Sabtu, 22 Disember 2018

Antara tragedi Allahyarham Adib, Nurul Izzah dan masuk PPBM

DALAM bulan Disember ini saja tiga peristiwa besar telah tercatat.
Pertama dan yang terbaharu, berita kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim ke rahmatullah.
Kedua dan juga terbaharu, Nurul Izzah Anwar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang.
Ketiga dan agak tidak menarik, tetapi nak catat juga, ialah kemasukan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO, Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Daripada tiga peristiwa itu, kematian Allahyarham Muhammad Adib yang paling menyayat hati, sedih, sebak dan tidak dapat menahan perasaan amarah kepada pihak tertentu yang menyebabkan anak kedua daripada empat beradik itu meninggal dunia.
Arwah telah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya menjaga negara dengan begitu sempurna sekali, tetapi disebabkan ada manusia pemuja setan yang hilang akal, mereka jadikan Muhammad Adib sebagai objek belasahan tanpa sedikit pun zahir rasa kesian dan kesal.
Akhirnya, kerja-kerja memadam kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman Seafields, dekat Subang Jaya itu tidak dapat diteruskan kerana dihalang oleh manusia durjana yang mengamuk bagai orang hilang akal.
Akibat daripada belasahan itu, Muhammad Adib yang baru berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dalam anggota badannya.
Arwah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada malam kejadian itu 27 November lalu, kerana mengalami kegagalan jantung dan paru-paru berfungsi.
Selama 20 hari Muhammad Adib menerima rawatan. Keadaannya ada kalanya stabil, ada kalanya kritikal. Ramai pemimpin kerajaan baharu datang menziarah, bergambar dan pulang begitu sahaja.
Sehingga 8 Disember lalu, seramai 106 individu yang dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan itu ditangkap polis untuk siasatan, dan lebih menarik, dua hari selepas itu, empat lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mencederakan Muhammad Adib, dibebaskan.
Dua suspek dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000, manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis. Selesai kes.
Muhammad Adib pula sedang bertarung nyawa di IJN. Keadaannya dilaporkan kembali kritikal sebelum 12 jam dengan ajalnya. Pakar jantung bertukus lumus memastikan arwah kembali stabil.
Tetapi, takdir Allah tiada siapa boleh melawan. Muhammad Adib dijemput Ilaihi tepat jam 9.41 malam pada 17 Disember, selang tiga hari majlis perkahwinannya dengan pasangan beliau, Nurul Najihan.
Tiada kata dapat diungkapkan. Tiada gambaran dapat diilustrasikan sebaik rakyat Malaysia, termasuk ibu bapa dan sanak saudaranya menerima berita pemergian Muhammad Adib untuk selama-lamanya ke alam barzakh. Innalillahiwainnailaihirajiun. Al-Fatihah.
Dan beberapa jam berita kematian wira negara itu, peminat politik tanah air dikejutkan dengan tindakan Nurul Izzah. Puteri reformasi PKR ini telah mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan, kecuali kekal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan ahli biasa PKR.
Jawatan kanan dalam parti, iaitu Naib Presiden dan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri (Pulau Pinang) serta beberapa jawatan dalam kerajaan termasuk Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut dilepaskan.
Apakah motif beliau berbuat demikian, ketika PPBM ghairah menerima kemasukan pemimpin-pemimpin UMNO yang lompat parti.
Sebelum itu, Nurul Izzah sudah menyuarakan rasa kurang senangnya dengan tindakan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Ahli-Ahli Parlimen dari UMNO itu.
Rasa cemburu, rasa muak dan loya mula menghantui Nurul Izzah dengan gelagat sombong pemimpin UMNO yang diterima masuk menyertai PPBM.
Sedangkan, pemimpin-pemimpin ini yang Nurul Izzah bersama seluruh pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) bermusuh dan memeranginya.
Apabila ‘perang’ sudah tamat dan PH diumumkan sebagai pihak yang menang, alih-alih berduyun-duyun pemimpin UMNO lompat parti dan diterima dengan tangan terbuka oleh Tun Dr Mahathir.
Siapa tidak marah. Siapa tidak geram apabila atuk buat perangai sehingga mengguris hati dan perasaan rakan gabungannya?
Dulu, di awal penggabungan untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN), apa yang mereka janji? Sehidup semati kan. Tetapi selepas menang, apa dan siapa yang mula menikam kawan dari belakang? Atuk juga kan.
Mungkin ini antara simptom yang menjadi punca kepada Nurul Izzah ‘mengamuk’ meletakkan jawatan dalam parti.
Dan, ada khabar angin mengatakan dia nak kawin. Wallahu’alam.
Ketiga, mengenai pemimpin UMNO lompat parti. Yang ini saya malas nak ulas panjang-panjang sebab ia bukan berita penting sangat pun berbanding berita lebih besar, ‘orang gigit anjing’. – MalaysiaGazette
Siaran 18 Disember 2018

Bila orang cakap tak serupa bikin bercakap

DULU, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, parti-parti komponen pembangkang seperti DAP, PKR dan Pas selalu menganjurkan perhimpunan haram.
Bagi mereka, kononnya itulah cara nak menyatakan rasa tidak puas hati pentadbiran kerajaan terhadap mereka dan rakyat.
Bagi pihak kerajaan pula, kalau pembangkang hendak mengadakan perhimpunan, macam-macam peringatan dikeluarkan, termasuk mengatakan berdemonstrasi bukan budaya rakyat Malaysia.
Kalau nak zahirkan rasa tidak puas hati, ikutlah saluran yang betul. Berbincang dan berunding, bukan menjerit, berteriak di tepi-tepi jalan raya.
Pihak berkuasa seperti polis pun selalu mengingatkan parti-parti yang nak berdemonstrasi, sila laporkan lebih awal kepada polis tarikh perhimpunan dan patuhilah peraturan yang ditetapkan. Jangan sekali-kali ganggu kacau ketenteraman awam atau merosakkan harta benda awam.
Tahu sajalah pembangkang waktu itu. Berilah apa nasihat dan pandangan sekali pun, mereka akan buat pekak badak. Mereka tetap berdemonstrasi. Tak boleh di Dataran Merdeka, mereka berhimpun di pekarangan pusat beli belah Sogo. Paling tidak pun di Padang Merbok.
Selalu yang terlibat dalam demonstrasi haram ini pemimpin kanan pembangkang. Mereka pakai baju yang tertulis macam-macam perkataan dan ayat yang berbaur kemarahan kepada kerajaan.
Ada yang baring, ada yang duduk, ada yang berdiri. Mereka tunjukkan protes. Mereka mengajak rakyat keluar beramai-ramai di ibu kota. Kononnya, inilah masa dan ketikanya nak tunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.
Macam-macam nama perhimpunan diadakan. Dari Bersih kepada Bersih 1.0, Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan Bersih 4.0. Semuanya atas alasan demokrasi.
Kerajaan pula terpaksa akur dengan perbuatan itu walaupun ia tidak elok pada kaca mata umum kerana boleh memberi kesan kepada ekonomi negara dan pelancong asing yang ada di ibu kota.
Sekarang, pembangkang sudah menjadi kerajaan dan yang belah kerajaan dulu sudah bertukar tempat duduk jadi pembangkang.
Pas yang tidak pernah jadi kerajaan Persekutuan, kekal sebagai pembangkang. Masa dalam Pakatan Rakyat dulu pun Pas pembangkang, dah bertukar kerusi pun Pas masih pembangkang. Pembangkang selama-lamanya.
Ingatkan, bila pembangkang sudah jadi kerajaan, tidak ada lagilah cerita-cerita berhimpun secara haram. Sebab ketika BN jadi kerajaan dulu mereka tahu demonstrasi itu tidak baik, dan Pakatan Harapan bila sudah jadi kerajaan, tidak ada sebab lagi mereka nak berhimpun secara haram.
Tapi, semua itu cakap tak serupa bikin belaka. Kerajaan yang jadi pembangkang pula anjurkan perhimpunan haram dan pembangkang yang jadi kerajaan melarangnya.
Dunia sudah terbalik. Semua yang dicakapkan oleh kedua-dua pihak selama ini tidak boleh dipakai. Tak boleh dipercayai. Mereka hanya berpolitik siang malam.
Antara Pakatan Harapan dengan BN masing-masing dua kali lima. Masa Pakatan Harapan jadi pembangkang, mereka tahu undang-undang dan peraturan, tetapi sengaja dilanggarnya. Begitu juga dengan BN, mempertahankan habis-habisan undang-undang yang ada.
Apabila roda memusingkan Pakatan Harapan di atas, BN di bawah, BN pula melanggar undang-undang dan peraturan, manakala Pakatan harapan bermati-matian mempertahankan undang-undang yang kononnya dijunjung.
Mereka hanya langgar apabila bergelar pembangkang. Selepas jadi kerajaan, mereka pertahankan kedaulatan undang-undang. Macam mana mereka nak rakyat jadi insan yang baik, kalau mereka sendiri menunjukkan sikap tidak baik.
Umpama ketam mengajar anak berjalan lurus. Diri sendiri berjalan tidak betul. Mana-mana parti yang jadi pembangkang tidak perlu nak tuduh kerajaan tidak betul, kerajaan tidak adil kerana diri sendiri pun begitu juga dulu.
Kerajaan juga sama. Tidak perlu mengatakan pembangkang tidak matang, pembangkang tidak ada semangat cintakan negara, mereka sendiri pun tidak pernah berfikiran matang sebelum ini.
Saya tertarik dengan “cakap tak serupa bikin” dalam episod drama jadian dalam kerajaan Selangor. Speakernya, Ng Suee Lim baru-baru ini menegur seorang wakil rakyat dari Parti Amanah Nasional (PAN), saudara Sany Hamzan.
Masa sidang DUN itu, Sany memakai baju Melayu lengkap bersongkok dan bersampin. Melihat keadaan itu, Suee Lim menegur cara wakil rakyat itu berpakaian, kononnya telah mencemarkan dewan yang mulia.
Ketika inilah saya nak ketawa. Nak ketawa sebab sebaik diangkat sebagai Speaker, baharu dia tahu, penting dan perlunya semua wakil rakyat mematui peraturan persidangan.
Masa dia jadi pembangkang dulu, geng-geng dia tidak pernah hormati Dewan Rakyat. Ketika pemimpin lain memakai baju adat istiadat, beliau dan rakan-rakan tidak berbuat demikian.
Tidak ada pun rasa hormat walaupun dia dan rakan-rakan pembangkang tahu cara berpakaian mereka lebih teruk dari yang dipakai oleh Sany.
Ini yang dikatakan cakap tak serupa bikin. Bila kena batang hidung sendiri baharu tahu langit itu tinggi atau rendah. Selama ini, merekalah yang selalu langgar undang-undang, dan hanya sekarang kononnya mahu menegakkan undang-undang. – MalaysiaGazette
Siaran 30hb November 2018

Kenapa Akmal, tidak Dr Afif? By

PELIK bin ajaib. Itulah yang boleh dikatakan berlaku dalam proses pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi penggal 2018 – 2021 yang bermula pada 22 September hingga 10 November lalu.
Ketika dua sayap PKR, iaitu AMK dan Wanita bersidang semalam, semuanya berjalan lancar. Tidak ada sebarang kekecohan mahu pun provokasi daripada mana-mana team dicetuskan.
Setakat ini hanya ada dua team, iaitu team Rafizi Ramli dan team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kedua-duanya berentap cukup hebat sepanjang proses pengundian yang mengambil masa paling lama dalam sejarah pemilihan parti, sembilan minggu.
Dapat dilihat cahaya keceriaan pada riak muka Dr. Afif Bahardin yang tampil dengan penuh yakin pada Kongres AMK kali ke-13 semalam kononnya beliaulah yang bakal mengambil alih jawatan Ketua AMK yang baharu sebelah petang nanti.
Bahkan, ketika menuju ke dewan persidangan di tingkat tujuh Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) pun, beliau sering beriringan dengan ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad yang bakal bergelar mantan pada sebelah petang.
Semua mata perwakilan yang hadir tidak putus-putus tertumpu kepada Afif, kononnya itulah bakal ketua mereka yang akan menerajui sayap terpenting PKR dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
Ketika itu juga, langsung tidak kelihatan kelibat lawannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, dan namanya atau tubuh badannya seolah tidak wujud langsung kepada perwakilan.
Hebatnya penangan team Mohamed Azmin. Semua jawatan utama dari dua sayap dan nasional dibolot orang-orangnya – dari sayap AMK, sayap Wanita sampai ke jawatan Timbalan Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Sesi perbahasan menyokong Ucapan Dasar Ketua AMK bermula selepas solat Jumaat, iaitu kira-kira jam 3 petang, tersasar satu jam dari jadual.
Namun, seramai 14 perwakilan dari 14 negeri bijak mengurus masa. Mereka hanya bercakap hal-hal penting yang berkaitan dengan masa depan parti itu sahaja selain tidak sedikit dari mereka memberi peringatan kepada parti agar tidak melupakan rakyat yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.
Afif ketika itu yang masih berjawatan Timbalan Ketua AMK turut menyampaikan ucapan penggulungan sebelum memaklumkan kepada perwakilan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan mengumumkan keputusan jawatankuasa baharu AMK bagi penggal 2018-2021 sebaik selepas ucapan penangguhan Ketua AMK yang terakhir penggal 2015-2018, Nik Nazmi.
Jelas kelihatan wajahnya yang ceria dan semakin menghampiri ke penamat persidangan, nama Afif mula dilaung sebut oleh para perwakilan, seolah mereka tidak sabar hendak menjulang ketua baharu.
Ketika berucap Afif secara sinis menegur JPP kerana gagal mengendalikan proses pemilihan dengan baik sehingga mencetuskan pergaduhan, ada cabang terpaksa ditangguhkan pengundian berikutan masalah teknikal.
Beliau juga dengan bangga menempelak JPP kerana terpaksa mengambil masa lama untuk proses pemilihan iaitu sembilan minggu. Suatu tempoh yang cukup lama, memenatkan dan membosankan.
Katanya, untuk mengendalikan pengundian bagi 800,000 ahli pun JPP mengambil masa selama sembilan minggu, atau lebih tepat hampir satu bulan 19 hari.
“Bayangkan kalau pemilihan penggal akan datang parti mempunyai keahlian lebih satu juta, mungkin berbulan-bulan tempoh pengundian,” katanya sambil bertanya kepada perwakilan, wajar atau tidak AMK mendesak JPP agar mengkaji semula sistem pemilihan.
Semua perwakilan sepakat melaungkan setuju. Serentak itu juga Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya mengakhiri ucapan sebagai Timbalan Ketua AMK.
Selepas itu, wakil JPP mengambil alih acara terakhir itu dengan mengumumkan barisan jawatankuasa baharu AMK 2018-2021.
Namun, kejutan berlaku. Nama yang tidak disangka-sangka telah disebut sebagai Ketua AMK yang baharu, iaitu Akmal Nasrullah Ahli Parlimen Johor Bahru.
Dewan persidangan seolah panik. Majoriti daripada kira-kira 400 perwakilan yang hadir tercenggang, tertanya-tanya. Mereka seperti tidak percaya apa yang mereka dengar ketika nama Akmal Nasrullah diumumkan.
Mereka mengharapkan nama yang sudah tidak asing lagi dalam AMK, Afif disebut sebagai Ketua AMK bagi penggal 2018-2021 tetapi apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.
Itulah yang dikatakan pelik bin ajaib. Macam mana perkara itu boleh berlaku. Ketika nama lain disebut-sebut sebagai pemenang, walaupun ianya tidak rasmi lagi, kenapa secara tiba-tiba nama Afif seorang yang tersasar?
Ini yang mengganggu fikiran Afif, mungkin Mohamed Azmin, Nik Nazmi dan majoriti perwakilan serta ahli-ahli akar umbi di luar sana sendiri pun masih tidak percaya dengan keputusan rasmi yang diumumkan JPP.
Jadi, tidak peliklah kalau Akmal Nasrullah ‘diboo’ oleh perwakilan kerana namanya dan kehadirannya tidak diperlukan oleh parti.
Apapun, keputusan itu adalah muktamad dan semua pihak kena terima hakikat yang mereka menjunjung perlembagaan parti.
Yang penting, sungguhpun Rafizi kalah dan team beliau gagal memenangi jawatan-jawatan lain yang dipertandingan, sekurang-kurangnya beliau masih boleh berbangga kerana ‘zuriatnya’ masih tidak pupus. – MalaysiaGazette
Siaran 17hb November 2018