Sabtu, 30 Mac 2024

Dah tahu harga mahal, makanan busuk, kenapa beli?

BURGER dijual harga RM30?, Roti John dijual sampai RM40? Tak masuk akal, kata ramai netizen bila seorang pembeli viralkan makanan yang dibelinya di sebuah nazar Ramadan di Johor. Pak Dee hanya senyum dengar rungutan ni. Sebab pada Pak Dee lagi tak masuk akal, orang yang membelinya. Entah ada akala tau tak. Pak Dee bukan nak hina pembeli tu, tapi Pak Dee sedih dengan pembeli tu. Sedih sebab Allah kurniakan pancaindera mata untuk melihat, hati untuk menentukan gerak kita dan otak untuk memikirkan wajar atau tidak aku beli burger dan roti John yang aku tahu harganya teramat yahudi. Kalau pembeli tu pakai otak, dia dah tentu tak akan beli makanan tersebut. Dah tentu harganya mahal dan tak masuk akal, buat apa nak beli. Kalau beli juga makanan yang harganya tak masuk akal tu, maknanya tak ada akallah. Lainlah kalau pembeli beli makanan itu semata-mata nak buat konten dalam media sosial. Nak viral kepada orang ramai kononnya aku terbeli makanan yang paling mahal dalam dunia, mengalahkan harga paling yahudi. Tapi rasanya tak logik pembeli beli bagi tujuan itu. Dah tentu dia beli untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Maklum, orang tengah puasa. Harga mahal pun beli walaupun tahu tak berbaloi. Dalam bab ni, bukan saja pembeli tak ada akal, penjual pun tak ada akal. Boleh atau sanggup mereka jual sebiji burger dengan harga RM30 dan sebiji roti John dengan harga RM40. Sah-sah penjual ini tak ada otak. Sebab, dia tak fikir kalau jual harga mahal, makanannya pasti tak laku, melainkan yang tak ada akal akan membelinya. Hari ini Pak Dee terpaksa berkasar sikit. Sebab Pak Dee pun ada perasaan geram kalau baca berita pasal harga makanan dan minuman di bazar Ramadan mahal, busuk, basi, masam dan sebagainya. Pak Dee tak nak seratus peratus geram atau marah kepada penjual. Pak Dee lebih geram dan sakit hati kepada pembeli. Mereka bukan buta ketika berkunjung ke bazar Ramadan. Mereka bukan bisu untuk menegur peniaga bahawa makanan atau minuman yang dijual terlalu mahal. Atau makanan dan minuman yang dijual sudah basi, keras macam besi, lembik macam lumpur. Dah tahu makanan basi, mereka beli juga. Dah tahu harga mahal, mereka beli juga. Lepas tu balik rumah, viral dalam media sosial. Konon nak raih simpati netizen. Mujurlah netizen sekarang ni cerdik, mereka tak melenting marahkan peniaga, sebaliknya memaki hamun pembeli. Peniaga memang tabiat dan perangai mereka, kalau makanan atau minuman jualan dua tiga hari lalu tak habis, mereka akan campur dengan yang baharu untuk dijual. Mana mereka tahu dosa pahala dengan berbuat demikian. Yang mereka fikirkan ialah untung. Dengan untung jual makanan basi, minuman sudah masam itulah mereka nak belanjakan sambut raya. Nak beli baju baru, seluar baru, kasut baru. Nak tukar langsir baru, alas meja baru. Nak beli kuih muih untuk jamuan raya. Mana mereka nak fikir keberkatan. Sebab mereka meniaga pun setahun sekali, bukan sepanjang hari. Bulan ini mereka digam sebab jual makanan basi, tahun depan mereka beralih ke bazar lain pula. Mereka buat lagi perkara-perkara buruk tu. Jadi, kesedaran membeli itu sepatutnya ada pada pembeli. Mereka yang dapat menilai, menilik, meneliti setiap jenis makanan yang nak dibeli. Itu penting dan perlunya manfaatkan sepenuhnya guna mata, hati dan otak. Mata boleh melihat, hati boleh merasa, otak boleh menentukan sama ada nak beli atau tidak. Bukan sampai saja di gerai, terus beli. Peniaga letak harga RM30, RM40 pun bayar. Apa kejadah pembeli macam ni. Dahlah peniaga tu kejadah, kita pembeli pun ikut kejadah sama. Lepas tu sampai rumah, merungut. Sebab itu Pak Dee selalu nasihat. Lebih baik makan makanan yang dimasak di rumah. Sesibuk mana kerja pun, majikan sudah pendekkan waktu bekerja. Sempatlah jerang nasi, goreng telur, singgang ikan. Masakan sendiri jauh lebih sedap dan segar dari beli di bazar. Itupun Pak Dee nak kena ajar. – NasionalDaily 27hb Mac 2024

Islam didik umat berdisiplin, boikot cara terbaik

BILA isu kedai serbaneka KK Mart hangat diperkatakan, Pak Dee sekadar jadi pemerhati saja. Malas atau tak nak jadi ‘nasi tambah’ kepada isu yang sedang panas ketika itu. Sekarang bila dah lebih seminggu berlalu, keadaan dan suasana pun dah nampak reda, barulah Pak Dee nak menitip sikit pandangan, pendapat, nasihat, kritikan dan teguran dalam isu ini. Sepanjang menjadi pemerhati, Pak Dee tengok hanya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh yang paling lantang mempertahankan agama Islam dari diperlekeh dan dipermainkan orang-orang tak bertanggungjawab. Yang lain-lain seperti Pemuda Pas yang mendakwa parti mereka membangun dan menjunjung Islam, senyap. Begitu juga Pemuda Amanah, Pemuda Bersatu dan Pemuda PKR, semua senyap. Pak Dee faham kenapa mereka senyap. Mereka lebih utamakan persahabatan dengan kaum bukan Islam. Mereka nak tegur pun kena ibarat tarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berserak. Suara mereka hanya kedengaran pun selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan anakanda baginda Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang menghina Islam. Pak Dee rasa kalau baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor senyap, semua akan senyap, kecuali Dr. Akmal yang berseorangan dari awal hingga akhir bersuara dalam isu penghinaan kalimah Allah oleh KK Mart. Betul, bukan KK Mart yang jual stoking itu. Pengedar rasmi kedai itu yang letak stiking di kedai itu. KK Mart sediakan ruang untuk pengedar letak dan jual produk masing-masing. Tetapi, sebagai tuan rumah kepada pengedar-pengedar, KK Mart kena patut ada rasa tanggungjawab untuk periksa dan semak semua barang-barang yang dibawa masuk ke rak untuk jualan. Terlalu percaya atau longgar sangat syarat dikenakan kepada pengedar pun tak boleh juga. Mana kita tahu dalam ramai-ramai pengedar, ada seorang dua yang busuk hati, buruk perangai terhadap kita. Diletaknya produk salah atau haram, menangis tak berlagu la. Dan, memang betul tekaan Pak Dee, kerana inilah yang berlaku kepada KK Mart. Kerana terlalu percayakan pengedarnya, akhirnya memakan diri sendiri. Semua pengurusan KK Mart kena kecam, kena kutuk, kena sumpah seranah dan kena panggil soal siasat. Tika itu, panggillah semua pemegang taruh, ahli lembaga buat mesyuarat tergempar pun dah tak guna. Buat permohonan maaf dan beri pelbagai alasan pun sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Umat Islam sudah terguris. Ini yang dikatakan, kalau Allah nak tarik nikmat seseorang, dalam sekelip mata sahaja Allah lakukan. Tetapi, manusia tak pernah mahu ambil pengajaran dari insiden yang lepas-lepas. Dalam al-Quran sudah jelas Islam itu agama yang benar. Dan, dalam Perlembagaan Negara juga sudah termaktub, Islam itu agama Persekutuan. Tidak ada agama lain boleh mengatasi agama Islam, tetapi tidak dihalang untuk penganutnya beramal dengan agama masing-masing, asalkan jangan sentuh agama orang lain. Dalam undang-undang juga sudah jelas dinyatakan, mana-mana penganut agama lain tidak boleh menghina agama Islam. Begitu juga yang beragama Islam tidak boleh menghina kepercayaan agama lain. Ini yang dipanggil majmuk. Hidup bermasyarakat dengan penuh keharmonian walaupun berlainan agama. Tetapi, dalam selalu peringatan ini diperingatkan, masih ada juga yang mengambil kesempatan nak gugat keharmonian. Mereka dengan sengaja bermain dengan sentimen keagamaan. Menyentuh sensitiviti penganut-penganut agama yang ada di Malaysia dengan tujuan untuk menimbulkan kemarahan, kekacauan dan ganggu-gugat. Jadi, apa yang Pak Dee nak titipkan di sini, inilah yang berlaku kalau ada pihak cuba menjolok sarang tebuan. Bila tebuan mengamuk, tiada maaf bagi mu. Dan, inilah yang berlaku kepada KK Mart. Buat perkara ditegah ni memang seronok, tapi bila kena cekup, bila sudah terhantuk baru nak tengadah. Minta maaf berjela-jela pun tak guna lagi. Dan, dalam bab KK Mart ni, mereka patut berterima kasih kepada umat Islam Malaysia. Walaupun kalimah Allah Yang Maha Suci disentuh, umat Islam tidak seagresif seperti saudara seagamanya di negara-negara lain. Kemarahan umat Islam di Malaysia tidak sampai tahap nak bakar kedai. Tidak sampai tahap nak berhimpun depan kedai. Umat Islam Malaysia cukup berdisiplin dalam mengajar pihak yang menghina agamanya. Iaitu, boikot. Mereka tidak masuk membeli di kedai KK Mart. Mereka gunakan kuasa membeli mereka di kedai-kedai Muslim. Jadi, KK Mart mahupun rakan-rakan yang sewaktu dengannya tak boleh marah kepada Muslim kalau kedai mereka tidak lagi dikunjungi. Kami sebagai umat Islam, kami patuh pada ajaran agama kami, yang minta kami berdisiplin dalam semua hal. – NasionalDaily 24hb Mac 2024

Jangan boikot bazar Ramadan, boikot peniaga jual makanan basi

SELAMAT berpuasa Pak Dee ucapkan. Belum terlambat untuk buat ucapan kepada pembaca NasionalDaily, kerana puasa baru masuk hari keempat. Dan, hari keempat puasa juga sudah riuh pasal makanan basi, lauk berulat dan air yang dijual di bazar-bazar Ramadan sudah berbau masam. Bab puasa ni, Pak Dee sejak dulu sampai sekarang tak pernah terbeli makanan basi, lauk berulat mahupun air sudah masam, sebab Pak Dee tak pernah beli di bazar Ramadan. Hari-hari sepanjang 29 atau 30 hari puasa, Pak Dee masak sendiri je. Paling simple Pak Dee goreng nasi dengan cili boo, campak udang atau kerang. Masa berbuka makan nasi goreng berulamkan timun cicah budu. Lebih sedap dan lebih menyelerakan dari beli di bazar Ramadan. Setiap kali tiba Ramadan, Pak Dee selalu ingatkan dan pesan pada saudara mara, kawan taulan, sahabat handai, jangan beli makanan atau minuman di bazar Ramadan. Hari pertama okay lagi, semua makanan dan minuman fresh-fresh, masuk hari kedua dah rasa maung (makanan dah mula rasa macam basi). Apa tidaknya, makanan yang tak habis dijual pada puasa pertama, dicampur dengan masakan baharu pada hari kedua. Kemudian bila yang basi campur dengan yang baharu hari kedua tak habis, dicampur lagi dengan masakan baharu pada hari ketiga, maka lain macam lah makanan atau minuman tu. Bayangkan, segala bakteria dan kuman pada sisa makanan hari pertama dan hari kedua dijual pada hari ketiga. Mahu tak sakit perut. Bila sakit perut dan termakan makanan basi, minuman masam, mulalah viral di media sosial. Dalam bab ni, Pak Dee tak tahu nak salahkan siapa. Pak Dee percaya semua pelanggan yang berkunjung ke bazar Ramadan, matanya okay, hidungnya okay dan telinganya pun okay. Bila semua okay, mustahil masa mereka beli makanan dan minuman tu tak dapat lihat keadaan makanan tu atau tak dapat hidu baunya. Begitu juga ada telinga, tapi tak nak dengar nasihat orang supaya jangan beli di bazar Ramadan. Biasanya, peniaga makanan dan minuman di bazar Ramadan ni 90 peratus adalah muka baru, bukan peniaga yang sudah lama berniaga. Peniaga baru biasanya meniaga nak kaut untung, mereka tak ambil berat pun soal kualiti makanan dan minuman. Janji makanan dan minuman mereka laku. Peniaga lama meniaga kerana nak jaga imej mereka, sebab selepas raya, mereka akan teruskan berniaga dan perlu jaga hati pelanggan. Peniaga baru, habis sebulan Ramadan, mereka bungkus segala alat-alat untuk digunakan pada Ramadan akan datang. Tak ada pelanggan tetap pun mereka tak kisah, sebab pelanggan mereka sentiasa orang baharu. Sebab itu Pak Dee selalu pesan, jangan beli makanan dan minuman di bazar Ramadan. Dan, kerana tak dengar nasihat Pak Dee, maka hari ketiga Ramadan lagi dah bising terbeli makanan basi. Kemudian hari ni Pak Dee dengar sosek sosek pakat nak boikot bazar Ramadan, macam mereka boikot McD, Starbuck dan KFC. Pada Pak Dee, tak wajar nak boikot sebab akan memberi kesan pada peniaga lama. Peniaga yang jual makanan fresh. Kalau nak boikot juga, boikotlah peniaga yang jual makanan basi dan air masam tu. Kenal pasti tapak gerai dan muka peniaga tu, kemudian beritahu kepada orang ramai jangan sekali-kali singgah beli di situ. Itu cara betul nak boikot. Bazar Ramadan tak salah. Maka tak perlu nak boikot. Yang salah ialah peniaga bidan terjun tu. Masak tah apa-apa, lebih kepada syok sendiri. Soal kualiti diletaknya ke belakang. Kemudian datang pelanggan yang mata rabun, hidung resdon terus beli makanan tu walaupun lauknya ada telur lalat. Akibatnya, kerana nila setitik habis susu sebelanga. Atau kerana seekor kerbau membawa lumpur habis terpalit pada yang lain. Jangan, Pak Dee nasihat jangan cuba nak boikot bazar Ramadan. Kesian orang lain yang tak tau memasak nak berbuka puasa nanti. Pak Dee, walaupun tak pandai masak, arwah mak ada tinggalkan resipi singgang ikan, tumis ikan bilis dan tumis ketam. Tiga resipi ni kalau Pak Dee masak gilir-gilir dah seminggu bertahan makan masakan sendiri. Minggu seterusnya, goreng kunyit ikan, makan dengan budu. Selera betul. Ramadan tak mestinya kita kena makan makanan sedap-sedap. Menu biasa pun menyelerakan untuk dijadikan juadah berbuka puasa. – NasionalDaily 15hb Mac 2024

Ayah Sin arkitek padi dan beras

SEJAK mutakhir ni heboh pasal padi dan beras. Heboh di Parlimen mahupun heboh di luar Parlimen. Ada yang kata padi tak bermutu, ada yang mendakwa beras tidak ada di pasaran. Setakat ni Alhamdulillah, Pak Dee tak berdepan lagi dengan ketiadaan beras di pasaran. Pak Dee pergi ke kedai runcit, pergi ke pasar raya borong pun beras bertimbun-timbun di rak. Yang mendakwa kata beras tak ada tu Pak Dee tahu macam mana boleh berlaku. Mungkin di kedai runcit sekitar kampung mereka lah kot tak ada bekalan. Pada Pak Dee, semuanya mencukupi. Apa yang menarik perhatian Pak Dee mengenai padi dan beras ni, suka Pak Dee nak imbau di zaman awal 90-an, di mana Pak Dee bekerja di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kota Bharu, Kelantan. Ketika Pak Dee mula masuk kerja, pengerusinya adalah Tan Sri Hussein Ahmad atau lebih mesra dan dikenali dengan panggilan Ayah Sin. Pak Dee bertugas sebagai Ketua Wartawan Radio KADA waktu itu. Sebagai wartawan, tugasan harian Pak Dee ialah ikut Ayah Sin hadir ke program-program di setiap kampung. Pak Dee lihat dan merasai sendiri suasana cara Ayah Sin bekerja. Hampir setiap bulan ketika Ayah Sin mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah KADA, agenda utama yang Ayah Sin tekan ialah, “jangan sekali-kali keluasan sawah dalam kawasan KADA berkurangan. Ayah Sin juga tekankan kepada pegawai-pegawai kanan KADA, agar pastikan jumlah pengeluaran padi di enam kawasan seliaan agensi itu sentiasa mengatasi daripada jumlah sebelumnya. Maknanya, Ayah Sin tekankan kepada dua aspek, keluasan sawah dan jumlah pengeluaran padi. Banyak reformasi telah Ayah Sin lakukan seperti melarang sawah ditukar kepada status pembangunan. Maksudnya, Ayah Sin tak mahu setiap inci sawah ditukar hak milik status. Iaitu tak boleh dibina rumah atau sebarang pembangunan di atas sawah. Malah, mana-mana sawah yang terbiar, Ayah Sin minta pegawai KADA ambil dan tanam dengan padi. Ayah Sin juga galakkan anak-anak petani ikut jejak langkah keluarga mereka. Turun ke bendang, usaha tanaman padi. Hasilnya, boleh tamping perbelanjaan diri dan keluarga. Sebab itu, di zaman Ayah Sin, anak-anak muda tak segan silu turun berselut di bendang. Mereka tak takut pada panas. Mereka tak takut pada hujan. Jadinya, hasil pengeluaran padi bertambah setiap musim. Kalau ada satu-satu kawasan hanya boleh usaha dua musim setahun, Ayah Sin tingkatkan kepada lima musim dua tahun. Ayah Sin tekankan jadual air. Pastikan sepanjang tali air KADA sentiasa ada air mencukupi untuk mengairi sawah. Petani dan anak-anak mereka makin seronok. Tak cukup dengan itu, petani dan keluarga boleh tambah pendapatan dengan menternak itik dalam bendang bila habis musim menuai dan menternak ikan di sepanjang tali air. Ayah Sin juga wujudkan Satu Kampung Satu Pengeluaran. Perkenalkan zon buah-buahan dan projek KADA Stop. Yang dapat hasil daripada semua program yang diperkenalkan ialah petani dan anak-anak mereka. Ayah Sin juga perkenalkan projek Ladang Merdeka. Juga perkenalkan Ladang Benih. Sebab itu, setiap kali tiba musim tanaman, bekalan benih sentiasa mencukupi dan pengeluaran padi dan beras memenuhi keperluan negara. Tak pernah dengar negara kekurangan padi. Tak pernah dengar negara kekurangan beras tempatan. Sebab proses pengeluarannya sentiasa beroperasi tanpa henti di enam kawasan KADA. KADA mempunyai enam kawasan seliaannya yang mencakupi 70 peratus keluasan tanah Kelantan. Kawasan itu ialah Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Bachok dan Pasir Puteh. Ketika ini tidak ada satu ekar sawah pun dibina rumah. Semuanya keluasannya menghijau dan menguning dengan pokok padi. Namun, selepas Ayah Sin tidak lagi menjadi Pengerusi KADA dan ditukar kepada orang lain, jumlah keluasan sawah dan pengeluaran padi makin merosot. Rumah-rumah, kilang-kilang dan pelbagai pembangunan dibina di sawah-sawah. Jumlah keluasan yang dijaga dan dititik berat oleh Ayah Sin makin mengecil. Bila keluasan sawah mengecil, ia juga memberi kesan kepada jumlah pengeluaran padi. Dari situ, negara mula berdepan dengan krisis makanan iaitu beras. Dan, mulalah rakyat Kelantan beralih selera kepada beras Siam. Kini, setiap kali Pak Dee balik Kelantan, Pak Dee sedih, tanah-tanah sawah yang dulu menyumbang kepada pengeluaran padi dan beras mula bertukar kepada kediaman. Ramai mengalihkan untuk membina rumah di sawah sebab harga tanahnya murah berbanding harga tanah di daratan. Maka, dengan itu, industri padi di Kelantan mula malap. Tali air KADA juga tidak lagi ceria seperti sebelumnya. Rumah-rumah pam milik KADA di Kemubu, di Mekasar dan di Lemah mula sepi. Tidak lagi kedengaran ngauman enjinnya mengepam air dari Sungai Kelantan. Sawah-sawah yang tidak terlibat dengan pembinaan rumah dan pembangunan mula terbiar. Anak-anak muda mula berhijrah ke ibu kota mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga. Bukan itu saja, kilang-kilang mesin beras yang dulu meriah, kini sudah hilang dari tapak, satu demi satu roboh. – NasionalDaily 07hb Mac 2024

Ahad, 3 Mac 2024

Sakit jiwa dengan sistem rawatan bercelaru

PAGI ni Pak Dee ke Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam sebab ada temujanji rawatan susulan penyakit empat serangkai yang Pak Dee hidap. Temu janji jam 9 pagi. Pak Dee sampai jam 8.30 pagi. Sebaik sampai Pak Dee ke kaunter ambil nombor. Kaunter ni ditempatkan di luar pintu masuk ke bangunan klinik atau lebih mudah cakap, di kaki lima bangunan klinik. Selesai ambil nombor, Pak Dee kena tunggu di kerusi luar bangunan klinik. Tunggu nombor giliran dipanggil untuk ke kaunter pendaftaran. Lebih setengah jam menunggu, nombor giliran Pak Dee tertera di papan letronik. Papan nombor giliran letronik pun dah nampak uzur. Ada nombor terang mudah nampak, ada nombor blur sukar nak tengok. Pak Dee berjalan masuk ke bangunan klinik. Ambil masa lebih 30 saat juga nak sampai ke kaunter pendaftaran dan dua tiga kali juga ulang sebut nombor giliran Pak Dee sementara sampai ke kaunter tu. Jaraknya taklah jauh. Ada la dalam 70 ke 100 meter. Yang sihat macam Pak Dee boleh sampai dalam 30 saat, tapi yang berkerusi roda, mahu seminit lebih nak sampai. Di sini, banyak masa lompong. Terbuang. Dalam dua tiga minit selesai pendaftaran, Pak Dee diarah pula ke kaunter check tekanan darah dan gula. Di sini, Pak Dee tunggu hampir 20 minit untuk nama dipanggil. Selepas tiba giliran, Pak Dee diperiksa tekanan darah, diminta timbang berat badan dan dicalit sikit darah di jari untuk tengok paras gula. Selesai. Pak Dee diarah pula ke kaunter ambil darah bersekali dengan ambil air kencing. Dalam 15 minit menunggu nama dipanggil untuk proses ambil darah dan air kencing, tiba-tiba nombor Pak Dee di bilik doktor sudah tertera. Tika ni Pak Dee serba salah, nak tunggu nama dipanggil untuk ambil darah dulu atau nak terus masuk jumpa doktor. Sebabnya, nombor giliran Pak Dee di bilik doktor dah disebut tiga kali. Kalau melepas yang ni, Pak Dee kena tunggu lagi. Maka, Pak Dee putuskan masuk bilik doktor dulu. Masuk tanpa bawa buku rawatan dan kertas nombor giliran. Doktor minta buku rawatan, Pak Dee kata buku dah letak di kaunter ambil darah dan air kencing. Ok, tak apa kata doktor. Dia ambil sekeping kertas catat nama-nama ubat dan tarikh temu janji akan datang (31hb Julai 2024, jam 9 pagi). Lama juga dalam bilik doktor. Ada dekat 10 minit. Selesai jumpa doktor, Pak Dee diminta oleh doktor untuk terus ke kaunter ambil darah dan air kencing yang Pak Dee dah terlepas masa berada dalam bilik doktor. Dekat 10 minit tunggu, Pak Dee nampak petugas letak semula buku rawatan Pak Dee dalam bakul depan pintu masuk ke bilik ambil darah. Pak Dee ambil buku tu dan masuk ke bilik ambil darah tanya, boleh tak ambil darah saya? Petugas tegur, tadi dah dua tiga kali panggil nama, tak datang dan kena tunggu giliran semula. Pak Dee jawab, masa nama saya dipanggil saya dalam bilik doktor. Dia tak layan. Lalu Pak Dee kata, sistem di klinik ni sungguh celaru dan mengelirukan. Lebih menyusahkan pesakit daripada melegakan pesakit. Petugas tu diam sambil selesaikan urusan ambil darah pesakit di depannya. Pak Dee sekali lagi merungut. Pak Dee kata, sepatutnya prosedur rawatan mesti ikut sistem, bukan dalam satu masa nama pesakit dipanggil masuk di dua tempat berasingan. Pak Dee terus keluar dari bilik ambil darah dan air kencing. Memandangkan jam dah lebih 11 pagi dan hampir dua setengah jam menunggu proses rawatan, Pak Dee ambil keputusan pergi saja ke kaunter ubat. Lupakan proses ambil darah dan air kencing dan selepas itu ada satu lagi proses yang Pak Dee kena lalui, iaitu periksa mata dan main ketuk-ketuk kaki (nak uji urat saraf Pak Dee masih berfungsi dengan elok lagi atau dah separuh lapuk). Proses periksa mata ini pun sekurang-kurangnya ambil masa setengah jam menunggu. Jadi, Pak Dee tak nak tunggu lama, Pak Dee terus ke kaunter ubat, serahkan diskripsi yang doktor bagi dan tunggu. Dalam 20 ke 25 minit menunggu, nombor giliran Pak Dee dipanggil untuk ambil ubat. Selesai saja dapat ubat untuk bekalan dua bulan dan dimasukkan dalam beg plastik atau jabir rokrak, Pak Dee terus bergerak balik, tanpa lalui proses ambil darah, air kencing, periksa mata dan sesi main ketuk-ketuk kaki. Biarlah. Sebagai pesakit, tempat untuk rehat ialah di rumah, bukan di klinik. Paling lama seseorang pesakit boleh menunggu sekitar satu ke satu setengah jam. Kalau lebih dua jam belum selesai lagi, makin sakit pesakit, bukan makin sihat. Lagi pun, pesakit ke klinik hanya nakkan ubat saja. Proses ambil darah, ambil air kencing, periksa mata dan ketuk-ketuk kaki tak perlu semua tu. Kalau nak juga Pak Dee lalui semua proses tu tunggu temu janji akan datang 31 Julai 2024 ini. - NasionalDaily

Caj mesin ATM, dulu RM1,500 + RM1, sekarang RM1,500 + RM2

PAGI tadi (28hb Feb 2024) Pak Dee pergi ke pasar raya NSK di Klang. Niat asal ke sana sebab nak gunting rambut. Kebetulan duit dalam poket tinggal berapa rial (ringgit) saja, Pak Dee ke mesin ATM nak keluarkan duit. Sampai di mesin ATM MEP, Pak Dee masukkan kad, tekan nombor pin, tekan Bahasa Malaysia, tekan akaun Simpanan dan tekan jumlah duit nak dikeluarkan. Selesai aturan tu, duit tak keluar. Yang keluar hanya resit. Pak Dee cuba kali kedua. Masukkan kad ATM, tekan itu tekan ini, yang keluar hanya resit, bukan duit. Pak Dee sangka mesin tak ada duit. Lepas tu Pak Dee ambil kad, beratur mesin ATM sebelah. Kebetulan ada seorang abang sedang keluarkan duit. Dia yang maklumkan pada Pak Dee, mesin yang Pak Dee guna tu hanya boleh keluarkan duit bawah nilai RM1,000. Abang tu kata, tu taktik licik bank. Mereka nak pelanggan keluar lebih daripada sekali di mesin berkenaan, sebab sekali keluar bank caj RM1. Kalau dua kali keluar bank dapat RM2. Ooo bijak, bijak, kata Pak Dee pada abang sebelah. Kemudian, Pak Dee ke mesin itu lagi untuk masukkan kad ATM kali ketiga dan tekan jumlah pengeluaran RM1,000. Memang benar, duit RM1,000 keluar dari mesin itu. Kali pertama dan kedua tadi Pak Dee nak buat pengeluaran RM1,500. Duit tak keluar. Dengan pengeluaran RM2,000 dalam dua kali proses, Pak Dee hilang RM2. Pandai bank buat untung atas angin. Atas Pak Dee seorang buat dua kali pengeluaran, bank dah dapat RM2. Bayangkan, kalau yang buat pengeluaran duit hari tu lebih 100 orang, senang-senang bank dapat lebih RM200 untung, hanya atas caj RM1 sekali keluarkan duit sahaja. Bayangkan juga lagi kalau puluh ribu mesin MEP kenakan taktik macam tu, berapa juta ringgit sehari bank dapat untung. Mereka senang-senang lipat untung atas kesusahan rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Oleh kerana Pak Dee hanya insan yang kerdil, kalau bersuara pun tak ada siapa yang kisah, maka akan berlarutanlah kes seperti ini berlaku di luar sana tanpa sebarang ‘teguran’ daripada kerajaan atau pihak berkaitan. Bagaimanapun, kes macam ni berlaku pada mesin ATM yang sediakan khidmat MEP. Kalau Pak Dee guna mesin Maybank, dah barang tentu tak kena caj. Yang dikenakan caj ni kalau Pak Dee guna kad Maybank, tak cocok duit di mesin ATM bank lain. Itu Pak Dee dah tahu, pihak bank akan kenakan caj RM1 untuk sekali pengeluaran. Tapi, dalam kes Pak Dee ni, mesin ATM berkenaan tak terima kalau kita nak keluarkan RM1,500 sekali pengeluaran. Mesin ATM tu kenakan syarat Pak Dee perlu buat dua kali pengeluaran iaitu kali pertama RM1,000 + RM1 dan kali kedua keluar RM500 + RM1. Nampak tak? Dulu keluar RM1,500 + RM1. Sekarang keluar RM1,500 + RM2. Memang bank tak kenakan caj yang tinggi pun, cukup sekadar RM1 saja seorang. Tapi, kalau satu juta buat pengeluaran sehari, takkah RM1 juta bank dapat untung dalam sehari? Kepada pemilik bank yang tamak haloba, menjawablah di akhirat kelak atas caj RM1 yang kamu kenakan di bawah syarat atau peraturan baru tu. Makan duit orang kaya Pak Dee tak kisah. Ini kamu makan duit rakyat yang bekerja dengan pendapatan gaji tak sampai pun RM1,000 sebulan atau RM1,500 sebulan. Dalam keadaan rakyat hidup bertengat, berjimat cermat, kamu kaut lagi bahagian mereka untuk tembolok kamu. Dan, kepada pihak berkaitan, cuba-cubalah tengok-tengok sikit kerenah bank ni. - NasionalDaily

Nasib tuan lah dapat majikan macam tu

PAK DEE bukanlah nak sokong sangat Menteri Pelancongan dalam bab dia gunakan kuasa menterinya untuk turunkan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dr. Ammar kepada pangkat Timbalan Ketua Pengarah. Tetapi, Pak Dee lebih suka tengok dalam konteks ‘lama bekerja tidak semestinya cemerlang sampai ke pencen’. Memanglah bagi seseorang yang berada di kerusi nombor satu dalam jabatan atau agensi akan berasa canggung, ralat atau kecewa kalau tiba-tiba diturunkan ke kerusi nombor dua. Selain di mana nak letak rasa malu, terasa juga maruah diri telah diperkotak-katikkan sedemikian rupa oleh majikan, yang kebetulan pula majikan jenis angin tohor. Pak Dee kata begini kerana Pak Dee pun ada pengalaman serupa juga dengan KP Tourism tu. Cuma, lapangan kerja Pak Dee berbeza dengan KP Tourism. Pak Dee dalam dunia dan kerjaya kewartawanan. Sebagai pengamal media yang bekerja selama hampir 40 tahun, Pak Dee dah pegang semua jawatan yang ada. Dari pemberita sambilan, pemberita, wartawan, wartawan kanan, ketua wartawan, penyunting kanan, pengarang sampailah ke jawatan paling tinggi dan besar, ketua pengarang. Tapi setakat akhbar nyamuk saja lah. Ketika Pak Dee berasa syok pegang jawatan pengarang, tiba-tiba majikan bagi notis tukar jawatan dan pangkat Pak Dee kepada penyunting kanan. Tukar tu kononnya khidmat Pak Dee diperlukan di biro (tak kira diperlukan di mana-mana pun, tapi kenapa sampai perlu turun pangkat?) Memang blur lah bila mula-mula berdepan dengan tindakan majikan ni. Seminggu hilang selera makan, fikirkan nasib. Nampaknya, tak ada peluang cerah bekerja dengan majikan macam ni. Apapun, Pak Dee akur dan muhasabah dengan apa yang berlaku. Ada yang tanya kenapa jawatan sentiasa bertukar, tidak kekal selama-lamanya atau makin lama bekerja makin tinggi jawatan, pangkat dan gaji? Jawapannya mudah saja. naik turun pangkat seseorang terletak pada majikan. Tapi, kalau kita tanya kepada majikan kenapa dipecat, dibuang atau diturunkan pangkat? Alasannya mudah saja, kamu sudah tidak diperlukan di jabatan ini lagi. Atau, prestasi kerja kamu makin merosot, tempat kamu akan digantikan dengan orang baharu’. Jadi, pada Pak Dee, lama atau baharu seseorang bekerja tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk orang di luar sana melihat kepada kesenioritian kita. Memang, dari segi tempoh kerja kita sudah dianggap senior, atau lebih kanan, tetapi majikan pula melihat sejauhmana idea kita berkembang untuk syarikat. Demikianlah yang berlaku antara seorang menteri dengan KPnya. Menteri kata, KPnya tidak lagi tunjuk prestasi kerja yang bagus, selalu ingkar arahan. Jadi, jalan terbaik ialah turunkan pangkat. Itu cara betul untuk KP berkenaan balik rumah, tulis notis nak bersara awal. Dan, memang betul apa yang dikatakan bekas Pengerusi Kada, Tan Sri Hussein Ahmad sekitar awal 90-an, mengenai kesan bila seseorang sudah terlalu lama memegang jawatan. Ayah Sin kata, “bila seseorang itu terlalu lama sangat dengan jawatannya, akan tiba masanya fikirannya akan blur, habis idea dan akhir sekali dia akan ulang perkara sama dengan nama lain untuk kononnya nampak macam baharu. Kalau sekali imbas, memang baharu, tetapi baharu pada nama, bukan pada kontennya. Kepada mantan KP Tourism, Pak Dee hanya mampu minta tuan bersabar dengan ujian yang menimpa tuan. Nasib tuan lah dapat majikan macam tu. - NasionalDaily

Makin meluat kisah artis dengan ipar

PAK DEE rasa meluatlah dengan kisah seorang artis ni. Dulu bising berebut harta peninggalan arwah ahli keluarga sampai menafikan hak ipar. Lepas tu berlaku tuduh menuduh, sindir menyindir, kata mengata, perli memerli hingga saman menyaman. Surat khabar pula tak henti-henti siar sebar kisah artis dengan ipar ini. Sekejap lapor begini, sekejap lapor begitu hinggakan pembaca pening yang mana satu benar, yang mana satu bohong. Memang macam inikah kehidupan artis? Benda kecil diperbesar-besarkan, benda yang tak ada sebenarnya pun diuli, diulas sampai jadi isu besar, mengalahkan isu Israel-Palestin. Padahal, dalam kes artis dan ipar ni asalnya tak ada apa pun. Normal macam rumah tangga orang lain juga. Tapi entah kenapa, dalam kes ni ia jadi besar. Heboh satu dunia kisah rumah tangga. Langsung tak ada rasa malu, rasa hormat antara satu sama lain. Demi nak raih publisiti murahan sebenarnya. Pak Dee ambil contoh isu artis ni – sebenarnya belum layak lagi bergelar artis, tapi tak apalah Pak Dee bagi penghormatan - dengan iparnya ini. Kisahnya bermula dengan iparnya kehilangan suami, yang meninggal dunia. Kebetulan mereka dikurniakan seorang anak dan ada sedikit wang simpanan yang ditabung bersama ketika suami masih ada kudrat mencari rezeki. Mengikut logik akal, kalau suaminya sudah meninggal dunia, wang tabungan itu adalah milik si isteri, bukan milik ibu atau milik adik beradik si arwah. Dengan tabungan itulah, si isteri atau si balu nak gunakan untuk tampung makan minum anak kecil. Nak harapkan mertua atau ipar, mereka pun ada komitmen masing-masing. Mungkin kerana tak mahu keluarga arwah terbeban menanggung dirinya dan anak kecil, maka dia buat keputusan keluar dari rumah itu. Pulang ke kampung untuk teruskan kehidupan bersama ahli keluarga kandung. Tapi, tindakan itu kurang disenangi ahli keluarga si arwah. Dituduhnya macam-macam. Padahal ribu-ribu saja duit tabungan yang dibawanya bersama, tapi dijadikan isu seolah dia bawa lari jutaan. Pak Dee ingat, bila ipar kehilangan suami, maka adik beradik ipar nak pakat bantu, pakat tolong. Rupanya tidak. Dihenyak dan dimalukan di khalayak. Apa jenis manusia ni. Lepas tu, bila orang saman dan kita kalah, mula la meroyan tak tentu hala. Mula la tagih simpati orang ramai kerana kena jual harta benda nak selesaikan hutang saman ipar. Sebenarnya, kalau jual kebun, jual cincin, jual rantai emas anak sekalipun orang tak akan simpati. Sebab orang ramai tahu perangai dan punca awal kejadian. Pak Dee sendiri pun walau bekerjaya wartawan, tak ada selera nak stori kisah ni. Menjijikkan. Lebih lagi bab nak bayar hutang saman. Bab ni pun masih lagi nak berdrama. Tak tahu bila akan ending. Kalau Pak Dee lah, nak bayar hutang kawan atau nak bayar hutang ahli keluarga. Pak Dee just call saja maklum nak bayar hutang. Habis cerita. Kenapa Pak Dee perlu pergi ke rumah pemiutang, lepas tu bawa beberapa kawan untuk rakam video, kononnya untuk rekod dan bukti hutang telah dibayar. Tak perlu semua tu. Dan, memang patut serta wajarlah kalau si pemiutang tak mahu terima wang tunai yang dibawa si berhutang sebab cara datang dan cara nak bayar tu sudah tak Ikhlas. Ada udang sebalik batu. Apapun, Pak Dee harap kisah ini habis cepat-cepat. Jangan jadi macam filem hindi, dah nazak pun masih banyak cakap. – NasionalDaily

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran