Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal dipercayai dirampas pengganas telah meletup dan terhempas di kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, sekali gus menarik perhatian masyarakat antarabangsa.
Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi daripada titik hentamannya.
Kemalangan nahas itu walaupun sudah berlalu 42 tahun, namun kejadian yang berlaku pada 1977 ini masih segar dalam ingatan.
Pesawat Boeing 737-200 itu dipercayai terhempas pada kira-kira jam 8.15 malam, membunuh kesemua penumpang dan anak kapal berjumlah 100 orang.
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Disember 1977 di muka depan melaporkan berita bertajuk “100 mayat berkecai”
Dalam laporan itu, tiada siapa yang terselamat dalam nahas pesawat MH653 di Kampung Tanjung Kupang dan keadaan bangkai kapal terbang itu juga sangat teruk hingga besi-besi pun berkecai.