Jumaat, 26 Januari 2018

Dari APU sampai PH – BN tetap kekal berkuasa

BARISAN Nasional (BN) tidak menghadapi masalah untuk terus kekal memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini walaupun berdepan dengan cabaran dan ujian besar dari parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini pun, ketika UMNO berpecah dua tahun 1989 sehingga membawa kepada penubuhan parti baharu, Parti Melayu Semangat 46 (S46) oleh Tengku Razaleigh Hamzah tidak sedikit meramalkan BN akan kalah teruk.
Ketika itu, Tengku Razaleigh atau Ku Li bergabung dengan Pas, musuh tradisi BN. Beliau bersama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Mursydul Am Pas mewujudkan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk melawan BN.
Ternyata, PRU8 tahun 1990 menyaksikan pembangkang atau APU hanya berjaya merampas Kelantan sahaja manakala peringkat persekutuan kekal ditadbir oleh BN.
Selepas S46 dibubarkan pada Mei 1996, APU pun turut ‘berkubur’. Pas kemudian bertahaluf siyasi dengan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi gabungan Pakatan Rakyat (PR).
Gabungan itu menyaksikan BN kehilangan Terengganu kepada Pas dalam PRU10 (1999) untuk tempoh satu penggal tetapi masih kekal memerintah kerajaan Pusat.
PR juga menunjukkan kekuatannya dengan merampas Perak, Selangor dan Pulau Pinang selain kekal di Kelantan pada PRU12 tetapi BN masih tetap mentadbir kerajaan pusat.
Sepenggal selepas itu, BN mengambil semula kerajaan Perak.
Keutuhan BN yang diterajui UMNO bersama rakan komponennya, MCA, MIC, Gerakan dan PPP (sekarang MyPPP) tidak pernah mengalah. Mereka sebaliknya membuktikan parti itu masih mendapat kepercayaan rakyat.
Kini, dalam persediaan dan persiapan menghadapi PRU14, penganalisis politik tanah air tidak pernah sunyi meramalkan BN akan kecundang kepada PH yang diketuai pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ramalan itu sama seperti tekaan pada PRU-PRU sebelum ini tetap jelas mengecewakan penganalisa propembangkang yang nampak ghairah untuk melihat pembangkang mengambil alih pemerintahan kerajaan pusat atau dengan kata lain menawan Putrajaya.
Tidak dinafikan BN akan kehilangan beberapa kerusi pada PRU14 ini sebagaimana BN kehilangan Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tetapi tidaklah sampai ke tahap menawan Putrajaya.
Pembangkang sendiri pun secara tersurat dan tersirat berdepan dengan krisis kepercayaan sesama sendiri berikutan tindakan pucuk kepimpinan mereka melantik Mahathir sebagai nakhoda untuk mengendalikan bahtera mereka.
Pembahagian kerusi yang dianggap tidak adil oleh pemimpin akar umbi PH pada konvensyen parti itu awal Januari lalu juga antara faktor berlaku perpecahan undi dalam kalangan penyokong pembangkang. Ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN.
Secara hitungan kasar, BN mempunyai sokongan yang padu dari penyokongnya. Ahlinya tetap ‘solid’ dan tidak akan sekali-kali tergugat oleh kehadiran parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Sudah tentu trend ini tidak ada pada penyokong pembangkang.
Kepercayaan rakyat kepada BN tidak berbelah bahagi. Walaupun pembangkang menggunakan pelbagai isu seperti 1MDB, tanah Felda, sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga barangan, majoriti rakyat tidak terkesan dengan isu berkenaan.
Pada rakyat mudah sahaja. Asalkan celik mata, mereka dapat turun ke bendang menanam padi, turun ke laut menangkap ikan, turun ke kebun menoreh getah dan itu sudah lebih dari cukup untuk mereka meletakkan kepercayaan kepada kerajaan.
Sungguhpun ada yang menguar-uarkan pengaruh Mahathir sangat kuat dan boleh menggugat kekuatan BN, itu hanya sekadar tekaan retorik yang terpaksa dijadikan alasan untuk menutup kelemahan pembangkang.
Tidak dinafikan, PH pada dasarnya dilihat kuat dengan gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PPBM, hakikatnya masing-masing ada kelemahan tersendiri.
Siapa tidak kenal dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, yang mengutamakan anak beranak dalam politik. Siapa tidak kenal Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berjuang hanya untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.
Begitu juga Presiden PAN, Mohamad Sabu dan timbalannya, Salahuddin Ayub, yang mana pemimpin, ahli dan penyokong Pas tahu siapa mereka.
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sama. Setakat ini tidak diketahui apa matlamat dan hala tuju perjuangannya.
Semua ini dalam pengetahuan rakyat tetapi mereka tidak cepat melatah untuk mengikut rentak pemimpin-pemimpin kecewa itu berpolitik.
Jadi, ramalan saya, seperti apa yang berlaku pada PRU kelapan hingga ke PRU14, BN akan terus kekal sebagai kerajaan memerintah. PH akan terkapai-kapai dengan labu-labunya. – theRakyat (Siaran 25 Januari 2018)

DAP, PKR jadi ‘harimau sarkas’ Mahathir

PARTI-parti komponen Pakatan Harapan (PH) sudah selesai mengagihkan kerusi Parlimen masing-masing. Mereka nampaknya tidak sabar-sabar hendak berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Dikhabarkan, sesi perundingan dan perbincangan pucuk kepemimpinan tertinggi parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengambil masa selama empat bulan.
Apabila sudah mencapai kata sepakat, kuota itu diumumkan pada Konvensyen PH yang diadakan di Shah Alam pada 7 Januari lalu.
Ramalan DAP dan PKR akan mendapat lebih banyak kerusi berbanding PAN dan PPBM ternyata meleset sama sekali.
Dalam pengagihan itu, DAP mendapat 35 kerusi, PKR (51); PPBM (52) dan PAN (27). Keseluruhan kerusi Parlimen yang diperuntukan untuk PH bertanding di Semenanjung Malaysia ialah sebanyak165 kerusi.
Baki 57 kerusi lagi diperuntukan untuk parti-parti komponen PH di Sabah dan Sarawak.
Sebaik sahaja pengagihan itu diumumkan dan selepas membuat sedikit kajian, penulis terkejut serta tertanya-tanya betulkah DAP dan PKR yang begitu lama berpolitik melawan BN mendapat sedikit daripada PPBM?
Manakala PAN pula yang berusia dua tahun lebih mendapat paling sedikit berbanding PPBM yang baru berusia setahun lebih?
Formula apa yang digunapakai oleh kepimpinan tertinggi PH sehingga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng jatuh keegoannya?
Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membisu seribu bahasa dan Presiden PAN, Mohamad Sabu serta timbalannya, Salahuddin Ayub kelu lidah tidak membantah apa-apa?
Yang kedengaran tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi Parlimen itu hanya suara-suara peringkat bawahan sahaja. Yang tentunya tidak akan didengari oleh pucuk pimpinan.
Hebat sungguh mainan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam bab pembahagian kerusi, yang menjadi impian setiap parti politik pun beliau boleh menundukkan ego DAP, PKR dan PAN.
Kit Siang, Wan Azizah dan Mat Sabu bulan calang-calang ahli politik. Mereka bertiga  terkenal dengan sikap panas baran dan kaki bantah tetapi dalam bab pengagihan kerusi untuk berdepan dengan PRU 14 ini, mereka boleh ditundukkan oleh pemimpin berusia 93 tahun.
Tahniahlah kepada Mahathir kerana secara tersiratnya berjaya mengucar-ngacirkan gabungan PH. Apakah ini petanda empayar pembangkang yang dikuasi DAP mula berdepan dengan era kejatuhan?
Selama ini, kalau mengikut rekod PRU, DAP yang mula menyertai pilihanraya umum pada 1969 (PRU- 3) sehingga PRU -13 pada tahun 2013 sentiasa mendapat jumlah kerusi lebih. Begitu juga dengan PKR dan Pas ketika itu.
Tetapi setelah Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan DAP dua tahun lalu dan pada masa sama DAP serta PKR menerima masuk dua rakan baharu iaitu PAN dan PPBM, dalam senyap-senyap pengaruh serta ego kedua-dua parti dominan dalam pembangkang itu kehilangan sengat.
Ini terbukti apabila PH bersiap sedia berdepan BN pada PRU 14, DAP hanya akan bertanding di 35 kerusi sahaja dari lebih 70 kerusi sebelum ini dan PKR pula diberikan 51 kerusi berbanding hampir 100 kerusi diperolehinya pada PRU 13.
Nampak mainan Mahathir yang sukar diramal itu telah menjinakkan ‘harimau liar’ pembangkang menjadi ‘harimau sarkas’. Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap ‘singa liar’ dalam PH pun hampir-hampir ditundukkan dan bakal dimasukkan dalam kandang singa sarkas.
Seperkara yang menarik perhatian penulis berhubung pengagihan itu, apabila bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali membuat ramalan, pembahagian kerusi yang juga kawasan Parlimen itu menguntungkan DAP dan PKR walaupun mendapat jumlah kerusi lebih kecil daripada PPBM.
“Walaupun PPBM kerusi paling banyak iaitu 52 kerusi, tetapi majoriti kawasan yang akan dipertandingkan oleh calon parti itu adalah kawasan atau kubu kuat BN.
“Tentu sukar untuk PPBM menang banyak kerusi di kawasan berkenaan kerana PPBM bukan parti popular dalam kalangan rakyat. Rakyat lebih senang memilih BN,” katanya baru-baru ini.
Mengenai kerusi yang dipertandingkan DAP dan PKR, Ibrahim menyatakan seratus peratus kawasan itu boleh dimenangi pembangkang, yang akhirnya memberi keuntungan kepada kedua parti itu berbanding PPBM dan PAN.
Beliau juga memberi reaksi yang sama dengan penulis, iaitu terkejut dengan kuota pembahagian kerusi dalam komponen PH. – theRakyat (Siaran 16 Januari 2018)

Agihan kerusi Pakatan Harapan, DAP yang untung

SEBAIK sahaja ditubuhkan pada September 2015, isu utama yang berbangkit dalam Pakatan Harapan dan tidak selesai hingga kini ialah soal agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang akan ditandingi oleh calon-calon daripada parti yang bergabung.
Antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Nasional (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih belum menemui kesepakatan akan siapa akan bertanding di mana.
Cuma yang betul-betuk pasti dalam soal agihan kerusi dalam pakatan yang baru setahun jagung ini ialah DAP.
Kalau dilihat pada kedudukan sekarang, DAP tidak akan berkompromi untuk menyerahkan walaupun satu kerusi DUN atau Parlimen miliknya kini kepada parti lain.
Malah parti cauvanis Cina itu mungkin akan menuntut kerusi tambahan dengan alasan kedudukan mereka lebih mantap dan keupayaan mereka untuk mendapatkan undi daripada pengundi-pengundi Cina.
Tetapi bagi PKR, PAN dan PPBM mereka terpaksa bertelagah, bertegang leher dan bersingsing lengan untuk mendapatkan kawasan-kawasan yang mereka akan tandingi.
Memang Pakatan Harapan akan meletakkan calon di semua kawasan yang ditandingi oleh Barisan Nasional (BN), tapi soalnya calon daripada parti mana?
Kalau di kawasan yang sudah menjadi tradisi ditandingi oleh DAP memang tidak ada masalah sebab itu sudah jadi hak mutlak DAP.
Dengan prestasi parti cauvanis itu pada pilihan raya umum lalu, rasa rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan tidak akan berani menuntut untuk bertanding di kawasan tradisi DAP.
Dalam hal ini DAP mungkin boleh mendapatkan dua tiga kawasan tambahan yang mana ini akan mengukuhkan lagi penguasaan mereka dalam pakatan berkenaan.
Di Selangor misalnya, perbincangan mengenai agihan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan hingga kini belum selesai.
Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) tinggal beberapa bulan sahaja lagi, tapi Pakatan Harapan yang kononnya menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat masih lagi bercelaru.
Perkara-perkara asas seperti siapa yang akan bertanding di mana pun masih tidak dapat diselesaikan.
Lebih-lebih lagi di peringkat negeri dan bahagian ada pula kenyataan hina menghina seperti `parti awak masih baharu, kenapa mahu banyak kerusi’ atau `parti awak ni kecil tidak ada sokongan, tidak ada kekuatan jadi tak perlu bertanding di banyak kerusi’.
Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad sendiri mengakui akan isu agihan kerusi yang masih belum ada penghujung ini, terutama di Selangor.
Katanya, untuk mana-mana parti menyerahkan kerusi kepada parti yang lain bukan sesuatu yang mudah.
Berdasarkan senario ini, maka tidak mustahil calon-calon Pakatan Harapan akan bertembung antara satu sama lain pada PRU14.
Apa pun yang selamat dan yang paling untung adalah DAP kerana dengan `taring’ yang mereka miliki sekarang rasanya tidak ada siapa yang berani menuntut kerusi yang ditandingi mereka..
Sebagai `abang besar’ dalam Pakatan Harapan, Kemungkinan besar juga DAP akan bertanding lebih banyak kerusi kali ini berbanding pada pilihan raya umum lalu. – theRakyat (Siaran 5 Januari 2018)