Rabu, 4 Julai 2018

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat Langgak Duta 3 petang tadi.
Beliau dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman esok.
Tiga kereta milik SPRM dilihat memasuki perkarangan kediaman Najib dipercayai kira-kira 2 petang tadi.
Ketiga-tiga kereta berkenaan termasuk sebuah kereta Proton Inspira berwarna merah dinaiki Najib dilihat keluar dari perkarangan rumah kediaman pada 3.07 petang tadi.
Sebelum ini, Najib dipanggil memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu SRC International.
Beliau tampil memberi keterangan pada 22 Mei lalu di Ibu Pejabat SPRM 3.15 petang selepas lebih empat jam memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.
Pada 24 Mei lalu, Najib memberi keterangan untuk kali kedua kepada SPRM dan mengambil masa lebih tujuh jam berhubung siasatan kes sama.
Sementara itu, SPRM dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tangkapan itu dalam tempoh terdekat. - (3 Julai 2018)

-------------------------------------------------------------------------------------------

Najib mungkin hadapi 10 pertuduhan

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.
Menurut sumber, Najib akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan itu esok di Mahkamah Kuala Lumpur.
Mengikut sumber mahkamah, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, Sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudiannya akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kenyataannya mengesahkan Najib yang ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd akan didakwa esok pada 8.30 pagi.
Bekas perdana menteri sudah hadir ke Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.
SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, penyiasatan SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri. - 3 Julai 2018

Tiada ulasan: