Rabu, 24 Jun 2020

Ustaz Kazim Elias disantau

Tahun 1997, Ustaz Kazim Elias balik dari qiamulail dan kuliah Subuh. Sampai sahaja di rumah dalam jam 9 pagi kepala Ustaz Kazim terasa pening dan badan menjadi lemah. 
Kemudian Ustaz Kazim muntah. Keluar segala isi dalam perut beserta darah, penuh dalam baldi dan besen. Bergegas beliau dibawa ke hospital, namun setelah dibuat pemeriksaan, doktor mengatakan itu cuma jangkitan virus.
Bila balik rumah keadaan semakin membarah semakin sakit, serba serbi rasa tidak kena. Tak boleh makan, sakit tekak tak boleh bercakap, tak boleh tidur, tak boleh pakai baju, tak boleh disentuh, rasa seperti dihiris dengan buluh dan sembilu yang tajam. 
Kena angin dari kipas pun tak boleh. Setiap petang akan ada lembaga perempuan akan datang depan rumah dekat pintu tersengih sambil memaki.
“Padan muka kau, ceramah mengata pada orang, padan muka kau”
Yang menjadi kehairanannya lembaga itu tidak kelihatan pada orang lain. Hanya ustaz seorang saja nampak. Semakin hari badannya semakin melemah, kuku menjadi hitam, semua kuku pada jari jemari. 
Bila balik ke kampung dibawa berjumpa ustaz yang lain, mereka kata ini terkena santau. Sebulan tak boleh bercakap, tidak mengenali orang. Badan jadi kurus kering, batuk berdarah tidak berhenti. Hanya teruskan berusaha untuk berubat dan berserah pada takdir.
Kemudian suatu malam ustaz bermimpi. Telah datang seorang alim dalam mimpi itu, kopiahnya putih, pakaiannya serba putih berdiri di hadapannya.
“Kazim, orang sihirkan kamu, sabar... Besok kamu cari tujuh jenis bahan ini, kamu ramuankan dalam air dan kamu mandi” InsyaAllah katanya, Allah SWT akan bagi kesembuhan.
Kemudian dalam mimpi itu juga, orang alim itu telah ambil satu paku dan lemparkanya pada dinding, keluar satu gambar. Dia ambil satu demi satu paku dan dia lempar ke dinding beberapa kali lagi sehingga keluar gambar cukup enam orang, satu perempuan lima lelaki. Menurut orang alim tersebut, inilah orang-orang yang telah menyihirkan kamu.
Jam 4.30 pagi ustaz tersedar dan minta isterinya menyalin dan carikan tujuh bahan tersebut untuk dibuat mandi.
Jam 9 ustaz dimandikan, jam 11 Ustaz sudah boleh bersila, boleh bercakap dan mula berselera untuk makan nasi dan mendukung anaknya yang ketika itu baru berusia 8 bulan. Syukur keadaan kembali pulih seperti biasa. Alhamdulillah...
Namun kesenangan itu tidak lama.
Suatu petang pula, ketika ustaz menjamah nasi yang disediakan isterinya. Masuk sahaja suapan yang ketiga, tiba-tiba nasi yang dalam suapannya menguit guit ada ulat. Bila buang ke lantai ia bertukar menjadi nasi, bila pegang di tangan jadi ulat semula. 
Padahal nasi itu baru sahaja dimasak oleh isterinya. Ujian kali ini lebih teruk, sehingga tak boleh kencing, tak boleh nak tidur. Berpuluh puluh pengamal perubatan dan ustaz, namun tiada keserasian. Tahapnya hampir nazak sehingga orang masjid datang bacakan yassin.
Sepanjang usaha dia berdakwah, banyak kali ustaz disihirkan, empat hingga lima kali. Sehinggakan apabila ustaz pergi memberi ceramah, terpaksa membawa pek air kencing sendiri yang di sebalik jubah disebabkan sakit yang ditanggung. Bila nak bersiap untuk pergi mengajar beliau akan jatuh pengsan.
Sehingga suatu hari datang seorang kiyai dari Indonesia melawat dan merawat.
“Saya datang ke sini mahu ubatin bapaknya Kazim” ujarnya. Ustaz pun mengizinkannya.
Dalam jam 12 tengah malam. Si kiyai mengerjakan solat, kemudian sesudah itu dia membaca beberapa potongan ayat Quran.
“Berikan aku cangkul”
Kiyai tersebut kemudian berjalan dan kemudiannya berhenti. Dia terus mengali sesuatu di hadapan rumah, setelah beberapa waktu, dia mengeluarkan sesuatu. Bila diperhati ianya bangkai anjing yang sudah membusuk.
“Inilah sihirnya, saya permisi dulu”
Kiyai tersebut menjelaskan apa yang terjadi. Yang misterinya, Ustaz Kazim tak mengenali siapa kiyai tersebut dan sehingga kini tak pernah berpeluang untuk berjumpa lagi. Sejak mengalami serangan demi serangan, ustaz mula mendalami perubatan islamik sebagai perlindungan diri.
Tahun 2001, ketika Ustaz mahu berpindah. Datanglah pasangan suami isteri bertandang ke rumahnya. Ketika itu Ustaz Kazim mahu berpindah rumah. Perabot yang ada sudah dibawa, terpaksalah mereka bersila sahaja di lantai.
“Masuklah abang”
“Ustaz, sebenarnya kami datang nak minta maaf. Sebenarnya sayalah yang telah menyihirkan ustaz”
“Mana lagi empat orang?”
“Ustaz tahu kami berenam?” Terkejut apabila ustaz mengetahui bilangan sebenar mereka dengan tepat.
Apabila dijelaskan, mereka sanggup mengupah RM30,000 pada seorang bomoh untuk mengenakan santau pada ustaz. Lagi empat orang itu segan dan malu datang bertemu dengan ustaz untuk meminta maaf.
“Abang, kalau abang tak datang minta maaf, saya dah lama maafkan dunia akhirat, bukan setakat abang suami isteri berdua, yang empat orang itu pun saya dah maafkan, sikit pun saya tak simpan dalam hati”
Walaupun habis beribu, nazak separuh mati, dibedah sana sini, doktor tak berjumpa punca penyakit, ustaz tetap sudi memaafkan mereka. Kerana dia percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Terharu dengan keikhlasan ustaz, si suami memeluk ustaz dengan erat. Sejak dari itu pasangan tersebut bertaubat dan menadah kitab dengan ustaz Kazim. 
Mana ustaz ceramah, mereka di hadapan. Malah, menjadi pemandu pada ustaz Kazim apabila mahu pergi berceramah. Sampai anak pasangan mereka kahwin ustaz dijemput, cucu mereka cukur jambul ustaz yang cukurkan dan sampailah pasangan itu mati ustaz yang talkinkan.
Kini tahun 2020, daripada enam orang yang terlibat, empat orang sudahpun meninggal dunia, hanya tinggal dua orang yang masih hidup.
Kesan daripada santau, perut ustaz juga menjadi tidak normal, kadang-kadang kembung, kadang-kadang kempis. Hingga perlu ditungku selalu seperti perempuan dalam pantang. Beliau juga berpantang tak boleh makan nanas, daging kambing, limau nipis, tak boleh minum air tebu, tak boleh makan rebung, benda-benda yang tajam kerana jika dimakan juga, sakitnya akan kembali.
Antara hikmah kejadian tersebut, ustaz banyak mendalami perubatan islamik sebagai pelindung diri.
Sebagai amalan. Jika mahu makan di restoran atau warung. Sebelum masuk ke kedai (dalam kereta).
1. Baca al-Fatihah 7 kali. (dibaca)
2. Baca ayat 56 daripada Surah Hud.
3. Baca 2 ayat terakhir Surah At-Taubah.
InsyaAllah, dengan izin Allah akan melindungi kita dari terkena santau atau sihir.
Kredit : Datuk Ustaz Kazim Elias
Foto : Gambar Ustaz Kazim ketika muda mengendong anaknya, 8 bulan selepas diserang sakit misteri pada tahun 1998.

Tiada ulasan:

Ustaz Kazim Elias disantau

Tahun 1997, Ustaz Kazim Elias balik dari qiamulail dan kuliah Subuh. Sampai sahaja di rumah dalam jam 9 pagi kepala Ustaz  Kazim terasa p...