Isnin, 20 Jun 2016

Sindiket kad nikah tak sah terbongkar

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah tidak sah susulan penahanan tiga kakitangan awam termasuk pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini semalam.

Tiga lelaki masing-masing berusia antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan bermula jam 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam tadi.

Menurut sumber, suspek pertama berusia 43 tahun yang juga pegawai JHEAT itu ditahan sekitar bandar raya ini kira-kira jam 12.30 tengah hari diikuti suspek kedua berusia 30 tahun dan suspek ketiga 34 tahun masing-masing ditahan jam 5.30 petang dan 11.30 malam.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan selepas suspek menerima bayaran akhir sebanyak RM1,000 bagi menyerahkan sijil dan kad akuan nikah kepada pasangan yang mendapatkan khidmatnya.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai menawarkan bayaran sebanyak RM3,500 bagi setiap individu khususnya suami yang ingin berpoligami bagi mendapatkan dokumen pernikahan tidak sah berkenaan.

"Malah, SPRM turut merampas wang bernilai RM1,300 masing-masing daripada suspek kedua dan ketiga dipercayai untuk bayaran tujuan sama.

"Sindiket ini dipercayai menguruskan pernikahan pasangan berkaitan di negara jiran tanpa perlu kebenaran isteri pertama atau melalui proses di mahkamah sekiranya ingin berpoligami," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat membenarkan semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. - HMetro

Tiada ulasan: