Ahad, 14 Mei 2017

Jumlah Kerusi Parlimen, DUN Di Semenanjung Kekal


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada perubahan bilangan kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di semenanjung Malaysia di bawah penyemakan semula persempadan baru yang sedang dijalankan sekarang.

Keseluruhannya terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi DUN di seluruh negara.

Bagaimanapun terdapat cadangan pertukaran nama beberapa kawasan parlimen dan DUN dengan nama baru.

Antara yang paling ketara ialah kawasan Parlimen P.162 Gelang Patah akan dikenali dengan nama baru iaitu Iskandar Puteri.

Selain Gelang Patah, kawasan Parlimen lain yang akan bertukar nama ialah Telok Kemang (P.132) di Negeri Sembilan yang ditukar kepada Port Dickson.

Di Melaka, Parlimen Bukit Katil (P.137) akan dikenali dengan nama baru iaitu Hang Tuah Jaya.

Lain-lain kawasan yang terlibat dengan pindaan dan perubahan kepada nama baru hanyalah melibatkan kepada perubahan struktur ejaan sahaja.

Misalnya, Alor Star (P.009) ditukar kepada Alor Setar; Bagan Datok (P.075) kepada Bagan Datuk; Telok Intan (P.076) kepada Teluk Intan dan Tanjong Piai (P.165) kepada Tanjung Piai.

Untuk DUN pula, keseluruhannya terdapat 20 kawasan yang disyorkan untuk pertukaran nama iaitu masing-masing satu di Kedah; Kelantan (1); Terengganu (1); Perak (2); Negeri Sembilan (2); Melaka (5) dan Johor (8).

SPR juga mengesahkan sehingga 6 September tahun lalu sejumlah 9,301,041 bilangan pemilih (kecuali Selangor) telah berdaftar di dalam Daftar Pemilih semasa.

Menurut SPR lagi, syor-syor yang dicadangkan ini beserta dengan rang pelan bahagian-bahagian pilihan raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu (kecuali Selangor) dan rang pelan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri yang berkenaan boleh disemak mulai 8 Mac hingga 7 April ini di Pejabat Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan/Pejabat SPR/Pejabat Tanah dan Jajahan serta dewan serbaguna atau pejabat kerajaan yang disahkan.

Sebarang representasi kepada syor-syor yang dicadangkan ini boleh dikemukakan kepada SPR dalam masa satu bulan selepas notis ini dipamerkan.

Berikut adalah jumlah kerusi;


Perlis 3 Parlimen, 15 DUN;
Kedah 15 Parlimen, 36 DUN; 
Kelantan 14 Parlimen, 45 DUN; 
Terengganu 8 Parlimen, 32 DUN; 
Pulau Pinang 13 Parlimen, 40 DUN; 
Perak 24 Parlimen, 59 DUN; 
Pahang 14 Parlimen, 42 DUN; 
Selangor 22 Parlimen, 56 DUN; 
Wilayah Persekutuan 12 Parlimen; 
Negeri Sembilan 8 Parlimen, 36 DUN; 
Melaka 6 Parlimen, 28 DUN; 
Johor 26 Parlimen, 56 DUN; 
Labuan 1 Parlimen; 
Sabah 25 Parlimen, 60  DUN
Sarawak 31 Parlimen, 71 DUN.

Jumaat, 12 Mei 2017

Pas putus tahaluf siyasi dengan PKR


Pas hari ini memutuskan hubungan tahaluf siyasi ataupun kejasama politik dengan PKR berkuatkuasa serta merta. 

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika mengumumkan pendirian parti itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan PKR telah melanggar beberapa syarat tahaluf siyasi yang dipersetujui bersama sebelum ini. 

"Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam, maka hubungan politik Pas dan PKR telah terbatal.

"Antara pelanggaran tersebut adalah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh Pas seperti RUU355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016," kata Zawawi.

Selain itu, Zawawi berkata PKR juga didakwa telah melanggar adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan Pas dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej Pas.

"PKR juga telah khianati dalam hubungan dengan Pas, antaranya bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang Pas dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Pas Pusat hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Majlis Syura bermesyuarat selama hampir dua jam.

Turut hadri dalam sidang media berkenaan adalah, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Muhammad Abduh Nik Mat.

Sementera itu ketika ditanya sama ada Pas bersedia untuk bertemu dengan PKR jika parti itu masih mahu berbincang mengenai hubungan tersebut, Zawawi berkata, pihak tiada masalah untuk berbuat demikian.

Untuk itu, sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor, Majlis Ulama Pas akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.


Sebelum ini (30 April 2017
Usul putus tahaluf siyasi diterima sebulat suara


DI ALOR SETAR: Semua perwakilan sebulat suara menyokong usul memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR, selepas usul itu dibentangkan wakil Dewan Ulamak Pas Pusat, Zulkifli Ismail.
Sebaik perbahasan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari selesai, Pengerusi Tetap Muktamar, Hussin Ismail bertanya kepada perwakilan dan kesemuanya bangun menyatakan sokongan dengan melaungkan, 'setuju' beramai-ramai.

Terdahulu, pada pembentangan usul, Zulkifli merujuk kepada perlembagaan Pas, Fasal 5 (Tujuan Pas), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan) sebagai hujah agar Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

"Majlis Syura Ulamak menetapkan syarat Tahaluf Siyasi, antaranya tahaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaan Islam," katanya.

Menurutnya, dasar-dasar Islam hendaklah dipertahankan, Intima' diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam dan bukan kepada pakatan tahaluf.

"Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah, di mana matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara mutlak," katanya.

Bagaimanapun, Zulkifli bersetuju mandat membuat penilaian terhadap tahaluf mestilah diputuskan Majlis Syura Ulamak.

"Keputusan muktamad tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak menurut peruntukan perlembagaan Pas. Apa sahaja keputusan akan dipatuhi," katanya.

Menurutnya, terdapat banyak pelanggaran syarat sepanjang tempoh berlangsungnya tahaluf siyasi antara Pas dan PKR, yang boleh dibuktikan melalui beberapa kejadian, antaranya penglibatan PKR menyokong calon Amanah menentang Pas pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"Kegagalan PKR memberi sokongan kepada usaha Pas memperkasakan mahkamah syariah melalui pindaan akta 355, seolah-olah bersama dengan pendirian DAP yang menentang pindaan akta itu.

"Kenyataan pimpinan PKR secara terbuka memperlihatkan keceluparan dan kebiadapan mereka terhadap Pas sekaligus tidak menunjukkan setiakawan. Sehubungan itu, kami usulkan tahaluf siyasi antara Pas dan PKR diputuskan,” katanya, disusuli sorakan gemuruh perwakilan.

"Islam mengajar kita patuhi perjanjian dan tidak boleh dilanggar  sewenangnya. Hendaklah pihak terbabit hormati isi perjanjian, tidak khianati dan tidak bantu musuh Islam. Kita tegas terhadap tahaluf jika ada  rakan yang tak patuhi syarat," katanya.

Menurutnya, Pas perlu tegas berdepan dengan rakan tahaluf yang cuba mewujudkan gelombang sekular sosialis yang berbahaya kerana ia merupakan aspek ekstremis.

Usul itu dibawa bersama Pas kawasan Bandar Tun Razak, Beruas, Labis, Lumut, Bera, Serdang, Pandan, Batu, Shah Alam, Bayan Baru, Titiwangsa, Kuantan, Paya Besar, Padang Terap, Kuala Terengganu, Kuala Kangsar, Marang, Bukit Mertajam, Kuala Nerus, Dungun, Kuala Langat dan Dewan Ulamak Pas Pusat.

Khamis, 4 Mei 2017










KOTA TINGGI - Seorang pembantu warden sebuah madrasah tahfiz yang ditahan reman sejak 23 April lalu bagi membantu siasatan kes pukul pejajar berusi 11 tahun, dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Salawati Djambari membenarkan permohonan polis untuk membebaskan suspek lelaki berusia 29 tahun itu dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM20,000.
Terdahulu, suspek, yang berbaju lokap berwarna jingga tiba di Mahkamah Majistret di sini pada 12.15 tengah hari dengan diiringi dua anggota polis sebelum dibawa masuk ke Bilik Pendaftar Mahkamah Kota Tinggi pada 12.45 tengah hari.
Dia kemudian dibebaskan 15 minit kemudian.
Pada mulanya, Mahkamah Majistret di sini membenarkan suspek ditahan reman empat hari pada 23 April lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010 dan tempoh reman tersebut dilanjutkan pada 27 April untuk tiga hari lagi bagi membantu siasatan.
Kisah pelajar berkenaan, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada 19 April lepas menjadi tular di media sosial selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai akibat dipukul pembantu warden madrasahnya.
Selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat gangren pada 22 April lepas, , tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku.
Namun, pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil.
Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu.
Pembantu warden itu ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat dekat sini pada 22 April selepas ibu mangsa membuat laporan polis.
Polis kemudian mengklasifikasikan kes kematian pelajar madrasah tahiz swasta di Kota Tinggi itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.