin rizab bagi Selangor dan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada masa sekarang adalah lebih kurang 4
peratus.
144. Bagi mempastikan margin rizab di antara 10
hingga 15 peratus seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara, pelaksanaan ini perlu disegerakan. Kelewatan pelaksanaan projek ini
akan menyebabkan integriti bekalan air dan kesejahteraan rakyat Selangor serta
Lembah Kelang terjejas.
Tuan Yang Dipertua,
145. Di sudut lain, perkhidmatan pembetungan
bersambung pula disasarkan meningkat daripada 63 peratus kepada 80 peratus di
bandar utama. Oleh itu, Projek Loji Rawatan Serantau dan Rangkaian Paip
Pembetungan di Kinta Barat, Papan, Perak,... akan dibina dengan anggaran kos
berjumlah 2 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
146. Berhubung sumber gas asli, medan gas yang
sedia ada, khususnya di Semenanjung Malaysia semakin matang. Dari itu,
kemudahan pengimportan gas asli perlu ditambah untuk memenuhi permintaan gas
asli pada masa hadapan.
147. Lantasnya, Terminal Regasifikasi 2 sedang
dibina di Pengerang, Johor sebagai tambahan kepada Terminal Regasifikasi 1 di
Melaka, yang mula beroperasi pada tahun 2013.
148. Selain itu, pembangunan Kompleks Bersepadu
Petroleum Pengerang akan terus dilaksanakan dengan pelaburan sebanyak 53 bilion
ringgit pada 2016.
149. Selain daripada itu, projek infra utama yang
akan dilaksanakan dalam Rancangan ini, termasuklah pembinaan lapangan terbang
Mukah dan Lawas di Sarawak, pembesaran lapangan terbang Kota Bharu dan
penambahbaikan Pelabuhan Kuantan. Terminal Padang Besar juga akan dinaiktaraf
dalam merancakkan lagi kendalian kargo dari Selatan Thailand untuk dieksport
melalui Pelabuhan Klang.
Tuan Yang Dipertua,
150. Seterusnya, kajian empirikal membuktikan
bahawa wujudnya korelasi yang kuat antara inovasi dan produktiviti. Survival
dan berjayanya sesebuah organisasi atau negara itu, sangat bergantung kepada
penekanan terhadap dua perkara ini.
151. Justeru, untuk sentiasa kekal mendepani kelok
kemajuan, Malaysia akan terus membudayakan inovasi yang membawa kepada
peningkatan produktiviti dalam semua peringkat, sama ada di peringkat nasional,
industri mahupun perusahaan.
152. Sehubungan itu, satu Blueprint Produktiviti
Nasional akan digubal bagi menggariskan hala tuju serta merangka tindakan
komprehensif lagi spesifik dalam memacu produktiviti. Bagi maksud ini, Majlis
Produktiviti Nasional akan diwujudkan.
153. Salah satu langkah untuk meningkatkan
produktiviti, Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan akan ditubuhkan untuk
menyelaras, dan memantau pelaksanaan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi
Perdagangan.
154. Sektor industri pengangkutan dan penyimpanan
dijangka berupaya mewujudkan sejumlah 146 ribu peluang pekerjaan baharu
berkemahiran tinggi kepada rakyat.
155. Dalam usaha meningkatkan tahap inovasi negara
lagi, Kerajaan akan turut mengambil pendekatan yang pelbagai. Umpamanya,
peralihan daripada pendekatan secara Government-centric kepada pendekatan
keseluruhan masyarakat dan memberi peluang kepada penglibatan organisasi
berasaskan komuniti.
156. Selaras itu, kerjasama penyelidikan antara
Kerajaan, industri dan ahli akademik akan terus diperkemas. Salah satu contoh
sedia ada adalah, seperti Steinbeis Malaysia Foundation, SIRIM-Fraunhofer dan
Jaringan Penyelidikan Awam Swasta yang ditubuhkan bagi meningkatkan
pengkomersialan hasil penyelidikan.
157. Makanya, menjelang tahun 2020, pengkomersialan
output R&D disasar meningkat kepada 10 peratus berbanding 5 peratus pada
tahun 2013.
Tuan Yang Dipertua,
158. Melalui Rancangan ini juga, sektor-sektor
utama seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perusahaan kecil dan
sederhana, akan terus dipastikan signifikasi sumbangannya kepada KDNK negara.
159. Dalam sektor perkhidmatan, antara industri
yang akan digalakkan adalah kewangan Islam, ICT, minyak dan gas, penjagaan
kesihatan swasta, pendidikan tinggi swasta, pelancongan dan industri Halal.
160. Pada tahun ini, Blueprint Sektor Perkhidmatan
yang mempunyai 29 pelan tindakan, mensasarkan peningkatan produktiviti buruh
dari 68,111 ringgit pada tahun 2015, kepada 83,411 ringgit menjelang tahun
2020. Sektor ini, Insya-Allah, dijangka menyumbang sebanyak 55.3 peratus kepada
KDNK.
161. Bagi sektor pembuatan pula, akan dipacu oleh
beberapa subsektor pemangkin iaitu kimia, elektrik dan elektronik, mesin dan
peralatan, peranti perubatan serta aeroangkasa. Yang penting, sektor ini akan
membuka 2.8 juta lagi peluang pekerjaan.
162. Seterusnya, bagi merancakkan pertumbuhan
eksport baru-baru ini, Majlis Eksport Negara telah ditubuhkan. Majlis ini
bertanggungjawab bagi menggalakkan pertumbuhan eksport termasuk meningkatkan
ekosistem eksport dengan menaik taraf infrastruktur, meningkatkan aktiviti
dalam rantaian nilai, memaksimumkan peluang perdagangan terutamanya dengan
negara-negara ASEAN dalam jangkamasa pendek dan sederhana.
Tuan Yang Dipertua,
163. Jika negara perlu melakukan inovasi,
bandar-bandar utama kita juga perlu melakukan inovasinya supaya kekal relevan.
Kini, bandaraya-bandaraya besar dunia, bukan hanya berlumba-lumba mencari
pelaburan, tetapi ia menjadi persaingan bakat-bakat terbaik dunia untuk
mentransformasikan bandar-bandar ini dan seterusnya negara mereka.
164. Jika dahulu, kalau berbicara tentang negara
China, hanya bandar Beijing dan Shanghai diperkatakan. Namun kebelakangan ini,
bandar-bandar lain di negara China seperti Shenzhen atau Guangzhou, menjadi
sebutan di persada dunia.
165. Justeru, bagi meningkatkan daya saing negara,
bandar-bandar Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu telah
dikenal pasti untuk melonjak pertumbuhan ekonomi. Bandar-bandar ini akan
merangka pelan induk persaingan masing-masing supaya selaras dengan aspirasi
negara di bawah RMK-11.
Tuan Yang Dipertua,
166. Sesungguhnya, kita sentiasa menghargai jasa
dan khidmat kakitangan awam dan anggota keselamatan. Untuk itu, dalam Rancangan
ini, Kerajaan akan terus menjamin kebajikan mereka seperti pembangunan kerjaya,
skim perkhidmatan dan perumahan dari masa ke semasa.
167. Di samping itu, penyampaian perkhidmatan awam
kepada rakyat akan terus dimantapkan dari segi kepantasan khidmat, kecekapan
dan integriti.
Tuan Yang Dipertua,
168. Bagi keseluruhan pelaksanaan Rancangan
Malaysia Kesebelas ini, Kerajaan akan menyediakan siling peruntukan
perbelanjaan pembangunan sebanyak 260 bilion ringgit sepanjang tempoh 2016
hingga 2020.
PENUTUP
Tuan Yang Dipertua,
169. Seandai dan sekira diqabul dan diperkenankan
oleh Allah jua, realitinya, dalam pada kita menongkah separuh jalan Rancangan
ini, tinggal hanya setahun dua saja lagi, era yang disebut sebagai beyond 2020.
170. Meskipun dengan segala perencanaan yang kita
perbuat ini, gambaran dan warna Malaysia pasca 2020 nanti, adalah amat penting
untuk dijiwai suasana dan keadaannya kala itu. Barulah kita dapat berfirasat
dalam meneruskan momentum pertumbuhan dan rentak perjalanan, sebuah kelana
negara ini supaya tidak tersasar.
171. Ini bermaksud, bayangan dan corak Malaysia
contohnya, pada tahun 2030, antaranya, jumlah penduduk mencecah kira-kira 36
juta, kadar urbanisasi meningkat kepada 80 peratus, KDNK sebanyak 2.6 trilion
ringgit, KDNK per kapita pula melebihi 117 ribu ringgit dan perdagangan dunia
dijangka menjangkau 44 trilion dolar Amerika.
172. Yang terlebih utama, kita mahu adalah,
wujudnya National Consensus atau Kesefahaman Nasional tentang halatuju negara
pasca 2020.
173. Berbalik dan berpasak kepada pelbagai prakarsa
atau inisiatif besar, selama bertahun-tahun ini, seperti bajet 2015, telah
dirangka atas keseimbangan antara capital economy dan people economy.
174. Tatkala, berdepan dengan ketidak tentuan harga
minyak dan kemelut ekonomi global, pada awal tahun ini pula, kerajaan tanpa
berlengah telah membuat pengumuman khas, untuk mengambil langkah-langkah
proaktif mengubah polisi-polisi bagi mempastikan negara kekal berada di
trajektori dan landasan yang betul lagi tepat.
175. Ini membuktikan, Kerajaan Barisan Nasional
adalah sebuah Kerajaan yang pragmatik dan sistematik dalam menyusun dan
mencartakan apa jua kepentingan rakyat,... sekalipun dalam banyak hal, kita
telah berbuat sehabis baik begini-begini,... namun,... ditohmahnya pula oleh
orang, begitu-begitu,.....
Tuan Yang Dipertua,
176. Dalam hal lain,... apabila Kerajaan dengan
ikhlasnya pulak,... memutuskan supaya subsidi pukal diganti dengan subsidi
bersasar agar bantuan dapat diberi terus kepada golongan yang sangat memerlukan
melalui BR1M,... tiba-tiba,... dituduh dan diperkata pulak,... sekian-sekian.
Tuan Yang Dipertua,
177. Berkenaan GST, umum berpendapat ia adalah baik
untuk negara. Namun, setelah mendengar rungutan dan hingga berlakunya
kekeliruan kepada rakyat, kita perakui sistem ini, mengambil masa bagi proses
pelaksanaannya yang lebih efisien dan memuaskan semua pihak.
178. Sehubungan ini, saya nak nyatakan dalam Dewan
Yang Mulia, rakyat sekalian janganlah gundah dan runsing,... kerana,... pihak
Kerajaan akan memaklumkan tentang hasil kutipan GST ini, ke arah mana
perbelanjaannya.
179. Kerana itu,... pagi ini,... saya bagi pihak
Kerajaan yang menepati janji, ingin menegaskan bahawa,... kita akan mempastikan
hasil GST akan diperuntukkan kembali kepada manfaat dan keperluan rakyat
keseluruhannya.
Tuan Yang Dipertua,
180. Walaupun, mutakhir ini, pelbagai dugaan dan
rintangan dihadapkan, saya dan pihak Kerajaan memilih hanya SATU jalan, iaitu
terus melangkah ke hadapan dan sekali-kali tidak akan berbalik haluan.
181. Ternyata, benarlah kata-kata para alim dan
pujangga, hidup ini sememangnya adalah sebuah perjuangan, laksana lautan yang
jarang tenang. Sekali ombak naik, sekali ombak turun. Pergantian musim hujan
dan musim panas, adakala masa susah dan adakala masa senang.
182. Justeru,... saya menyeru kepada rakan-rakan
yang setia,... sekiranya kita bersabar,... seandainya kita terus kukuhkan
kepercayaan,... juga keyakinan di dada,... bertawakal kepada yang Maha
Kuasa,... kelak... akan terbentanglah jalan keluar dan kemenangan buat kita.
183. Begitulah, kita wajib menghitung doa dan
berharap bahawa Rancangan Malaysia Kesebelas ini, akan disokong dan memanfaati
semua lapisan.
184. Tak kiralah,... Pak Tani di kebun, Pesawah di
bendang, para nelayan, golongan kolar biru dan putih, ahli-ahli korporat
mahupun cendekiawan.
185. Hatta, kepada saudara-saudari kita,... di
seberang sana, saya mengajak agar sama-sama mendokong usaha murni Kerajaan
untuk menjulang Malaysia gagah dan megah di persada antarabangsa.
Tuan Yang Dipertua,
186. Sesungguhnya, perjuangan ini adalah perjuangan
yang murni, demi bangsa Malaysia dan pertiwi. Sememangnya jua, beban dan amanah
yang sedang digalas ini, adalah berat dan memerlukan jiwa-jiwa besar serta
kekuatan dari segenap penjuru. Barulah sebuah negara bangsa yang maju dan
berjaya dapat dijelmakan.
187. Pucuk pangkalnya, janganlah dipersiakan, apa
yang sudah kita secara susah payah raih dan kecapi. Jauh sekali meruntuhkannya,
nauzubillah,... kelak menyesal tidak berguna lagi,....
188. Lantas, marilah kita merenung bait-bait lagu
Kebangsaan, "Negaraku, .... Tanah Tumpahnya Darahku,... Rakyat Hidup
Bersatu dan Maju..." Itulah tema,... itulah rahsia,... kecemerlangan kita
selama ini.
189. Disimpulkan kalam,... Ya Ilahi,... Ya
Robbi,... satukanlah hati-hati kami,... berkatilah perjuangan ini,... seraya
kita maktub dan keramatkan rancangan Malaysia Kesebelas ini.
Tuan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
190. Pastinya,...pastinya... setiap satu amal dan
setiap satu usaha kita semua,... akan dipersaksi oleh masa dan dihakimi oleh
waktu....
191. Bak kata orang dulu-dulu,... Yang benar tetap
benar,.... Buktinya kelak jadi sejarah.
Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan