Jumaat, 30 Januari 2015

MH370 Diisytihar Kemalangan, 239 Orang Dalam Pesawat Dianggap Terkorban

KUALA LUMPUR – Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.
 
Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi mencari pesawat Boeing 777 itu tetap menjadi keutamaan. 

Kerajaan komited meneruskan usaha untuk merungkai tragedi malang itu dengan kerjasama dan bantuan berterusan daripada kerajaan China dan Australia, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman. 

Ketika membuat pengumuman itu menerusi televisyen yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM, beliau berkata: "Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines sebagai satu kemalangan … dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat MH370 dianggap telah terkorban."

"Kami telah berusaha dan menjalankan pencarian dari setiap sudut dan meneliti semua data yang sedia ada. Walaupun semua usaha ini dijalankan sejak 327 hari lepas (sehingga semalam), namun usaha pencarian itu malangnya masih belum menemukan lokasi pesawat yang hilang itu," katanya.

Azharuddin berkata, kerajaan Malaysia mengakui pengisytiharan mengenai kemalangan MH370 itu amatlah sukar bagi keluarga dan orang tersayang 227 penumpang dan 12 anak kapal untuk pertimbangan, apatah lagi menerimanya.

Beliau berkata, 13 negara juga kehilangan warganya terdiri daripada lelaki dan perempuan dalam tragedi ini, tetapi bagaimanapun adalah penting bagi anggota keluarga cuba untuk meneruskan kehidupan biasa atau kehidupan seperti biasa sebaik mungkin selepas kehilangan mengejut ini.

"Tanpa niat langsung untuk meredakan perasaan anggota keluarga, adalah diharapkan pengisytiharan ini membolehkan keluarga mendapatkan bantuan yang diperlukan, terutama menerusi proses pampasan," kata Azharuddin.

Pesawat Malaysia Airlines itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan ke Beijing, China setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Azharuddin memberitahu negara dan penonton antarabangsa bahawa pengisytiharan MH370 adalah satu kemalangan dibuat mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (biasanya dikenali sebagai Konvensyen Chicago).

Azharuddin berkata, Bab 1 Lampiran 13 konvensyen menyatakan bahawa definisi "kemalangan" termasuk "pesawat hilang".

Ia juga menyatakan bahawa "pesawat dianggap hilang apabila pencarian secara rasmi telah dihentikan dan bangkai pesawat tidak ditemukan".

Lampiran 12 konvensyen seterusnya menyatakan bahawa istilah "mencari" merujuk kepada operasi untuk mencari orang yang berada dalam kesukaran.

Azharuddin berkata, fasa mencari dan menyelamat dijalankan pada hari pesawat hilang sehingga 28 April 2014 dengan kawasan pencarian meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan selatan Lautan Hindi.

Beliau menegaskan, operasi pencarian di bawah permukaan air masih berterusan pada masa ini dan operasi itu dijalankan oleh empat buah kapal iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro Supporter. 

Pencarian telah meliputi kawasan seluas lebih 18,600 kilometer persegi sehingga semalam.

Isnin, 26 Januari 2015

Al-Fatihah - Makam Raja Abdullah mengejutkan ramai pihak...

Inilah Makam / kubur Raja 'Abdullah.

Tak ada senjata tertembak ke langit, tak ada terompet dan nyanyian. Anda tak akan melihat ratapan dan suara gendang, tak pula rakyat yang ngalap berkah, tak pula seabrek bid'ah.

Tentu saja, dengan kekayaannya, sang raja sangat mampu membangun istana megah di kuburnya itu sebagai lambang keperkasaan, seperti kubur-kubur mewah di nusantara kita.








Tetapi tidak, biarlah sang raja seperti rakyatnya di tempat dan tanah yang sama dan tak ada nama dan tulisan bahwa kuburnya adalah kuburan seorang raja.

Semua kuburan berbentuk dan berukuran sama. Tak ada pemakaman khusus. Semuanya sama disejajarkan dengan para rakyat jelatanya.

Sungguh, semuanya sunyi dari keharaman dan begitu sederhana untuk kuburan seorang pemimpin.  - AFP, Dailymail

Sabtu, 24 Januari 2015

Putera Mahkota, Salman Abdulaziz dinamakan Raja Arab Saudi

RIYADH: Putera Mahkota, Salman Abdulaziz Al Saud dinamakan sebagai Raja Arab Saudi berikutan kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz.

Raja Salman, 79, adalah adik kepada Raja Abdullah. - AFP

Putera Mahkota, Salman Abdulaziz Al Saud. - Foto Reuters

Raja Abdullah Abdulaziz: Antara tokoh paling berpengaruh di dunia

Raja Abdullah yang dilahirkan pada 1 Ogos 1924 ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi sejak 1 Ogos 2005 hingga kemangkatannya pada 22 Januari 2015 akibat penyakit radang paru-paru. Baginda adalah anak ke-10 Raja Abdulaziz. - Foto AFP

RIYADH: Raja Abdullah yang dilahirkan pada 1 Ogos 1924 ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi sejak 1 Ogos 2005 hingga kemangkatannya pada 22 Januari 2015 akibat penyakit radang paru-paru. Baginda adalah anak ke-10 Raja Abdulaziz.


Baginda mengambil alih takhta pemerintahan keluarga berpengaruh dalam dunia Arab itu selepas kemangkatan abang tirinya, Raja Fahd.

Menurut Majalah Forbes, pada tahun 2013, Abdullah adalah antara individu paling berpengaruh di dunia dan berada pada kedudukan ke-8 di peringkat global.

Abdullah, seperti mana bekas Fahd, adalah seorang daripada anak lelaki Ibnu Saud, pengasas negara moden Arab Saudi. Baginda memegang banyak jawatan politik sepanjang hayatnya.

Pada 1961, baginda dipilih sebagai Datuk Bandar Makkah, pejabat awam pertamanya dan pada 1962, dilantik sebagai komander Pengawal Kebangsaan Arab Saudi, jawatan yang masih dipegangnya walaupun selepas ditabalkan sebagai Raja.

Baginda juga memegang jawatan sebagai timbalan menteri pertahanan dan ditabalkan sebagai Putera Mahkota apabila Raja Fahd mengambil alih takhta pemerintahan pada 1982.

Selepas Raja Fahd diserang strok pada 1995, Abdullah menjadi pemerintah 'de facto' atau sementara Arab Saudi sehingga mengambil alih pemerintahan itu sedekad kemudian.

Ketika pemerintahannya, baginda mengekalkan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dan Britain serta membeli peralatan pertahanan bernilai bilion dolar daripada kedua-dua negara selain memberi wanita hak untuk mengundi dan bertanding dalam sukan Olimpik.

Selain itu, baginda masih mempertahan kerajaan walaupun berlaku gelombang bantahan besar-besaran ke atas pemerintahan beraja itu ketika Kebangkitan Arab atau 'Arab Spring.'

Pada bulan November 2013, satu laporan BBC turut mendakwa Arab Saudi mungkin memperoleh senjata nuklear pada bila-bila masa dari Pakistan berikutan hubungan sekian lama antara kedua-dua negara.

Raja Abdullah hidup lebih lama berbanding dua putera mahkota Arab Saudi sebelum ini iaitu Menteri Dalam Negeri Nayef bin Abdul Aziz Al-Saud yang dinamakan sebagai pewaris takhta ketika kemangkatan Sultan bin Abdulaziz pada Oktober 2011, namun Neyef sendiri mangkat pada Jun 2012.

Abdullah kemudian menamakan menteri pertahanan, Salman bin Abdulaziz Al Saud yang berusia 76 tahun ketika itu sebagai putera mahkota.

Menurut laporan tahun 2001, Abdullah memiliki empat isteri, tujuh anak lelaki dan 15 anak perempuan. Anggaran kekayaan baginda adalah AS$18 bilion (RM64.61 bilion), menjadikannya individu ketiga paling kaya di dunia. - Agensi

Raja Abdullah dimakamkan dalam kubur tidak bertanda

RAJA Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz akan dikebumikan dalam makam tidak bertanda selepas solat Jumaat. - Foto AP
RIYADH: Jenazah Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz akan dikebumikan dalam makam tidak bertanda selepas solat Jumaat, hari ini.

Dalam pada itu, peralihan kuasa lancar menyaksikan takhta itu berpindah kepada adik tirinya, Raja Salman dan seorang lagi adik tirinya, Muqrin sebagai putera mahkota bagi menghapuskan kebimbangan ketika kegawatan serantau.

Sejajar dengan ajaran Islam, jenazah Abdullah akan dikapan dengan kain putih, dibawa menggunakan pengusung ke dalam ambulans oleh saudara mara seterusnya dibawa ke masjid untuk disembahyangkan sebelum ke tanah perkuburan untuk dimakam dalam kubur tidak bertanda.

Solat jenazah di masjid akan diketuai Raja Salman dan dihadiri ketua negara Islam dan diplomat kanan termasuk Presiden Mesir, Abdel Fatteh al-Sisi, seorang daripada sekutu paling rapat Abdullah selepas kebangkitan negara Arab.

Golongan kenamaan bukan Islam akan melakukan penghormatan terakhir kepada raja dan putera mahkota yang baharu dilantik serta anggota lain dinasti Al Saud, dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Kemudian, selepas solat Maghrib, Raja Salman dan Putera Mahkota Muqrin akan menerima ikrar taat setia daripada anggota keluarga lain pemerintah, ulama Wahabi, ketua puak, ahli perniagaan utama dan orang penting di negara pentadbiran beraja itu.

Dalam ajaran tegas Wahabi, menunjukkan perasaan sedih secara berlebihan dilarang, selepas kematian monarki Arab Saudi dan anggota tertinggi diraja lain, tiada tempoh rasmi berkabung dan bendera masih dikibar secara penuh.

Walaupun dengan kebanjiran mesej sedih daripada rakyat tempatan dalam media sosial, kekangan agama ke atas peringatan awam bermaksud tiada tanda di ibu kota diraja ini menunjukkan pemerintah sekian lama mereka sudah mangkat. -AFP

Selasa, 20 Januari 2015

Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia
YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri
YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua
YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
(Mukadimah)

1. Pertama-tamanya, marilah kita mengucapkan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini. Begitulah ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

2. Dalam Majlis ini, kita berhimpun bersama-sama, sebahagian pimpinan dan para pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat, wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan. Seterusnya, yang dikasihi seluruh rakyat Malaysia, sama ada yang di dalam dewan, atau yang sedang menonton juga mendengar perutusan khas ini.

3. Tujuan saya berucap, adalah untuk memberi penjelasan terkini tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Mutakhir ini, terdapat laporan-laporan, kebimbangan dan pertanyaan terutamanya berkait harga minyak dan kedudukan nilai matawang ringgit.

4. Ketahuilah bahawa, Kerajaan memang sentiasa memantau keadaan ini sejak awal. Sehubungan itu, hari ini, Kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah proaktif, untuk membuat pengubahsuaian yang spesifik, bagi menjajar semula dasar-dasar kita, beriring dengan perubahan senario ekonomi global, yang faktor-faktornya, berada di luar kawalan kita. Ini dilakukan, untuk kita terus mencapai pertumbuhan ekonomi yang menyakinkan lagi boleh dibanggakan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

5. Dalam erti kata lain, I am here today to announce specific and proactive measures to align ourselves with the recent global economic developments.

6. We are not in crisis. Indeed, we are taking preemptive measures following the changes of the external global economic landscape, which are beyond our control.

7. This is to ensure that our economy continues to attain a respectable and reasonable growth. And at the same time, we want to ensure and must ensure development of the nation and socio economic welfare of the people to be continue to be the main focus of the government.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

8. Sesungguhnya takwim 2014 yang lalu, merupakan tahun yang amat mencabar dan begitu menduga bagi kita dengan pelbagai tragedi.

9. Pada penghujung tahun lepas, Malaysia diuji dengan musibah banjir yang luar biasa. Ia telah melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung, antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak.

10. Di beberapa negeri lain, sungguhpun tidak begitu kritikal, banjir turut memberi kesan kepada penduduk di sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak.

11. Demikianlah, seperti yang difirmankan bahawa, manusia merancang, Allah merancang, sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik Perancang.

12. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam segala kudrat Kerajaan dan pentadbiran, kita telah cuba merencana, merangka, menyusun dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik demi kepentingan dan keperluan rakyat.

13. Justeru, jika diimbau, secara keseluruhannya, kira-kira hanya sekitar tiga bulan lebih yang lalu, sewaktu Bajet 2015 dibentangkan, perancangan Kerajaan adalah berpremiskan, antaranya, pertama, unjuran harga minyak Dated Brent pada kadar 100 dolar Amerika setong.

14. Kedua, pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka mencatat antara 5 hingga 6 peratus. Ketiga, kadar pertukaran matawang yang kekal stabil pada 3.2 ringgit berbanding dolar Amerika; dan

15. Keempat, semasa bajet itu digubal, pertumbuhan ekonomi dunia pada 2015 diunjurkan oleh World Bank dan IMF adalah pada kadar 3.4 dan 3.9 peratus. Kini, mereka telah mengkaji semula kadar dan meletakkan paras yang lebih rendah di antara 3 hingga 3.8 peratus.

16. Perlu difahami juga, sewaktu Bajet 2015 digubal, it was based on strong fundamentals, yakni asas 2014 yang teguh. Oleh sebab itulah, defisit fiskal tahun 2015 telah diunjurkan pada kadar 3 peratus, berbanding pada kadar 3.5 peratus pada 2014.

17. Walau bagaimanapun, kontemporari ini, mahu tidak mahu, kita harus menerima hakikat bahawa, persekitaran dan percaturan ekonomi dunia telah berubah, yang secara langsungnya memberi impak kepada Malaysia sebagai, antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.

18. Maksudnya, berbanding situasi beberapa bulan yang lepas, kini, the global economic landscape has changed in very significant ways. Beberapa perkara pokok yang telah Kerajaan unjurkan, bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.

19. Turut dibangkitkan adalah keupayaan Kerajaan untuk mencapai sasaran fiskal pada tahun 2015. Ramai ingin tahu, persoalannya, berdasarkan situasi semasa ini, adakah ekonomi dan kewangan negara akan terjejas?

20. Oleh yang demikian, perutusan khas hari ini disampaikan supaya rakyat Malaysia mendapat penjelasan langsung daripada Kerajaan tentang perkara ini. Saya juga turut akan mengumumkan beberapa strategi, berikutan kedudukan ekonomi semasa.

21. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus merintis serta mencari jalan bagi mempastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

22. Kita sedar mutakhir ini, wujud pertanyaan di kalangan rakyat, komuniti perniagaan dan para penganalisis bersabit kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia ke atas ekonomi Malaysia.

23. Merujuk kepada trend harga minyak mentah global, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, ia telah menjunam lebih 50 peratus. Ini adalah disebabkan, salah satunya, oleh kerana lebihan bekalan dan permintaan global yang berkurangan.

24. Selain daripada itu, ini juga adalah disebabkan oleh pengeluaran gas dan minyak shale yang meningkat ketara di Amerika Syarikat berikutan kemajuan teknologi industri pengeluaran minyak.

25. Dalam masa yang sama, keadaan ini menjadi lebih buruk, dengan pertambahan bekalan daripada kalangan negara-negara bukan OPEC. Manakala, negara-negara OPEC pula enggan mengurangkan pengeluaran mereka bagi mengekalkan penguasaan pasaran.

26. Di sinilah pihak Kerajaan sering ulang-ulangkan dan berharap, agar rakyat dapat sama-sama memahami bahawa, isu harga minyak mentah bukanlah sesuatu yang berada dalam kawalan langsung Kerajaan Persekutuan kita.

27. Kerana itulah, penanda aras harga minyak mentah Dated Brent terkini telah turun kepada sekitar 48 dolar Amerika setong pada hari semalam, yakni 19 Januari 2015. Walaupun begitu, para penganalisis menjangkakan harga minyak akan mengambil tempoh tertentu untuk kembali stabil.

28. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, apabila berlakunya penurunan harga minyak seperti sekarang ini, hikmahnya, ia membawa manfaat kepada negara pengimport bersih minyak seperti Malaysia.

29. Sebagai contoh, apabila pengurangan harga runcit petrol dan diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini, tambahan pendapatan boleh guna atau disposable income pengguna rakyat Malaysia secara kasarnya adalah di sekitar 7.5 bilion ringgit. Dengan andaian pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah tersebut, ini akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak 3 bilion ringgit.

30. Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan bahawa, harga minyak mentah yang lebih rendah akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi global. Malah, penurunan harga minyak sebanyak 30 peratus, mampu meningkatkan pertumbuhan KDNK dunia sehingga 0.5 peratus.

31. Ini secara tidak langsung, akan juga memberi kelebihan kepada permintaan produk buatan Malaysia. Dengan kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang semakin kukuh pula, permintaan terhadap eksport Malaysia terus mampan terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

32. Ironisnya, kejatuhan harga minyak mentah dunia, memberi impak secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara. Pendapatan inilah, yang Kerajaan gunakan bagi tujuan pembangunan seperti membina sekolah-sekolah, jalan raya dan rumah-rumah ibadat. Ia juga digunakan antaranya, untuk perbelanjaan termasuklah seperti gaji penjawat awam, kos ubat-ubatan di hospital Kerajaan, subsidi pertanian dan kos perbelanjaan keselamatan untuk anggota RELA, tentera. polis dan sebagainya.

33. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, harga minyak mentah dunia telah menjunam. Berdasarkan paras tertinggi minyak mentah Dated Brent, iaitu sebanyak 115 dolar Amerika setong, yang direkodkan pada 19 Jun 2014, harga semasa telah menunjukkan kemerosotan melebihi 50 peratus.

34. Selaras itu, ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa unjuran paras harga asas 100 dolar Amerika setong semasa Bajet 2015 dibentangkan, adalah tidak lagi realistik. Mereka kini, mengganggarkan purata harga minyak bagi tahun 2015 adalah antara 40 hingga 70 dolar Amerika setong.

35. Lantaran itulah, Kerajaan perlu menyemak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak, kepada 55 dolar Amerika setong bagi tahun 2015 ini, berasaskan kepada unjuran bajet yang disemak kembali.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

36. Jika berasaskan kepada harga minyak mentah pada 100 dolar Amerika setong, serta mengambil kira penjimatan dari pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak mulai Disember 2014, Kerajaan dijangka memperoleh tambahan lebihan semasa akaun fiskal, sebanyak 3.7 bilion ringgit.

37. Dalam kata lain, seandainya harga minyak mentah kekal pada 100 dolar Amerika setong, Kerajaan mampu menampung pelaksanaan semua langkah yang telah diumumkan dalam Bajet 2015, dengan sasaran defisit fiskal tidak melebihi 3 peratus.

38. Namun begitu sebaliknya, pada harga 55 dolar Amerika setong yang diunjurkan sekarang, Kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak 13.8 bilion ringgit.

39. Maknanya di sini, jika dibuat perbandingan, di antara angka-angka semakan terkini dengan Bajet 2015, yang telah dibentangkan pada Oktober lalu, sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak 10.7 bilion ringgit, melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak, namun, Kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak 8.3 bilion ringgit, bagi menampung langkah-langkah Bajet 2015.

40. Jelasnya, jika dibiarkan, paras deficit tanpa intervensi kerajaan, defisit akan meningkat kepada 3.9 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran 3 peratus bagi tahun 2015.

41. Keadaan ini, memaksa Kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan defisit, selaras dengan komitmen kerajaan ke arah konsolidasi fiskal.

42. Oleh itu, dengan mengambilkira unjuran yang disemak tersebut, kita dengan ini, menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada 3.2 peratus, daripada KDNK pada tahun 2015.

43. Kadar ini masih rendah berbanding defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2014. Dan realitinya, dengan faktor luaran ini, kita harus menerima hakikat, bahawa kita tidak mungkin mencapai sasaran asal Bajet, dengan defisit fiskal pada kadar 3 peratus daripada KDNK seperti yang telah diumumkan. Namun yang penting, adalah komitmen kita, untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada paras 3.5 peratus pada penghujung tahun sudah.

44. Yang paling utama juga, kita tidak akan berkompromi ke atas perancangan pembangunan negara, kerana ia akan meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara. Sekaligus, kita tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah 40 peratus terbawah atau the bottom 40

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

45. Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh kita semua, perihal turun-naik nilai matawang, asasnya, adalah berdasarkan pengaruh ekonomi global. Oleh kerana itu, Ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang nilainya menyusut berbanding dolar Amerika. Malah, hampir semua mata wang serantau turut menyusut berbanding dolar Amerika sejak September 2014.

46. Ketidaktentuan dalam aliran modal dan penyusutan nilai ringgit yang signifikan baru-baru ini juga, disebabkan kebimbangan terhadap impak kejatuhan harga minyak yang mendadak ke atas ekonomi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

47. Sehubungan itulah, Kerajaan perlu mempastikan perkara-perkara berikut dipantau dengan sebaik mungkin. Pertama, akaun semasa dalam imbangan pembayaran, perlu sentiasa kekal dalam lebihan. Kedua, meneruskan langkah-langkah fiscal reform dan consolidation dan ketiga, aktiviti ekonomi negara perlu terus dipelbagai dengan sewajarnya, supaya negara mampu menghadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi.

48. Namun begitu, Kerajaan yakin kadar tukaran Ringgit, akan mengalami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Apa yang penting, our financial system continues to function in an orderly manner.

49. Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan atau financial intermediation dengan aktiviti pinjaman kekal lancar. Selanjutnya, aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaan kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.

50. Pucuk pangkalnya, Kerajaan yakin, kesemuanya ini, diiringi dengan polisi atau dasar yang lebih dinamik, rizab antarabangsa yang mencukupi dan kukuh, pasaran kewangan yang pelbagai dan mendalam, sistem perbankan yang teguh serta pelabur institusi tempatan yang kukuh, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, akan terus meningkatkan daya tahan Malaysia untuk menampan sebarang turun naik aliran modal.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

51. Menyentuh tentang Imbangan Akaun Semasa negara pula, perlu diketahui bahawa ia berkait langsung dengan imbangan perdagangan import dan eksport.

52. Seperti yang ramai tahu, kita merupakan negara pengeksport minyak. Maka, wujudlah tanggapan bahawa, apabila harga minyak merudum baru-baru ini, pendapatan daripada eksport keseluruhan kita, akan turut merosot secara mendadak, yang seterusnya mengakibatkan berlakunya defisit akaun semasa.

53. Sesungguhnya, tanggapan ini tidak benar. Sebetulnya, bagi minyak mentah, kita merupakan pengeksport bersih dengan nilai lebihan eksport sebanyak 7.7 bilion ringgit, untuk tempoh bulan Januari hingga bulan November 2014.

54. Manakala, bagi produk petroleum, kita adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak 8.9 bilion ringgit untuk tempoh yang sama.

55. Justeru itu, dengan gabungan kedua-dua minyak mentah dan produk petroleum ini, kita sebenarnya adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak 1.2 bilion ringgit.

56. Satu hakitat yang ramai tidak sedar. Oleh itu, tanggapan atau persepsi umum selama ini, bahawa Malaysia merupakan pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan, adalah juga tidak tepat.

57. Sebaliknya, jika dicampur eksport serta import minyak mentah, dan ditolak produk petroleum, maka, Malaysia sebenarnya, merupakan negara pengimport bersih petroleum. Perkara ini namun tidak termasuk Gas Cecair Asli atau LNG, di mana Malaysia masih merupakan negara pengeksport bersih.

58. Tambahan lagi, situasi kita masih utuh, berikutan kejayaan kita selama ini dalam mempelbagaikan ekonomi negara, sehingga dapat menampung kejatuhan harga minyak.

59. Sememangnya lagi, kesan kejatuhan harga minyak, dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan seperti barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan, produk tekstil serta lain-lain, yang terdiri daripada 76 peratus jumlah eksport. Manakala, eksport minyak mentah hanyalah mewakili 4.5 peratus daripada jumlah eksport.

60. Bersandarkan yang demikian, Kerajaan yakin imbangan akaun semasa akan kekal mencatat lebihan pada tahun ini, walaupun nilainya mengecil kepada 2 hingga 3 peratus, daripada Pendapatan Negara Kasar atau PNK, berbanding pada 2014, imbangan lebihan semasa dianggar mencatat 5.1 peratus daripada PNK.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

61. Jelasnya, sebentar tadi, saya telah menghuraikan beberapa isu atau perkara yang akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara. Berdasarkan situasi ini, Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang kukuh. Insya-Allah, kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini, dengan melaksanakan strategi-strategi berikut.
 Pertama: Mempastikan pertumbuhan ekonomi yang balanced, inclusive and sustainable yakni seimbang, inklusif dan mampan;

Kedua: Meneruskan fiscal reform and consolidation; serta

Ketiga: Menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

62. Strategi Pertama: Mempastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Seimbang, Inklusif Dan Mampan. Bagi merancakkan eksport barangan dan perkhidmatan, beberapa tindakan berikut akan diambil:
Pertama, mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import atau import-substitution seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Ini, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barangan dan perkhidmatan;

Kedua, menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada National Export Council iaitu, membantu pengeksport terutamanya Perusahaaan Kecil dan Sederhana atau PKS untuk mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran yang baharu, di bawah program jaringan antarabangsa menggunakan penghubung pasaran dan pakar industri.
Seterusnya, mempergiat program promosi eksport di 46 negara meliputi Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat; memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar negara;

Ketiga, menambah baik last mile connectivity ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk, jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan Logistik dan Fasilitasi Dagangan.
Selain itu, menaik taraf terminal keretapi Padang Besar; menambah baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta menubuhkan sistem hab dan jaringan perhubungan udara;

Keempat, mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara;

Kelima, mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke atas pekerja-pekerja asing; dan

Keenam, visa diberi secara percuma kepada para pelancong antaranya dari negara China

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Selanjutnya, bagi meningkatkan penggunaan swasta pula, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama, memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan kelas G1 yakni kelas F, G2 yakni kelas E dan G3 yakni kelas D, yang berdaftar dengan CIDB, untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan masing-masing yang terjejas akibat banjir;

Kedua, mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia;

Ketiga, meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh negara;

Keempat, mempergiatkan promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang penerbangan yang kompetitif; dan

Kelima, menggalakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Seterusnya, dalam usaha merancakkan pelaburan swasta di Malaysia, Kerajaan akan:
Pertama, menubuhkan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada PKS dalam Sektor Perkhidmatan, dengan pembiayaan maksimum 5 juta ringgit dan jaminan Kerajaan sebanyak 70 peratus;

Kedua, menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;

Ketiga, mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan cadangan kenaikan tarif elektrik pada tahun 2015; dan penangguhan cadangan kenaikan harga gas untuk sektor industri pada tahun 2015;

Keempat, memperuntukkan 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan agensi Kerajaan dan GLC untuk perolehan bekalan serta perkhidmatan kepada PKS tempatan bertaraf pembuat; dan

Kelima, mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan Kerajaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

63. Seterusnya, Strategi Kedua: Meneruskan Fiscal Reform and Consolidation
Antara langkah yang akan diambil bagi meningkatkan hasil Kerajaan adalah:
Pertama, meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat mendaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, bagi meningkatkan hasil daripada kutipan GST. Ini akan menyumbang kepada tambahan kutipan GST sebanyak satu bilion ringgit. Sehingga pertengahan Januari 2015, lebih 304 ribu syarikat telah berdaftar; dan

Kedua, meningkatkan kutipan dividen daripada GLC dan GLIC serta badan-badan Kerajaan yang lain yang dapat menyumbang tambahan hasil sebanyak 400 juta ringgit
Bagi langkah merasionalisasi perbelanjaan pula, Kerajaan akan:
Pertama, mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional yang memberi penjimatan sebanyak 1.6 bilion ringgit;

Kedua, menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara tahun 2015, dengan penjimatan sebanyak 400 juta ringgit bagi membolehkan program dikaji semula dan ditambah baik;

Ketiga, mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit; dan

Keempat, menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

64. Strategi Ketiga adalah Penyediaaan Bantuan Kepada Rakyat Dan Komuniti Perniagaan Serta Membina Semula Infrastruktur Yang Terjejas Akibat Banjir

Banjir baru-baru ini, telah melibatkan sekitar 400 ribu mangsa di seluruh negara. Anggaran terkini kemusnahan infrastruktur mencecah hampir 2.9 bilion ringgit.

Antara tindakan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir, adalah seperti berikut:

Kerajaan telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit sebagai bantuan permulaan, atau initial allocation untuk kerja-kerja baik pulih, dan program kebajikan mangsa banjir, tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 787 juta ringgit;

Sebagai peruntukan awalan, Kerajaan menyediakan 800 juta ringgit untuk membaiki dan membina semula infrastruktur asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan;

Menyediakan 893 juta ringgit bagi Bajet 2015 untuk rancangan tebatan banjir;

Membina rumah-rumah kampung bertiang atau stilt houses setinggi 8 kaki yang telah musnah akibat banjir kepada mereka yang mempunyai tanah sendiri;

Menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah yang sudah siap di Gua Musang;

Memberi bantuan 500 ringgit bagi setiap keluarga yang terlibat bermula hari ini; dan

Menghulur sumbangan 5 ribu ringgit kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga.

65. Bagi perniagaan yang terjejas pula, tambahan 100 juta ringgit disediakan kepada TEKUN dan 100 juta ringgit kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS dan perusahaan mikro.

66. BSN, Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam bulan.

67. Berkait itu, Bank Negara Malaysia akan menubuhkan Special Relief Facility, berjumlah 500 juta ringgit untuk menyediakan pembiayaan pinjaman SME pada kadar yang lebih rendah (concessionary rate) iaitu 2.25 peratus, dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan perbankan.

68. Bank Rakyat pula, akan menawarkan Skim Pinjaman Peribadi sehingga 50 ribu ringgit pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus, dan bayaran balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.

69. Selain itu, sejumlah 500 juta ringgit akan disediakan oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim ini akan diuruskan oleh ProKhas; dan

70. Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia, untuk tempoh enam bulan bagi PKS di kawasan yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari 2015.
(Penutup)

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

Secara keseluruhannya, dalam perutusan saya pada pagi ini, dapat saya rumuskan 6 perkara as the key take-away points:

Pertama, kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan.

Kedua, Strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan tadi, adalah langkah proaktif untuk melakukan penyesuaian atau adjustment, berikutan faktor-faktor luaran yang di luar kawalan kita. Ini merupakan satu reality check, berikutan antaranya perubahan harga minyak dunia.

Ketiga, Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal positif dan tidak berada dalam defisit.

Keempat, Pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh. Malah, matawang ringgit, walaupun mengalami penyesuaian ketika ini, akan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.

Kelima, Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang diperuntukkan dalam Bajet 2015 sebanyak 48.5 bilion ringgit tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.

Ini termasuklah, projek-projek bersifat people economy, yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik dan pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Di samping itu, projek-projek MRT jajaran kedua, LRT dan High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura, Rapid di Pengerang akan tetap diteruskan.

Malah, pada bulan Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020, dan akhirnya;

Yang ke-enam, Perbelanjaan Mengurus atau Operating Expenditure dijangka akan dikurangkan sebanyak 5.5 bilion ringgit, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

71. Akhir kalam, marilah kita banyakkan berdoa, dan bertawakkal supaya Allah SWT sentiasa memberi bantuan-Nya, kepada ikhtiar-ikhtiar kita dalam terus membangun dan memakmurkan negara.

72. Sesungguhnya jua, dalam segala kudrat manusiawi, kepada Allah kita bergantung dan mengembalikan segala urusan. Apa yang paling mustahak, kepada seluruh rakyat Malaysia, sederap dalam satu solidariti, kita mampu menongkah dan melangkah apa jua cabaran serta rintangan yang mendatang.

73. Pastinya, pada setiap kesukaran itu, ada janji-janji kesenangan dan bahagia yang menanti.

74. Mudah-mudahan, Tuhan yang Maha Berkuasa terus melindung-lindung tanahair tercinta ini, dari segala keburukan dan mara bahaya. Bak kata orang tua-tua, kita berserah rugi dan untung, kepada Allah meminta tolong.
Sekian, Terima Kasih. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Selasa, 13 Januari 2015

Kelantan Dalam Sejarah: Demokrasi Tergantung 9 November 1977 – 8 Julai 1978

Mulai 9 November 1977 hingga 8 Julai 1978 demokrasi telah digantung di Kelantan. 

Kira-kira jam 7.30 malam 8 November 1977 seluruh negara tertumpu kepada Dewan Rakyat yang membahaskan dan mengundi Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977. 

Artikel ini ditulis berdasarkan apa yang berlaku di Dewan Rakyat pada malam tersebut dengan merujuk hanya kepada penyata rasmi Parlimen.

Pada 8 November 1977, Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-4, sidang ke-3 memulakan persidangan pada jam 2.30 petang. Seperti biasa, ia bermula dengan sesi soalan lisan dan diikuti oleh rang undang-undang yang dibawa ke dalam dewan. Hari tersebut terdapat dua usul dan satu rang undang-undang.

Kedua-dua usul itu bertujuan membolehkan rang undang-undang yang hendak dibentangkan dapat dibahas dan diundi tanpa sebarang gangguan. Rang undang-undang itu adalah Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977.

Lee San Choon, Ahli Kabinet 1969-1983.
Kedua-dua usul itu dibentangkan oleh YB. Sri Gading iaitu YAB. Datuk Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga. Usul-usul tersebut disokong YB. Segamat, Datuk Lee San Choon, Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat.

Kedua-dua usul ini dipersetujui oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan tidak
sampai satu jam bersidang iaitu pada jam 3.20 petang Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Haji Nik Ahmed Kamil menempohkan dewan untuk berehat bagi membolehkan ahli-ahli membuat persediaan untuk perbahasan.

Dewan akan bersambung pada jam 7.30 malam dan bersidang sehingga rang undang-undang yang dibentang selesai diundi.

Bacaan kali kedua dan ketiga Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 bermula jam 7.36 malam oleh YAB. Perdana Menteri.

AllahyarhamNik Ahmed Kamil 1974-1977


Tanpa berselindung, Hussein Onn mengaku rang undang-undang ini mempunyai implikasi politik dan menyentuh prinsip demokrasi.

Tetapi dengan tegas, Hussein menambah,
"Saya tidak mengemukakannya dengan sewenang-wenangnya. Saya mengemukakannya dengan perasaan penuh tanggungjawab dan dengan sebab-sebab yang tertentu dan yang tidak boleh dielakkan.

"Seorang Ketua Kerajaan Pusat, saya memikul tanggungjawab yang amat berat terutama mengenai keselamatan dan ketenteraman negara. Tanggungjawab saya berkenaan dengan perkara-perkara ini tidak boleh dikompromi walau apapun jadi kepada saya.

"Inilah saatnya pada fikiran saya, kita harus lebih mementingkan maruah bangsa, maruah umat Kelantan itu sendiri lebih daripada yang lain-lainnya."

Hussein memaklumkan dewan, hal keselamatan dan ketenteraman negara mengatasi segala-galanya.

Suasana luar DUN Kelantan sewaktu undi tidak percaya dibuat.
"Tidak ada faedah dan maknanya kepada saya, jika kerana kepentingan politik, saya memejamkan mata dan memekakkan telinga, kepada terkorbannya nyawa terutamanya darah dan musnahnya harta – bukan sahaja di Kelantan, harus juga merebak ke negeri-negeri lain – jika Rang Undang-undang ini tidak dikemukakan dan diluluskan oleh dewan yang mulia ini."

Apa sebenarnya yang menyebabkan rang undang-undang ini dibentangkan?

Hussein menjelaskan kepada dewan seperti berikut,
"Kacau-bilau, tunjuk perasaan, rusuhan, bakar-membakar, pecah-memecah harta benda, berkumpul secara haram dan lain-lain perbuatan adalah ekoran daripada undi tidak percaya ke atas Menteri Besar."

Hussein menerangkan kepada dewan, setelah Menteri Besar Kelantan hilang kepercayaan di dalam Dewan Undangan Negeri, Pemangku Raja tidak membuat keputusan untuk membubar atau melantik Menteri Besar yang baru.

Tindakan Pemangku Raja itu, menurut Hussein, mungkin kerana bimbang apapun keputusan yang dibuatnya tetap akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan satu golongan rakyat dengan golongan yang lain.

Akibatnya, suasana kacau bilau berterusan walaupun perintah berkurung telah dilakukan.

Hussein memberitahu dewan, sehingga 5 November 1977 pihak berkuasa telah membuat 288 tangkapan, manakala 35 rumah dan premis perniagaan telah mengalami kerosakan.

Allahyarham Tun Hussein, 1976-1981.
Walaupun mengakui pada dewan bahawa pihak berkuasa masih mampu mengawal suasana yang semakin tegang di Kelantan, tetapi kerisauan kerajaan menurut Hussein ialah suasana ini akan dimanipulasi,
… oleh pihak kominis, puak pelampau, anti-nasional dan anasir-anasir jahat yang akan mengancam keselamatan bukan sahaja di Negeri Kelantan, bahkan di seluruh negara kita. Kemungkinan ini menjadi lebih serius disebabkan oleh sempadan bersama dengan Negara Thai."
Seterusnya Hussein menerangkan kuasa-kuasa darurat mengikut rang undang-undang yang dibentangkan,

"Kuasa ini akan dijalankan oleh seorang pegawai dari Perkhidmatan Awam Persekutuan dan kepadanya akan terserah kuasa-kuasa executive, functions, powers yang sekarang ini dijalankan oleh Menteri Besar dan executive Council. Tetapi kita ada membuat peruntukan supaya pegawai ini berjaga dan pegawai ini adalah dilantik oleh saya sendiri dan beliau bertanggungjawab dan menerima arahan, panduan, nasihat dan petunjuk daripada saya. Dan sebagaimana yang saya katakan, saya akan bertanggungjawab pertamanya kepada kabinet berkenaan pentadbiran dan perjalanan pentadbiran di Negeri Kelantan dan seterusnya kepada Dewan ini."

Hussein juga memberi jaminan peranan Duli Yang Maha Mulia Raja tidak akan diketepikan. Sekiranya terdapat undang-undang negeri yang perlu digubal dan diluluskan sepanjang tempoh darurat, maka kuasa meluluskannya adalah di tangan Raja Negeri Kelantan dengan nasihat Pengarah Kerajaan yang dilantik mengikut peruntukan di dalam rang undang-undang ini.

Lebih kurang satu jam kemudian, YB. Nilam Puri, Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda bangun menyertai perbahasan. Beliau ketika itu adalah Yang Dipertua PAS (salah satu parti komponen Barisan Nasional sejak 1974).

Allahyarham Mohamed Nasir, MB 1974-1977
Membuka perbahasannya, Asri yang bekas menteri persekutuan mengingatkan dewan, "Sejak negara kita merdeka, fasal yang bernama fasal 150 ini telah tiga kali digunakan orang. Sama ada digunakan orang secara baik atau tidak baik, ia telah digunakan... Inilah kali yang keempatnya iaitu Rang Undang-Undang yang ada di hadapan kita pada masa sekarang.

"Generasi kita yang akan datang akan membaca dan mengkajinya dan kemudian menghukumnya sama ada kesemua darurat atau emergency yang telah diisytiharkan itu sebenar-benar emergency atau darurat atau hanya ‘Emergency of Convenience’."

Asri mengambil kesempatan dalam perbahasan itu untuk memaklumkan dewan versi rasmi partinya, yang menubuhkan kerajaan campuran dengan UMNO dan MCA dalam gabungan BN di Kelantan sejak 1974,

"Tuan Yang Dipertua, kita tidak boleh mengambil sejarah kejadian rusuhan di Kelantan itu bermula dari sidang Dewan Undangan Negeri, di mana undi tidak percaya dilakukan terhadap Menteri Besar. Kita terpaksa jauh kembali ke belakang – tetapi kalau terlalu jauh, terlalu panjang ucapan ini jadinya. Biarlah sedikit."

Asri membentangkan kepada dewan, rusuhan yang berlaku adalah sesuatu yang telah dirancang oleh pihak tertentu, bermula dengan siri rapat-rapat umum yang digembar-gemburkan dengan penuh sensasi pada 24 September di Padang Merdeka, Kota Bharu dan 28 September di Pasir Mas.

"... baharulah 15 Oktober undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri dilaksanakan, seruan-seruan melalui kertas-kertas, surat-surat sibaran serta melalui poster-poster diedarkan campur dengan melalui syarahan-syarahan diadakan di merata kampung, mengarah rakyat datang seramai yang boleh berkumpul untuk menjadi hakim.

"Itulah hari bermulanya peristiwa ini iaitu hari menetasnya telur yang telah dieramkan selama ini. Pada hari itulah belang-belang yang sebenarnya telah mulai tergambar. Tunjuk perasaan telah berlaku…"

Seterusnya, Asri mengemukakan kepada dewan yang beliau katakan bukti 'pesta rusuhan' adalah sesuatu yang terancang.

"... rumah YB. Timbalan Menteri Besar diserang orang pada 22 Oktober 1977 bertepatan dengan hari YAB. Dato’ Seri Dr. Mahathir, Timbalan Perdana Menteri menziarah ke Negeri Kelantan..."

Asri mendakwa, polis yang mengawal rumah Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan itu membiarkan sahaja perusuh menyerang tanpa bertindak. Perusuh berjaya masuk ke dalam rumah TMB sehingga beliau mengugut untuk menembak perusuh-perusuh tersebut.

TMB melepaskan tiga das tembakan ke udara dan kemudian pihak polis mengambil pistol darinya. Perusuh semakin mengganas dan mengakibatkan kerosakan. TMB terpaksa bersembunyi di koridor rumahnya.

Para perusuh merampas kambing-kambing dan ayam-ayam belanda peliharaan TMB seperti 'harta rampasan perang' dan disembelih serta dibuat keraian.

Allahyarham Asri Muda, 1969-1982.
Asri juga memaklumkan kepada dewan mengenai kedudukan ahli-ahli Yang Berhormat PAS dalam kabinet,
"Saya dan rakan-rakan saya terpaksa keluar daripada Jemaah Menteri atau Kerajaan ialah kerana hendak mencari keadilan. Saya hendak menjaga nama baik Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang supaya jangan saya berdiri di kerusi Menteri itu bercakap menentang Perdana Menteri sendiri.
"Keputusan keluar daripada Kerajaan – bukan keluar daripada Barisan Nasional – dibuat oleh parti dan sebagai manusia berparti, manusia politik yang berparti, mesti patuh kepada arahan parti, demikian PAS, demikian UMNO, demikian DAP, demikian apa-apa parti sekalipun."

Asri menjelaskan kepada dewan, PAS telah memutuskan semua Ahli-ahli Yang Berhormat PAS yang memegang jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen mestilah meletakkan jawatan serta merta jika Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 dibawa untuk pembentangan di Parlimen.

Pendirian PAS menurut Asri bahawa rang undang-undang ini adalah,
"… Rang Undang-Undang yang akan memperkosakan hak-hak demokrasi walaupun undang-undang demokrasi membenarkannya..."

Asri juga memaklumkan kepada dewan, seorang Menteri dari parti PAS yang masih tidak meletakkan jawatannya seperti diarah oleh parti telah terpecat keahliannya pada jam 2 petang tadi.

Setelah hampir satu jam membahaskan rang undang-undang itu, Asri akhirnya duduk. Segera bangun YB. Bagan Datok, Haji Hassan Adli Haji Arshad dari BN-PAS untuk membahaskan rang undang-undang tersebut.

Allahyarham Dato’ Haji Hassan Adli Arshad
Haji Hassan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan tidak mengambil masa yang lama untuk terus memberi versinya mengenai apa yang berlaku dalam parti PAS,
"Saya sendiri di dalam beberapa Majlis Jawatankuasa Agong PAS itu sendiri bersama dengan tujuh orang rakan yang lain dan 13 Ahli Dewan Ulama PAS Pusat yang sebulat suara kecuali pengerusinya telah berusaha untuk menyelamatkan hal ini supaya Datuk Haji Mohamad Nasir tidak dipecat daripada kedudukannya secara tidak wajar juga..."

Haji Hassan juga menyangkal dakwaan Asri bahawa rusuhan di Kelantan adalah sesuatu yang telah dirancang,
"Saya tidak tahu Tuan Yang Dipertua, siapa yang sponsor, siapa yang mengupah atau siapa yang makan upah dalam demonstrasi-demonstrasi ini, tetapi terlepas dari persoalan ini, Kelantan mendapat suasana yang rumit. Ini tidak dapat dielakkan. Oleh sebab itu pada fikiran saya Rang Undang-Undang ini sekarang adalah wajar bagi dijalankan..."

Seterusnya, Hassan menjelaskan kepada dewan mengapa beliau melanggar arahan partinya dengan menyokong rang undang-undang ini,
"Tuan Yang Dipertua, inilah saatnya walaupun soal ini sebenarnya soal negeri Kelantan, tetapi kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memberikan sekurang-kurangnya satu formula yang lain bagi melegakan buat sementara waktu kerumitan dan ketengangan di Kelantan.

"Inilah saatnya pada fikiran saya kita harus lebih mementingkan maruah bangsa, maruah umat Kelantan itu sendiri, lebih daripada yang lain-lainnya. Umat Kelantan berkehendakan satu kehidupan yang aman, menikmati pembangunan yang terus pesat, umat Kelantan mahukan satu pemerintahan yang bersih lagi adil, umat Kelantan tidak mahu nama mereka yang harum sebagai pencinta keamanan dicemarkan dengan peristiwa-peristiwa yang akan menumpahkan darah..."

Suasana di Kota Bharu dikemuncak kemelut politik Kelantan 1977.
Pada jam 9.35 malam, YB. Kota Melaka, Lim Kit Siang dari DAP bangun membahaskan rang undang-undang tersebut. Lim menentang rang undang-undang itu dengan memberitahu dewan,
"Tuan Yang Dipertua, saya bangun dengan penuh tanggungjawab dan perasaan sedih kerana apa yang Parlimen berhajat membuat dengan perisytiharan darurat dan penguatkuasaan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan tujuan menggantungkan Perlembagaan Negeri Kelantan dan mengadakan pemerintahan ala-Mageran di negeri tersebut merupakan suatu 'subversion' kepada basis demokratik Perlembagaan Malaysia."

Lim menegaskan kepada dewan, perselisihan faham politik tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan prinsip-prinsip demokrasi dan jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Bagaimanapun, Lim mengambil kesempatan membuat pendedahan menarik kepada dewan. Lim memaklumkan dewan mengapa PAS mengambil tindakan untuk memecat Menteri Besarnya sendiri. Menurut Lim,
"Hampir dalam pertengahan bulan September, YAB. Menteri Besar Kelantan telah diberi kata dua oleh partinya sendiri iaitu Jawatankuasa Perhubungan PAS Kelantan, sama ada beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sebelum 20 September ataupun menghadapi undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Undangan Negeri Kelantan, di mana PAS memegang 22 dari 36 kerusi..."

Haji Mohamed Nasir, bagaimanapun menurut Lim enggan meletakkan jawatan dan mendakwa langkah itu diambil kerana Haji Mohamed Nasir,
"... telah bertindak mengambil balik concession sebanyak 350,000 ekar tanah yang diberikan kepada Syarikat Timber Mines dan juga kerana beliau membekukan tanah seluas 240,000 ekar di sempadan Kelantan-Perak yang dipercayai mengandungi bijih timah yang bermutu tinggi."

Jawatakuasa Pusat PAS menurut Lim telah dalam mesyuarat 10 Oktober 1977 memecat Haji Mohamed Nasir dengan 13 undi menyokong, tujuh undi menentang dan dua berkecuali. Seterusnya Lim memberitahu dewan,
"Pada 15 Oktober, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan usul tidak percaya terhadap Datuk Haji Mohamed Nasir dengan 20 menyokong dan 13 anggota UMNO dan seorang dari MCA bertindak keluar dari dewan."

Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 dibahaskan selama hampir tujuh jam dengan lebih 20 Ahli Yang Berhormat mengambil bahagian.

Lebih 5,000 anggota polis dikerah mengawal keselamatan sebelum perisytiharan darurat.
Pada jam 1.53 pagi, YB. Kubang Pasu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri telah bangun untuk menggulung perbahasan.

Mahathir memberitahu dewan, kepimpinan Barisan Nasional telah berusaha menyelamatkan situasi di Kelantan supaya undi tidak percaya tidak diteruskan kerana khuatir ia akan membawa keadaan yang tidak tenteram di Kelantan.

"Kita telah mencadangkan supaya kita akan cuba memujuk Menteri Besar yang tidak disukai itu mengundur diri dan diganti dengan orang yang tidak menimbulkan masalah di Negeri Kelantan, tetapi malangnya formula ini ditolak..."

Menurut Mahathir, kepimpinan PAS terus mendesak soal Menteri Besar adalah 'hak kami' dan 'kalau kami ingin singkirkan siapapun tidak berhak menahan kami', akibatnya usaha BN untuk mengatasi krisis politik menerusi pendekatan politik telah menemui kebuntuan.

Mahathir juga menyangkal versi YB. Nilam Puri berhubung keganasan yang berlaku di rumah Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Mahathir memberitahu dewan, menurut laporan polis, keganasan bermula hanya selepas TMB melepaskan tembakan. Ini juga menyebabkan pihak polis terpaksa mengambil pistol itu dari TMB.

Mahathir mengakhiri penggulungan dengan memberitahu dewan,
"Tuan Yang Dipertua, Kerajaan Pusat telah berkali-kali mengatasi banyak masalah secara rundingan dan saya tidak perlu perhitungkan masalah-masalah ini kerana ini adalah menjadi ketahuan umum.

"Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah kita masih bersedia untuk mencari jalan politik ataupun jalan apa juga untuk mengatasi masalah ini sementara Undang-Undang ini berkuatkuasa dan membawa ketenteraman kepada Negeri Kelantan."

Dewan kemudiannya membuat undian dan Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 diluluskan dengan 118 Ahli Yang Berhormat menyokong, manakala 18 menentang. Dewan Rakyat kemudiannya ditangguhkan jam 2.45 pagi pada 9 November 1977.

Rapat umum dan syarahan politik mengapi-apikan keadaan.
Nota:
Mulai 9 November 1977, pemerintahan Persekutuan dilaksanakan di seluruh Kelantan. Demokrasi telah digantung. Pada 13 Disember 1977, Majlis Tertinggi BN telah memberi tempoh empat hari kepada parti PAS untuk memecat Ahli-ahli Yang Berhormatnya yang menentang Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 di Parlimen. 

Pada 14 Disember, Datuk Haji Mohamed Asri, selaku Yang Dipertua PAS mengumumkan bahawa PAS menganggap partinya bukan lagi komponen Barisan Nasional dan akan memainkan peranan sebagai pembangkang.

Pada 8 Julai 1978, rakyat Kelantan keluar mengundi dalam Pilihanraya Negeri yang dibuat serentak dengan Pilihan Raya Umum kelima. Demokrasi kembali di Kelantan dengan ditadbir oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

** Dipetik dari blog Sokmo.Net.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...