Khamis, 24 September 2015

Rempuhan Mina bukan di kompleks melontar - Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dasuki


Tragedi rempuhan di Mina berlaku di antara Jalan 204 dan 223, Mina dan bukannya di Kompleks Jamrat (kompleks melontar) seperti yang diviralkan di media sosial, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dasuki.
Katanya, Jalan 204 dan 223 ini merupakan kawasan perkhemahan yang menempatkan jemaah haji negara Arab dan lokasi kejadian adalah terletak jauh dari kawasan Jamrat.
Menurut beliau, buat masa ini, tiada jemaah haji Malaysia terlibat dalam insiden tersebut., namun Tabung Haji akan membuat semakan (head count) secara terperinci di semua perkhemahan jemaah haji muassasah dan juga jemaah haji pakej.

"Pasukan peronda Tabung Haji sedang berada di Kompleks Jamrat bagi memantau situasi semasa dan memastikan pergerakan jemaah haji Malaysia.

"Jadual melontar jemaah Malaysia dijadualkan dan ditetapkan pada 5.30 petang dan 8.00 malam secara berperingkat. Kejadian ini berlaku pada waktu puncak (waktu Dhuha). Oleh itu, kita pastkan Jemaah haji kita tidak melontar di luar jadual kita," kata dalam sidang media di sini.

Asyraf Wajdi berkata, bagi memastikan kejadian tersebut tidak berlaku berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas, Tabung Haji menempatkan lapan pos yang mana petugas-petugas dan peronda-peronda ditugaskan untuk memastikan tidak ada Jemaah haji Malaysia yang melontar di luar kawasan.

Jemaah haji Malaysia, katanya, melontar di tingkat tiga di Jamrat.

"Secara teori, jemaah haji tidak akan pergi ke kawasan lain. Jemaah haji Arab di Jalan 204 dan 223 akan terus ke tingkat bawah Jamrat," katanya.

Menurut beliau, maklumat terbaharu Kerajaan Arab Saudi yang dikeluarkan oleh pihak bomba mereka menunjukkan terdapat 310 jemaah yang maut dan 450 cedera. Kejadian tersebut berlaku pada pukul 11.30 pagi.

"Kita doakan tiada kejadian buruk berlaku kepada kepada jamaah haji Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: