Sabtu, 18 Jun 2016

ATM dalam mood standby sekat Abu Sayyaf



Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam keadaan siap siaga tinggi berikutan jangkaan kumpulan pengganas Abu Sayyaf akan melarikan diri ke perairan negara selepas diburu tentera Filipina.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, ini susulan tindakan ketenteraan Filipina yang dilapor mengerahkan kira-kira 5,000 tenteranya ke Sulu bagi memburu kumpulan Abu Sayyaf yang memenggal kepala dua warga Kanada dalam tempoh dua bulan.

"Kita akan ambil tindakan awal untuk mematahkan sebarang cubaan melarikan diri oleh militan Abu Sayyaf. Malaysia, Indonesia dan Filipina akan bekerjasama rapat menangani perkara ini.

"Kita telah mengerahkan segala aset ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk melakukan operasi bersama," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Briged ke-8 Infantri di Kem Desa Kok Lanas, malam tadi.

Semalam, sekurang-kurangnya 5,000 anggota tentera Filipina dikerahkan ke Sulu bagi memburu kumpulan Abu Sayyaf selepas kumpulan itu memenggal dua warga Kanada dalam tempoh dua bulan ini.
Jurucakap Tentera Filipina di Mindanao Barat, Mejar Filemon Tan dilaporkan berkata, semua sumber tenaga tentera darat, laut dan udara akan terlibat dalam operasi Sulu.

Zulkifeli juga berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina di Manila dalam masa terdekat bagi membincangkan kerjasama berkaitan rondaan di Laut Sulawesi dan Laut Sulu.

Beliau berkata, antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Malaysia adalah model rondaan yang dilakukan di Selat Melaka ketika ini.

Tiada ulasan: