Isnin, 28 Ogos 2017

Semua mayat anak kapal USS John S McCain ditemui

SINGAPURA – Penyelam Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dan Kor Marin menemukan baki lapan lagi mayat kelasi kapal USS John S McCain dalam kapal tersebut, demikian menurut Armada Ketujuh AS hari ini.

Dua mayat anak kapal yang hilang dijumpai minggu lepas.

Kapal pemusnah peluru berpandu itu berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC di perairan timur Selat Melaka dan Singapura pada 21 Ogos lalu.

Kejadian itu sedang disiasat bagi menentukan fakta dan keadaan pelanggaran, menurut Tentera Laut AS dalam laman webnya.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata, usaha pencarian di dalam kapal itu ditamatkan selepas Tentera Laut AS mengumumkan kesemua 10 kru kapal yang hilang telah ditemukan.

Singapura sebelum ini menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat dengan AS, Australia, Indonesia dan Malaysia yang meliputi kawasan seluas 5,524 kilometer persegi.

Operasi berkenaan melibatkan lebih datipada 300 anggota daripada agensi Singapura termasuk MPA dan Angkatan Tentera Singapura (SAF), Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Operasi yang diketuai Singapura itu ditangguh pada 9 malam 24 Ogos selepas Tentera Laut AS mengumumkan penggantungan usaha mencari dan menyelamat untuk memberi tumpuan kepada pencarian dalam kapal.

Singapura terus menyokong Tentera Laut AS dalam pencarian di kapal di Pangkalan Tentera Laut Changi sehingga semua anak kapal yang hilang dijumpai.

“Bagi pihak semua agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat ini, MPA menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang kepada anak kapal Tentera Laut AS yang maut.

“Kami berharap mereka akan mendapat kekuatan untuk melalui saat-saat yang sukar ini,” kata Ketua Eksekutif MPA, Andrew Tan dalam kenyataan di sini. - BERNAMA

Taufan Harvey cetus banjir di Houston

HOUSTON – Taufan Harvey mencetuskan banjir meluas di Houston, semalam sehingga menyebabkan banyak kediaman dan lebuh raya ditenggelami air, ketika penduduk mencari perlindungan dengan ramalan hujan luar jangkaan untuk tempoh beberapa hari lagi.

Harvey membadai lewat Jumaat lalu sebagai taufan paling kuat melanda Texas dalam tempoh 50 tahun dan sudah meragut dua korban, setakat ini.

Jumlah kematian itu dijangka meningkat, ketika ribut mencetuskan air pasang dan putting beliung dengan beberapa wilayah dijangka menerima jumlah hujan setahun hanya dalam tempoh seminggu.

Ribut itu menyebabkan banjir sehingga ke paras dada di beberapa jalan di Houston, ketika sungai dan terusan melimpah ke tebing.

Perkhidmatan cuaca nasional berkata, lebih 64 sentimeter hujan turun di beberapa bahagian di bandar itu sehingga memaksa penduduk naik ke bumbung sementara ada yang berpindah ke pusat perlindungan kecemasan.

SEHARI SEBELUM…

TEXAS: Taufan Harvey, ribut paling kuat dalam tempoh sedekad melanda Amerika Syarikat (AS) semakin menghampiri Texas.

Pusat Taufan Kebangsaan berkata, taufan Harvey meningkat kepada Kategori Tiga,iaitu ketiga paling kuat.

Ribut berkenaan dijangka melanda daratan berhampiran Corpus Christi, Texas sekitar jam 9 malam dan membawa 0.914 meter hujan di beberapa kawasan pantai Texas dan Louisiana selama beberapa hari.

Kami mungkin melihat rekod banjir besar yang tidak pernah dijangkakan,” kata pegawai kaji cuaca dari Weather Decision Technologies, John Tharp.

Beliau turut memberi amaran banjir di Louisiana dan utara Mexico.

Sementara itu, stesen minyak di selatan Texas kehabisan minyak ketika beribu-ribu penduduk melarikan diri dari wilayah itu.

Khamis, 24 Ogos 2017

SPRM beri amaran kepada individu keluarkan kenyataan media

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada individu terlibat dalam siasatan, membuat kenyataan media berkaitan kes mereka.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, kini menjadi satu “trend” bagi individu yang terlibat dalam siasatan SPRM menemui pihak media untuk menceritakan fakta kes berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara menaikkan bendera di bangunan baharu SPRM di Presint 7, di sini, beliau berkata, komen berkaitan fakta siasatan boleh dirumuskan sebagai mengganggu siasatan.

“Kita tidak mahu perbicaraan oleh pihak media. Kalau ada keterangan, datang ke SPRM atau bersabarlah. Dia sendiri pun tidak tahu sama ada dia masuk dalam senarai saksi atau mungkin suspek. Yang tidak sabar sangat hendak beri keterangan di media itu kenapa?” tegas Dzulkifli.

Katanya, mereka yang membuat kenyataan kepada media melakukan kesalahan bawah Seksyen 48(h) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan mana-mana orang mengganggu, menakutkan, mengancam atau melarikan mana-mana orang terlibat dalam penyiasatan dan boleh dedenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Dzulkifli turut memberi amaran supaya mereka tidak mencemuh atau mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur hasutan mahupun menjatuhkan imej dan nama baik SPRM.

“SPRM tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan undang-undang atas mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, menjatuhkan imej SPRM, mengaitkan sebarang tindakan SPRM serta mempersoalkan tindakan agensi itu kerana ia boleh ditafsir sebagai fitnah,” katanya.

Beliau menegaskan, SPRM menjalankan operasi tanpa sebarang kepentingan, melainkan memelihara negara daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.


Mengenai operasi SPRM di bangunan baharu, Dzulkifli berkata, SPRM akan beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu menjelang 1 September ini dan pada masa ini masih dalam proses perpindahan. – FMT.

Perhimpunan Agung UMNO Disember ini akan ditangguh kalau ada PRU

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan hujung tahun ini akan ditangguh sekiranya pilihan raya umum diadakan pada awal Disember.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata demikian selepas mengumumkan Perhimpunan Agung Umno ke-17 akan diadakan pada 5 hingga 9 Disember.
“Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa,” katanya dalam rakaman yang diterima FMT, selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Pada 26 Jun 2015, Najib mengumumkan pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan pada 2016 ditangguh selama 18 bulan bagi memastikan kemantapan parti menghadapi PRU14.
Beliau hari ini mengulas laporan The Star yang melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata Umno dan komponen BN lain sudah mengemukakan senarai pendek calon mereka untuk pilihan raya umum ke-14.
Menurut Najib, BN masih memproses calon yang akan bertanding pada PRU14 akan datang.
Sementara itu, Najib berkata beliau akan membangkitkan komitmen negara kepada keselamatan serantau dan hubungan ekonomi Malaysia-Amerika Syarikat dalam pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump di Rumah Putih, 12 September ini.
“Topik utama adalah perjuangan kita menentang keganasan dan peranan Malaysia bagi membuatkan Asia Tenggara aman, dan bagaimanapun untuk memperbaiki hubungan ekonomi dengan AS,” katanya. - FMT

Park kental hidup bersama mayat sejak 30 tahun lalu

MELAKA - Makan, minum dan tidur bersama mayat mungkin perkara menyeramkan bagi kebanyakan orang, namun ia perkara biasa bagi Park Kyung Ah, 50, yang juga Pengurus Pameran The Discovery Of The Body, sejak 30 tahun lalu.

Meskipun seorang wanita, Park langsung tidak gentar atau berasa seram setiap kali mengendalikan mayat berkenaan yang dipamerkan kepada orang ramai di seluruh dunia.

Katanya, bagi sesetengah orang pameran itu dianggap menyeramkan berikutan mempamerkan tubuh, otot, tulang dan organ manusia yang sebenar, walaupun diawet dan dikeringkan bagi tujuan pameran.

"Sebenarnya, pameran ini bertujuan mendidik orang ramai terutama orang muda dan anak kecil mengenai kepentingan menyayangi tubuh badan yang sukar untuk pulih kembali jika sudah dijangkiti penyakit.

"Mayat dipamerkan membabitkan individu yang sudah meninggal dunia akibat penyakit kanser dan masalah kesihatan lain termasuk disebabkan tabiat buruk merokok," katanya ketika ditemui di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Banda Hilir, semalam.

Park berkata, mayat dipamerkan bermula dari janin, bayi sehinggalah kepada lelaki dan wanita dewasa membabitkan si mati berasal dari Jerman, China dan Eropah.

Malah katanya, sebahagian besar daripada si mati mewasiatkan untuk mendermakan jasad masing-masing untuk diawet dan dipamerkan bagi tujuan memupuk rasa sayangkan tubuh badan.

"Pengunjung boleh melihat sistem saraf, arteri, lapisan otot dan tulang yang membentuk rangka manusia. Semua yang dipamerkan boleh dilihat secara terperinci kerana kami melakukan keratan retas pada bahagian berkenaan.

