Rabu, 22 Jun 2016

Hadiah Aidilfitri buat Nurul Dahyatul Fazlinda

Nurul Dah yatul Fazlinda Mat Haizan Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan

Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 14, membesar sebagai gadis manis namun enam tahun lalu, keadaan itu berubah apabila wajahnya disimbah asid sehingga mengganggu emosinya terutama setiap kali menyambut Aidilfitri.

Menjelang Aidilfitri kali ini membawa khabar sangat gembira buatnya apabila berkemungkinan besar berpeluang menjalani pembedahan plastik untuk membentuk semula wajahnya dengan bantuan kerajaan negeri.

"Minta kali ini jadilah pembedahan berkenaan,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan nama Lin dalam kalangan keluarga ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Sekayu dekat sini kelmarin.

Malah ini juga sambutan terakhir tanpa ayahnya apabila lelaki yang menyebabkan mukanya berparut, Mat Haizan Mat Yasin bakal dibebaskan daripada hukuman penjara pada 18 April tahun depan.

Walaupun menempuh hari-hari yang menyeksakan dengan kecacatan yang belum pulih, anak kedua daripada empat beradik itu tidak pernah menya-lahkan bapanya atas nasib yang menimpa.

"Abah akan keluar tidak lama lagi. Abah selalu pesan supaya belajar rajin-rajin. Lin tak marah abah," katanya ringkas.

Dalam kejadian pada 15 Ogos 2010 itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Indera itu melecur hampir keseluruhan wajah selain beberapa anggota badan akibat terkena simbahan asid yang turut mencederakan ibu, adik dan neneknya.

Insiden itu berpunca daripada pertelingkahan keluar-ga yang turut menyebabkan ayahnya menerima hukuman penjara.

Sementara itu, ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 34, mengucapkan rasa syukur dengan khabar gembira yang dimaklumkan mengenai kesediaan kerajaan negeri untuk membiayai pembedahan Nurul.

"Tentu dia lebih bersemangat dan raya ini lebih menggembirakannya. Kakak sudah sediakan dengan sepasang baju kurung berwarna hijau buat dia dan anak-anak yang lain," ujarnya.

Menurut Che Ku Zaimah, berdasarkan pemeriksaan oleh pakar di Kuala Lumpur baru-baru ini, 80 peratus wajah anaknya mampu dipulihkan.

Katanya, sejak kejadian tersebut, Nurul telah menjalani dua pembedahan daripada beberapa peringkat, dan tidak tahu sampai bila harus menunggu.

"Sebagai emak tentu saya sedih mendengar rintihannya, lebih-lebih lagi saya berjauhan kerana cari rezeki di Kemaman. Dia selalu kata mahu muka yang cantik macam orang lain," ujar ibu tunggal itu.

Tiada ulasan: