Sabtu, 28 Julai 2018

Calon kempen sendirian, mana yang lain?

KEMPEN pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis dalam daerah Shah Alam, Selangor masuk hari kedua hari ini.
Kedua-dua calon yang bertanding sama-sama hebat, sama-sama berwibawa. Jentera mereka pun sama-sama kuat dan bersemangat tinggi.
Dua parti yang bertanding, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). PH meletakkan calon PKR, Ustaz Mohd. Zawawi Ahmad Mughni manakala BN pula meletakkan calon dari UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Kalau mengikut fakta betul, berlaku pertandingan tiga penjuru bagi pilihan raya kecil DUN ini, tapi sengaja saya abaikan kewujudan calon Bebas, K. Murthy kerana ia tidak ada peranan pun dalam perlawanan.
Masa pada hari penamaan calon Sabtu lalu lagi, semua mata, sama ada dari media, penyokong PKR, penyokong BN dan para pemerhati serta pemantau hanya tahu dua calon sahaja akan bertanding, Ustaz Mohd. Zawawi dan Lokman.
Tak sangka pula, sebaik pintu pusat penyerahan kertas calon dibuka tepat jam 9 pagi kelihatan kelibat seorang lelaki berbadan kurus memakai topi turut menyerahkan borang pencalonan.
Hebatnya K. Murthy yang mendakwa pesara penjawat awam itu borang pencalonannya yang diserahkan pada jam 9.09 pagi terus diterima tanpa ada ralat atau bantahan dari penyokong serta pencadang kedua calon lawannya.
Pihak media yang memerhatinya sepanjang satu jam masa diperuntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi proses penamaan dan penyerahan kertas atau borang pencalonan, dia kelihatan steady dan tenang.
Begitu juga ketika namanya diumumkan sebagai calon yang sah yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, dia yang duduk di posisi tengah dengan selamba membiarkan kedua-dua tangannya dipegang dan diangkat oleh Ustaz Mohd. Zawawi dan Lokman.
Memang hebat calon bebas ini tetapi, malangnya, sebaik selesai pengumuman, dia terus ‘ghaib’ hilang dicelah-celah ratusan penyokong PKR dan BN yang herkumpul sejak jam 7 pagi di depan pintu masuk Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam.
Okey, cukuplah setakat itu saya mempromosi K. Murthy. Soal berapa dia bakal dapat undi, sama-samalah kita tunggu jam 10 malam 4 Ogos nanti. Yang pasti, mengikut ramalan saya, dia akan kehilangan wang pertaruhan.
Berbalik kepada kempen Ustaz Mohd Zawawi dan Lokman. Masuk hari kedua hari ini, hanya calon yang bergerak aktif berjumpa pengundi. Pemimpin pusat dan yang ternama dari kedua-dua belah calon belum kelihatan.
Sekurang-kurangnya, Ustaz Mohd Zawawi dibantu juga oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari walaupun nama-nama besar seperti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan.
Begitu juga dengan calon BN, si Lokman. Beliau bergerak seorang diri. Pembantunya hanya pemimpin cawangan serta sahabat-sahabatnya sahaja.
Penceramah tersohor seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Rahman Dahlan, Datuk Seri Mohamad Hassan juga tidak kelihatan.
Apa pun, saya mahu bersangka baik dengan ketidaknampakan kelibat pemimpin-pemimpin ini. Mungkin mereka sedang bermesyuarat dan berbincang di peringkat pusat untuk bagaimana nak atur dan susun strategi supaya penduduk tempatan Sungai Kandis memberi undi kepada calon masing-masing.
Bahkan, agak menarik pilihan raya kecil kali ini, dan mungkin boleh difikirkan untuk dimasukkan dalam Buku Malaysia of Record ialah suasana sunyi, sepi dan muram dapat dilihat sepanjang DUN ini.
Hari kedua kempen, belum ada satu pun bendera parti atau poster kedua-dua calon disangkut, ditampal atau digantung. Kalau orang luar datang ke DUN ini, mereka mungkin sama sekali tidak jangka, kawasan yang mereka berada itu adalah kawasan pilihan raya kecil.
Dari satu sudut, baguslah begitu. Sekurang-kurangnya kedua-dua parti dapat menjimatkan wang. Lagipun, apa ada pada bendera dan poster.
Dalam keadaan rakyat baru selesai dua raya, pertama, PRU-14 dan kedua Hari Raya Aidilfitri, kali ini mereka akan beraya lagi dalam pilihan raya kecil. Tentu ramai yang muak dengan ‘perayaan’ ini dan kebarangkalian juga, ramai tidak akan keluar mengundi 4 Ogos ini.
Kemungkinan ini yang merisaukan Ustaz Mohd Zawawi dan beliau mengharapkan angka 23,998 yang dimenangi penyandang, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie pada PRU-14 lalu kekal diperoleh pada pilihan raya kecil ini.
Dan kebimbangan beliau kemungkinan ramai pengundi atau penyokong PH tidak keluar mengundi kali ini amat menebal sekali. Beliau dah mula merasa takut walaupun jumlah majoriti diperolehi penyandang ketika itu sebanyak 12,450 undi.
Bagi Lokman pula, beliau merasa agak selesa kerana menjangkakan memperoleh undi solid dari penyokong BN sebanyak 11,518 (yang diperoleh calon BN terdahulu, Datuk Kamaruzzaman Johari) dan dicampur dengan jumlah undi Pas sebanyak 7,573 (yang diperoleh calon Pas, Ustaz Mohd. Yusof Abdullah).
Beliau hanya ketinggalan sebanyak 4,907 undi sahaja lagi untuk menyamai jumlah undi PKR dan tidak mustahil jumlah itu akan diperoleh Lokman sekiranya kebimbangan ustaz Mohd. Zawawi menjadi kenyataan.
PRKl Sungai Kandis ini adalah kayu ukur kepercayaan rakyat kepada PH yang baharu mengambil alih kerajaan dan BN yang kehilangan pusat pentadiran Putrajaya serta perdana menterinya.
Jika undi diperoleh Ustaz Mohd. Zawawi bertambah bermakna isu kegagalan PH menunaikan janji 100 hari tidak memberi kesan kepada rakyat dan jika jumlah undi berkurangan, maknanya rakyat mula sedar kerajaan PH hanya “cakap tak serupa bikin”.
BN pula, kalau Lokman menang, ia sama sekali tidak dapat membentuk kerajaan baharu Selangor. Dan, jika kalah, ia memang sudah dijangka. – MalaysiaGazette (Siaran 23 Julai 2018)

Hari pertama BN belajar jadi pembangkang..

SERONOK tengok Dewan Rakyat Penggal ke-14 yang mula bersidang semalam.
Seronok sebab untuk tempoh 59 tahun, Parlimen telah mencipta sejarah tempat duduk bagi ahli-ahli Parlimen.
Kalau dari sidang pertama tahun 1959, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ditempatkan di sebelah kanan Yang Dipertua Dewan atau Speaker sebagai kerajaan, hari ini mereka dipindahkan ke sebelah kiri Speaker sebagai pembangkang.
Apabila BN yang selama ini jadi kerajaan, tiba-tiba bertukar jadi pembangkang, tentulah terpingga-pingga dan rasa kekok.
Tambahan pula, BN baru sedar ada saja yang pihak kerajaan lakukan, tidak ikut prosedur, menyalahi undang-undang dan macam-macam lagi.
Sebelum ini, ketika berada di kerusi kerajaan, mereka todak nampak benda-benda kecil dan remeh remeh seperti itu. Hanya bila duduk di kerusi pembangkang baru nampak. Semut merayap di lengan baju Speaker pun mereka nampak.
Hakikatnya begitulah. Bukan senang menjadi kerajaan dan bukan kerja mudah menjadi pembangkang. Dua-duanya ada peranan. Pembangkang, menegur dan mengkritik. Kerajaan pula perlu menerima teguran dan kritikan itu.
Inilah yang berlaku dalam politik tanah air hari ini. BN jadi pembangkang, Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan. Apapun, pihak kerajaan pun tidak dapat lari dari rasa kekok. Maklum, 59 tahun asyik membangkang. Bila sesekali jadi kerajaan, terdiam dibuatnya. Tidak tahu nak buat apa.
Malah, mereka melihat saja gelagat pembangkang, dan masing-masing pakat ketawa. Sedangkan, sebelum ini, itulah gelagat mereka, yang diketawakan oleh BN ketika menjadi kerajaan.
Apa yang saya nak kongsikan tulisan saya di Bawah Kolong ini ialah tindakan sekumpulan Ahli Parlimen BN dan Pas keluar dewan sebaik sahaja Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Mohamad Yusof masuk ke dewan.
Ada pro dan kontra dengan tindakan Ahli Parlimen BN dan Pas ini. Ada yang kata, tidak wajar. Ada juga yang dakwa, ia wajar bagi memberi pengajaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar lain kali tidak sewenang-wenangnya mempermainkan undang-undang.
Sebagai penegak dan pengubal undang-undang, kerajaan mahupun pembangkang yang diamanahkan oleh rakyat harus mematuhinya, tidak kira kes itu kecil atau besar. Jika ia berkaitan dengan prosedur, elok ia dipatuhi.
Apa yang berlaku pada hari pertama sidang dewan tadi berpunca dari rasa tidak puas hati pembangkang, yang melenggah-lenggahkan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum 2 Julai lagi.
Ketika Setiausaha Dewan mengingatkan kerajaan supaya menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum dua minggu Parlimen bersidang, pihak kerajaan masih berdiam diri. Tidak ada klu langsung kerajaan akan mengumumkan nama sebelum 2 Julai.
Tetapi apabila dua hari nak bersidang, baru nama Yang Dipertua Dewan Rakyat diumumkan, itu tidak masuk akallah. Macam mana kerajaan nak menegakkan undang-undang kalau prosedur Dewan Rakyat bagi kes pelantikan Speaker pun tidak dipatuhi?
Itu baru hari pertama dan langkah pertama. Bagaimana pula pada sesi persidangan seterusnya dalam tempoh lima tahun ini, yang mana kebiasaannya Parlimen bersidang dua atau tiga kali setahun? Jenuh BN dan Pas nak membangkang.
Jadi, pada saya, tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan adalah keputusan yang patut dilakukan mereka sebagai tanda protes dengan kegagalan kerajaan baharu mengendalikan sesi mesyuarat Parlimen.
Walaupun, tindakan itu dilihat sebagai “tidak cerdik” oleh sesetengah pihak, tetapi, ia memberi kesan besar kepada pihak kerajaan, yang umum melihatnya sebagai pihak tidak ada kepandaian atau pengalaman untuk mengurus atau mengenalikan sesi persidangan.
Jika kerajaan Pakatan ada maruah, mereka wajar untuk berasa malu dengan kesilapan yang berlaku itu. Dan, pembangkang juga telah menunjukkan sikap “gentlemen” apabila tidak memandang ringan kes seumpama itu.
Kalau hendak diberikan markah, saya memberikan 10 markah kepada pembangkang dan kosong markah kepada kerajaan. Kerajaan patut terima hakikat, mereka telah melakukan satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.
Jika mengikut peraturan, pembangkang boleh untuk mendesak kerajaan menangguhkan sesi persidangan selama dua minggu bermula hari ini, bagi memberi peluang kepada pihak kerajaan untuk mengikut prosedur dalam pelantikan Yang Dipertua Dewan secara betul.
Ia dilihat remeh, tetapi, apa maknanya kerajaan memerah otak untuk melengkapkan akta, enakmen, peraturan, subseksyen dan undang-undang sebagai Perlembagaan Parlimen kalau kerajaan sendiri tidak patuh dan melanggarnya?
Sudah jelas lagi nyata, dalam hal pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat ini, peraturan Dewan seperti di bawah perkara 4(1) harus dipatuhi. Ia dengan jelas menyatakan bahawa;
“Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli Dewan itu atau seorang yang layak dipilih menjadi ahli Dewan itu hendaklah mempastikan terlebih dahulu iaitu ahli itu suka berkhidmat jika ia dipilih, dan juga hendaklah memberitahu kepada Setiausaha dengan bersurat sekurang-kurangnya empat belas hari sebelum mesyuarat”.
Itu syarat dan peraturannya. Ia terkandung dalam buku Peraturan Dewan. Jadi, ia bukan perkara kecil atau remeh. Ia adalah kes besar yang berkaitan dengan mematuhi peraturan yang kita sendiri gubal, tubuh dan wujudkan.
Pihak kerajaan kena betul-betul menjalankan tugas dan amanah sebagai kerajaan, bukan terbawa-bawa perangai lama sebagai pembangkang. Tahulah, 59 tahun menjadi pembangkang, tetapi sebagai pemimpin politik, mereka kena bila-bila masa berada dalam keadaan bersedia.
Dalam politik, macam-macam boleh berlaku. Hari ini pembangkang, esok menjadi kerajaan. Hari ini sebagai kerajaan, mana tahu esok bertukar jadi pembangkang. Oleh itu, mereka harus sentiasa bersedia, dan perlu bijak menyesuaikan diri. – MalaysiaGazette (Siaran 17 Julai 2018)

Senarai Pengerusi FELDA 1956 - 2018

Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor 
Mula Berkhidmat: 27.07.2018

Tan Sri Shahrir Abdul Samad
Mula Berkhidmat: 01.01.2017

Tan Sri Isa Samad
Mula Berkhidmat: 01.01.2011

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor
Mula Berkhidmat: 01.07.2001

YM Raja Tan Sri Muhamad Alias
Mula Berkhidmat: 01.05.1979

Datuk Harun Arifin
Mula Berkhidmat: 01.01.1973

Tun Musa Hitam
Mula Berkhidmat: 01.09.1971

Tan Sri Taib Andak
Mula Berkhidmat: 14.10.1958

D.E.M Fiennes
Mula Berkhidmat: 01.08.1956

Rabu, 4 Julai 2018

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat Langgak Duta 3 petang tadi.
Beliau dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman esok.
Tiga kereta milik SPRM dilihat memasuki perkarangan kediaman Najib dipercayai kira-kira 2 petang tadi.
Ketiga-tiga kereta berkenaan termasuk sebuah kereta Proton Inspira berwarna merah dinaiki Najib dilihat keluar dari perkarangan rumah kediaman pada 3.07 petang tadi.
Sebelum ini, Najib dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu SRC International.
Beliau tampil memberi keterangan pada 22 Mei lalu di Ibu Pejabat SPRM 3.15 petang selepas lebih empat jam memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.
Pada 24 Mei lalu, Najib memberi keterangan untuk kali kedua kepada SPRM dan mengambil masa lebih tujuh jam berhubung siasatan kes sama.
Sementara itu, SPRM dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tangkapan itu dalam tempoh terdekat. - (3 Julai 2018)

-------------------------------------------------------------------------------------------

Najib mungkin hadapi 10 pertuduhan

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.
Menurut sumber, Najib akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan itu esok di Mahkamah Kuala Lumpur.
Mengikut sumber mahkamah, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, Sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudiannya akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kenyataannya mengesahkan Najib yang ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd akan didakwa esok pada 8.30 pagi.
Bekas perdana menteri sudah hadir ke Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.
SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, penyiasatan SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri. - 3 Julai 2018

Samy Vellu tak pernah guna bahasa Tamil

SIAPA tak kenal dengan Tun S. Samy Vellu. Beliau adalah bekas Presiden MIC dan bekas Menteri Kerja Raya pada zaman Tun Dr. Mahathir dan bersambung beberapa tahun pada era mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Saya ada sikit pengalaman membuat liputan majlis rasmi beliau, sama ada program anjuran parti MIC mahupun program anjuran jabatan dan agensi kerajaan bawah kementeriannya.
Satu perkara baik bagi S. Samy Vellu, walaupun pertuturan bahasa Melayunya agak kelam kabut dan tunggang langgang, dia tak pernah cuba untuk merojakkan setiap kenyataannya.
Dia tetap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya walaupun sebutannya lari dari makna sebenar. Contohnya, dalam satu majlis, dia ada bercakap mengenai dadah. Dia berkata, “Orang orang muda sekarang banyak suka hisap dada”.
Begitu juga ketika dia berucap pada majlis derma darah di Sungai Siput. Dia menyebut dengan bahasa pelatnya, “Marilah kita semua menderma dara”. Ketika mempromosi Pos Laju Malaysia pun beliau menyebut, “Besok kirim, hari ini sampai”.
Setiap kali dia membuat kenyataan, mesti terkeluar pertuturan yang melucukan dan diketawa orang sekeliling, tetapi dia tidak pernah berasa malu atau bersalah.
Dia tetap dengan pendirian dan prinsipnya mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa percakapan harian, sama ada rasmi atau tidak.
Tetapi ini tidak berlaku kepada Menteri Kewangan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng. Baru sebulan menjadi menteri sudah menggunakan bahasa Mandarin dalam ucapan dan kenyataan kepada media.
Betullah dalam majlis itu dihadiri wartawan dari media Cina dan pegawai dari Kedutaan China, tetapi itu bukan alasan untuk beliau menggunakan bahasa Mandarin supaya difahami oleh wartawan Cina dan pegawai dari Kedutaan China, yang sepatutnya menyediakan penterjemah.
Bagaimana pula dengan wartawan Melayu dan India yang hadir pada masa itu? Apa yang mereka dapat tulis untuk media mereka, sedangkan tidak ada siapapun sanggup menjadi penterjemah?
Guan Eng antara menteri Cina yang fasih berbahasa Melayu. Sebutan atau pertuturannya tidak pernah pelat, berbanding S. Samy Vellu yang pelat seratus peratus. Tetapi S. Samy Vellu tetap bercakap bahasa Melayu. Dia tidak pernah bercakap bahasa Tamil atau keluar kenyataan dalam bahasa Tamil untuk diedarkan kepada media.
  1. Samy Vellu pernah bercakap mengenai kehormatan dirinya. Beliau kata, “Ini perkara banyak memalukan saya. Sebenarnya, kemaluan saya sangat sangat besar”. Sebutan ini tidak pernah dimanipulasikan oleh wartawan Cina atau Melayu.
Walaupun agak berbelit, kita sebagai wartawan tahu apa yang dimaksudkan dengan “kemaluan saya sangat sangat besar”. Dan S. Samy Vellu tidak pernah menyesali dengan kemaslahatan dalam pertuturannya itu.
Tidak pula dia berasa bersalah dan mahu bercakap atau mencetak kenyataan medianya dalam bahasa Tamil. Dia kekal untuk meneruskan pertuturan dalam bahasa Melayu. Dia seorang pemimpin yang sangat patriotik dan tahu asal usulnya sebagai rakyat Malaysia.
Dia antara pemimpin parti dan kerajaan yang cukup disenangi oleh semua wartawan dan media. Dia tidak suka menyindir, mengeluarkan kenyataan berbentuk sinis atau perli. Dia seorang yang suka berterus terang.
Kalau nak bandingkan antara S. Samy Vellu dengan Guan Eng, jaraknya bagaikan bumi dengan langit.
Tak usah banding dengan pemimpin India, cukup kalau dibandingkan Guan Eng dengan rakan sebangsanya, mendiang Tun Dr. Lim Keng Yaik. Bahasa rasmi mendiang sepanjang menjadi menteri dan bercakap dengan wartawan juga menggunakan bahasa Kebangsaan sepenuhnya.
Walaupun, tutur katanya tidak lancar dan banyak air liur bersembur bersama setiap patah perkataan yang disebut, kami, wartawan Melayu dan rakan kami wartawan India boleh faham isi maksudnya.
Kenapa Guan Eng tidak boleh menghormati bahasa Kebangsaan? Kenapa bahasa Mandarin juga menjadi pilihannya sebagai kenyataan rasmi?
Bukan tujuan saya nak persoalkan haknya, tetapi ketika anda berada di puncak dan di khalayak, anda seharusnya menghormati bahasa Kebangsaan. Kerana inilah satu-satu bahasa integrasi yang wajib menjadi pertuturan rasmi.
Lainlah kalau majlis yang anda hadiri itu semuanya dihadiri wartawan dari media Cina dan pegawai dari Kedutaan China. Itu kami tidak boleh buat apalah. Memang patut dan sesuai kalau anda bercakap menggunakan bahasa anda.
Tetapi, yang berlaku sehari dua ini adalah majlis rasmi yang dihadiri wartawan Melayu dan India. Kami tidak pernah bersedia untuk belajar bahasa Mandarin.
Cubalah beringat lain kali, okey!!.. – MalaysiaGazette (Siaran 26 Jun 2018)

Tuan Penasihat dua puluh persen!

PENASIHAT dibayar upah RM200,000 sebulan? Wow!… kaya. Setahun menasihat paling busuk dapat RM2.4 juta. Kalau tiga tahun… kalau lima tahun.. memang kaya. Kerja pun senang. Hanya menasihat.
Patutlah Tuan Penasihat suka bekerja dengan Tuan Sadiq Sigaraga. Setiap projek yang dinasihatinya akan diberi komisen atau elaun sebanyak 20 persen.
Tapi sejauh mana Tuan Penasihat menasihati tuannya? Dan sejauhmana pula Tuan Sadiq Sigaraga mendapat tuah atau keuntungan daripada nasihat itu?
Kalau tengok pada pengakhiran filem Tiga Abdul, ianya hampir sama dengan drama realiti yang berlaku kepada seorang pemimpin politik UMNO dalam negara. Tuan Sadiq Sigaraga lingkup, Tuan Perdana Menteri pun lingkup.
Yang untung ialah Tuan Penasihat. Duit dapat juta-juta ringgit, manakala Tuannya kalah teruk dalam pertarungan. Pertarungan yang diatur oleh Tuan Penasihat.
Kadang-kadang saya terfikir, seseorang Perdana Menteri rupanya memperuntukan sejumlah besar wang untuk dibayar kepada penasihatnya. Apa butir yang dinasihat tu hanya Tuan Perdana Menteri dengan Tuan Penasihat sahaja yang tahu.
Dan sebagai rakyat pula, saya beranggapan, apa saja perancangan yang dilaksanakan oleh Tuan Perdana Menteri, kebarangkalian adalah atas nasihat dari Tuan Penasihatnya.
Kalau bukan itu yang dinasihati oleh Tuan Penasihat, apa lagi peranannya sebagai penasihat kepada Perdana Menteri? Yang upahnya dibayar sehingga RM200,000 sebulan?
Kalau jumlah yang dibayar itu agak besar, mungkin besar jugalah nasihat yang disampaikan Tuan Penasihat kepada Tuan Perdana Menteri. Kalau tidak, masakan Tuan Perdana Menteri boleh lingkup dalam sekelip mata.
Melihat kronologi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Tuan Perdana Menteri sentiasa kelihatan ceria, bersemangat dan berkeyakinan sepanjang masa. Mungkin ia didorong oleh nasihat yang direncanakan oleh Tuan Penasihat.
Entah apa yang dinasihati oleh Tuan Penasihat sehinggakan Tuan Perdana Menteri menolak laporan dari SB (Polis Cawangan Khas) dan MIO (Perisikan Tentera) yang mengatakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan banyak negeri, termasuk Putrajaya.
Walhal, anggota SB dan MIO hanya makan gaji ribuan ringgit sahaja. Bukan ratusan ribu ringgit upah yang diterima oleh Tuan Penasihat setiap bulan.
Biasalah, untuk meyakinkan Tuan Perdana Menteri akan nasihatnya, Tuan Penasihat akan memikirkan point-point yang boleh membuatkan Tuan Perdana Menteri suka dengan cadangan dan perancangannya.
Sudah tentu, Tuan Penasihat menggunakan perancangan ikut logik akal, yang tidak boleh disanggah oleh Tuan Presiden jika mendengar pembentangan cadangan dan pendapat darinya.
Tuan Perdana Menteri pula, apabila mendengar cadangan logik akal dari Tuan Penasihat, terus bersetuju menerimanya, tanpa mengambil masa untuk mengkaji dan menilai semula setiap idea itu.
Iya, kenapa nak perlu dikaji dan diteliti lagi. Itu kan tugas Tuan Penasihat. Buat apa lantiknya sebagai Tuan Penasihat dan bayar mahal-mahal kalau semua cadangan dan ideanya perlu dikaji lagi?
Dengan angkuh Tuan Perdana Menteri memberitahu kepada Jemaah Menterinya supaya mempercayai sahaja perancangan Tuan Penasihat kerana setiap perancangan itu sudah tentu disertakan dengan hasil kajian yang mantap dan berfakta.
Melihat kepada perancangan yang dikemukakan Tuan Penasihat, tanpa banyak cakap, Tuan Perdana Menteri terus bersetuju dan minta dia dilaksanakan segera, kerana tarikh pilihan raya umum sudah tidak lama lagi.
Dan, UMNO/BN mesti kena menang dua per tiga kerusi Parlimen untuk meneruskan pembentukan kerajaan berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, dan “Hebatkan Negaraku”.
Malangnya, segala perancangan Tuan Penasihat tidak berjaya. Bukan sahaja pembangkang mengekalkan Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, lima negeri yang selama ini selesa bawah UMNO/BN pun turut dirampas oleh Pakatan Harapan.
Jadah apa sampai Johor pun boleh dirampas oleh Pakatan Harapan? Selain Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kedah dan Pusat Pentadbiran Putrajaya dikongsi antara DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN)?
Perancangan apa yang telah dirangka dan dirancang oleh Tuan Penasihat sehingga UMNO/BN kalah teruk dan menjadi titik hitam dalam sejarah penubuhan parti keramat Melayu itu sejak tahun 1946.
Selepas UMNO/BN menerima malu dengan kekalahan itu, baharulah Tuan Perdana Menteri sedar, selama ini segala idea dan perancangan Tuan Penasihat adalah salah dan lebih kepada syok sendiri.
Realiti cerita ini mengingatkan saya akan dialog Tuan Sadiq Sigaraga ketika berdepan dengan dua menantunya (Abdul Wahab dan Abdul Wahib) yang dalam keadaan marah apabila terkena dengan undang-undang yang dinamakan ‘Family Planning’.
Dialognya seperti berikut;
Tuan Sadiq Sigaraga: Apa bising bising ni haa?
Abdul Wahab: Ayahanda! Undang-undang yang ayahanda bikin ni tak patut sama sekali tau!!
Tuan Sadiq Sigaraga: Eh.. jadi anakanda berdua marahlah?
Abdul Wahab: Bukan kata anakanda berdua, sesiapa pun dalam dunia ni pasti marah!
Tuan Sadiq Sigaraga: Jadi marah yaa…?
Abdul Wahib: Ya memang kami marah! Tua kutuk tak sedar diri!!
Abdul Wahab/Abdul Wahib: Nak Mamposs!
Tuan Sadiq Sigaraga: Ha ha… jadi marah haa? Oleh kerana anakanda berdua marah anakanda akan dijual dan semua harta benda akan dirampas! he hehehe… Tuan Penasihat!
Tuan Penasihat: Dua puluh persen! – MalaysiaGazette (siaran 14 Jun 2018)

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran