Selasa, 20 Julai 2010

Sifu ku Kak Adibah
















Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Tokoh Persuratan Melayu, Adibah Amin yang diserang angin ahmar tiga tahun lalu.

Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sumbangan itu bagi menampung perbelanjaan rawatan dan pembelian ubat.

"Setelah kami mendengar Kak Adibah ditimpa nasib yang tidak baik, kami berusaha untuk mencari dana. Saya telah bercakap dengan Perdana Menteri dan beliau telah mencari duit tersebut daripada 1Malaysia Development Berhad.

“Kami telah mengambil keputusan untuk menyumbang dari segi wang, bukan anugerah. Buat masa sekarang ini Kak Adibah memang memerlukan perbelanjaan bagi rawatannya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada Adibah di Bangunan Siti Hasmah di Kuala Lumpur.

Rosmah berkata, keputusan itu dibuat berasaskan sumbangan Adibah terhadap bidang kesusasteraan dan penulisan terutama dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Adibah, 74, yang berkerusi roda terharu dan menghargai sumbangan yang diberikan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sumbangan ini,” kata Adibah yang ditemani adik perempuannya, Fadzilah.

Beliau kini mendapatkan rawatan fisioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan semakin beransur pulih.

Selain dihormati sebagai ahli bahasa dan penulis dalam bahasa Melayu serta bahasa Inggeris, Adibah juga pernah berlakon watak pensyarah dalam filem popular Adik Manja yang dibintangi Noor Kumalasari.

Beliau menerima anugerah pelakon pembantu terbaik untuk filem yang sama pada tahun 1980.

Antara anugerah yang pernah diterima Adibah ialah anugerah penulisan SEA (1983), anugerah wartawan cemerlang negara (1996) dan anugerah kesusasteraan Johor (1996). - Bernama

Khamis, 15 Julai 2010

Alkisah Puteri Saadong



















PUTERI SAADONG BERAKHIR DI BUKIT MARAK?

Pemerintahan Puteri Saadong dikatakan berakhir menjelang kurun ke-18. Di akhir pemerintahan baginda tidak langsung disebut baik mana-mana juga buku sejarah, bahkan cerita-cerita lisan dari penduduk negeri Kelantan pun tidak didapati, puas juga saya menjelajah ke seluruh negeri Kelantan, ke Kampung-kampung yang jauh di pendalaman dan pernah juga saya menjalankan kajian di Bukit Marak yang dikatakan tempat akhir sekali Puteri Saadong bersemayam, tidak saya temui bahan-bahan yang boleh menolong mengesan lingkaran sejarahnya yang berikut.

Dengan berakhirnya pemerintahan Raja Abdul Rahim yang menggantikan pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai dan juga pemerintahan Puteri Saadong di Bukit Marak, maka muncul semula pemerintahan di Jembal iaitu pemerintahan Sultan Umar (Raja Umar). Baginda ini ialah adik kepada Raja Loyor dan pangkat bapa saudara pula kepada Puteri Saadong.

Pemerintahan baginda ini dikatakan bermula pada tahun 1675. Baginda mempunyai beberapa putera dan puteri. Putera sulung baginda bernama Raja Kecil Solong yang dirajakan di Kota Teras (di Kampung Teras dekat Kampung Mentuan), seorang lagi putera baginda bernama Raja Ngah atau dipanggil juga Raja Hudang memerintah di Tebing Tinggi Pusaran Buah (Kampung Tanjung Chat), seorang puteri Sultan Umar bernama Raja Pah telah berkahwin dengan Tuan Besar Long Bahar seorang putera raja yang datang dari Patani, Selatan Thailand.

Mengenai Tuan Besar Long Bahar pula, menurut Ringkasan Cetera Kelantan yang ditulis oleh Datuk Paduka Raja Kelantan, Nik Mahmud bin Ismail, adalah putera kepada Wan Daim atau disebut juga Datuk Pangkalan Tua, raja dari negeri Petani yang zuriatnya berasal dari keturunan anak-anak Raja Bugis bernama Paqih Ali.

Tuan Besar Long Bahar mempunyai beberapa saudara iaitu Tuan Solong Kelantan, Tuan Senik Genting dan Datuk Pasir Petani. Oleh kerana terjadinya perselisihan keluarga, maka Tuan Besar Long Bahar telah merantau ke Kelantan dengan membawa bersama seorang putera yang bernama Long Sulaiman. Di Kelantan, Long Besar berkahwin pula dengan Raja Pah, puteri Sultan Umar, kemudian Tuan Besar Long Bahar berpindah membuka sebuah tempat yang diberi nama Kota Kubang Labu (dalam Wakaf Bharu, Tumpat).

Dalam tahun 1721, Sultan Umar telah mangkat dan baginda inilah juga yang disebut atau digelar Raja Udang, yang mana makamnya dalam kawasan sawah padi kira-kira dua rantai jauhnya dari Sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Lalat. Begitu juga Raja Bahar, kekanda baginda yang memerintah Jembal mangkat pada tahun 1675 digelar Raja Ekor, makamnya di Kampung Tok Kambing, Mukim Sering, Kota Bharu.

Dengan kemangkatan Sultan Umar, putera sulung baginda, Raja Kecil Solong yang memerintah di Kota Teras tidak mahu mengambil alih pemerintahan di Jembal. Dan dengan persetujuan baginda juga, diangkat adik iparnya, Tuan Besar Long Bahar menjadi raja di Jembal. Dengan itu Kota Kubang Labu, Tumpat diserahkan kepada pemerintahan putera baginda, Long Sulaiman. Putera ini ialah dari isteri baginda di Patani.

Apabila pemerintahan Jembal dan di Kota Kubang Labu terserah kepada Tuan Besar Long Bahar dan putera baginda, maka berakhirlah satu peringkat pemerintahan dari zuriat Raja Sakti yang memerintah Jembal. Pada peringkat ini pula, zuriat keturunan Tuan Besar Long Bahar yang memerintah Jembal dan Kota Kubang Labu. Keturunan Tuan Besar Long Bahar ini juga asalnya raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan sehingga kini.

Dalam tahun 1977 hingga tahun-tahun yang kemudian, saya telah menjalankan kajian di beberapa tempat sekitar Kedai Lalat yang letaknya kira-kira 7 batu dari bandar Kota Bharu. Di kampung itu terletaknya makam Raja Loyor iaitu ayahnda Puteri Saadong. Menurut cerita penduduk kampung sekitar, suatu ketika dahulu ada beberapa orang Siam datang mengorek makam tersebut, kononnya orang Siam itu bermimpi dalam makam tersebut ada sebilah keris yang dianggap keramat atau mempunyai kuasa ghaib. Pernah satu ketika ada orang mencuri serpihan batu nisannya yang dibuat dari batu marmar, beberapa hari kemudian serpihan itu dipulangkan semula. Menurut orang yang mengambil serpihan itu, dia sering diganggu mimpi menakutkan.

Makam Raja Udang atau Sultan Umar mempunyai beberapa kepercayaan pula, makam ini terletak tidak jauh dari Masjid Kedai Lalat. Ada satu batu besar yang disebut batu hampar berdekatan makam tersebut. Penduduk kampung sekitar ada yang percaya batu sepanjang tiga kaki dan lebar kira-kira dua kaki dengan tebalnya enam inci itu mempunyai kuasa ghaib. Tidak ada sesiapa pun berani mengambil batu itu.

Sebuah lagi makam di Kampung Tok Kambing iaitu kira-kira satu batu dari Kedai Lalat, makam itu dikenali sebagai makam Raja Ekor atau Raja Bahar. Makam ini ada binaan yang dibuat dari batu pejal, sungguh menarik kerana terdapat ukiran terpahat, ukiran seekor burung (boleh jadi Burung Bangau) sangat menghairankan kerana biasanya perkuburan Islam tidak menggambarkan benda hidup seperti haiwan.

Pahat yang berbentuk burung biasanya mempunyai pengaruh dari utara terutama Negara China (meliputi negeri di Indo-China). Adakah Raja Ekor ini seorang raja yang berasal dari Indo-China ataupun boleh jadi batu makam itu sengaja ditempa di Chempa (Republik Khamer) yang waktu di zaman dulu pernah menjadi sebuah kerajaan Islam dan pengaruh Islam. Inilah perkara yang ahli penyelidik harus menjalankan kajian lebih mendalam, seelok-eloknya meninjau pula ke negeri di Indo-China untuk melihat makam Islam di zaman dulu yang banyak terdapat di negara itu. Dapat juga buat perbandingan dengan makam raja-raja Jembal yang ada di Kelantan terutama makam Raja Ekor yang masih menjadi mesteri.

PUTERI SAADONG BUNUH SUAMI KERANA CEMBURU.

Catatan Ibnu Batutah mengenai negeri yang disebut Kilu-Kerai itu kurang jelas, baik mengenai letak negeri tersebut dan juga gaya pemerintahan Raja Perempuan yang disebut Urd-uja itu.

Dengan keterangan begitu sedikit, tidaklah boleh memberi kata putus bahawa Kilu-Kerai itulah sebenarnya Kuala Kerai yang terdapat di Negeri Kelantan sekarang ini. Bagaimanapun perkara ini boleh diselesaikan jika ada pakar sejarah yang betul-betul menjalankan penyelidikan khas mengenai perkara itu.

Dari beberapa keterangan, iaitu berdasarkan hikayat lama dan juga lain-lain catatan sejarah, Negeri Kelantan telah wujud pemerintahan beraja berteraskan agama Islam pada kira-kira awal kurun ke-15. Dikatakan raja mula-mula memerintah Kelantan yang dapat dikesan ialah Maharaja K’Umar atau disebut juga Raja K’Umar. Pemerintahan baginda adalah sekitar tahun Masihi 1411, tetapi tidak diketahui di mana letaknya pusat pemerintahan baginda. Sesetengah ahli sejarah tempatan percaya pusat pemerintahan baginda terletak di Pulau Sabar, iaitu sebuah pulau yang terletak di tengah Sungai Kelantan berhampiran Kampung Laut. Pulau itu pada masa ini telah tenggelam.

Selepas pemerintahan K’Umar, muncul pula pemerintahan Sultan Iskandar. Pemerintahan baginda berakhir pada tahun 1465 Masihi kerana dibinasakan oleh angkatan perang Siam (Thai), kononnya baginda dan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah ditawan dan dibawa ke negeri Siam. Tidaklah diketahui mengenai nasib raja itu, adakah baginda mangkat di Siam atau dihantar pulang ke Kelantan.

Kira-kira pada tahun Masihi 1477, sebuah angkatan perang dari Melaka yang diperintah oleh Sultan Mahmud menyerang dan mengalahkan Kelantan. Sultan Mansur iaitu Sultan Kelantan ditawan, begitu juga ditawan ketiga-tiga puteri baginda, Puteri Unang Kening, Cubak dan Cuban. Puteri Unang Kening yang paling jelita itu kemudian diperisterikan Sultan Mahmud Shah. Setelah Sultan Mansur Shah mengaku tunduk kepada pemerintahan Melaka, baginda diangkat semula menjadi sultan Kelantan. Sejak itu Kelantan dikira sebagai jajahan takluk Melaka.

Sultan Mansur Shah mangkat pada kira-kira tahun Masihi 1526. Putera baginda bernama Raja Gombak dilantik menjadi pemerintah Kelantan. Baginda bersemayam di Pulau Sabar. Dalam tahun 1548, Raja Gombak mangkat tanpa meninggalkan zuriat. Oleh itu, anak saudara baginda bernama Raja Ahmad dilantik menjadi pemerintah Kelantan. Baginda bergelar Sultan Ahmad. Menurut beberapa punca sejarah, Sultan Ahmad mempunyai seorang puteri yang sangat jelita bernama Puteri Cik Wan Kembang. Ketika Sultan Ahmad mangkat, puteri ini masih kecil lagi lalu dilantik seorang anak raja dari Johor bernama Raja Husain memangku raja dengan bergelar Sultan Husain.

Sultan Husain yang memerintah Kelantan itu dikatakan mangkat pada tahun 1610. Dengan itu dilantik Cik Wan Kembang menjadi pemerintah Kelantan. Raja Perempuan Kelantan ini dikatakan berpindah dari Pulau Sabar ke sebuah tempat yang sangat jauh di pendalaman iaitu Gunung Cinta Wangsa (terletak kira-kira 27 batu ke tenggara Kuala Krai).

GANJIL

Mengapa baginda berpindah begitu jauh dari tebing Sungai Kelantan adalah perkara yang sungguh ganjil. Biasanya pemerintahan raja-raja di zaman dahulu memilih tempat berhampiran sungai kerana sungai menjadi jalan dan perhubungan penting ketika itu. Harus juga pada fikiran Raja Perempuan itu, bahawa tempat tersebut lebih selamat dan tenteram dari apa juga gangguan luar terutama gangguan pemerintahan Siam yang dianggap kuasa teragung ketika itu.

Dalam jangka masa sama, di zaman pemerintahan Cik Wan Kembang atau pada pedagang bangsa Arab disebut Cik Siti (Cik Siti Wan Kembang), di Negeri Kelantan telah wujud sebuah lagi pemerintahan beraja yang berpusat di Jembal (Kedai Lalat sekarang iaitu kira-kira 6 batu dari Kota Bharu). Raja yang memerintah di situ bernama Raja Loyor iaitu putera Raja Sakti yang berasal dari Kedah.

Ada sesetengah ahli sejarah tempatan berpendapat Raja Loyor berkahwin dengan Namng Cayang iaitu seorang raja perempuan Pattani yang melarikan diri ke Kelantan. Dari perkahwinan itu, mereka beroleh seorang puteri bernama Puteri Saadong. Puteri Saadong inilah yang kemudiannya diambil oleh Cik Siti Wan Kembang menjadi anak angkatnya kerana baginda tidak mempunyai anak. Puteri Saadong pula berkahwin dengan sepupunya Raja Abdullah. Kemudian Raja Abdullah dilantik menjadi raja di tempat yang bernama Cetak (dalam jajahan Pasir Mas). Tidak lama di situ, Raja Abdullah berpindah pula bersemayam di Kota Mahligai (dalam daerah Melor sekarang).

Setelah Raja Abdullah dan Puteri Saadong berkerajaan di Kota Mahligai, maka Cik Siti Wan Kembang pun balik semula bersemayam di Gunung Ayam. Setelah itu tidak lagi didapati cerita mengenai Cik Siti Wan Kembang, adakah baginda berpindah ke tempat lain atau mangkat di tempat tersebut.

Memang perkara yang sukar untuk mengesan mengenai kedudukan tempat bersemayam Cik Siti Wan Kembang yang sebenarnya kerana di Kelantan terdapat dua gunung bernama Gunung Ayam, sebuah terletak kira-kira 17 batu ke barat Gua Musang, gunung itu setinggi 2,945 kaki terletak terlalu jauh di rimba yang sangat sukar dijalankan penyelidikan. Sebuah lagi Gunung Ayam terletak sempadan Terengganu iaitu kira-kira 15 batu ke timur laut Kuala Krai. Gunung itu setinggi 2,674 kaki dan berada jauh dalam rimba. Gunung Ayam yang mana satu menjadi tempat dan pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang.

Makam Cik Siti terletak berdekatan makam Tuan Tabal atau namanya Tuan Haji Abdul Samad bin Muhammad. Tuan Tabal adalah seorang tokoh pengembang agama Islam terkenal di Kelantan yang meninggal dunia pada tahun 1891 dan dimakamkan di perkuburan Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (Pantai Cinta Berahi). Makam Cik Siti sangat cantik, dibina dengan batu pejal dan berukir. Seni ukir pada binaan makamnya menggambarkan seni ukir yang hampir persamaannya dengan makam-makam di jembal dan juga makam-makam di permakaman Diraja Langgar. Adakah ini yang sebenarnya makam Cik Siti Wan Kembang?

NISAN

Berdasarkan Tanah Perkuburan Banggol, saya yakin adalah satu tanah perkuburan yang sangat lama. Mungkin tanah perkuburan itu digunakan beratus-ratus tahun lalu. Di perkuburan Banggol itu juga akan memperlihatkan kepada kita pelbagai jenis bentuk batu nisan yang ganjil serta ada pula berukir dan bertulis ayat al-Quran yang sangat cantik dan menarik. Dengan berakhirnya pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang tidak dapat dikesan di akhir pemerintahannya, maka muncullah pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai.

Pemerintahan Raja Abdullah berakhir pada tahun 1671, iaitu apabila baginda mangkat dibunuh oleh isterinya, Puteri Saadong. Lalu Puteri Saadong melantik pula Raja Rahim, anak Raja Abdullah merajai Kota Mahligai. Tidak lama selepas Raja Rahim memerintah, baginda kemudian dibunuh pula oleh rakyatnya di tepi tasik Lelayang Mandi. Dengan kemangkatan Raja Rahim, berakhirlah pemerintahan beraja di Kota Mahligai.

Konon menurut cerita, Puteri Saadong telah lama ditawan dan di bawa ke Siam (Thailand) iaitu ketika tentera Siam datang melanggar Kelantan waktu mereka mula-mula berkahwin dan bersemayam di Kota Mahligai. Selepas beberapa tahun Puteri Saadong di Siam, baginda dihantar balik ke Kelantan. Alangkah terkejutnya Puteri Saadong bila mendapati suaminya Raja Abdullah telah berkahwin lain. Dari situ berlaku pertengkaran dan berakhir kemangkatan Raja Abdullah dengan tikaman pacak sanggul isterinya.

Sumber: N A Halim (Muzium Negara)
Petikan: Mingguan Malaysia 28 Oktober 1979

Selasa, 13 Julai 2010

Kesian Dia






















Kerabat tidak iktiraf Putri Anis
Dakwaan diri berasal keturunan ketujuh Puteri Saadong diragui


BACHOK: Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan tidak mengiktiraf seorang gadis yang mengaku sebagai kerabat keturunan ketujuh Puteri Saadong berasal daripada keturunan Raja Jembal kerana terdapat keraguan dalam dakwaan itu.

Pengerusi pertubuhan, Nik Yusuf Nik Muhamad berkata, mereka sudah mengenal pasti latar belakang dan nama sebenar gadis itu yang disyaki bukan keturunan sebenar Puteri Saadong.

“Kita tidak mengiktiraf pengakuan gadis itu dan semua dakwaannya diragui kebenarannya,” katanya.

Nik Yusuf berkata, pertubuhan itu sedang menyiasat dakwaan gadis itu dengan mendapat pandangan daripada Persatuan Sejarah Negeri Kelantan dan Perbadanan Muzium Negeri manakala satu seminar sedang dirangka untuk membincangkan isu itu bagi mencari titik pertemuan untuk menentukan kesahihan lagenda Puteri Saadong dan salasilah mengenainya.

Beliau berkata, pertubuhan itu mengakui rupa paras Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, seiras dengan kerabat Raja Jembal tetapi dakwaan bahawa beliau adalah waris keturunan ketujuh Puteri Saadong masih tidak diiktiraf.

Nik Yusuf berkata, pihaknya terkilan kerana Raja Tengku Putri Anis membuat pengakuan itu tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pertubuhan itu.

Katanya, upacara pemasyuran Raja Tengku Putri Anis sebagai Sri Ratu Ketujuh Saadong sempena mengakhiri apa yang dikatakan sumpahan tujuh keturunannya baru-baru ini tidak wajar dilakukan sebelum dakwaan berkenaan dibuktikan.

Beliau berharap gadis itu dapat mengadakan pertemuan dengan pertubuhan berkenaan yang mempunyai lebih 2,000 ahli untuk mengkaji salasilah dan kebenaran dakwaan itu.
“Apa yang saya baca dalam akhbar, beliau ada berjumpa dengan begitu ramai ulama untuk mengesan susur galur keluarganya tetapi tidak dengan kita,” katanya.

Raja Tengku Putri Anis yang mendakwa dirinya adalah waris ketujuh kepada Puteri Saadong yang kisah sejarahnya disaluti mitos dan legenda.

Raja Tengku Putri Anis berkata, sudah sekian lama beliau menyimpan rahsia yang dibawa daripada generasi ke generasi dan tampil hampir pada saat dikatakan berakhirnya sumpahan Puteri Saadong yang merajuk membawa diri ke Acheh di Indonesia.

Menurut cerita, Puteri Saadong meninggalkan sumpahan 420 tahun lalu dengan kata-kata: “Ku tinggalkan rakyat, ku tinggalkan negeri, ku tinggalkan harta, ku tinggalkan segala. Merajuk diri ku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asal ku, di mana bumi ku pijak, di situ langit ku junjung, aku bersumpah tak lagi ku injak Negeri Kelantan sehingga cukup tujuh keturunan.”

Nik Yusuf berkata, beliau tidak mempercayai kewujudan sumpahan itu dan hanya mitos mengenai Puteri Saadong.

“Malah, banyak pihak pernah membuat dakwaan sebelum ini bahawa mereka juga adalah kerabat Raja Jembal tetapi apabila kajian dibuat ia ternyata tidak benar,” katanya. - Bernama

Isnin, 5 Julai 2010

Laut terbelah di Korea


















Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam

APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.

Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo.

Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.

Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa AS yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.

Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.

Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.

Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.

Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.

“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia, tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapan ku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong. Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.

Kisah Nabi Musa belah samudera

Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa AS ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.

Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik, sedangkan keupayaan Nabi Musa AS membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada Baginda.

Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa AS membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa. Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa AS dan pengikut Baginda akan menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa AS mengetuk tongkat Baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa AS dan pengikut Baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa AS dan pengikut Baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa AS dan pengikut Baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa AS.

Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun, apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa AS membelah Laut Merah berlaku.

Apa pun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual dan itulah yang akan terjadi.

INFO: Laut terbelah Jindo
* Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.
* Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.
* Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.
* Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.
* Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan setiap tahun.

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...