Khamis, 22 Disember 2016

Nahas pesawat TUDM di Butterworth, juruterbang maut

 
Malang tidak berbau. Tragedi berlaku dekat Pengkalan TUDM Butterworth petang Rabu, apabila sebuah pesawat jenis Beachcraft TUDM terhempas menyebabkan juruterbangnya terkorban, manakala tiga lagi cedera parah.
 
Kejadian berlaku pada jam 5.18 petang dan pesawat itu berlepas dari Pangkalan TUDM Subang ke Butterworth bagi rondaan kawasan perairan negara.
 
Ia terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan TUDM Butterworth. Kepulan asap dari pesawat yang terbakar itu dapat dilihat dari jauh.
 
Juruterbang yang terkorban ialah Mejar Kayamboo Chellam, manakala tiga yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.
 
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga juruterbang TUDM yang maut dalam insiden itu.
 
Dalam catatan terbarunya di laman sosial Twitter, Najib berkata, siasatan terperinci ke atas insiden itu akan dilakukan.
 
"Terima laporan tragedi nahas pesawat @airforcenextgen (Twitter rasmi TUDM), sedih ketahui ada kemalangan jiwa. Takziah kpd keluarga, siasatan terperinci akan dilakukan," katanya.
 
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberitahu, siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk menyiasat punca nahas terbabit.
 
Beliau berkata, TUDM telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.
 
Sementara itu, Bernama melaporkan kebetulan tragedi menimpa Mejar Kayamboo pada hari jadinya yang ke-45.
 
"Hari ini merupakan hari lahir Mejar Kayamboo yang ke-45, dan hari ini jugalah beliau kembali kepada penciptaNya setelah terkorban dalam nahas pesawat terhempas petang tadi," demikian kata rakan seperjuangannya, Mejar Hassan Basri Tajul Arifin.
 
"Baru pagi tadi saya bertegur sapa dengan beliau pada Majlis Serah Terima Tongkat Kuasa Panglima TUDM yang diadakan di Pangkalan TUDM Subang, namun saya terlupa mengucapkan selamat hari lahir kepadanya," kata beliau kepada Bernama.
 
Hassan, 37, yang bertugas di No 2 Skuadron, Subang, berkata, mendiang Kayamboo yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Subang disifatkan sebagai seorang perwira yang sanggup berkorban demi tugas.
 
"Mejar Kayamboo sanggup meninggalkan keluarga di utara tanah air semata-mata menumpahkan kesetiaan demi menjaga keselamatan maritim negara apabila diarahkan," katanya.
 
Beliau mengenali mendiang sejak 2003 dan bersama-sama bertugas sebagai jurulatih di Alor Star, Kedah satu ketika dulu.
 
Beliau berkata, mendiang adalah seorang yang peramah dan sering menyapa setiap orang walaupun mendiang pegawai kanan.
 
"Mendiang juga seorang bapa dan suami yang amat mencintai isteri dan anak-anak, kerana beliau pernah berkongsi kisah hidup yang amat beliau hargai dalam setiap detik hidupnya," kata beliau.
 
Hassan Basri berkata, mendiang Kayamboo akan terus dikenang kerana sering memudahkan urusan anggota lain semasa hayatnya.
 
Di BUTTERWORTH, hasrat isteri mendiang Kayamboo, S. Usha, 42, untuk menyambut ulang tahun yang ke-45 kelahiran mendiang malam ini tidak kesampaian apabila menerima berita pemergian pasangan hidupnya itu.
 
Usha yang tidak dapat menahan sebak dilihat menangis dan beberapa kali ditenangkan anggota keluarga.
 
Menurut Usha, mereka berdua berbual sehingga pukul 12 tengah malam dan berbincang untuk meraikan sambutan hari lahir mendiang.
 
"Kami semua sedih dengan kemalangan ini dan belum dapat menerima apa yang terjadi," katanya.
 
Bapa saudara mendiang, A. Bikeikumaran, 58, berkata, Usha merancang menyambut hari jadi suaminya selepas selesai kerja.
 
Usha bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik kesihatan di Pulau Pinang.
 
"Anak saudara saya bertugas di TUDM Alor Setar, manakala Usha tinggal di Sungai Nibong," kata Bikeikumaran.
 
"Saya mendapat tahu berita ini daripada pihak TUDM dan memaklumkan kepada Usha," katanya ketika ditemui di HSJ malam ini.
 
Bikeikumaran berkata, pasangan itu mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan dua hingga 13 tahun.
 
Beliau berkata, mayat mendiang itu dijangka dibawa ke Sungai Nibong selepas bedah siasat.

Ahad, 18 Disember 2016

Serah Terima Tugas PAT ke-19

Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bekerja di Kementerian Pertahanan hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera antara Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dengan pengantinya, Jen. Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Majlis itu mencatat sejarah baharu bagi ATM kerana disaksikan Menteri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 16 Dis 2016.

Serah terima tugas ini juga bersempena dengan persaraan mantan PAT yang akan bersara setelah 44 tahun menabur bakti dan mengabdikan diri kepada ATM serta peralihan tampuk pemerintahan ATM yang baharu dan majlis diteruskan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas PAT Ke-19.

Dalam ucapan PAT Ke-19, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan beliau menjadi PAT Ke-19 serta tidak lupa juga kepada Kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kerana telah memberi penuh kepercayaan kepada beliau untuk menerajui ATM.

"Mulai saat dan ketika ini, maka terpikullah di bahu saya satu tanggungjawab yang amat besar lagi mencabar kerana ianya adalah satu amanah yang datang dari ketentuan Allah SWT dan padahnya saya akan hadapi di akhirat kelak jika saya tersasar bagi menjaga maruah bangsa, negara dan organisasi yang tergantung kepada kebijaksanaan saya membuat keputusan," katanya.

Selain itu, beliau mengajak seluruh warga ATM untuk berdiri teguh bersama beliau agar sama-sama berganding bahu meneruskan kesinambungan yang diwariskan oleh 18 PAT terdahulu agar menjadi sebuah angkatan yang cemerlang dan membanggakan.

Majlis diakhiri dengan acara  simbolik iaitu street lining bagi memberi penghargaan dan penghormatan terakhir kepada mantan PAT yang ditarik oleh pegawai-pegawai ATM bermula dari pintu hadapan Kementerian Pertahanan hingga ke Balai Pengawal Utama.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Tentera Darat, Jen. Datuk Seri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin dan Panglima Tentera Udara, Jen. Tan Sri Roslan Saad TUDM.

Jumaat, 16 Disember 2016

Noraini Menang Jawatan Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel

 
Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad pada Jumaat menang dalam pertandingan merebut jawatan Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP).

Pemilihan itu diadakan sempena Persidangan Ahli Parlimen Komanwel (CPA) yang ke-62 di London, United Kingdom.

Noraini yang menjadi calon tunggal dari Asia bertanding menentang dua lagi ahli parlimen wanita dari New Zealand dan Kanada bagi merebut jawatan yang dipilih setiap tiga tahun itu melalui undian ahli CWP.

Persidangan CPA berlangsung mulai 11 hingga 17 Disember membabitkan semua negara komanwel.

Restoran nasi kandar guna daging anjing???

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab kononnya restoran nasi kandar di negara ini menggunakan daging anjing bagi menggantikan daging kambing.

ALIYAS240415

Timbalan Presiden Presma, Datuk Khadhar Shah Abdul Razak berkata, perkara itu menjadi viral di laman sosial terutama Facebook sejak semalam, selepas seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Udin Di Raja’ memuat naik berita serta gambar berhubung dakwaan itu.

"Sebenarnya berita dan gambar yang digunakan lelaki itu dalam laman Facebooknya adalah berita yang dikeluarkan menerusi satu saluran televisyen dan portal di Tamil Nadu, India yang memaparkan mengenai nasi beriani daging anjing di sana.

"Udin Di Raja telah menggunakan gambar berkenaan termasuk gambar anjing disembelih dan mendakwa restoran nasi kandar di Malaysia menggunakan daging anjing bagi menggantikan kambing," katanya pada sidang akhbar Jumaat.

Beliau berkata, perkara itu terus menjadi viral dan dikongsi oleh pelbagai pihak sehingga memberikan imej buruk kepada restoran-restoran nasi kandar di Malaysia dan menerima kecaman daripada orang ramai.

Khadar Shah yang juga Pengarah Urusan Nasi Kandar Nasmir Sdn Bhd berkata, berikutan tersebarnya berita dan gambar itu, pengusaha-pengusaha nasi kandar di Malaysia kesal, kecewa serta marah kerana perkara itu tidak benar dan memberikan kesan kepada perniagaan mereka.

Beliau berkata, orang ramai terutama pelanggan tidak perlu khuatir atau bimbang mengenai makanan yang dijual di restoran nasi kandar kerana 80 peratus daripada 320 anggota Presma memiliki sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut meminta orang ramai agar berhenti menyebarkan dan mengabaikan berita yang menjadi viral itu.

"Pihak kami juga mahu Udin Di Raja iaitu lelaki yang memaparkan perkara itu menerusi laman sosial Facebooknya tampil memohon maaf secara terbuka. Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh tiga hari, kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya," katanya.

Katanya, Presma juga mahu polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebar perkara itu sehingga menjejaskan imej Malaysia sebagai negara Islam.

Khamis, 15 Disember 2016

Istana Negara umum nama rasmi Yang di-Pertuan Agong














Pihak Istana Negara hari ini telah mengumumkan nama rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-15 sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.

Memetik laporan Berita Harian, pengumuman itu telah dibuat Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, selepas  mendapat perkenan baginda, hari ini.
Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara kelmarin, di mana baginda Tuanku telah menggantikan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan.

Tunku Abdul Aziz Gelar Pengerusi TV3 ‘Penipu Besar’


BERIKUT adalah dakwaan yang dibuat oleh Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim seperti yang diterbitkan dalam portal berita Malaysia Outlook.
Kenyataan tersebut dikeluarkan pada Selasa 13 Disember lalu yang menyentuh pergolakan dalaman dalam Media Prima yang pada pendapatnya berpunca daripada pengerusinya, Dato Seri FD Iskandar.
Tunku Abdul Aziz juga menyifatkan FD Iskandar sebagai seorang 'penipu besar' yang telah bertanggungjawab memburukkan reputasinya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menuntut permohonan maaf terbuka.
Kenyataan tersebut adalah sepertimana berikut:
Pengerusi Media Prima, Dato Seri FD Iskandar telah menggunakan saya sebagai alasan untuk membuang Dato Seri Ashraf Abdullah, editor kumpulan pengarang Media Prima Berhad.
Lebih teruk lagi, beliau telah memberitahu perkara-perkara tidak benar dan sengaja memperdaya Perdana Menteri pada pagi 28 Nov lalu dengan mengatakan bahawa saya telah muncul di TV3 selama 12 malam berturut-turut dan ini mengakibatkan rating TV3 mengalami penurunan dramatik.
Tuduhan melulu ini hanya akan menjadi satu bentuk kemuncak kedunguan, jika tiada bukti yang boleh disahkan oleh badan bertauliah atau badan profesional agensi penarafan televisyen, untuk menyifatkan penampilan saya di TV3 telah menjadi punca populariti Buletin Utama TV3 jatuh mendadak.
Penjelasan tersebut terlalu simplistik, saya rasa tersanjung.
Beri saya peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.
Pada bulan Oktober dan November, saya hanya tampil dalam Buletin Utama pada tarikh 18 Okt., 11 dan 14 Nov., hanya tiga kali, bukan 12 seperti yang beliau bohongkan kepada PM.
Dato Seri Ashraf Abdullah merupakan seorang yang amat profesional, disanjung tinggi dan peka terhadap media massa.
Ianya pasti mengejutkan jika beliau membenarkan pengeluaran kenyataan media sebanyak lebih tiga kali sebulan daripada seseorang seperti saya yang tidak memegang sebarang jawatan sama ada dalam kerajaan atau dunia politik.
Saya merupakan seorang aktivis sosial yang berpegang teguh kepada kepercayaan terhadap undang-undang dan peraturan.
Secara ringkasnya, Dato Seri Ashraf Abdullah merupakan seseorang yang tahu tanggungjawabnya.
Saya menuntut permohonan maaf terbuka daripada Dato Seri FD Iskandar oleh kerana beliau telah menyalahgunakan nama saya, sekali gus mengelirukan PM, di samping agenda peribadinya terhadap Dato Seri Ashraf Abdullah.
Saya telah terlibat dalam kemelut ini kerana beliau telah mengheret saya dalam apa yang dilihat sebagai rancangan kotornya untuk menyingkirkan editor kumpulan pengarangya yang berfikiran terbuka dengan secara terang-terangan menceritakan yang tidak benar kepada PM.
Saya berikan Dato Seri FD Iskandar tempoh hanya satu minggu daripada tarikh penerbitan surat ini dalam portal berita Malaysia Outlook untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada saya, dan kegagalan untuk melakukan demikian akan dikenakan tindakan undang-undang bagi melindungi nama dan reputasi saya.
Kita tidak mahu mempunyai penipu besar sebagai pengerusi di Media Prima, yang merupakan sebuah organisasi komunikasi penting yang sepatutnya dipimpin oleh seseorang yang mempunyai nilai integriti tertinggi.
Keyakinan orang ramai tidak boleh dibiarkan terjejas akibat apa yang berlaku.
Jika pengerusi boleh mengelirukan PM dengan perkara yang tidak benar, bayangkan apa yang dia tidak akan lakukan untuk kita semua, ahli-ahli biasa dalam masyarakat.
Saya kasihan kepada Dato Ashraf, seorang profesional berhati murni kerana terpaksa bekerja di bawah seorang pendusta.
Yang lebih mendukacitakan adalah beliau terpaksa bersabar dengan seseorang yang mahu kawalan editorial secara total walaupun ia di luar bidang kuasa beliau.
Seperti yang kita semua tahu, oleh amalan, konvensyen dan tradisi, pengerusi tidak mempunyai suara dalam operasi editorial.
Dalam kes beliau, beliau hanyalah seorang pengerusi, bukan eksekutif.
Hanya Ketua Editor mempunyai kawalan lengkap dalam bilik berita.
Secara jujur saya berharap seseorang akan mendedahkan sebab sebenar mengapa Dato Seri FD Iskandar begitu berminat untuk mempunyai kawalan mutlak ke atas ruangan berita di TV3.
Adakah kepentingan politik atau perniagaan yang menjadikan beliau begitu bersungguh-sungguh mencapai matlamatnya?
Saya difahamkan bahawa beliau tidak begitu gembira apabila Tan Sri Muhyiddin telah diserang beberapa kali di TV3, terutamanya kenyataan media saya pada NCC2 yang menjadi pencetus bagi kumpulan pembangkang kepimpinan PM untuk menubuhkan mekanisme pembuat undang-undang luar Parlimen.
Beliau dipercayai sedang berusaha untuk PM melantik beliau ketua “Boffin Boys” – kumpulan strategis yang bekerja keras untuk melindungi PM daripada pembohongan oleh media dalam dan luar negara.
Jika dia berjaya meyakinkan PM, maka saya hanya boleh berharap kedua-dua mereka yang terbaik.