Selasa, 29 September 2015

Catatan Di Belakang Tirai Besi – Dr Khir Toyo

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

1. Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.

2. Saya mohan maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.

3. Saya tahu sebahagian orang di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.

4. Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin UMNO mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana. Hakikatnya, rumah saya antara bukanlah antara terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.

5. Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan Pendakwa Raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah. Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin.

6. Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya. Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.

7. Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum ialah 2 tahun penjara.

8. Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.

9. Demikianlah kesungguhan Peguam Negara terdahulu mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.

10. Adillkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar beliau.

11. Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk Perdana Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak SPRM sendiri.

12. Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih dari RM 2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? (lihat: Fakta dan Angka Tidak Boleh Menipu]

13. Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.

14. Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.

15. Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus Sudah Harapan?]

The Sun

16. Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.

17. The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor disiytihar negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.

18. Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.

19. Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?

20. Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membaca The Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada Menteri Besar selepas saya. Malah ada ketika mereka mempertahankan Menteri Besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata. 

Kuil

21. Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi. Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM 40 ribu dan juga diberi tapak baru.

22. Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.

23. Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya.

24. Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai Menteri Besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar. Di bawah pentadbiran saya juga Kerajaan Negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang. 

Penyapu

25. Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah Penyapu atau Padah Sikap Kita?]

26. Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.

27. Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan En Tukiman Nail, bekas Presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim. 

Setinggan

28. Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan. Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan; (i) memberi penempatan yang lebih baik, (ii) menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan, (iii) memberi subsidi RM 7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.

29. Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor.
30. Jika ada hayat dikandung badan, in sha Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti.
 
Wassalam.

Jumaat, 25 September 2015

TH sah tiada rakyat Malaysia maut di Mina

PETALING JAYA: Tiada jemaah haji Malaysia dilaporkan terkorban dalam insiden rempuhan di Mina.

Pengesahan itu dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Perkara itu dimaklumkan beliau pada sidang media susulan berdasarkan semakan yang dibuat oleh Tabung Haji (TH) ke atas tujuh maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia dan 15 syarikat pengelola jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn Bhd.

"Selepas membuat semakan, tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan. Alhamdulillah," katanya pada sidang media di Makkah pada Khamis.

Sementara itu jumlah korban terus meningkat dengan melebihi 720 nyawa dengan mangsa yang cedera mencecah 1000 orang.

Koresponden saluran berita al Arabyiya, Abdul Rahman Al-Osaimi melaporkan kejadian berlaku berhampiran kawasan masuk Jamrah dekat Jalan 204 dan bukannya dalam Jamrah, di mana tempat melontar ditempatkan.

PETALING JAYA: Tabung Haji (TH) sedang mengumpul maklumat bagi mengesahkan sama ada jemaah haji Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan yang berlaku di Mina.

Menurut laporan yang dipetik daripada Mstar Online, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan pihaknya sedang menjalankan pengiraan jumlah jemaah Malaysia yang berada di sana.

"Berdasarkan jumlah itu, ia akan memudahkan kami untuk mengesan kedudukan jemaah Malaysia.

"Kami masih berkomunikasi dengan kumpulan petugas haji di sana yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama jemaah haji Malaysia di sana.

"Kejadian baru beberapa jam berlaku dan kami tidak mahu memberi maklumat tidak tepat kerana ia sesuatu yang sensitif," katanya yang dipetik daripada portal itu.

Menurut Abdul Azeez sebaik maklumat terkini diperoleh, TH akan memaklumkan semua pihak terbabit termasuk keluarga dan media tempatan.





Khamis, 24 September 2015

Tragedi Mina: Angka kematian meningkat kepada 717 orang

ANGKA kematian jemaah haji yang terlibat dalam tragedi rempuhan meningkat kepada 717 dengan lebih 800 orang lagi cedera,

Menurut laporan Reuters, tragedi itu merupakan yang terburuk dalam sejarah 25 tahun.

Tragedi itu berlaku apabila dua kumpulan besar jemaah tiba serentak pada persimpangan untuk melontar di Jamrat.

Pada tahun 1995, 1,426 jemaah terbunuh dalam terowong berhampiran Mekah juga akibat rempuhan.
Sementara pada 2006 346 jemaah haji mati semasa menunaikan syarat haji iaitu melontar di Mina.

Tragedi Mina: Tiada jemaah haji Malaysia terlibat

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan di Mina semasa jemaah haji melakukan ibadah melontar Jamrah hari ini yang meragut lebih 400 nyawa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
 
Beliau berkata kawasan kejadian rempuhan berkenaan tidak melibatkan laluan jemaah Malaysia untuk melakukan ibadah melontar itu.
"Jadual melontar bagi jemaah haji Malaysia ditetapkan selepas 5.30 petang dan 8 malam ini," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata jarak tempat kejadian rempuhan itu dengan kawasan perkhemahan jemaah Malaysia adalah kira-kira tiga hingga empat kilometer.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, setakat ini seramai 310 jemaah maut dan 450 lagi cedera dalam insiden di kawasan perkhemahan negara-negara Arab di Mina, katanya.

Sehubungan itu, lapan pos kawalan jemaah haji sedia ada yang dilaksanakan Tabung Haji di Mina akan dipertingkatkan lagi tahap pemantauan dan kawalan ke atas jemaah haji negara ini.

"Tabung Haji bagaimanapun masih membuat semakan berterusan di perkhemahan jemaah haji Malaysia," katanya.

Insiden rempuhan itu merupakan kali kedua berlaku sejak 2006, yang menyaksikan 346 jemaah haji terkorban ketika menunaikan ibadah melontar.

Lebih tiga juta jemaah dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah Malaysia kini berada di Tanah Suci bagi melaksanakan ibadah haji.

Bagaimanapun, majoriti jemaah haji termasuk jemaah Malaysia masih berada di Mina untuk mengerjakan ibadah melontar selepas bermabit iaitu berada seketika atau bermalam di Muzdalifah malam tadi.

Mereka yang tiba secara berperingkat ke Mina dari Muzdalifah itu memulakan ibadah melontar bermula di Jamrah Kubra pada Khamis selepas terbit fajar subuh. -- BERNAMA


Rempuhan Mina bukan di kompleks melontar - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dasuki


Tragedi rempuhan di Mina berlaku di antara Jalan 204 dan 223, Mina dan bukannya di Kompleks Jamrat (kompleks melontar) seperti yang diviralkan di media sosial, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dasuki.
Katanya, Jalan 204 dan 223 ini merupakan kawasan perkhemahan yang menempatkan jemaah haji negara Arab dan lokasi kejadian adalah terletak jauh dari kawasan Jamrat.
Menurut beliau, buat masa ini, tiada jemaah haji Malaysia terlibat dalam insiden tersebut., namun Tabung Haji akan membuat semakan (head count) secara terperinci di semua perkhemahan jemaah haji muassasah dan juga jemaah haji pakej.

"Pasukan peronda Tabung Haji sedang berada di Kompleks Jamrat bagi memantau situasi semasa dan memastikan pergerakan jemaah haji Malaysia.

"Jadual melontar jemaah Malaysia dijadualkan dan ditetapkan pada 5.30 petang dan 8.00 malam secara berperingkat. Kejadian ini berlaku pada waktu puncak (waktu Dhuha). Oleh itu, kita pastkan Jemaah haji kita tidak melontar di luar jadual kita," kata dalam sidang media di sini.

Asyraf Wajdi berkata, bagi memastikan kejadian tersebut tidak berlaku berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas, Tabung Haji menempatkan lapan pos yang mana petugas-petugas dan peronda-peronda ditugaskan untuk memastikan tidak ada Jemaah haji Malaysia yang melontar di luar kawasan.

Jemaah haji Malaysia, katanya, melontar di tingkat tiga di Jamrat.

"Secara teori, jemaah haji tidak akan pergi ke kawasan lain. Jemaah haji Arab di Jalan 204 dan 223 akan terus ke tingkat bawah Jamrat," katanya.

Menurut beliau, maklumat terbaharu Kerajaan Arab Saudi yang dikeluarkan oleh pihak bomba mereka menunjukkan terdapat 310 jemaah yang maut dan 450 cedera. Kejadian tersebut berlaku pada pukul 11.30 pagi.

"Kita doakan tiada kejadian buruk berlaku kepada kepada jamaah haji Malaysia," katanya.

Rabu, 16 September 2015

Doktor tentera antara tujuh yang ditahan berkaitan kes bunuh Kevin Morais

tuk Seri Mohmad Salleh
Seorang doktor tentera yang dibicarakan atas kes rasuah di Mahkamah Shah Alam dua minggu lepas antara tujuh individu yang ditahan berkaitan kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Kevin Morais mengendalikan kes pegawai tentera itu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

Doktor berusia 52 tahun itu ditahan di Rawang semalam.

Bercakap kepada pemberita, Mohmad berkata, beberapa rampasan telah dibuat di Pulau Pinang dan Lembah Klang termasuk sebuah kereta Mitsubishi Triton dan kereta Honda Accord yang digunakan salah seorang suspek selain wang tunai berjumlah RM17,100.

Katanya, sebuah Proton Persona milik salah seorang suspek, wang tunai RM15,000 dan sekeping surat pembelian batu, pasir dan simen yang dipercayai digunakan untuk memampatkan mayat turut dirampas.

Dengan penemuan mayat Kevin Morais dan penangkapan tujuh suspek, Mohmad menolak segala spekulasi yang mengaitkan kehilangan mangsa sebelum ini dengan pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi mahupun isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Di sini kita hendak nafikan bahawa kehilangan dan kematian Morais tidak ada kena mengena langsung dengan spekulasi yang dibuat sebelum ini.," katanya.

Siasatan sejak 6 pagi tadi itu, dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis diketuai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) yang menjalankan pemeriksaan di USJ 1, bersama beberapa lelaki dipercayai suspek yang melarikan mangsa.

Morais dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kondominium Jalan DutaMas, 4 September lalu untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mayat Kevin Morais bersimen dalam tong drum

Misteri kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais selesai selepas penemuan mayatnya pagi tadi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohmad Salleh.
Beliau berkata, motif pembunuhan Morais berkaitan satu kes mahkamah di Shah Alam membabitkan seorang pegawai perubatan tentera berusia 52 tahun dan suspek utama itu sudah ditahan Selasa.

Ini sekaligus menafikan kaitan kehilangan Kevin dengan kes 1MDB dan pembunuhan ahli perniagaan Husin Najadi.

Dalam sidang media, beliau berkata, polis sudah menahan tujuh individu yang ada kaitan dalam kes pembunuhan Morais, berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap lima orang yang dianggap suspek utama manakala dua lagi iaitu wanita dan kanak-kanak, bukan saksi utama.

Dalam pada itu, polis percaya kereta terbakar di Hutan Melintang, 99 peratus ada kaitan dengan kes bunuh Morais berdasarkan kesan kemalangan.

Polis tidak tolak kemungkinan terdapat unsur dendam dalam kes pembunuhan Morais, katanya.

Berikut kronologi kehilangan Kevin Anthony Morais;

4 September; Morais dilaporkan keluar dari rumahnya di Kondominium Menara Duta (1), Jalan Dutamas kira-kira jam 9 pagi untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Pada jam 10.30 pagi dan 3 petang, rakan serumah Morais dikenali sebagai Davveen cuba menghubungi telefon bimbitnya namun gagal.

Davveen menghubungi setiausaha Morais dan dimaklumkan Morais tidak hadir ke pejabat.

5 September; Petugas Balai Polis Hutan Melintang terima laporan orang awam jumpa sebuah kereta hangus terbakar di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.

Nombor enjin dan casis kenderaan dipercayai jenis Proton Perdana versi Honda Accord itu didapati dirosakkan.

Kenderaan itu sama jenis dengan kenderaan yang dipandu Morais pada hari dia dilaporkan hilang.

5 September; Davveen memaklumkan kepada abang Morais, Datuk Richard Dilaan Morais berhubung kehilangannya dan satu laporan polis dibuat berhubung perkara itu di Balai Polis Jinjang pada jam 5.04 petang.

6 September; Polis minta bantuan Jabatan Kimia, PROTON dan Spanco Sdn Bhd untuk mengenal pasti kenderaan yang ditemui terbakar untuk memastikan ia adalah milik Morais atau sebaliknya.

Hingga kini polis tiada sebarang kepastian. Polis mengklasifikasikan kes kehilangan Morais sebagai orang hilang (OH). Polis menubuhkan satu pasukan khas siasatan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad.

9 September; tersebar khabar angin mayat Morais ditemui di Sungai Klang, namun polis menafikan perkara itu.

Polis mengesahkan Morais dilarikan orang berdasarkan pemeriksaan polis ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan yang disyaki digunakan Morais.

 Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

14 September; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Morais dilarikan lima lelaki di Jalan Telawi, Bangsar berdasarkan rakaman CCTV diperoleh polis.

Visual menunjukkan kenderaan Morais dihalang sebuah kenderaan lain sebelum mereka berhenti di tepi jalan. Morais ditarik masuk ke kereta suspek dan keretanya turut dilarikan oleh suspek.

16 September; 6 pagi - Sepasukan anggota dan pegawai STAFOC memeriksa satu lokasi di Taman Subang Mewah, USJ 1 dan menemui satu tong dalam semak.

8.45 pagi - Sepasukan anggota bomba dengan satu jenteranya tiba di lokasi kejadian.

8.55 pagi - Anggota STAFOC beredar dari lokasi kejadian menaiki kenderaan pacuan empat roda.

9.15 pagi - petugas media dan orang awam mula memenuhi kawasan kejadian.

10.10 pagi - polis sahkan mayat Morais ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit.

Ahad, 13 September 2015

Bersih boleh, kenapa kami tak boleh?

0Share

Jangan ada mana-mana pihak fikir Himpunan Rakyat Bersatu yang digerakkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebagai himpunan berbaur perkauman kerana pengajur menjemput semua kaum menghadirinya pada 16 September ini di Padang Merbuk, di ibu negara.

Malah, pihak yang berniat mencetuskan isu perkauman ditegah menghadiri perhimpunan tersebut kerana ia diadakan secara aman bagi mempertahankan maruah pemimpin dan lima prinsip Rukun Negara.

Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya terpanggil mengadakan perhimpunan itu kerana tercabar dengan Bersih yang menganjurkan demonstrasi jalanan sejak Bersih 1.0 lagi.

"(Bersih) Dah buat empat kali, tapi kita tak nak bergaduh, kita biarkan sahaja, yang kedua dan ketiga serta terbaharu keempat, mana pergi maruah kita.

"Mereka terus cabar maruah kita, tak boleh tahan. Sebab itu kita nak buat (himpunan) secara aman ikut undang-undang," katanya dalam sidang media di Stadium Titiwangsa, di ibu negara, Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan pemimpin-pemimpin pertubuhan silat lain.

Katanya, sebelum ini Pesaka sudah membantah perhimpunan haram Bersih, membuat laporan polis dan mengadakan solat hajat, tetapi pengajur dan penyokong-penyokong mereka terus menghina pemimpin negara.

"Tidak salah kalau tidak suka Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), tetapi mengapa sampai pijak gambar mereka. Ini menghina pemimpin Melayu yang dipilih secara demokrasi.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu, rakyat tidak suka pada mana-mana pemimpin boleh menentukannya pada pilihan raya sama seperti dialaminya apabila kalah pada PRU lalu.

"Tunggu pilihan raya, kenapa nak tumbangkan ikut jalanan. Lihat banyak negara lain yang rakyatnya menderita dan jadi mangsa apabila kerajaan dijatuhkan secara demikian," katanya.

Menurut Ali, orang Melayu dan ahli-ahli Pesaka rasa terhina dengan perbuatan tidak bertanggungjawab penganjur Bersih sebelum ini.

Menjawab soalan, beliau berkata, Pesaka sebagai badan berdaftar sudah mengemukakan permohonan kepada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan berharap permit permohonan aman di Padang Merbok pada petang Rabu depan diluluskan..

“Saya minta bagilah kita permit, kita bukan nak gaduh, nak jalan-jalan. Kita nak duduk secara aman di Padang Merbok. Mereka (Bersih) boleh (berhimpun beramai-ramai), kenapa  kita tidak boleh. Jangan fikir Bersih saja ada di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Pesaka tidak akan menganjurkan perhimpunan itu sekiranya tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Namun pihaknya tidak boleh menghalang mana-mana ahlinya atau individu menyertai perhimpunan yang turut dirancang oleh NGO lain membabitkan kumpulan baju Merah dalam Himpunan Maruah Melayu pada tarikh sama.

Dalam pada itu, pihaknya tidak ada masalah mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka jika dibenarkan, tetapi banyak kerja-kerja pembinaan di tempat tersebut.

Pada masa sama, beliau menjemput semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama menyertai perhimpunan tersebut.

"Kita terbuka kepada rakyat Malaysia, UMNO, PAS atau mana-mana parti, semua boleh menyertai perhimpunan ini.

"Mana-mana (pihak) yang marah berdasarkan perkauman, yang nak buat kacau, jangan hadir," katanya sambil menasihatkan peserta perhimpunan itu menjaga kelakuan dan patuh peraturan kerana ia adalah perhimpunan aman.

Sekurang-kurangnya 87 jemaah terkorban kren tumbang di Masjidil Haram

MAKKAH: Enam jemaah haji Malaysia disahkan cedera dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi setakat ini sekurang-kurangnya 87 meninggal dunia manakala 184 mengalami kecederaan dalam kejadian semasa hujan lebat dan ribut pasir pada Jumaat petang.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang waktu tempatan (Jumaat 10 malam waktu Malaysia), seorang jemaah haji lelaki Malaysia dilaporkan patah kaki, manakala lima lagi cedera ringan.

Beliau berkata pihak Tabung Haji (TH) akan membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik bagi pengesahan selanjutnya berkenaan jumlah jemaah haji Malaysia yang terbabit.

"Selepas solat Isyak, bermula 11 malam ini (Sabtu 4 pagi waktu Malaysia), kita akan membuat pemeriksaan bilik ke bilik, untuk mengesahkan jemaah kita yang pergi bersolat di Masjidil Haram, pulang ke bilik masing-masing," katanya.

Beliau berkata keluarga dan waris jemaah haji di tanah air yang terbabit dalam kejadian itu telah dimaklumkan.

Syed Saleh berkata kejadian itu berlaku selepas solat Asar selepas umat Islam selesai mengerjakan solat berkenaan.

"Sebuah kren tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat selepas waktu Asar itu, kren itu dipercayai menghempap kawasan saie, dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf.

Semua pasukan TH yang terdiri dari pasukan perubatan, kebajikan dan unit peronda sedang berada di kawasan Masjidil Haram bagi menyelia keadaan jemaah Malaysia.

Syed Saleh berkata ketika ini, kawasan kejadian dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
"Empat jemaah lelaki dan dua jemaah wanita cedera, termasuk seorang patah kaki, dia (patah kaki) kini dirawat di Pusat Perubatan Tabung Haji Syisya," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata pihak TH sebelum ini turut memberikan nasihat kepada jemaah Malaysia supaya berada di hotel penginapan sekiranya hujan atau berlaku ribut pasir.

Hujan di Makkah itu dilaporkan berlaku kali keempat dalam tempoh sebulan, dan hujan pada hari ini dilaporkan paling lebat, berlaku kira-kira setengah jam.

Waris atau keluarga jemaah haji di tanah air boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di Damansara, Kuala Lumpur di talian 03-62071919 untuk sebarang maklumat lanjut.



Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...