KUALA KRAI: Kerajaan persekutuan sanggup mengubah dasarnya demi membantu rakyat Kelantan yang menderita akibat bencana banjir pada 2014.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, walaupun Kelantan diperintah PAS, kerajaan persekutuan sanggup membina rumah kekal berharga RM65,000 setiap satu untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dalam bencana alam itu.
Disebabkan masalah tanah untuk pembinaan rumah tersebut, kerajaan persekutuan sanggup membeli tanah milik individu dan swasta.
Kerajaan persekutuan dipertangungjawabkan untuk membina 1,804 rumah di mana 844 rumah telah siap manakala 243 rumah masih dalam pembinaan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi komitmen tinggi untuk menyiapkan baki rumah itu sebelum akhir tahun ini.
“Kelewatan dalam menyiapkan rumah kekal kepada mangsa banjir berpunca daripada masalah pemilikan tanah untuk dijadikan tapak rumah tersebut sehingga kerajaan terpaksa membeli tanah individu dan swasta,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Mangsa Banjir di Tapak Maju Ternak, Kampung Staponal, Batu Jong hari ini.
Najib berkata, tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan BN menganaktirikan Kelantan adalah tidak benar berdasarkan pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada negeri Pantai Timur itu.
Pada majlis itu, seramai 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai menerima rumah kekal masing-masing.
Seorang penerima, Mazuin Mohd Zin, 31, gembira hasrat keluarganya yang telah lama menunggu untuk mendiami rumah baru selepas bencana banjir pada 2014, kini tercapai.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang tampil menyerahkan kunci rumah kepada kami hari ini,” katanya yang akan mendiami rumah itu bersama suami dan empat anaknya.
Rokiah Yaakob, 63, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan pelbagai pihak yang membantu keluarganya ditimpa kesusahan akibat bencana alam itu.
“Sebelum ini, kami sekeluarga tinggal dalam khemah dan kemudian dalam rumah kontena tetapi sekarang saya gembira kerana sudah memiliki rumah kekal,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan