Selasa, 7 Ogos 2018

Sungai Kandis catat rekod PRK tanpa bendera, poster

KEMPEN kedua-dua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini semakin rancak dengan pemimpin besar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turun membantu calon masing-masing.
Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tidak menang tangan bergilir mengikut pemimpinnya iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam program bersama masyarakat.
Begitu juga jadual padat calon BN, Datuk Lokman Noor Adam yang terpaksa membahagikan masa kempennya untuk bersama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Khiry Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, termasuk bersama pemimpin Pas.
Pendek kata, apabila hampir dengan penamat, makin galak kempen dilakukan, walaupun ada sesetengah tempat kehadiran penduduk kurang 10 orang.
MalaysiaGazette difahamkan, kurangnya kehadiran itu bukan disebabkan sabotaj dari parti lawan, tetapi kerana terlalu acap penduduk menerima tetamu sehingga ada antaranya ‘melarikan’ diri, cuba mengelak daripada bertemu mata untuk sekian kali.
PKR juga mengehadkan pemasangan bendera dan poster calon sebagai langkah. foto AFFAN FAUZI
PKR juga mengehadkan pemasangan bendera dan poster calon sebagai langkah penjimatan. foto AFFAN FAUZI
Begitulah situasi kempen di DUN Sungai Kandis, yang mana pada minggu pertama kempen, semuanya kelihatan hambar, tanpa bendera parti dan poster calon, seolah ada kesepakatan antara BN dan PKR untuk sama-sama tidak berperang bendera dan poster.
Ini satu perkara yang baik. Sekurang-kurangnya kempen DUN Sungai Kandis boleh dijadikan perintis permulaan kepada pilihan raya kecil seterusnya untuk tidak lagi membazir dengan poster dan bendera parti.
Sungai Kandis boleh membuktikan kepada jentera parti masing-masing, bahawa tanpa memasang bendera dan poster secara keterlaluan pun, orang ramai tahu di kawasan mereka berlaku pilihan raya.
Tidak ada istilah, parti mana yang pasang bendera lebih banyak, calon mereka akan menang. Itu istilah lapuk yang harus dihapuskan, kerana pemilihan calon berdasarkan sejauh mana penerimaan rakyat kepada jasa-jasanya selama ini.
Satu perkara yang harus dipuji bagi pihak PH ialah jentera medianya bijak mengurus masa antara calon dengan wartawan, berbanding jentera media BN, yang nampak agak kelam kabut.
Setiap hari, bermula hari pertama kempen, iaitu selepas hari penamaan calon 21 Julai lalu, mulai jam 12 tengah hari, calon akan mengadakan sidang media. Di situ, beliau bebas memberi apa saja kenyataan berdasarkan input daripada program walkaboutnya.
BN pula, banyak program calon tidak dapat diikuti oleh media kerana tidak selaras dengan jadual. Bahkan, cadangan pernah diberikan kepada jentera media BN agar Lokman turut mengadakan sidang media setempat setiap hari, tidak dilayan.

Apabila banyak laporan berita mengenai calon PKR terpapar di dada akhbar dan media sosial, jentera media BN bising, mendakwa media berat sebelah. Sedangkan, mereka sombong, tidak mahu mendengar pandangan media. – MalaysiaGazette (Siaran 30 Julai 2018)

BN, PKR tekan gear akhir malam ini

TEPAT jam 12 tengah malam ini, tempoh berkempen bagi dua parti bertanding pada dalam PRK DUN Sungai Kandis berakhir.
Parti UMNO dari Barisan Nasional (BN) dan parti PKR dari Pakatan Harapan (PH) diberi tempoh 13 hari oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 21 Julai lalu sehingga tengah malam 3 Ogos, malam ini.
Dalam PRK ini, calon PKR, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni  dilihat mempunyai kelebihan kerana beliau bukan sahaja di pihak kerajaan negeri yang mentadbir Selangor bahkan partinya turut menguasai kerajaan Persekutuan.
Dengan itu, semua jenteranya dari rakan komponen PH iaitu DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turun berkempen membantu kempen.
Sementara itu, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pula dilihat sebagai under dog.
Beliau bukan sahaja keseorangan dalam kempen untuk memenangi hati rakyat, parti komponen BN seperti MIC, MCA dan MyPPP jarang kelihatan turun membantu.
Tambahan pula, Mohd. Zawawi adalah anak tempatan DUN Sungai Kandis yang tentu lebih rapat dengan pengundi di situ berbanding Lokman yang dianggap sebagai calon luar atau dengan kata lain, bukan anak tempatan.
Hal ini diakui sendiri oleh Lokman pada sidang medianya di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja kelmarin.
Beliau mengakui tidak dapat turun di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kerana kekangan masa dan PRK pula diadakan secara tergesa-gesa oleh kerajaan PH.
Dari aspek segi perang poster pula, PKR lebih mendahului dan nampak meriah di sepanjang jalan raya dan lorong dalam DUN Sungai Kandis berbanding poster dan bendera BN yang suram m dan jarang-jarang sekali kelihatan.
Bagaimanapun, kemeriahan poster dan bendera parti bukan ukuran seseorang calon itu akan menang atau kalah.
Yang penting, sejauhmana jentera parti termasuk calon dapat mempengaruhi atau memperdayakan pengundi agar mengundi mereka pada Sabtu 4 Ogos ini.
Bagaimanapun, Mohd. Zawawi mempunyai jentera yang kuat dan aktiviti berkempen boleh dikatakan seratus peratus sudah selesai tetapi beliau tetap menzahirkan kebimbangan kalau-kalau tidak dapat mengekal atau menambah jumlah majoriti yang ditinggalkan penyandangnya, Allahyarham Mat Suhaimie Shafiei.
Kebimbangannya itu bukan disebabkan tempoh kempen yang singkat atau merasakan masih ada pengundi yang tertinggal dari program ziarahnya tetapi bimbang kalau-kalau ramai pengundi tidak keluar mengundi esok disebabkan berasa yakin dengan kemenangan PH.
“Faktor ini yang membimbangkan saya dan jentera parti. Mungkin pengundi di sini menganggap baharu saja selesai mengundi pada PRU14, maka pada PRK ini tidak perlu lagi mereka keluar mengundi,” katanya kepada wartawan pada satu program di Sungai Kandis baru-baru ini.
Bagi Lokman pula, jika jumlah pengundi yang keluar mengundi kurang daripada 80 peratus seperti disasarkan, beliau bakal berdepan dengan kekalahan.
Menurutnya, Mohd Zawawi mempunyai kelebihan kerana dibantu oleh kemudahan dan jentera yang cukup.
Bagaimanapun, BN juga tidak kurang hebatnya dari segi psywar dan kempen.
Semua tiga sayap UMNO, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri turun ‘berkampung’ di semua PDM sejak hari pertama kempen lagi.
Mereka bergerak dari rumah ke rumah sebagai usaha terbaik mendekati penduduk dan dari situ, mereka dapat berkongsi masalah dengan golongan sasar dari hati ke hati.
Selain itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan, Naib-Naib Presiden seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Nordin Mohamed Khaled Nordin juga turun berkampung membantu calon BN.
Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak sekurang-kurang tiga kali turun  diikuti Ahli-Ahli MT, ketua-ketua sayap dan pemimpin dari negeri turut bersengkang mata berkempen meyakinkan rakyat betapa perlunya mereka mempunyai suara tambahan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
PKR juga tidak kurang hebatnya dalam bab kempen. Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sering meluangkan masa dalam program bersama rakyat.
Apa pun keadaannya, kira-kira 52,000 pengundi DUN Sungai Kandis akan menterjemahkan sokongan pada kertas undi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 pagi esok.
Keputusannya, siapa menang kalah, akan diumumkan selewat-lewatnya jam 10 malam esok. – MalaysiaGazette (Siaran 03 Ogos 2018)

BN tewas kerana mainan ‘hukum’, ‘fatwa’ Pas?

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam masih gagal menembusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH), walaupun mereka terpalit dengan pelbagai isu dan masalah seperti gagal menunaikan 10 janji yang dikemukakan dalam tempoh 100 hari.
Ternyata, isu dan masalah itu tidak memberi kesan kepada pengundi dalam DUN Sungai Kandis, apabila kekal untuk memberi kemenangan kepada PKR.
Namun, jumlah undi yang diperolehi oleh Mohd Zawawi sebanyak 15,427 undi dan Lokman sebanyak 9,585 undi serta calon Bebas, K Murthy 97 undi telah menimbulkan beberapa tanda tanya.
Antaranya, kenapa lebih 26,000 iaitu lebih separuh daripada 51,217 pengundi berdaftar dalam DUN itu tidak keluar mengundi? Sedangkan pada PRU14, hanya kurang 8,000 orang sahaja.
Mohd Zawawi sendiri gagal mendapat kesemua 23,998 undi yang diperolehi oleh penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafiei pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Lokman juga gagal mendapat kembali jumlah undi yang diperolehi Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi pada PRU14.
Cuma tanda tanya timbul bagi pihak Lokman ialah, adakah ahli dan penyokong Pas yang memberi undi kepada calonnya, Mohd Yusof Abdullah pada PRU14 lalu seramai 7,573 orang tidak keluar mengundi?
Ini kerana, jika semua mereka keluar memberi sokongan kepada BN sebagaimana disarankan pucuk pimpinan Pas, sudah tentu kemenangan berpihak kepada Lokman dengan perolehan 17,158 undi dengan majoriti 1,731 undi.
Bagaimanapun, UMNO dan BN tidak boleh menyalahkan ahli serta penyokong Pas tidak keluar mengundi, kerana ahli dan penyokong UMNO sendiri juga tidak berbuat demikian, berdasarkan kekurangan undi kepada Lokman sebanyak 1,933 undi lagi.
PKR pun berdepan dengan masalah sama seperti Lokman apabila jumlah undi yang dimenangi Mohd Zawawi menunjukkan beliau juga kehilangan sebanyak 8,571 undi daripada ahli PKR dan penyokong PH.
Dengan mudah kata, jawapan yang perlu dicari oleh kedua-dua parti bertanding, jika mahu dilakukan pos mortem ialah kenapa peratusan keluar mengundi hanya 49.4 peratus, bukan 80 peratus sebagaimana disasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.
Sedangkan cuaca sepanjang hari mengundi semalam dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang adalah baik, walaupun mendung dan redup pada sebelah pagi dan tengah hari.
Kekangan kerja tidak boleh dijadikan alasan, kerana hari mengundi diadakan pada hari Sabtu, yang mana kebanyakan kakitangan awam cuti, dan yang bekerja di sektor swasta diberi cuti oleh majikan masing-masing.
Ini bermakna, ada sesuatu ‘masalah’ yang tersimpan dalam hati kira-kira 26,000 pengundi berdaftar, yang mendorong mereka untuk tidak keluar mengundi.
Satu daripada masalah yang penulis jumpa ialah ada dalam kalangan pengundi tidak tahu pun di kawasan mereka berlaku pilihan raya kecil. Ini berdasarkan cakap-cakap di kedai kopi pada hari pengundian semalam.
Faktor atau masalah lain, mungkin sebahagian daripada mereka merasa selesa dengan kemenangan PKR selama tiga penggal dari PRU12, PRU13 dan PRU14, lalu membuat tanggapan, jika tidak keluar mengundi pun PKR boleh menang.
Memang betul mereka tidak keluar mengundi PKR boleh menang, tetapi pada perkiraan politik, tindakan mereka itu bahaya, tidak boleh dijadikan amalan setiap kali berlaku PRU mahupun pilihan raya kecil.
Dan faktor lain, pada perkiraan penulis, mungkin disebabkan ada dalam kalangan pengundi PKR dan PH melakukan mogok dalam diam-diam untuk tidak keluar mengundi, kerana kecewa dengan kerajaan mereka (PH) gagal menunaikan janji dalam 100 hari.
Bagi mereka yang berpegang pada janji, jika pemimpin memungkirinya, mereka akan membalasnya dengan tidak lagi memberi undi kepada pemimpin atau partinya pada musim pemilihan (pilihan raya) akan datang.
Berbalik kepada ahli dan penyokong Pas yang tidak memberi sokongan kepada BN, walhal pemimpinnya telah ‘berfatwa’ boleh mengundi BN, kesalahan ini harus diletakkan kepada pemimpin mereka sendiri, bukan kepada pengundi.
Selama ini, mereka dimomokkan oleh pucuk pimpinan kononnya UMNO adalah parti sekular, kalau memberi undi kepada UMNO, BN samalah seperti menyokong orang kafir.
Kata-kata itu, atau ‘fatwa’ itu yang termakan dan tersimpan kemas dalam diri setiap ahli dan penyokong Pas, tetapi tiba-tiba bila parti dalam keadaan terdesak, dibolehkan pula mengundi UMNO, BN.
Ini soal ‘hukum’. Kalau hukum Islam mengatakan haram, maka haramlah. Kalau hukum Islam membenarkan, maka mereka boleh menerimanya. Tambahan pula, umum tahu, Pas memperjuangkan Islam, dan setiap ‘fatwa’ dari pemimpin tertingginya, dianggap sebagai ‘hukum’.
Mengikut al Quran dan Hadis, setiap hukum dalam Islam tidak boleh diubah. Ia kekal sehingga kiamat.
Jadi, disebabkan ‘fatwa’ dan ‘hukum’ itu, makanya UMNO, BN menerima padah pada pilihan raya kecil Sungai Kandis. – MalaysiaGazette (Siaran 05 Ogos 2018)