"Orang ramai boleh bandingkan antara organ manusia meninggal dunia akibat penyakit atau masalah kesihatan dengan tubuh yang sihat.

"Lebih 200 bahagian organ yang diawet dipamerkan dan ia pasti menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan kepada pengunjung," katanya.

Menurutnya, semua mayat dan organ dipamerkan itu dibedah sebelum menjalani proses pengawetan di Heidelberg Institute for Plastination, Jerman.

Menurutnya, setakat ini mayat berkenaan dipamerkan di Korea Selatan, Australia, Filipina, Jepun dan kini buat pertama kali berlangsung di Musim DMDI Malaysia.

"Walaupun tujuan kami untuk mendidik, namun tidak semua negara membenarkan pameran seperti ini kerana mengambil kira sensitiviti budaya tempatan yang melarang perkara seumpama itu.

"Namun, setakat ini kami tidak berdepan sebarang masalah besar dengan setiap pameran dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan dan maklum balas positif daripada pengunjung," katanya.

Menceritakan mengenai cara penjagaan pula, Park berkata, mayat dipamerkan perlu dibersihkan daripada habuk dengan menggunakan berus supaya kelihatan menarik.

Mayat dipamerkan diletakkan dalam keadaan berdiri, digayakan seperti mansia sedang berfikir dengan menampakkan seluruh organ penting dalaman dan sistem saraf. - Petikan Metro

Isnin, 21 Ogos 2017

Wanita baru bersalin maut, badan terpotong dua tersepit pintu lif



Seorang wanita meninggal dunia apabila badannya terputus dua kerana tersangkut di lif selepas dia melahirkan anaknya secara pembedahan di sebuah hospital di selatan Sepanyol.

Insiden tersebut berlaku di Hospital Valme di Seville, berpunca daripada kerosakan lif di hospital berkenaan.

Mangsa, Rocio Cortes Nunez, 26, tersepit pada pintu lif yang mengakibatkan badannya terpotong dua dan meninggal di tempat kejadian.

Bayinya yang baru lahir turut berada disisinya pada saat itu bagaimanapun dia dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Difahamkan, lif yang membawa Rocio itu mula bergerak ke atas sebelum pengusung yang dinaiki wanita berkenaan masuk ke dalam lif sepenuhnya. Ia dipercayai berlaku akibat masalah mekanikal yang terjadi pada pintu lif tersebut.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 2.30 petang Ahad itu.

Pasukan bomba dan polis bergegas ke tempat kejadian, tetapi tidak mampu menyelamatkan wanita tersebut.

Bomba mengambil masa dua jam untuk mencapai bahagian badannya setelah kepala mangsa terperangkap di antara bahagian atas lif dan bumbung, manakala kakinya terjuntai.

David Gaspar, abang ipar mangsa, mengatakan suami mangsa sangat berduka cita dengan kejadian itu.

“Kami masih tidak percaya perkara seperti itu boleh terjadi,” katanya kepada Europa Press.

“Sesuatu harus dilakukan. Mereka perlu dihukum,” katanya.

Mangsa adalah ibu kepada dua lagi anak perempuan yang berusia tiga dan empat tahun.

Sebab kenapa pengadil batalkan 4 servis tekong pasukan sepak takraw wanita Indonesia



Isu pasukan sepak takraw wanita Indonesia memboikot perlawanan semalam, dilihat agak panas apabila ada antara mereka menuduh pasukan Malaysia ‘membeli’ pengadil dari Singapura itu.

Ini terjadi selepas Indonesia menarik diri kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Mohd Radhi Che Mei membatalkan empat servis dilakukan tekong mereka dalam Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Berdasarkan ulang siar video ternyata menunjukkan kaki tekong berkenaan diangkat terlebih dahulu dari lantai ketika servis dilakukan.

Kerana keputusan boikot itu, pasukan sepak takraw negara diberi kemenangan percuma apabila regu Indonesia enggan meneruskan permainan set kedua di acara antara regu sepak takraw wanita di Sukan SEA.

Dalam perlawanan yang berlansung pagi tadi, Thailand mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka dua tahun lalu apabila menewaskan malaysia yang memenangi pingat perak.

Sementara itu, Indonesia terpaksa akur dengan pingat gangsa berkongsi dengan Filipina

Ustaz Kazim Elias disantau

Tahun 1997, Ustaz Kazim Elias balik dari qiamulail dan kuliah Subuh. Sampai sahaja di rumah dalam jam 9 pagi kepala Ustaz  Kazim terasa p...