Jumaat, 25 September 2015

TH sah tiada rakyat Malaysia maut di Mina

PETALING JAYA: Tiada jemaah haji Malaysia dilaporkan terkorban dalam insiden rempuhan di Mina.

Pengesahan itu dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Perkara itu dimaklumkan beliau pada sidang media susulan berdasarkan semakan yang dibuat oleh Tabung Haji (TH) ke atas tujuh maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia dan 15 syarikat pengelola jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn Bhd.

"Selepas membuat semakan, tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan. Alhamdulillah," katanya pada sidang media di Makkah pada Khamis.

Sementara itu jumlah korban terus meningkat dengan melebihi 720 nyawa dengan mangsa yang cedera mencecah 1000 orang.

Koresponden saluran berita al Arabyiya, Abdul Rahman Al-Osaimi melaporkan kejadian berlaku berhampiran kawasan masuk Jamrah dekat Jalan 204 dan bukannya dalam Jamrah, di mana tempat melontar ditempatkan.

PETALING JAYA: Tabung Haji (TH) sedang mengumpul maklumat bagi mengesahkan sama ada jemaah haji Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan yang berlaku di Mina.

Menurut laporan yang dipetik daripada Mstar Online, Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan pihaknya sedang menjalankan pengiraan jumlah jemaah Malaysia yang berada di sana.

"Berdasarkan jumlah itu, ia akan memudahkan kami untuk mengesan kedudukan jemaah Malaysia.

"Kami masih berkomunikasi dengan kumpulan petugas haji di sana yang diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama jemaah haji Malaysia di sana.

"Kejadian baru beberapa jam berlaku dan kami tidak mahu memberi maklumat tidak tepat kerana ia sesuatu yang sensitif," katanya yang dipetik daripada portal itu.

Menurut Abdul Azeez sebaik maklumat terkini diperoleh, TH akan memaklumkan semua pihak terbabit termasuk keluarga dan media tempatan.





Tiada ulasan: