10 MEI: Tiga duta yang terselamat dalam nahas helikopter di
Pakistan, kelmarin menceritakan saat menakutkan sebelum helikopter itu
hilang kawalan dan terhempas menyebabkan tujuh penumpang lain,
terkorban.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, yang
mengalami kecederaan dalam nahas itu, menceritakan perjalanan pada
awalnya lancar dan rombongan itu dijangka mendarat di destinasi mereka
di rantau utara Gilgit-Baltistan.
“Hanya lagi beberapa minit untuk tiba, helikopter secara tiba-tiba berpusing laju dan kemudian dengan pantas terhempas ke tanah.
“Saya melihat juruterbang terbunuh, sesetengah yang lain maut
serta-merta dan saya berada di tengah. Tidak lama kemudian beberapa
penumpang juga berjaya menyelamatkan diri, namun kebakaran amat marak
dan asap dengan cepat memenuhi bahagian dalam helikopter,” katanya.
Helikopter itu adalah satu daripada tiga yang membawa delegasi
diplomat untuk memeriksa projek pelancongan dalam lawatan tiga hari ke
rantau itu.
Mereka juga dijadualkan bertemu Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif.
Tragedi itu turut mengorbankan isteri Hasrul Sani, Datin Habibah Mahmud.
Taliban Pakistan sebelum ini mendakwa menembak helikopter berkenaan
dengan peluru berpandu darat ke udara dengan harapan membunuh Sharif.
Tentera Udara Pakistan (PAF) menolak dakwaan itu dan menyatakan nahas
itu adalah satu kemalangan dan bukan akibat tindakan keganasan.
Duta Argentina, Rodolfo Martin Saravia, yang turut terselamat dalam
kemalangan itu berkata, beliau yakin dakwaan Taliban Pakistan itu tidak
benar sebaliknya nahas itu berlaku akibat kegagalan teknikal helikopter.
Duta Belanda, Marcel de Vink yang mengalami lecur di kaki dan muka
berkata, beliau berasa “amat bertuah” masih hidup selepas apa yang
disaksikannya.
“Saya teringat kami berpusing banyak kali dan perlu bersiap sedia
untuk berhadapan sebarang kemungkinan. Selepas itu, saya membuka mata
dan melihat asap serta letupan. Kejadian berlaku amat pantas, saya
berasa amat bertuah kerana terselamat,” katanya seperti yang dimaklumkan
kepada Kementerian Luar Pakistan.
Kemalangan itu adalah nahas udara terburuk Pakistan sejak tahun 2012,
apabila sebuah pesawat penumpang Boeing 737 terhempas di Islamabad
mengorbankan 130 penumpang.
Pada tahun 1988, satu nahas udara mengorbankan pemerintah tentera
Pakistan ketika itu, Jeneral Zia-ul-Haq selain duta Amerika Syarikat,
Arnold Raphel. – AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan