Ahad, 13 September 2015

Bersih boleh, kenapa kami tak boleh?

0Share

Jangan ada mana-mana pihak fikir Himpunan Rakyat Bersatu yang digerakkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebagai himpunan berbaur perkauman kerana pengajur menjemput semua kaum menghadirinya pada 16 September ini di Padang Merbuk, di ibu negara.

Malah, pihak yang berniat mencetuskan isu perkauman ditegah menghadiri perhimpunan tersebut kerana ia diadakan secara aman bagi mempertahankan maruah pemimpin dan lima prinsip Rukun Negara.

Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya terpanggil mengadakan perhimpunan itu kerana tercabar dengan Bersih yang menganjurkan demonstrasi jalanan sejak Bersih 1.0 lagi.

"(Bersih) Dah buat empat kali, tapi kita tak nak bergaduh, kita biarkan sahaja, yang kedua dan ketiga serta terbaharu keempat, mana pergi maruah kita.

"Mereka terus cabar maruah kita, tak boleh tahan. Sebab itu kita nak buat (himpunan) secara aman ikut undang-undang," katanya dalam sidang media di Stadium Titiwangsa, di ibu negara, Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan pemimpin-pemimpin pertubuhan silat lain.

Katanya, sebelum ini Pesaka sudah membantah perhimpunan haram Bersih, membuat laporan polis dan mengadakan solat hajat, tetapi pengajur dan penyokong-penyokong mereka terus menghina pemimpin negara.

"Tidak salah kalau tidak suka Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), tetapi mengapa sampai pijak gambar mereka. Ini menghina pemimpin Melayu yang dipilih secara demokrasi.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka itu, rakyat tidak suka pada mana-mana pemimpin boleh menentukannya pada pilihan raya sama seperti dialaminya apabila kalah pada PRU lalu.

"Tunggu pilihan raya, kenapa nak tumbangkan ikut jalanan. Lihat banyak negara lain yang rakyatnya menderita dan jadi mangsa apabila kerajaan dijatuhkan secara demikian," katanya.

Menurut Ali, orang Melayu dan ahli-ahli Pesaka rasa terhina dengan perbuatan tidak bertanggungjawab penganjur Bersih sebelum ini.

Menjawab soalan, beliau berkata, Pesaka sebagai badan berdaftar sudah mengemukakan permohonan kepada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan berharap permit permohonan aman di Padang Merbok pada petang Rabu depan diluluskan..

“Saya minta bagilah kita permit, kita bukan nak gaduh, nak jalan-jalan. Kita nak duduk secara aman di Padang Merbok. Mereka (Bersih) boleh (berhimpun beramai-ramai), kenapa  kita tidak boleh. Jangan fikir Bersih saja ada di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Pesaka tidak akan menganjurkan perhimpunan itu sekiranya tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Namun pihaknya tidak boleh menghalang mana-mana ahlinya atau individu menyertai perhimpunan yang turut dirancang oleh NGO lain membabitkan kumpulan baju Merah dalam Himpunan Maruah Melayu pada tarikh sama.

Dalam pada itu, pihaknya tidak ada masalah mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka jika dibenarkan, tetapi banyak kerja-kerja pembinaan di tempat tersebut.

Pada masa sama, beliau menjemput semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama menyertai perhimpunan tersebut.

"Kita terbuka kepada rakyat Malaysia, UMNO, PAS atau mana-mana parti, semua boleh menyertai perhimpunan ini.

"Mana-mana (pihak) yang marah berdasarkan perkauman, yang nak buat kacau, jangan hadir," katanya sambil menasihatkan peserta perhimpunan itu menjaga kelakuan dan patuh peraturan kerana ia adalah perhimpunan aman.

Tiada ulasan: