Selasa, 30 Oktober 2012

Propaganda Grand Final PR Bakal Jadi Paku Terakhir Keranda Pembangkang

Pakatan Pembangkang atau PR nampaknya sedang berusaha untuk terus menggugat keutuhan kerajaan Barisan Nasional apabila sedang merancang untuk melakukan satu lagi perhimpunan yang katanya akan dibuat secara besar-besaran yang dikenali sebagai Grand Final PR.

Menurut kata Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu, para peserta yang akan menyertai perhimpunan itu diwajibkan memakai empat warna baju sama ada kuning, merah, hijau dan oren yang setiap satunya mewakili tuntutan berbeza.

Warna kuning mewakili Bersih 3.0 yang berkaitan dengan tuntutan pilihanraya, merah pula mewakili tuntutan royalti minyak Kelantan oleh NGO Royalti, warna hijau mewakili NGO alam sekitar yang anti Lynas dan Rapid Pengerang, manakala warna oren merupakan gerakan anti FELDA dan anti FGVH.

Melihat pada kesungguhan PR untuk terus mempropagandakan isu-isu di atas, jelas sekali ia menuntut jentera BN untuk sentiasa siap siaga bagi menepis polemik dan propaganda tersebut.

Satu-satunya perkara yang sering menyeronokkan PR bila mereka memainkan sesuatu isu ialah kelambatan jentera penerangan dan pemimpin BN sendiri turun ke padang menjawab tohmahan pembangkang.

Seperti ramai kalangan kita sudah maklum, hidup mati PR banyak bergantung pada isu yang sengaja diputar belitkan, sama seperti mereka memutar belit isu Lynas, kononnya bakal menghasilkan sisa radioaktif, sedangkan pakar nuklear dari kalangan pemimpin Pas sendiri mengakui Lynas bukannya loji nuklear.

Walhal, jika benar Lynas yang menghasilkan bahan nadir bumi untuk kegunaan banyak barangan elektronik itu betul-betul berbahaya, bukankah lebih elok untuk para pemimpin PR menasihatkan penyokong mereka mencampakkan saja semua alatan gadget eletronik seperti Iphone, Ipad atau Galaxy Tab yang mereka miliki.

Begitu jua dalam isu Rapid Pengerang, jika benar dakwaan pembangkang konon pembangunan projek tersebut bakal membahayakan nyawa rakyat dan alam sekitar, kenapa pula PR tidak membantah ura-ura kerajaan Pas Kelantan untuk membangunkan kompleks petrokimia di Pantai Senok, Kelantan?

Demikian halnya dalam isu SPR, jika benar badan tersebut bias atau tidak bebas, bukankah lebih baik semua empat kerajaan negeri PR sekarang ini melucutkan segera penguasaan mereka di negeri terbabit?

Namun mereka tidak berbuat demikian, kerajaan adil dan saksama mengikut tafsiran mereka hanya bila sesuatu keputusan pilihanraya itu memihak pada puak sendiri sahaja.

Jelas sekali, polemik dan propaganda PR dalam isu Lynas, Rapid Pengerang mahupun SPR, bukanlah atas niat baik untuk kepentingan rakyat, sebaliknya mereka mempolitikkannya semata-mata untuk kepentingan hawa nafsu sendiri semata-mata.

Bersabit isu royalti Kelantan pula, dalam riuh rendah Pas mempolitikkan isu yang bukan isu ini, semua pun sudah maklum bahawa kerajaan Pas Kelantan atas nasihat Husam Musa telah membawanya ke pengetahuan mahkamah.
Sepatutnya jika Pas serius dan berniat ikhlas mahu mencari penyelesaian isu tersebut, mereka sewajarnya menyerahkan saja kepada mahkamah untuk membuat keputusan, namun ia tidak berlaku sedemikian.

Jelas nampak wujudnya gerakan politik untuk menyemarakkan semangat kenegerian demi mengaut keuntungan kepartian, kerana Pas tahu secara perundangannya tuntutan royalti itu tidak mampu direalisasikan selagi pelantar minyak atau gas wujud jauh dari lingkungan tiga batu nautika.

Tapi pemimpin Pas lupa, jika jalan perundingan diambil, Perdana Menteri masih boleh menggunakan budi bicara dan kuasanya untuk mengarahkan Petronas memberi wang ehsan. Namun Pas menolaknya kerana tidak mahu penyokong mereka termakan budi dan jasa dengan Kerajaan Pusat.

Bersabit isu FGV dan Felda, Pas dan PKR cukup ke depan memanipulasi sentimen para peneroka, namun bila FGV diapungkan terbukti tiada tanah peneroka yang tergadai, tiada rumah peneroka yang dijual sebaliknya para peneroka mendapat keuntungan durian runtuh malah kebajikan mereka tetap terbela.

Berbeza sekali dengan isu para peserta Ladang Rakyat anjuran Kerajaan Pas Kelantan yang hingga kini nasibnya terumbang ambing, tiada rumah diperolehi sebaliknya tanah yang diusahakan kini menjadi milik syarikat dari luar Kelantan.

Seandainya benar penyenaraian FGV di BSKL merugikan dan tidak berdaya maju, kenapa pula berebut-rebut anak syarikat kerajaan negeri PR membeli sahamnya?

Apa perlunya untuk pemimpin Pas Kelantan dan Kedah terbabit memiliki saham dan mengambil untung dari urus niaga saham FGV? Bukankah itu hipokrit namanya.

Empat isu diatas, walaupun dari segi kepercayaan umum, orang ramai sudah semakin muak dengan teknik propaganda PR yang kerap kali memutar belitkan isu mengikut selera politik mereka, namun BN tetap tidak boleh memandang mudah.

Penjelasan dan majlis penerangan baik secara bersemuka atau berkelompok tetap perlu diperhebatkan, propaganda sedemikian perlu diperangi, lebih ramai yang memahami hujung pangkal sesuatu isu lebih baik untuk BN. Senario penolakkan ramai terhadap PR perlu dimanfaatkan segera.

Jika pihak BN bijak memanfaatkan peluang yang sedang terbentang tika ini, Grand Final PR akhirnya akan menjadi panggilan pulau untuk PR sekaligus menjadi paku-paku terakhir untuk pemimpin PR bersemadi dalam keranda politik tanahair. - Tengkudin

‘Hidden Cost’ Dalam Janji PR Yang Kita Perlu Tahu

Penulis yakin di saat ini, Anwar Ibrahim sedang mengarahkan 'punahsihat-punahsihat' bahasanya mencari perkataan-perkataan melayu lama yang boleh disamakan dengan “janji pilihanraya” atau yang biasa disebut, 'manifesto'.

Anwar sudah tidak boleh guna perkataan manifesto lagi sebab rakyat sudah tahu sekarang pendirian Pakatan Rakyat mengenai manifesto ini – bukan perjanjian, seperti yang disebutkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Gagap Ibrahim.

Dalam hati Anwar menyumpah kebodohan Khalid mengungkapkan perkataan tersebut terlalu awal. Memang itulah maksudnya bila janji lebih 30, laksananya satu (itupun bukan semua dapat), tapi cara disampaikan itu kena betullah, jangan nampak sangat. Luah Anwar dalam hati.

Tapi macam orang buang angin juga, apa yang sudah terlepas disebut, terlepaslah, bukan boleh tarik balik semula. Sebab itu perlu dicari perkataan baru untuk menggantikan ayat ‘manifesto’ yang dicemarkan Khalid.

Sekarang rakyat sudah tidak boleh dengar pun janji bulan bintang Anwar sebab tahu bukan nak dilaksanakan sangat, asal dapat kuasa sahaja.

Apa yang berlaku selepas itu, serah pada mahkamah, lagipun pakar putar belit undang-undang berbaris dalam pakatan haram ini. Itu yang terkeluar ‘manifesto bukan janji’ tu.

Politik macam inilah yang rakyat perlu elakkan sama sekali. Kita rakyat nak lihat hasil. Kalau dalam manifesto tulis air percuma, kita tahu dapat air percuma. Bukan lepas dapat kuasa, baru kita tahu air percuma itu hanya untuk rumah bawah saja, yang rumah atas tidak dapat sebab tak pakai meter individu, tapi meter pukal.

Macam ‘hidden cost’ pulak. Ingat jual tiket kapal terbang saja ada ‘hidden cost’, janji pilihanraya kepada rakyat pun ada ‘hidden cost’ juga?

Begitulah rendahnya maruah rakyat dibuat pakatan haram ini sampai janji kepada yang mengharap pun dia main isu teknikal semata-mata nak lepas janji. Paling hina, tukar nama pakatan pembangkang, masa buat janji guna nama Barisan Alternatif (BA), dah dapat kuasa tukar nama Pakatan Rakyat.

Semuanya akal Anwar Ibrahim nak melepaskan diri dari bertanggungjawab. Toksah percayalah puak-puak ini lagi ya. Anwar tipu berjuta orang bukan baru. Ingat lagi pembohongan terbesar 16 September? Macam confident saja nak bentuk kerajaan, hingga tengah malam itupun “we have the numbers”, “we have the numbers”, tapi dah masuk 5 tahun dah, haram pun takde.

Ingat ni, Anwar pembohong, jangan percayakan dia dan apa yang keluar dari mulutnya pun. - mykmu.net

Persidangan UMNO 2012 Jadi Tumpuan Luar Biasa Menjelang PRU-13

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang akan berlangsung bulan depan dijangka menarik tumpuan luar biasa berikutan bahang politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Seramai 2,674 anggota perwakilan akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 26 Nov hingga 1 Dis ini, yang antara lain untuk mendengar  amanat akhir pucuk pimpinan parti sebelum gendang pilihan raya dipalu.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata perhimpunan kali ini dijangka mendapat liputan meluas media massa dengan kira-kira 2,000 pengamal media dari dalam dan luar negara meletakkan fokus pada perhimpunan parti dominan Melayu itu.

“Tahun lepas seramai 1,700 wakil media dari dalam dan luar negara telah membuat liputan sepanjang perhimpunan dan tahun ini kita jangka kira-kira 2,000 orang dari kalangan media akan terlibat,” katanya pada Mesyuarat Penyelarasan Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC di sini, hari ini.

Perhimpunan itu akan dimulakan dengan Seminar Penerangan Perdana pada 24 Nov yang akan dirasmikan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak diikuti Forum Antarabangsa Ketiga pada 26 hingga 27 Nov yang bakal dihadiri perwakilan dari 27 negara termasuk dari rantau Asean, Asia, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Palestin.

“Jumlah penyertaan antarabangsa bagi forum ini merupakan pengiktirafan pada pucuk pimpinan parti,” kata Abdul Rauf.

Majlis Taklimat Presiden pada 27 Nov yang akan diadakan secara tertutup antara yang dinantikan anggota perwakilan apabila Najib dijangka memberi amanat kepada jentera perang UMNO yang bakal menuju ‘ibu segala pilihan raya’ tidak lama lagi.

Pada hari sama, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012 akan diadakan di Dewan Merdeka, sebelum Perhimpunan Agung bagi ketiga-tiga sayap parti itu, pada keesokannya.

Perhimpunan Agung UMNO 2012 dimulakan secara rasmi pada 29 Nov dan berlangsung sehingga 1 Dis dengan pelbagai isu politik, ekonomi, pendidikan dan agama dijangka dikupas para anggota perwakilan. - UMNO Online

Isnin, 29 Oktober 2012

Haram, tak haram

Kerjasama dengan Yahudi tak haram dalam Islam - Nik Aziz

 KOTA BHARU 23 Mac – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, kerjasama dan urus niaga dengan golongan berbangsa Yahudi tidak diharamkan dalam Islam selagi mereka tidak mempunyai agenda jahat.

Beliau berkata, faktor bangsa semata-mata tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang sebarang hubungan kerana ia bukan penentu kepada dosa dan pahala, sebaliknya perbuatan jahat yang diambil kira seperti merampas tanah dan membunuh penduduk tidak bersalah seperti mana dilakukan oleh puak Zionis.

"Kerajaan yang dia (Yahudi Israel) sekarang ini kerajaan yang dibentuk parti Zionis, yang ini kita tidak boleh berurusan dengan dia, apa sahaja pun urusan dengan kerajaan Zionis sekarang ini ertinya kita berurusan dengan kerajaan haram.

"Kalau kita bersekongkol dengan yang haram maka berdosalah, seperti budak mencuri motosikal, kalau kita membeli motosikal dia, ertinya kita bersekongkol dan bersubahat dengan perbuatan jahat mencuri,” katanya selepas kuliah Jumaat di pekarangan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini, hari ini. - UTUSAN

MZA: Nik Aziz kata tak haram sebab rakannya, PKR ada menjalin kerjasama dengan Yahudi. Cuba, Umno yang bekerjasama dengan Yahudi, serta merta Nik Aziz akan kata haram.

Haram adakan kerjasama dengan Yahudi - Harussani

KUALA LUMPUR 19 Mac - Sebarang bentuk kerjasama dengan Yahudi di Israel adalah haram di sisi agama Islam walaupun sebahagian mereka tidak berfahaman Zionis.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hakikat itu jelas jika dikaitkan dengan kekejaman kaum Yahudi terhadap umat Islam di Palestin.

''Kedudukan orang Yahudi pada zaman Nabi Muhammad SAW dahulu berbeza kerana mereka dikategorikan sebagai kafir zimmi yang bersetuju untuk berlindung di bawah naungan kerajaan Islam.

''Namun, Yahudi di Israel dewasa ini adalah kafir harbi yang wajib diperangi kerana golongan tersebut memusuhi umat Islam dan menjajah sebuah negara Islam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pendirian parti berkenaan menyokong mana-mana pihak termasuk umat Islam mengadakan hubungan dan kerjasama dengan kelompok Yahudi yang tidak berpegang kepada ideologi Zionis.

Menurut Abdul Hadi, pendirian itu selaras dengan prinsip yang dipegang Pas mengenai kerjasama dengan orang bukan Islam dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, kerjasama dengan Yahudi boleh membawa kemudaratan kepada agama Islam.

Beliau memberitahu, seperti yang termaktub dalam al-Quran, kaum Yahudi tidak akan berdiam diri selagi umat Islam enggan mengikut ajaran agama mereka.

''Justeru, kita sepatutnya jangan terpedaya dengan helah licik kelompok Yahudi yang mendakwa tidak memegang ideologi Zionis kerana ini sebenarnya permainan mereka untuk mengaburi mata umat Islam.

''Kita tidak sewajarnya menerima apa sahaja yang datang dari orang Yahudi kerana mereka mempunyai agenda untuk merosakkan umat Islam secara terancang," ujarnya.

Fathul Bari berkata, umat Islam sepatutnya bersikap lebih berhati-hati terhadap segala tindak-tanduk Yahudi kerana banyak peringatan tentang sifat-sifat buruk golongan berkenaan telah difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran.

Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar

SEMALAM jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.

Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.

Pertemuan umat Islam yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai saudara seagama biarpun dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.

Segala hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi serta harta tidak lagi 'berguna'.
Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul Jalil.

Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.

Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat laut yang tidak bertepi.

Kata beliau, keadaan ketika itu agak membingungkan di mana manusia masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan Allah berdasarkan amalan semasa hayat.

Menurutnya, apabila teringatkan hal itu, hati menjadi kecut dan takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.

"Harapan kita adalah dihimpun bersama golongan yang bahagia dan mendapat rahmat ilahi.

"Bagi orang soleh yang hatinya murni dan sentiasa mentaati Allah, mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan bersama golongan yang tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah, baru-baru ini.

Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang menjelaskan, berhimpun dengan memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai simbol Islam melihat manusia sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.

"Berpakaian seragam ini dapat menginsafi semua golongan baik yang kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam tidak menilai seseorang berdasarkan darjat dan kedudukan.

"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur dalam Islam adalah keimanan kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini dapat mengikis rasa sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas beliau.

Semua itu kata Hassan, adalah gambaran bagaimana keadaan manusia apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.

Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tidak teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib masing-masing.

"Sebab itu, semasa di Arafah, kita dianjurkan banyak berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan Nabi-nabi sebelumku iaitu tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. (riwayat at Tirmizi)

Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Selain Perang Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita dan marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya."

Semasa wukuf juga Allah berada paling hampir dengan hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai ceruk muka bumi ini.

Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya; "Hambaku datang dari segenap pelosok yang jauh dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika kamu datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di laut nescaya Aku hapuskan semuanya. Allah SWT berfirman: "Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu minta ampun utk mereka". (riwayat al-Bazzar)

Hassan menambah, pada Hari Arafah juga, Allah meluaskan rahmat-Nya dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada seksaan api neraka.

Ini berdasarkan hadis daripada Aishah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak ada hari yang Allah membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai selain hari Arafah." Allah SWT hampir dengan hamba-Nya dan berbangga dengan mereka kepada malaikat dengan berfirman: "Apa yang mereka mahu". (riwayat Muslim)

Selasa, 9 Oktober 2012

A sampai Z menipu

PULAU PINANG: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menyokong serangan yang diketuai oleh Mat Indera ke atas 'pihak polis British' di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Beliau berkata demikian ketika disoal oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd., dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung kejadian serangan tersebut.

FIROZ: Dari segi ucapan (di Tasek Gelugor di sini pada 21 Februari 2009) yang diberikan oleh kamu, adakah kamu bersetuju bahawa kamu menyokong serangan ke atas Bukit kepong yang diketuai oleh Mat Indera.

MOHAMAD: Ya.

Namun, apabila disoal lanjut oleh mahkamah berhubung perkara yang disentuh dalam ucapannya pada 21 Ogos 2011 itu, Mohamad menukar fikiran dengan berpandangan, serangan tersebut tidak patut dilakukan.
Beliau seterusnya berkata, sama ada beliau menyokong atau tidak serangan tersebut, perkara berkenaan telah pun berlaku.

Beliau juga berpendirian, sesiapa sahaja yang menentang British sebelum merdeka adalah pejuang kemerdekaan.

''PKM (Parti Komunis Malaya) adalah pejuang kemerdekaan kerana mereka menentang British sebelum merdeka, selepas merdeka tidak boleh, itu pengganas,'' katanya.

FIROZ: Saya cadangkan kepada kamu bahawa oleh kerana kamu sokong serangan ke atas Bukit Kepong maka adalah benar kamu tidak menghormati jiwa dan darah anggota keselamatan dan keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi itu?

MOHAMAD: Tidak.

Mohamad berkata demikian sebagai saksi plaintif pertama dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap kedua-dua defendan tersebut berhubung tragedi Bukit Kepong.

Saman tersebut adalah ekoran muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011 bertajuk Mohamad Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong yang didakwa sebagai fitnah dan beberapa artikel pada hari berikutnya mengenai isu berkenaan.

Pada prosiding hari pertama hari ini, sedutan rakaman cakera padat video (VCD) berhubung ceramah Mohamad yang diserahkan oleh peguam defendan, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin turut dimainkan melalui monitor komputer selama 18 minit.

Selain itu, transkrip penuh rakaman tersebut diserahkan oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili pihak plaintif kepada mahkamah.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika menjawab pemeriksaan balas Firoz, berkata, beliau tidak tahu, daripada fakta sejarah, serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong telah dilakukan oleh pengganas-pengganas Komunis daripada PKM.

Menurutnya, ketika membuat kenyataan pada ceramah tersebut, beliau juga tidak sedar atau mengambil langkah untuk menentukan sama ada serangan itu dilakukan oleh PKM.

Saksi tersebut berkata, apa yang diketahui adalah tentang Mat Indera tetapi tidak mengetahui latar belakang anggota-anggota lain yang menyertai serangan itu.

FIROZ: Siapa yang serang Balai Polis Bukit Kepong?

MOHAMAD: Mat Indera

FIROZ: Seorang?

MOHAMAD: Yang lain, saya tidak tahu.

FIROZ: Tetapi kamu sifatkan mereka sebagai pejuang kemerdekaan, kamu tidak tahu siapa yang serang?

MOHAMAD: Tak tahu yang lain.

Menjawab soalan lain, Mohamad berkata, beliau tidak mengetahui kesemua anggota polis yang terbunuh dalam tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.

FIROZ: Adakah kamu tahu sama ada anggota British atau orang Melayu yang terbunuh di Bukit Kepong?

MOHAMAD: Sekarang saya tahu, orang Melayu.

FIROZ : Beragama Islam?

MOHAMAD: Ya.

Mohamad juga berkata, beliau pada masa kini mengetahui mangsa yang terbunuh dalam kejadian serangan di Balai Polis Bukit Kepong termasuk wanita dan kanak-kanak yang merupakan keluarga kepada anggota-anggota polis terbabit.

Ditanya adakah kejadian itu merupakan satu pembunuhan yang wajar, kata Mohamad, perkara tersebut adalah tidak wajar walaupun sebelum itu beliau hanya berkata: ''Untuk peperangan, saya simpati dengan mereka yang terbunuh''.

Menjawab soalan mengenai kejadian serangan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang didakwa berlaku semasa Johor bukan jajahan British tetapi hanya di bawah naungan British dari segi undang-undang, Mohamad tidak bersetuju kerana baginya, naungan dan jajahan adalah sama sahaja maksudnya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak pasti apabila dicadangkan oleh peguam bahawa negeri Johor tidak pernah dijajah oleh British sebaliknya hanya mempunyai seorang penasihat British.

Memandangkan Johor tidak pernah dijajah oleh British bukan seperti Pulau Pinang dan Melaka, Firoz mencadangkan, tiada isu perjuangan kemerdekaan di negeri tersebut, namun cadangan itu tidak dipersetujui oleh Mohamad.

Menurut pemimpin Pas itu, apa yang diketahuinya, anggota-anggota polis yang terbunuh dalam serangan tersebut adalah polis British.

Jalan ke Klang Bandar Diraja ‘memalukan’

BILA sebut Klang, ia sinonim dengan gelaran Klang Bandar Diraja. Kalau di Selangor, Klang satu-satunya bandar yang kaya dengan pelbagai j...