Rabu, 24 Jun 2020

Ustaz Kazim Elias disantau

Tahun 1997, Ustaz Kazim Elias balik dari qiamulail dan kuliah Subuh. Sampai sahaja di rumah dalam jam 9 pagi kepala Ustaz Kazim terasa pening dan badan menjadi lemah. 
Kemudian Ustaz Kazim muntah. Keluar segala isi dalam perut beserta darah, penuh dalam baldi dan besen. Bergegas beliau dibawa ke hospital, namun setelah dibuat pemeriksaan, doktor mengatakan itu cuma jangkitan virus.
Bila balik rumah keadaan semakin membarah semakin sakit, serba serbi rasa tidak kena. Tak boleh makan, sakit tekak tak boleh bercakap, tak boleh tidur, tak boleh pakai baju, tak boleh disentuh, rasa seperti dihiris dengan buluh dan sembilu yang tajam. 
Kena angin dari kipas pun tak boleh. Setiap petang akan ada lembaga perempuan akan datang depan rumah dekat pintu tersengih sambil memaki.
“Padan muka kau, ceramah mengata pada orang, padan muka kau”
Yang menjadi kehairanannya lembaga itu tidak kelihatan pada orang lain. Hanya ustaz seorang saja nampak. Semakin hari badannya semakin melemah, kuku menjadi hitam, semua kuku pada jari jemari. 
Bila balik ke kampung dibawa berjumpa ustaz yang lain, mereka kata ini terkena santau. Sebulan tak boleh bercakap, tidak mengenali orang. Badan jadi kurus kering, batuk berdarah tidak berhenti. Hanya teruskan berusaha untuk berubat dan berserah pada takdir.
Kemudian suatu malam ustaz bermimpi. Telah datang seorang alim dalam mimpi itu, kopiahnya putih, pakaiannya serba putih berdiri di hadapannya.
“Kazim, orang sihirkan kamu, sabar... Besok kamu cari tujuh jenis bahan ini, kamu ramuankan dalam air dan kamu mandi” InsyaAllah katanya, Allah SWT akan bagi kesembuhan.
Kemudian dalam mimpi itu juga, orang alim itu telah ambil satu paku dan lemparkanya pada dinding, keluar satu gambar. Dia ambil satu demi satu paku dan dia lempar ke dinding beberapa kali lagi sehingga keluar gambar cukup enam orang, satu perempuan lima lelaki. Menurut orang alim tersebut, inilah orang-orang yang telah menyihirkan kamu.
Jam 4.30 pagi ustaz tersedar dan minta isterinya menyalin dan carikan tujuh bahan tersebut untuk dibuat mandi.
Jam 9 ustaz dimandikan, jam 11 Ustaz sudah boleh bersila, boleh bercakap dan mula berselera untuk makan nasi dan mendukung anaknya yang ketika itu baru berusia 8 bulan. Syukur keadaan kembali pulih seperti biasa. Alhamdulillah...
Namun kesenangan itu tidak lama.
Suatu petang pula, ketika ustaz menjamah nasi yang disediakan isterinya. Masuk sahaja suapan yang ketiga, tiba-tiba nasi yang dalam suapannya menguit guit ada ulat. Bila buang ke lantai ia bertukar menjadi nasi, bila pegang di tangan jadi ulat semula. 
Padahal nasi itu baru sahaja dimasak oleh isterinya. Ujian kali ini lebih teruk, sehingga tak boleh kencing, tak boleh nak tidur. Berpuluh puluh pengamal perubatan dan ustaz, namun tiada keserasian. Tahapnya hampir nazak sehingga orang masjid datang bacakan yassin.
Sepanjang usaha dia berdakwah, banyak kali ustaz disihirkan, empat hingga lima kali. Sehinggakan apabila ustaz pergi memberi ceramah, terpaksa membawa pek air kencing sendiri yang di sebalik jubah disebabkan sakit yang ditanggung. Bila nak bersiap untuk pergi mengajar beliau akan jatuh pengsan.
Sehingga suatu hari datang seorang kiyai dari Indonesia melawat dan merawat.
“Saya datang ke sini mahu ubatin bapaknya Kazim” ujarnya. Ustaz pun mengizinkannya.
Dalam jam 12 tengah malam. Si kiyai mengerjakan solat, kemudian sesudah itu dia membaca beberapa potongan ayat Quran.
“Berikan aku cangkul”
Kiyai tersebut kemudian berjalan dan kemudiannya berhenti. Dia terus mengali sesuatu di hadapan rumah, setelah beberapa waktu, dia mengeluarkan sesuatu. Bila diperhati ianya bangkai anjing yang sudah membusuk.
“Inilah sihirnya, saya permisi dulu”
Kiyai tersebut menjelaskan apa yang terjadi. Yang misterinya, Ustaz Kazim tak mengenali siapa kiyai tersebut dan sehingga kini tak pernah berpeluang untuk berjumpa lagi. Sejak mengalami serangan demi serangan, ustaz mula mendalami perubatan islamik sebagai perlindungan diri.
Tahun 2001, ketika Ustaz mahu berpindah. Datanglah pasangan suami isteri bertandang ke rumahnya. Ketika itu Ustaz Kazim mahu berpindah rumah. Perabot yang ada sudah dibawa, terpaksalah mereka bersila sahaja di lantai.
“Masuklah abang”
“Ustaz, sebenarnya kami datang nak minta maaf. Sebenarnya sayalah yang telah menyihirkan ustaz”
“Mana lagi empat orang?”
“Ustaz tahu kami berenam?” Terkejut apabila ustaz mengetahui bilangan sebenar mereka dengan tepat.
Apabila dijelaskan, mereka sanggup mengupah RM30,000 pada seorang bomoh untuk mengenakan santau pada ustaz. Lagi empat orang itu segan dan malu datang bertemu dengan ustaz untuk meminta maaf.
“Abang, kalau abang tak datang minta maaf, saya dah lama maafkan dunia akhirat, bukan setakat abang suami isteri berdua, yang empat orang itu pun saya dah maafkan, sikit pun saya tak simpan dalam hati”
Walaupun habis beribu, nazak separuh mati, dibedah sana sini, doktor tak berjumpa punca penyakit, ustaz tetap sudi memaafkan mereka. Kerana dia percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Terharu dengan keikhlasan ustaz, si suami memeluk ustaz dengan erat. Sejak dari itu pasangan tersebut bertaubat dan menadah kitab dengan ustaz Kazim. 
Mana ustaz ceramah, mereka di hadapan. Malah, menjadi pemandu pada ustaz Kazim apabila mahu pergi berceramah. Sampai anak pasangan mereka kahwin ustaz dijemput, cucu mereka cukur jambul ustaz yang cukurkan dan sampailah pasangan itu mati ustaz yang talkinkan.
Kini tahun 2020, daripada enam orang yang terlibat, empat orang sudahpun meninggal dunia, hanya tinggal dua orang yang masih hidup.
Kesan daripada santau, perut ustaz juga menjadi tidak normal, kadang-kadang kembung, kadang-kadang kempis. Hingga perlu ditungku selalu seperti perempuan dalam pantang. Beliau juga berpantang tak boleh makan nanas, daging kambing, limau nipis, tak boleh minum air tebu, tak boleh makan rebung, benda-benda yang tajam kerana jika dimakan juga, sakitnya akan kembali.
Antara hikmah kejadian tersebut, ustaz banyak mendalami perubatan islamik sebagai pelindung diri.
Sebagai amalan. Jika mahu makan di restoran atau warung. Sebelum masuk ke kedai (dalam kereta).
1. Baca al-Fatihah 7 kali. (dibaca)
2. Baca ayat 56 daripada Surah Hud.
3. Baca 2 ayat terakhir Surah At-Taubah.
InsyaAllah, dengan izin Allah akan melindungi kita dari terkena santau atau sihir.
Kredit : Datuk Ustaz Kazim Elias
Foto : Gambar Ustaz Kazim ketika muda mengendong anaknya, 8 bulan selepas diserang sakit misteri pada tahun 1998.

Selasa, 9 Jun 2020

Tokoh Kemajuan Kuala Lumpur

Tahukah anda siapa tokoh besar yang telah menyumbang kepada kepesatan Kuala Lumpur pada abad ke-19 dahulu?

Tokoh yang disebut-sebut tidak lain dan tidak bukan Al-Marhum Haji Abdullah Hukum/Rukun, seorang pedagang dari Kerinchi, Sumatera.

Nama sebenar beliau Abdullah Rukun. Beliau yang ketika itu berusia 15 tahun telah berhijrah bersama rakan-rakannya yang lain ke Melaka sebelum tiba Kuala Lumpur dengan hanya berjalan kaki selama 3 hari 3 malam.

Sepanjang perjalanan, banyak tempat dan pengalaman yang beliau tempuhi. Beliau menumpang di rumah Haji Abdul Ghani di Java Street, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur ketika itu tidak sama seperti mana Kuala Lumpur yang kita kenal pada hari ini. Ianya hanya mempunyai 2 lorong sahaja iaitu Java Street dan Market Street, manakala Ampang Street (kini Lebuh Ampang) sebelumnya adalah tempat ceti beroperasi dan terdapat sebuah kolam ikan milik Almarhum Sutan Puasa.

Kalau dilihat rumah kedai ketika itu berbumbungkan atap bertam berdindingkan buluh. Semua peniaganya orang Melayu Rawa dan Mandailing yang kebanyakannya menjual kain dan makanan.

Sutan Puasa dan Raja Bilah adalah antara ketua masyarakat berpengaruh ketika itu. Mereka mengutip hasil dagang daripada peniaga yang melalui Sungai Klang dan Sungai Gombak. Cukai timah ketika itu sebanyak seringgit sebahara (3 pikul).

Setapak dan Gombak dahulu adalah kawasan sawah padi milik Sutan Puasa. Beliau pernah mengambil upah membina tali air selama 3 tahun di Segambut(kini Batu Lima Gombak). Setiap orang boleh ketika itu boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan 10 gantang padi daripada setiap 100 gantang. Justeru itu beliau disenangi penduduk tempatan.

Abdullah Hukum pernah menghadap Raja Laut, iaitu Putera Raja Muhammad, kerana ingin meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampong baru. Raja Laut memberikan surat kebenaran untuk membuka tanah di Pudu (sekarang kawasan Bukit Bintang) dan menjadi ketua penduduk di situ. Ramai orang Kerinchi mengikutnya dan tinggal di situ.

Di tempat baru, Abdullah Hukum dan pengikutnya menjalankan aktiviti menanam sayur-sayuran, pisang, sirih, tebu dan sawah padi. Beliau berkhidmat sebagai kietua kampong selama 7 tahun.

Dikatakan juga beliau pernah menjadi nakhoda yang mengambil upah untuk membawa beras dengan perahu dari Sungai Klang ke Kuala Lumpur dan memperoleh pendapatan lumayan sebanyak 40 ringgit sekoyan guni beras.

Setelah kawasan Pudu dibuka, Abdullah Hukum mendapat surat kebenaran daripada Raja Mahmud, iaitu Putera Sultan Mahmud, untuk membuka kebun di Bukit Nanas.

Di samping itu, beliau juga mendapat surat kebenaran daripada Raja Laut dan Maxwell untuk membuka Sungai Putih (kini kawasan Jalan Bangsar).

Ketika mendiami Sungai Putih, beliau membuka Bukit Candi Putra, iaitu Bukit Putera sekarang, yang menempatkan Kompleks Angkasapuri dan Kampung Kerinchi.

Dengan persetujuan Penghulu dan Datuk Dagang, Abdullah Hukum dilantik secara rasmi sebagai Ketua Kampung dan Penghulu di Sungai Putih dan lantaran itu, beliau menghentikan penternakan kerbaunya disebabkan peningkatan bebanan tugas.

Semasa beliau menjadi Penghulu, Abdullah Hukum cuba menyatupadukan 3 kaum utama di situ: Melayu, Cina dan India. Atas kejayaannya itu, dia menamakan jalan utama di situ sebagai Jalan Bangsa bersempena penyatuan ketiga-tiga kaum. Nama Bangsa kemudiannya ditukar kepada Bangsar.

Tatkala meletusnya perang antara Selangor dan Pahang, Sultan Abdul Samad meminta Abdullah Hukum untuk membantu menentang musuh baginda.

Baginda melantik Abdullah Hukum yang juga Datuk Bandar ketika itu sebagai panglima perang.

Sebagai menghormati jasa dan bakti Abdullah Hukum, Sultan Abdul Samad mengurniakan sebidang tanah seluas satu perempat ekar kepadanya. Tanah itu terletak berhampiran Sungai Klang, satu kawasan strategik dari segi pertanian dan perhubungan.

Di samping itu, Abdullah hukum dikurniakan kuasa untuk menyelesaikan masalah di kalangan penduduk kampung dan kawasan sekitarnya.

Abdullah Hukum menjadikan kawasan itu sebagai perkampungan tetap untuk pengikutnya. Kampung itu dinamakan Kampung Haji Abdullah Hukum sempena nama beliau.

Ketika Abdullah Hukum datang ke kampung itu, pada 1890-an, pekerjaan utama penduduk di situ ialah bersawah padi dan bercucuk tanam.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Abdullah Hukum menumpukan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Abdullah Hukum pulang ke Sumatera pada 1929, selepas menjadi ketua kampung selama tujuh atau lapan tahun. Menurut cerita, beliau meninggal dunia pada usia 125 tahun.

Haji Mahmud, seorang daripada enam anaknya mengambil tugas ketua kampung selepas bapanya mengundur diri. Cucunya, Kamaruddin Mahmud mewarisi pusaka kampung ini hingga sekarang, dan kesan peninggalan termasuklah sebuah rumah milik Abdullah Hukum masih ada di kampung Abdullah Hukum.

Kini, Kampung Abdullah Hukum terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur sudah jauh berubah. Harga tanah dan rumah kediaman di situ melambung berpuluh kali ganda. Sudah tidak ada orang yang bersawah padi atau berkebun sayur di situ lagi.

Sungai Klang yang menjadi terusan di Kampung Haji Abdullah Hukum sekarang bukanlah aliran sungai yang asal. Sungai ini dulunya melingkari bahagian Jalan Syed Putra yang kini menjadi tapak pusat beli-belah Mid Valley.

Ceritakanlah kepada anak-anak, rakan-rakan kalian akan kisah ini. Janganlah nama melayu ini ditelan oleh Kapitan Yap Ah Loy seperti yang ditulis oleh penjajah yang akhirnya menjadi teks sejarah di sekolah.

Ramai menyangka Yap ah Loy sebagai orang terawal dan pengasas kuala lumpur sedangkan beliau hanya seorang kapitan ketiga yang dilantik dan disokong oleh Tokoh pengasas dan pembesar dari kali kalangan orang melayu untuk mengetuai perlombongan bijih timah.

Bissirril Al-Fatihah
Al-Marhum Abdullah Hukum
Tokoh Kemajuan Kuala Lumpur

100 Hari PM Muhyiddin Yassin


Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran