Khamis, 24 September 2015

Tragedi Mina: Angka kematian meningkat kepada 717 orang

ANGKA kematian jemaah haji yang terlibat dalam tragedi rempuhan meningkat kepada 717 dengan lebih 800 orang lagi cedera,

Menurut laporan Reuters, tragedi itu merupakan yang terburuk dalam sejarah 25 tahun.

Tragedi itu berlaku apabila dua kumpulan besar jemaah tiba serentak pada persimpangan untuk melontar di Jamrat.

Pada tahun 1995, 1,426 jemaah terbunuh dalam terowong berhampiran Mekah juga akibat rempuhan.
Sementara pada 2006 346 jemaah haji mati semasa menunaikan syarat haji iaitu melontar di Mina.

Tragedi Mina: Tiada jemaah haji Malaysia terlibat

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan di Mina semasa jemaah haji melakukan ibadah melontar Jamrah hari ini yang meragut lebih 400 nyawa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
 
Beliau berkata kawasan kejadian rempuhan berkenaan tidak melibatkan laluan jemaah Malaysia untuk melakukan ibadah melontar itu.
"Jadual melontar bagi jemaah haji Malaysia ditetapkan selepas 5.30 petang dan 8 malam ini," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata jarak tempat kejadian rempuhan itu dengan kawasan perkhemahan jemaah Malaysia adalah kira-kira tiga hingga empat kilometer.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, setakat ini seramai 310 jemaah maut dan 450 lagi cedera dalam insiden di kawasan perkhemahan negara-negara Arab di Mina, katanya.

Sehubungan itu, lapan pos kawalan jemaah haji sedia ada yang dilaksanakan Tabung Haji di Mina akan dipertingkatkan lagi tahap pemantauan dan kawalan ke atas jemaah haji negara ini.

"Tabung Haji bagaimanapun masih membuat semakan berterusan di perkhemahan jemaah haji Malaysia," katanya.

Insiden rempuhan itu merupakan kali kedua berlaku sejak 2006, yang menyaksikan 346 jemaah haji terkorban ketika menunaikan ibadah melontar.

Lebih tiga juta jemaah dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah Malaysia kini berada di Tanah Suci bagi melaksanakan ibadah haji.

Bagaimanapun, majoriti jemaah haji termasuk jemaah Malaysia masih berada di Mina untuk mengerjakan ibadah melontar selepas bermabit iaitu berada seketika atau bermalam di Muzdalifah malam tadi.

Mereka yang tiba secara berperingkat ke Mina dari Muzdalifah itu memulakan ibadah melontar bermula di Jamrah Kubra pada Khamis selepas terbit fajar subuh. -- BERNAMA


Tiada ulasan: