Khamis, 22 Disember 2016

Nahas pesawat TUDM di Butterworth, juruterbang maut

 
Malang tidak berbau. Tragedi berlaku dekat Pengkalan TUDM Butterworth petang Rabu, apabila sebuah pesawat jenis Beachcraft TUDM terhempas menyebabkan juruterbangnya terkorban, manakala tiga lagi cedera parah.
 
Kejadian berlaku pada jam 5.18 petang dan pesawat itu berlepas dari Pangkalan TUDM Subang ke Butterworth bagi rondaan kawasan perairan negara.
 
Ia terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan TUDM Butterworth. Kepulan asap dari pesawat yang terbakar itu dapat dilihat dari jauh.
 
Juruterbang yang terkorban ialah Mejar Kayamboo Chellam, manakala tiga yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.
 
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga juruterbang TUDM yang maut dalam insiden itu.
 
Dalam catatan terbarunya di laman sosial Twitter, Najib berkata, siasatan terperinci ke atas insiden itu akan dilakukan.
 
"Terima laporan tragedi nahas pesawat @airforcenextgen (Twitter rasmi TUDM), sedih ketahui ada kemalangan jiwa. Takziah kpd keluarga, siasatan terperinci akan dilakukan," katanya.
 
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberitahu, siasatan menyeluruh akan dilakukan untuk menyiasat punca nahas terbabit.
 
Beliau berkata, TUDM telah menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.
 
Sementara itu, Bernama melaporkan kebetulan tragedi menimpa Mejar Kayamboo pada hari jadinya yang ke-45.
 
"Hari ini merupakan hari lahir Mejar Kayamboo yang ke-45, dan hari ini jugalah beliau kembali kepada penciptaNya setelah terkorban dalam nahas pesawat terhempas petang tadi," demikian kata rakan seperjuangannya, Mejar Hassan Basri Tajul Arifin.
 
"Baru pagi tadi saya bertegur sapa dengan beliau pada Majlis Serah Terima Tongkat Kuasa Panglima TUDM yang diadakan di Pangkalan TUDM Subang, namun saya terlupa mengucapkan selamat hari lahir kepadanya," kata beliau kepada Bernama.
 
Hassan, 37, yang bertugas di No 2 Skuadron, Subang, berkata, mendiang Kayamboo yang berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Subang disifatkan sebagai seorang perwira yang sanggup berkorban demi tugas.
 
"Mejar Kayamboo sanggup meninggalkan keluarga di utara tanah air semata-mata menumpahkan kesetiaan demi menjaga keselamatan maritim negara apabila diarahkan," katanya.
 
Beliau mengenali mendiang sejak 2003 dan bersama-sama bertugas sebagai jurulatih di Alor Star, Kedah satu ketika dulu.
 
Beliau berkata, mendiang adalah seorang yang peramah dan sering menyapa setiap orang walaupun mendiang pegawai kanan.
 
"Mendiang juga seorang bapa dan suami yang amat mencintai isteri dan anak-anak, kerana beliau pernah berkongsi kisah hidup yang amat beliau hargai dalam setiap detik hidupnya," kata beliau.
 
Hassan Basri berkata, mendiang Kayamboo akan terus dikenang kerana sering memudahkan urusan anggota lain semasa hayatnya.
 
Di BUTTERWORTH, hasrat isteri mendiang Kayamboo, S. Usha, 42, untuk menyambut ulang tahun yang ke-45 kelahiran mendiang malam ini tidak kesampaian apabila menerima berita pemergian pasangan hidupnya itu.
 
Usha yang tidak dapat menahan sebak dilihat menangis dan beberapa kali ditenangkan anggota keluarga.
 
Menurut Usha, mereka berdua berbual sehingga pukul 12 tengah malam dan berbincang untuk meraikan sambutan hari lahir mendiang.
 
"Kami semua sedih dengan kemalangan ini dan belum dapat menerima apa yang terjadi," katanya.
 
Bapa saudara mendiang, A. Bikeikumaran, 58, berkata, Usha merancang menyambut hari jadi suaminya selepas selesai kerja.
 
Usha bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik kesihatan di Pulau Pinang.
 
"Anak saudara saya bertugas di TUDM Alor Setar, manakala Usha tinggal di Sungai Nibong," kata Bikeikumaran.
 
"Saya mendapat tahu berita ini daripada pihak TUDM dan memaklumkan kepada Usha," katanya ketika ditemui di HSJ malam ini.
 
Bikeikumaran berkata, pasangan itu mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan dua hingga 13 tahun.
 
Beliau berkata, mayat mendiang itu dijangka dibawa ke Sungai Nibong selepas bedah siasat.

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...