Ahad, 17 Mei 2015

Adakah kita Muslim terbaik jika sanggup biarkan saudara seagama mati kelaparan, soal Dr Asri

Post Pic
 
SHAH ALAM: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa kerajaan agar bertindak segera dalam membantu pelarian etnik Islam Rohingya yang menjadi mangsa akibat kekejaman negara sendiri.
 
Katanya, sebagai sebuah negara Islam yang juga mengamalkan dasar toleransi, Malaysia tidak seharusnya membiarkan pelarian berkenaan mati kehausan dan kelaparan tanpa sebarang bantuan yang diberikan.   
 
Apatah lagi katanya, pelarian berkenaan merupakan saudara seagama yang terpaksa berhijrah demi mencari perlindungan daripada menjadi mangsa pembunuhan di negara sendiri.
 
"Sedangkan negara-negara Eropah yang tidak muslim itu pun, cuba menyelamatkan pelarian di lautan mereka, kita yang kononnya sakan 'salawat perdana' dengan ratusan ribu harga bayaran, sanggup melihat manusia mati di lautan demikian rupa kerana bimbang rezeki kita dikongsi orang. Kemudian, kita beritahu 'kita muslim terbaik'?!," tulisnya dalam laman Facebook.
 
Ujar Asri, negara tidak akan rugi jika menghulurkan bantuan kepada pelarian berkenaan atas dasar kemanusiaan. 
 
"Jika musibah tidak menimpa mereka, tentu mereka juga tidak bergadai nyawa membelah badai. Namun, atas ketamakan kita, bimbang rezeki kita dikongsi orang, kita halau mereka bersabung nyawa di lautan. Kita lupa bahawa, jika Allah kehendaki rezeki yang di tangan pun boleh hilang.
 
"Lihat sahaja 1MDB. Ke mana rezeki itu telah pergi. Mayat pesawat yang terhempas di lautan yang hampir yakin mati masih kita cari, sedangkan yang masih hidup di lautan kita cuba biarkan mati. Di manakah kemanusiaan kita ini?!," luah beliau.
 
Sambil memuji negara jiran iaitu Acheh yang ke hadapan dalam membantu pelarian berkenaan, kata Asri, Malaysia sewajarnya melakukan perkara yang sama.
 
"Tahniah Aceh atas sikap kemunusiaan anda. Anda telah menyelamatkan maruah agama di mata dunia. Ketika dunia senyum; 'lihat muslim, mereka sendiri sanggup melihat sesama mereka mati', kesanggupan Aceh itu telah melindungi maruah umat ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: