Jumaat, 25 April 2008

Saya orang perjuangan - Ibrahim


Datuk Ibrahim Ali adalah pemimpin idola saya. Walaupun orang ramai menuduhnya dengan pelbagai tuduhan yang menjijikkan, saya tetap menyanjungnya sebagai pemimpin ulung orang Melayu. Siapa yang kenal Datuk Ibrahim, tidak akan menuduhnya yang bukan-bukan.
Justeru itu, saya merupakan orang pertama yang memanjat kesyukuran di atas kemenangannya dalam PRU12 Mac lalu dan saya juga merupakan orang pertama yang berduka dan menangis dengan pemecatannya sebagai ahli UMNO pada tahun 2003.
Minggu lalu, ketika saya off day, saya ambil kesempatan untuk mewawancaranya di pejabatnya di tingkat 10 Hotel Grand Sesson. Berikut saya paparkan hasil wawancara itu.


Soalan: Selepas dipecat keanggotaan UMNO pada tahun Oktober 2003 dan kemudian kalah pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir pada tahun 2005, ramai pihak menganggap karier politik Datuk sudah berakhir. Namun, pada pilihan raya umum lalu, Datuk berjaya membuktikan sebaliknya dan bagaimana situasi ini boleh berpihak?

Datuk Ibrahim: Sesetengah pihak menganggap kekalahan saya pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengakalan Pasir atas tiket bebas sebagai titik tamat kepada kerjaya politik saya. Namun bagi saya dengan undi yang saya terima sebanyak 415 undi adalah satu jumlah yang cukup besar kerana saya berhadapan dengan dua ‘gergasi besar’ iaitu calon UMNO dan Pas.
Tetapi mereka lupa bahawa saya adalah orang perjuangan dan dari segi sejarah perjuangan saya adalah seorang manusia yang konsisten. Sebagai seorang pejuang sejati, saya tidak pernah mengalah dan tidak pernah bersara. Dalam falsafah hidup saya pula, selagi tidak mengalah suatu hari nanti kita akan berjaya. Pepatah Inggeris ada mengatakan ‘a quiter is a loser’ di mana orang yang mengaku kalah, dia akan mengalah betul. Tapi bagi seorang pejuang yang konsisten, dia tidak mempedulikan berapa kali dia jatuh dan bangun serta tidak menghiraukan kata-kata orang lain, dia tetap dengan keyakinan dirinya. Alhamdulillah, pada pilihan raya umum lalu terbukti saya mampu bangkit semula. Saya jatuh dalam politik pun bukan kerana isu-isu yang merosakkan peribadi saya seperti terlibat dengan rasuah, pecah amanah ataupun moral. Kalau ada pun kelemahan saya ialah bertukar parti dan mereka tuduh saya sebagai ‘Raja Katak’, ‘gedebe’ dan tidak boleh dibawa berunding. Saya terima semua itu kerana perjuangan saya berasaskan keyakinan dan keinginan untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya tidak kisah dengan gelaran-gelaran itu kerana yang penting rakyat tahu siapa Ibrahim Ali!

Soalan: Jadi Datuk menganggap kerjaya politik Datuk bergantung sepenuhnya kepada rakyat dan mereka yang menentukan jatuh bangun Datuk selama ini?

Datuk Ibrahim: Kalau kita lihat dari segi politik, ada orang nak wakil rakyat yang rasuah ataupun salah guna kuasa, janji dia boleh menyumbang kepada rakyat. Kalau ada duit beli undi, buat projek, adalah juga rakyat yang sokong pemimpin kerana sebab itu. Ada pula orang nakkan pemimpin yang tak buat apa-apa pun asalkan dia bersuara untuk rakyat. Pengundi-pengundi sekarang ini berbagai latar belakang. Saya ini berada di tengah-tengah, ada sedikit sumbangan untuk rakyat mengikut kemampuan tetapi apa yang saya cukup bangga ialah waktu saya dalam dan di luar kerajaan, saya konsisten dalam membicarakan isu-isu keadilan rakyat termasuklah isu ISA, rasuah dan apa jua isu. Contohnya masa dalam UMNO, saya cium juga tangan Tun Mahathir tetapi bila saya nak kritik, saya kritik. Kalau masa Perhimpunan Agung saya tetap bersuara lantang dan menentang arus kerana saya bercakap mewakili rakyat.
Dalam UMNO pun kejatuhan saya berpunca daripada kelantangan saya bersuara bukan kerana rasuah dan pecah amanah, sedangkan orang yang korupsi dan kononnya nampak ‘bersih’ dikekalkan. Itulah yang terjadi dalam pilihan raya umum baru-baru ini bila rakyat tolak UMNO. Saya harap pemimpin tertinggi UMNO pun akan belajar dari pengalaman ini.

Soalan: Jadi maksud Datuk, sebagai seorang pejuang sejati Datuk tidak perlukan satu parti untuk dijadikan platform kukuh untuk berkhidmat kepada rakyat?

Datuk Ibrahim: Dari segi idealnya kita tidak semestinya ada parti, sebab itu ada orang tanya saya adakah satu hari nanti saya akan masuk UMNO atau Pas, saya kata buat masa sekarang ini saya tidak mahu. Sebab saya sudah serik masuk parti sebab saya tahu saya lantang. Kalau saya masuk parti kalau saya nampak tak betul, saya akan tegur pemimpin dan kalau saya lantang kritik pemimpin maka saya pula akan dipecat. Sistem berparti di negara kita lain tidak seperti negara-negara maju, di Malaysia kalau kita masuk satu parti kita kena jadi ‘pak turut’, setuju atau tidak kita kena ikut saja, kita dipantang menegur pemimpin.
Kalau tanya saya bolehkah berjuang tanpa parti, saya akui agak susah. Kalau untuk bercakap di Parlimen saya tidak perlu ada parti sebab saya sudah jadi Ahli Parlimen tetapi saya perlu juga berkhidmat kepada rakyat. Saya perlu hulurkan sedikit sebanyak kalau ada kenduri, kematian, bencana dan mereka melihat saya ini sebagai wakil rakyat dan kalau kita tidak berupaya nak bantu nanti rakyat kata kita tak mampu jadi YB. Ada sentimen rakyat yang seperti ini dan ada juga yang hanya mahu kita bercakap masalah mereka di Parlimen. Nak tak nak kalau mahu berjuang secara berkesan mesti ada parti. Tetapi buat sementara waktu ini biarlah saya berfungsi sebagai Ahli Parlimen Bebas kerana ada baiknya sebab saya boleh bercakap, mengkritik dan menegur tanpa terikat pada mana-mana parti.
Pas tahu nilai kelebihan saya!

Soalan: Apa rasionalnya Datuk bertanding pada pilihan raya umum lepas atas tiket Pas?

Datuk Ibrahim: Sistem pilihan raya di negara kita ini orang yang nak bertanding mesti atas tiket parti. Kalau di Kelantan memang sukar untuk bertanding sebagai calon bebas. Parti yang kuat dan besar pula adakah Pas dan UMNO dan ramai yang jadi ahli kedua-dua parti ini, yang tak jadi ahli berapa ramai sangat. Jadi kalau saya bertanding atas tiket bebas tentu sukar untuk menang, tetapi saya ada pengaruh di Pasir Mas. Saya tengok pengaruh saya sebagai wakil rakyat dulu dan ada juga orang tengok saya sebagai calon yang tak perlu fikir pasal parti, adalah jumlahnya dalam lima ribu orang tetapi saya tidak mungkin boleh menang. Tetapi saya sudah boleh menjadi kumpulan minoriti yang boleh menentukan parti mana yang boleh menang dalam pilihan raya. Oleh kerana saya sudah ada sokongan seumpama ini, Pas sudah melihat saya boleh memberi keuntungan kepada parti itu sebab itu mereka beri laluan kepada saya untuk bertanding atas tiket Pas. Pakatan ‘win-win situation’ ataupun untung-untung, tetapi Pas untung banyak dan saya untuk sikit saja sebab saya boleh jadi Ahli Parlimen namun bagi Pas saya membawa suara mereka bukan setakat di Pasir Mas saja tetapi di seluruh Kelantan dan juga di peringkat Parlimen.

Soalan: Namun ada tuduhan yang mengatakan Datuk telah ‘bayar’ kepada Pas untuk dipilih sebagai calon Parlimen Pasir Mas, apa reaksi Datuk?

Datuk Ibrahim: Sebenarnya tidak mudah untuk guna kaedah ‘bayar’ dengan Pas. Pertama, saya tidak ada duit dan kalau bayar pun mustahil Pas akan terima kerana Pas di Kelantan tidak sama dengan Pas di Perak, Kedah dan Terengganu sebab Pas di sini sudah jadi kerajaan negeri. Jadi mereka sudah ada keupayaan dan saya tidak perlu bayar. Cuma Pas nampak dua aspek yang ada pada saya iaitu sokongan rakyat di Pasir Mas kerana kalau orang UMNO yang menyokong saya mengundi Pas di peringkat DUN dan menang, itu beri kesan besar kepada Pas jika nak dibandingkan dengan duit. Buat apa Pas nak suruh saya bayar kerana mereka sendiri perlukan undi yang saya ada. Kedua, Pas nak saya mampu menarik orang ramai kalau saya berceramah sebab orang suka kata dengar saya bercakap.
Pas nampak saya sebagai satu aset dan inilah kesilapan UMNO yang menggugurkan saya dulu. Pucuk pimpinan UMNO terima hasutan bahawa saya jenis ‘gedebe’ dan cara itu tidak boleh bawa sokongan kepada parti. Tetapi bila saya dipecat tidak ada lagi orang ‘gedebe’ dalam UMNO, tapi dalam Pas ada Mat Sabu dan ramai lagi. Ini keuntungan kepada Pas.

Soalan: Walaupun Datuk bertanding dan menang di Pasir Mas atas tiket Pas, namun dalam sesetengah isu seperti isu cadangan penggubalan Akta Anti Lompat Parti yang dikemukakan, Datuk tidak sehaluan pendapat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, jadi mengapa ada pertentangan seperti itu?

Datuk Ibrahim: Dalam isu tukar parti ini mahkamah pernah membuat keputusan bahawa ia melanggar hak asasi manusia. Kes Nordin Salleh iaitu ADUN Sungai Pinang yang lompat parti masuk UMNO, mahkamah putuskan tindakan itu tidak salah kerana itu hak beliau untuk tukar parti. Macam Pas bolehlah bercakap kata sokong sekarang ini tetapi sewaktu perbezaan satu kerusi di DUN baru-baru ini, kalau ada YB UMNO yang lompat masuk Pas, adakah Pas akan menolaknya?
Kelantangan jadi aset perjuangan

Soalan: Dengan kelantangan Datuk, adakah Datuk akan terus menegur sekiranya ada perkara yang tidak betul yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan juga pusat?

Datuk Ibrahim: Saya akan menyokong semua perkara yang dibuat sama ada kerajaan negeri dan pusat yang boleh mendapatkan kebaikan kepada rakyat, dalam apa sahaja itu. Sebaliknya juga, saya akan terus mengkritik sesiapa sahaja dan orang pun boleh kritik saya. Begitulah sikap saya di Parlimen kerana saya tidak terikat dengan mana-mana pihak. Saya hanya bercakap untuk kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Dalam masa sama saya mendokong perpaduan kaum dan hak semua kaum akan dibela.
Selagi nasib bangsa Melayu tidak mencapai standard Dasar Ekonomi Baru iaitu sasaran 30% pencapaian dalam ekonomi, saya akan terus bercakap terutamanya hak istimewa orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Pada saya, sesiapa pun yang menjadi Menteri Besar ataupun Perdana Menteri yang menidakkan hak keistimewaan orang Melayu, tindakan itu melanggar undang-undang dan Perlembagaan.

Soalan: Sebagai Ahli Parlimen bebas, bagaimanakah Datuk akan membangunkan Pasir Mas dengan ketiadaan peruntukan?

Datuk Ibrahim: Sekarang ini Kelantan di bawah pemerintahan Pas dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk membangunkan keseluruhan kawasan di negeri itu termasuk juga Pasir Mas melalui ADUN yang dipilih oleh rakyat. Manakala Barisan Nasional di bawah pimpinan Pak Lah sudah berjanji tidak akan menganaktirikan Kelantan dan pembangunan daripada Kerajaan Pusat akan diteruskan.
Jadi tugas saya adalah untuk membawa segala masalah dan keinginan rakyat di Parlimen. Tapi kalau saya ada rezeki lebih, saya akan bagi derma dan sumbangan kepada rakyat. Tugas untuk membawa pembangunan seperti buat sekolah, buat jalan dan sebagainya bukan tugas saya. Tetapi saya akan terus bercakap mengenai isu-isu pembangunan dan masalah masyarakat di Dewan Rakyat.

Soalan: Menyentuh mengenai projek ternakan babi bernilai RM100 juta yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor, apakah pandangan Datuk mengenai isu itu?

Datuk Ibrahim: Saya tengok isu babi ini sengaja diperbesarkan oleh media arus perdana. Sebenarnya isu babi di Selangor bukan isu baru kerana sebelum ini sudah timbul isu yang sama di Melaka. Tetapi bila isu ini berlaku di Melaka, publisitinya tidak besar seperti di Selangor. Babi sudah lama diternak di Malaysia dan ia adalah hak orang Cina. Kalaulah tujuan projek ini adalah untuk diselaraskan bagi memodenkannya supaya tidak busuk, bersih dan terkawal, pada saya tidak ada halangan. Tambahan pula ia untuk menampung keperluan dalam negeri, tetapi jika projek itu bertujuan untuk eksport babi, saya pun tidak setuju. Buat mengikut keperluan.
Dari sudut politik, saya melihat laporan besar-besaran yang dibuat oleh media semata-mata hanya untuk menunjukkan ‘keburukan’ kerajaan Pakatan Rakyat yang menggabungkan DAP, PKR dan Pas. Bila mendedahkan Pas sokong projek babi itu maka harapan media arus perdana mahu orang Melayu marah kepada Pas. Tetapi cara publisiti yang dibuat itu mungkin akan membuatkan orang Melayu marah kepada Pakatan Rakyat tetapi orang Cina akan suka dan ini member keuntungan besar kepada DAP dan PKR. Inilah yang dinamakan senjata makan tuan. Jika dulu isu babi heboh di Melaka namun media hanya main sedikit sahaja isu ini sedangkan babi di sana lagi teruk, bak kata orang, babi Melaka boleh ‘makan angin’ di tengah-tengah Bandaraya Melaka.
Sepatutnya bila timbul isu babi ini, semua pihak sama ada UMNO ataupun rakyat Selangor perlu menentukan adakah projek itu sesuai mengikut saiz, tapak, konsep ternakan yang mementingkan kebersihan dan alam sekitar terjaga. Kalau kesemua itu tidak mengikut standard barulah kita boleh tentang. Itu lebih rasional.

Soalan: Tiga parti utama pembangkang iaitu Pas, PKR dan DAP telah bersetuju untuk membentuk Pakatan Rakyat (PR) bagi memperkukuhkan kerjasama mereka, namun secara realitinya pakatan ini sebenarnya masih rapuh kerana masing-masing berbeza ideologi politik. Pada pandangan Datuk, sejauh manakah PR mampu menyaingi Barisan Nasional (BN)?

Datuk Ibrahim: Terlalu awal untuk saya komen kerana banyak perkara masih ‘belum diselesaikan’ oleh ketiga-tiga parti berkenaan. Sebab dalam perlembagaan Pas sudah termaktub bahawa parti itu memperjuangkan Islam berpandukan kepada al-Quran dan hadis. Manakala DAP pula cuba menubuhkan Negara Sekular dan PKR memperjuangkan hak semua kaum. Jika keadaan ini berterusan, saya tidak Nampak akan wujud satu pakatan yang kuat. Tetapi kalau masing-masing boleh memahami antara satu sama lain dan PR boleh diwujudkan maka kita menuju ke arah dua sistem parti yang sihat.
Pada pilihan raya umum lalu, saya melihat rakyat menolak BN bukan disebabkan faktor alternatif pembangkang sebagai Pakatan Rakyat sebaliknya mereka lebih cenderung memprotes pucuk pimpinan negara. Isu kenaikan harga barang cukup memberi kesan kepada rakyat terutamanya pengundi Melayu dan Cina lalu mereka menterjemahkan rasa tidak puas hati itu melalui kertas undi. Ini punca utama kekalahan teruk BN. Bila keadaan ini berlaku pengundi sudah tidak memikirkan jenis parti lagi, kalau jumpa parti payung, mereka akan pangkah payung, jumpa bulan undi bulan. Sebab di negara lain isu kenaikan barang boleh mencetuskan huru hara dan juga mogok, tapi di negara kita mereka protes melalui peti undi.
Faktor kedua yang mendorong pengundi Cina berpaling arah ialah walaupun kerajaan banyak umumkan projek-projek besar tetapi masyarakat Cina tidak merasai tempias perniagaan hasil daripada pengumuman itu. Dulu ada Dasar Ekonomoi Baru, kalau orang Melayu dapat mereka akan berkongsi dengan tauke Cina jadi mereka tetap dapat manfaatnya. Tetapi keadaan sekarang ini berlaku sebaliknya.

Keris: Hishamuddin akui silap


Isu menjulang keris Panca Warisan oleh Pemuda UMNO yang dikatakan menjadi salah satu faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, menyaksikan Ketua Pemuda BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Kepada orang Melayu, Hishamuddin memohon maaf kerana tidak dapat mempertahankan keris Panca Warisan sebagai simbol ketuanan Melayu dan kepada bukan Melayu pula beliau memohon maaf kerana isu keris berkenaan telah disalah erti sehingga menimbulkan ketakutan kepada mereka.
"Secara ikhlas banyak perkara yang boleh menjadi sebahagian daripada punca kemerosotoan kita dalam beberapa negeri. Termasuk juga soal keris Panca Warisan ia telah dibincang secara telus.
"Saya beritahu kepada mereka, saya sendiri akan bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan dan sekiranya ia menjejaskan prestasi kita, saya tidak boleh lari daripada realiti dan kalau itu boleh menjejaksan sesiapa, saya minta maaf kepada kaum bukan Melayu dan kepada orang Melayu juga.
"Kepada bukan Melayu (saya minta maaf) kerana mereka merasakan takut dengan sesuatu simbol yang itu bukan niat saya. Orang Melayu saya minta maaf kerana tidak dapat pertahan simbol warisan kita yang sebenarnya nilainya tidak seperti apa yang digembar-gemburkan. "Tetapi kalau realitinya seperti itu saya bukan seorang yang angkuh yang tidak boleh terima hakikat itu dan ini merupakan pengajaran sedih, tetapi kalau politik hari ini sebegitu rupa, kita sebagai pemimpin mestilah mempunyai jiwa besar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan PWTC Kuala Lumpur petang Jumaat selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN.
Mesyuarat berkenaan adalah yang pertama diadakan oleh Pemuda BN selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.
Prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lalu turut dikaitkan dengan isu keris Panca Warisan yang secara tradisinya diarak dan dijulang oleh Ketua Pemuda UMNO semasa perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia.
Menurut Hishamuddin, isu keris Panca Warisan itu telah digembar gemburkan menjadi politik persepsi dan sebarang usaha untuk menjelaskan perkara berkenaan tidak membawa makna apa-apa.
"Ia digembar-gemburkan oleh politik persepsi. Saya nak terang macam mana pun kalau itu merupakan persepsi yang diwujudkan saya rasa ia tidak akan membawa manfaat kepada perjuangan kita," ujarnya.
Menjawab satu soalan, beliau menjelaskan, bagi dirinya dan Pemuda, keris memang mempunyai makna yang besar dalam perjuangan orang Melayu.
Namun jelasnya, jika sesuatu yang diperjuangkan itu jelas ditolak, ia tidak akan membawa erti apa-apa.
"Bagi saya dan Pemuda, keris memang ada maknanya, tetapi kalau kita nak perjuangkan sesuatu, di mana ditolak kadang-kadang oleh pemimpin UMNO itu sendiri … ia digembar- gemburkan oleh politik persepsi.
"Saya nak terang macam mana pun kalau itu merupakan persepsi yang diwujudkan saya rasa ia tidak akan membawa manfaat kepada perjuangan kita," ujar beliau.
Ditanya adakah ini bermakna Pemuda UMNO tidak akan lagi menjulang keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agungnnya Disember ini, Hishamuddin menjelaskan, mesyuarat hari ini bukanlah platform untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan.
Hishamuddin juga mengulangi bertanggungjawab sebagai Ketua Pemuda terhadap isu berkenaan dan jika diberi pilihan antara kepentingan atau parti, beliau akan mengutamakan kepentingan parti yang perlu dipertahankan. – 25/4/2008

Rabu, 23 April 2008

Bicara Pesisir

hashim latiff:
Saya terpegun melihat manusia memakai baju yang cantik-cantik berjenama mahal. Kadang-kadang ada yang memakai baju dari jenis wool bernilai ribuan ringgit. Kadang-kadang ada yang memakai kain Jacob berharga juga ratusan ringgit.
Kadang-kadang teringin di hati saya untuk memiliki semua itu. Namun apakan daya saya, saya hanyalah kerdil dalam kehidupan ini. Dapat memakai apa yang saya pakai sekarang juga sudah bersyukur. Kalau kita imbas dan picingkan mata ke Darfur, pakaian mereka compang camping.
Anak-anak memakai apa yang ada. Apa pun saya rasa mereka juga bersyukur kerana mereka memiliki pakaian sendiri, yang dibeli dan dijahit dari usaha sendiri. Mereka cuba memurnikan kehidupan meskipun berpakaian begitu.
Tetapi saya sedih dan cukup-cukup menyesal bila ayam memberikan bulunya pada musang, sedangkan dia tahu musang akan memakannya satu hari nanti. Apakah musang akan bangga bila memakai bulu ayam dan orang memanggilnya musang berbulu ayam? Hebatkah musang hidup dengan menyamar begitu?

camarzaen:
saya pula hairan kenapa di kaca TV - wanita cantik begitu ramai dgn pakaian berjenama mahal2 juga, lalu bahagian dada dan paha terdedah... malunya saya! - perempuan kampung

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Dunia dah berada pada penghujungnya barangkali..

wzam:
Tergerak hati nak tanya, Saiful Haq ni Pensyarah di UM ker yang kini telah mendapat PHD?

Siti Puspa Abdullah:
tergerak hati saya nak menjawab.. betul la tu. dia memang hebat. Dr. Saiful Haq namanya, mengajar apa ya. Ipul dok fakulti mana di UM tu? saya senior dia, tapi.. sekolah sampai ke taman se kebun bunga je!!!!

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Jangan la tinggi sangat nanti jatuh, tak mati pun patah, tak pun cedera... kang nanti abis rosak urat saraf kang naya. A’ahhhh... yer la tu, skang kat Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu. Kalau datang UM jangan luper contact ek... no hp masih lagi sama, macam yang dulu2 tuuu... Siti pe kaba ek...?

camarzaen:
Syukur. sihat dan happy bila org2 yg saya sayangi happy

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Alhamdulillahhhh...


manzaidim@yahoo.com:
Tahniah dan salam berkenalan dari saya utk Tuan Muhammad Saiful.

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Terima kasih, salam perkenalan kembali... ada masa kita minum tea skali di kl n kalau ke UM jangan lupa contact.

manzaidim@yahoo.com>:
nak bagitau ke tak nak bgtau ni. Kalau bgtau nanti malu pulak. tapi kalau tak bgtau, nanti org kata sombong... Sebenarnya, dah dua bulan saya kat Shah Alam, walau sekali pun tak penah jejak kaki ke KL. Masa off pulak memerap kat rumah atau cc sekitar rumah. Hati memberontak nak keluar ke KL sebab ramai jugak member ada kat sana, tetapi... baso ore darat... tak tau nak mula di mana...
Ada kereta, buat hiasan jer. Hanya boleh pandu dari rumah di Seksyen 24 ke pejabat di Seksyen 15 (lima minit kalau pandu 60km sejam). Nak beranikan diri keluar ke KL, takut tak jumpa jalan balik pulak. Tu yang menghantui fikiran sekarang ni. Kawan-kawan pula hari-hari kutuk dan perli kata saya sombong. Heee susah susah...telan mati mak, buang mati bapak. nak kemam takut dua-dua mati.

Muhammad Saiful Haq Hussin:
itu perkara biasa man, sesiapa pun akan melalui ujian disesatkan dalam keadaan begitu... kalau tidak tak tahu n tak kenal sampai bila-bila la, jadi beranikan diri tu untuk disesatkan n kalau sesat berterusan minta tolong kawan-kawan, soal darat atau ore bandar atau ore laut tak timbul, kalau ore laut pun mungkin akan sesat dale laut dia nuh, ore bandar pun kalu tanya dalam 10 oghe tuh, tobat... nak ju’pa soghe hak boleh memberikan panduan yang betul susah, kalu tak caya acu, cuba, try..test..

wan zainab saupik:
tergerak nak menyebut "taman sekebun bunga"... ada nostalgia tertinggal d situ

camarzaen:
wah... sekolah yg menarik. bagus tu

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Betul tu, tapi yang dimaksudkan oleh sdr. Hashim Latif tu sudah semestinya pangkat dalam susunan stratifikasi sosial apabila beliau merujuk kepada undi dan pilihan raya secara tidak langsung yang memerlukan pemerhatian selama 4 tahun sekali, jadi sewajarnyalah kita katakan bahawa pangkat bukanlah ukurannya tetapi pelaksanaan peranan, tugas dan tanggung jawab sebagaimana yang saudara Edi katakan itulah yang perlu dipenuhi tuntutannya, kalau tidak mereka sudah tentulah akan mengkhianati amanah yang telah dibaiahkan sesuai dengan kedudukan masing-masing.

hashim latiff:
bila ada orang bertanyakan kepada saya apa yang saya dapat selama hampir 30 tahun berada di dalam pesisir, saya akan menjawab, saya tidak mendapat apa-apa (kewangan) daripada PESISIR, tetapi saya mendapat ribuan ilmu daripadanya. bakti PESISIR terlalu besar pada saya.
kalau tuan-tuan dan puan-puan tidak percaya, tanya Sdr. Manzaidi, Asmui, Azli Lee, siap lagi Shafie.
Malah pertama kali Sdr. Manzaidi melangkah kaki memijak pantai PESISIR, saya berasa sungguh bangga dan pada pertama kali dia menegur saya, saya masih ingat teguran itu, saya rasa sudah termugil nur persahabatan antara kami. itulah keakraban PESISIR. Siapa yang menegur itu sudah kami anggap orang yang baik dan mampu menduduki kerusi AJK PESISIR.
Akhirnya Sdr. Manzaidi kami lantik jadi AJK biarpun sibuk sebagai WARTAWAN wibawa masa itu. apa pun hambatan kehidupan ternyata menjarakkan kami semua.
saat keberangkatan saya ke hulu (Tanah Merah), saya merasa sedih meninggalkan segalanya di Tumpat apa lagi menjauhkan diri dengan PESISIR.
Tika itu rindu ini makin kuat dan cengkaman kasih PESISIR tidak mampu saya leraikan dengan mengalihkan topik perbincangan hal-hal lain. Makin saya cuba jauhkan diri dari PESISIR, makin kuat rindu ini kepada persatuan yang banyak berikan peluang kepada saya menulis. saya bermula dengan PESISIR, mengenali Sdr. Napi Mat, Kashim Mohammad dan ramai lagi termasuk Mantan SU 1.
tuan-tuan yang budiman, saya memandu kereta hampir satu setengah jam dengan jarak seratus kilometer lebih semata-mata untuk hadir mesyuarat, tanpa clim duit minyak. jadi tidak masuk akallah orang di dalam jajahan Tumpat sendiri tidak mahu hadir mesyuarat! ko lagu mana?
saya sayangkan segalanya di Tumpat. Meskipun bandar dan daerah kelahiran saya mendapat jolokan BANDAR KOBOI, namun penduduknya sudah merentasi gerhana kesusahan dan hal-hal kemiskinan sudah ada penduduk yang berjaya melepasinya.
biarpun daerah Tumpat dilabelkan daerah pertanian dan nelayan, namun saya bangga bila dicelah-celah label itu ada Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR) yang mampu memberikan saingan kepada persatuan (penulis) gergasi di negara ini.
Justeru, dalam menyemarakkan lagi karak PESISIR, jangan kita serahkan tugasan ini kepada tiga orang sahaja. dalam PESISIR ada segalanya. kepakaran dan kelitan. Justeru gunakanlah peluang ini untuk menguar-uarkan seni di daerah ini dan jangan gunakan PESISIR sebagai batu loncatan. bila saya ke Kuala Lumpur atau bercakap dengan cikgu Rejab F.I Perlis, saya ceritakan perihal kehebatan PESISIR dan dia menjemput kami ke Perlis.
Apa pun saya bangga dengan PESISIR dan saya harap kepada AJK lain, hadirlah mesyuarat. Dalam mesyuaratlah kita cas semula bateri penulisan kita yang nak kondem tu. setiap manusia perlukan orang lain untuk nyalakan kembali semangatnya yang mungkin padam. percayalah.
azle abdullah:
saya tersentuh dengan luahan hashim latiff. itulah anak pesisir. barangkali hashim juga masih ingat setiap minggu kita meeting tak rasmi di rumah asmui kalau di jal besar, di rumah napi mat di besut tumpat, di rumah awang abdullah di bunut susu. di rumah ujid dharmawan. di rumah ketua satu yang paling kerap. kita hantar surat dengan motosikal dari rumah ke rumah. tak pakai pos. kita cetak sendiri pakai tangan saja. masa itu tak kenal riso dan tak kenal fotostat lagi. kalau ada pun 50 sen sekeping. baik isi minyak motor RM1 boleh pergi balik ke palekbang dan terus ke wakaf bharu.

Manzaidi Mohd Amin:
Saya pula masa tu bila dengar saja enjin motosikal posmen masuk pekarangan rumah, cepat-cepat keluar dapatkan abg tu. Rasa gembira sekali kerana dia membawa sepucuk surat daripada Pesisir. (Masa tu surat yang dihantar tak bersampul - hanya sekadar lipat tiga, stapler dan tampal setem kat kanan).
Isi di dalamnya memaklumkan Pesisir akan mengadakan mesyuarat agung pada tarikh sekian sekian dan tempat sekian sekian. Tika tu, duduk tak senang kerana tak sabar-sabar nak hadir mesyuarat.
Anehnya masa tu saya tinggal di Pasir Mas, tetapi kerana cinta kepada Pesisir, saya rasa jaraknya agak dekat walaupun sebenarnya 25 kilometer dari rumah saya ke tempat mesyuarat di Chabang Empat.
Saya pergi dengan basikal (kayuh 50 km pergi balik - sampai rumah merah meran muka, panas, penat - tapi gembira - puas).
Tiba hari mesyuarat, saya duduk paling corot sekali sebab hadirin yang hadir terlalu ramai. Padahal satu bilik kelas masa tu, tu pun tak muat. Bayangkan. Begitu hebat Pesisir masa dulu.
Sebab itu ahli-ahlinya berkualiti. mereka menyertai Pesisir dengan niat hendak menimba ilmu. bukan untuk suka-suka atau cari 'jodoh' sebab ramai ahli perempuan hadir. Dan ilmu itu mereka gunakan sebaik mungkin sehingga mereka berjaya.
Sebagai contoh, saya mengambil contoh atas diri saya sendiri. Saya tidak pernah ketinggalan menyertai setiap program anjuran Pesisir... walaupun semua tu agak asing bagi saya.
Tetapi alhamdulillah, dalam banyak2 program tu, satu daripadanya menjadi penyebab kepada siapa saya sekarang ini. Terima kasih Pesisir. Jasa mu tetap aku kenang dan aku tetap tak akan lupakan mu sehingga akhir hayat.

Ediramle Ismail:
Mungkin tidak ramai yang menyedarinya. PESISIR telah hampir terkubur pada tahun 1991. Ianya tidak jadi terkubur kerana diselamatkan oleh generasi lama dan generasi baru ketika itu dan tanpa kesanggupan AJK yang ada hari ini dan sebelumnya sudah pasti pesisir tidak bakal mampu bertahan sehingga ke hari ini.
2008 tolak 1991 iaitu selama 17 tahun kemudiannya + 11 tahun sebelumnya. Bermakna Pesisir kini berusia 28 tahun. Cumanya tentang ahli-ahli pesisir yang ada sekarang kebanyakannya sering datang dan pergi, ada yang baru datang kemudian pergi dan ada yang hanya menjenguk sebentar kemudian langsung pergi.
Kini masih ada lagi 3 orang lama dalam PESISIR iaitu ketua 1, En. Ismail Mohamed, Sdr. Daud Muda dan Sdr. Hashim Latiff. Ketiga mereka adalah antara penyumbang yang terbesar dan terlama kepada pesisir. Mereka adalah penyumbang yang luar biasa bagi saya.
Kemunculan Sdr. Anuar Musa membuatkan pesisir tetap segar kerana mungkin tidak ramai yang menyedarinya beliau telah banyak berkorban masa dan tenaga demi kelangsungan pesisir.
Lebih terharu lagi saya dapati sepanjang hayat pesisir, mereka yang mengerakkan pesisir bukan sahaja dari kalangan penulis, tetapi yang lebih menariknya mereka dari kalangan aktivis masyarakat.
Bagi saya mereka lebih hebat daripada sebahagian penulis pesisir sendiri atau sebahagian penulis dan tenaga pengajar sastera di daerah ini (Tumpat) kerana mereka membantu pesisir dengan begitu ikhlas tanpa sebarang kepentingan.
Mereka bukan sahaja cikgu wel, bukan saja Daud Muda, tetapi juga Hj. Ahmad Bendahari, WAK DIN, Cheng, Noorlaila, Azizah, Wan Othman dan ramai lagi. Tetapi mereka sering dilupakan.

Ediramle Ismail:
Dalam pesisir saya bermula tahun 1986, itu pun diperkenalkan oleh Sdr. Eziz Shukman. 1986 saya ahli biasa. Sebelum itu saya tinggal di Kuantan 1980 - awal 1986 kerana jadi Askar Melayu Diraja di Kem Batu 10.
Mulai tahun 1987 saya dilantik sebagai pemeriksa kira-kira hingga 1991. Dari 1991 - 1994 sebagai SU1. 1995 sebagai AJK. 1995 (pertengahan tahun) - 2000 sebagai Setiausaha 1.
Kemudian 2000 (pertengahan tahun) sebagai AJK biasa hingga 2004. Pada pertengahan tahun 2004 - 2008 hingga Februari sebagai SU1 - Dari Februari hingga April 2008 sebagai SU 2 (entah rasmi entahkan tidak). Dari Mei 2008 - Mungkin kembali sebagai AJK.
Mulai tahun 1991 - hingga 2000 merupakan tahun saya aktif berpersatuan, belia, PBTM, kemasyarakatan dan sebagainya. Ketika itulah dunia penulisan saya seakan terkubur. Sepatutnya di tahun-tahun inilah saya menumpukan masa yang lebih kepada penulisan.
Saya sempat hasilkan sebuah novel. Itupun ketika saya melepaskan jawatan sebagai setiausaha beberapa persatuan iaitu tahun 2000 - 2003.
Kesimpulan yang saya boleh buat sedikit sebanyak ialah kiranya ingin maju dalam penulisan tidak boleh terlalu aktif dalam persatuan, terutamanya tidak memegang apa-apa setiausaha mana-mana persatuan.
Menggunakan internet secara berterusan juga merupakan halangan untuk menulis. Tapi menggunakan internet adalah perkara yang sangat baik untuk menulis. Umpamanya minum air secawan atau dua cawan adalah baik ketika dahaga, tapi minum air lima gelas sekali gus adalah tidak baik walaupun ketika dahaga.
Betullah bersederhana itu adalah amalan sebaiknya. Bersederhana pula biarlah lebihkan sedikit tidak di sebelah kurang. Dalam berpersatuan, saya nampak perbezaan yang cukup ketara bermula tahun 1998.
Selepas tahun 1998 suasana dalam kebanyakan persatuan berubah begitu ketara sekali. Kalau sebelumnya walaupun tidak dengan menggunakan teknologi moden, hanya menggunakan surat biasa, sambutannya adalah sangat baik dan sebagai SU walaupun agak lelah terasa juga kepuasannya.
Tapi setelah tahun 1998 ke atas, pengendalian persatuan sudah menjadi lebih sukar. Saya sudah mula merasa ada sesuatu yang tidak kena dalam keadaan masyarakat sekarang. Dan terpaksa menerima hakikat, musim lalu telah tidak dapat dipertahankan lagi.
Oleh itu saya mula menumpukan berpersatuan secara online. Pesisir sudah masuk ke era ICT pada tahun 1999 iaitu persatuan penulis kedua di Kelantan yang memanfaatkan ICT selepas PUSPA yang lebih awal ada laman web.

wan zakaria wan busu:
Walaupun jauh di perantauan, saya tetap sayangkan PESISIR, Saya bangga, kerana saya dapat mengembangkan bakat yang ada. Di awal tahun 1985 saya menyertai PESISIR, biarpun sebagai ahli biasa, semangat menjadi berkobar-kobar untuk menulis, apabila bertemu rakan-rakan penulis yang terlebih dahulu menempa nama seperti Awang Abdullah, Azlee, Azman, Eziz Shukman, Hashim Latif sekadar menyebut beberapa nama. saat paling manis ialah bersama-sama mementas teater di Tumpat di hari Keputeraan Al-Sultan Kelantan (dah lupa tarikhnya). Kerana minat dengan PESISIR saya sanggup mengateh basikal tua dari Palekbang hingga ke Cabang Empat demi menghadiri mesyuarat.
Dan hati saya bertanya sekarang, adakah ahli-ahli PESISIR hari ini sanggup berkorban tenaga dan masa seperti ahli-ahli lama yang lain demi memastikan PESISIR terus hidup?

Bicara Pesisir

Siti Aminah Mat (camarzaen):
Kasih sayang yg sejati tidak perlu diserlahkan. ia dirasai. berterima kasihlah kpd insan yg telah menghulurkan kasih sayang setiap hari- ibumu, ibumu, ibumu.
bagi saya, sebagai seorg perempuan/wanita kami dikurniai dgn rasa kasih sayang yg mewah.

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Betul, kasih sayang inilah yang sukar ditemui (maksud nyer diberi dan diterima) walaupun kita berusaha mencarinya, lantaran itu jika ada orang yang sudah sudi untuk menghulurkan kasih sayang itu (tetapi biarlah dalam konteksnya), maka terimalah kasih sayang tersebut kerana bukannya satu perkara yang mudah untuk menimbulkan kasih sayang itu lebih2 lagi kasih sayang yang dikatakan aper tu... (mawaddah warahmah - maaf kalau tak betul sebutan) cher wahhh arab pulak.

wanzainab_saupik:
Assalamualaikum... apalah makna hidup ini tanpa kasih sayang. Kita dilahirkan dan hidup atas dasar kasih sayang. Kita membesar sehingga hari ini dengan menerima dan memberi kasih sayang. Kasih sayang tidak boleh diabaikan. Permusuhan, kemusnahan, peperangan terjadi kerana kurangnya kasih sayang. Ucaplah sayang pada yg tersayang. Tunjukkanlah kasih pd yg kita sayang... Hulurkan kasih pada semua insan, nescaya kita juga akan mendapat kasih sayang....

Ediramle Ismail:
Rasa kasih sayang boleh mempengaruhi suhu persekitaran.
Saya tidak pasti apakah kenyataan ini benar kerana ianya adalah suatu kenyataan yang terlintas di fikiran secara tidak sengaja.
Rasanya benar juga kerana tenaga yang dikeluarkan oleh rasa kasih sayang itu begitu dingin dan nyaman serta begitu halus dan lembut.
Energinya menyerap perlahan-lahan secara halus dan dapat menyejukkan suhu badan dan suhu persekitaran. Sebaliknya rasa kebencian dan kemarahan serta rasa-rasa negatif yang lain
dapat mempengaruhi suhu dan memanaskannya dan membuatkan tidak saja si pemarah, malah orang-orang yang berada di sekitarnya dalam suasana rasa tidak selesa.
Rasa benci itu ibarat api yang menyala-nyala dan dengan rakusnya menyambar objek-objek yang kering termasuk jiwa-jiwa yang kering lalu membakarnya dan menaikkan suhu persekitaran.

Muhammad Saiful Haq:
Semua orang tahu memperkatakan tentang kasih sayang, kebencian dan kemarahan. Namun tidak ada seorang pun yang tahu (kalau tahu pun dibuat tak tahu) tentang hakikat kasih sayang, hakikat kebencian dan hakikat kemarahan. Tapi dalam masa yang sama mungkin mereka yang merasakan dirinya benar itu tanpa disedari yang dia sebenarnya yang telah membangkitkan rasa sedemikian terhadap orang lain.
Oleh hal yang demikian sangat bertepatanlah perumpaaan yang memperkatakan bahawa "Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar", "Kuman di seberang lautan nampak dilihat, tetapi gajah di depan mata tidak ternampak" dan "Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa". Entah bagaimana itulah yang menjadi lintasan hati untuk berkongsi pengalaman tentang lintasan fikiran yang diperkatakan.

Selasa, 22 April 2008

Sembang-sembang Pesisir - April 20 2008

NOTA: Untuk kelainan pengisian laman blog manzaidi, mulai hari ini saya muat dan paparkan perbualan siber antara ahli-ahli Pesisir melalui emel masing-masing. Saya sempat copy dan susun ikut lajuran untuk tatapan semua tetamu laman blog manzaidi dan rakan-rakan Pesisir:-


Aziz Che Soh Aziz Che Soh:
Salam sejahtera kpd semua teman-teman Pesisir dan kepada semua ahli-ahli lama dan ahli baru dari pelosok tanah air. Saya akan bercuti dan akan balik ke kampung pada hari mesyuarat tersebut, itu pun jika cuti mendapat kelulusan drd pihak atasan.
Teringat kpd semua teman-teman lama yang sama-sama bergiat di dalam PESISIR dahulu. Susah senang tanggungjawab bersama, kami tidak kedekut idea, tidak sayang tenaga, walaupun duit persatuan kami tidak seberapa. Kami berbangga ketika itu mendapat tunjuk ajar drd orang-orang lama spt Naapie Mat, Man Esa, Ludin C.M., Cikgu Wen (Pengerusi Pesisir), Jimy Rodgiues, Awang Abdullah, Eh Deng a/l Eh Chik dan sebagainya.
Kami tetap bersatu, walaupun jauh dan dekat, kami mengayuh basikal berbatu-batu daripada Kg. Kok Keli, Kok Pasir, Kg. Laut, Palekbang semata-mata utk hadir mesyuarat di Tumpat atau hadiri majlis pertemuan secara formal di Kg. Jal Besar, Tumpat, Kelantan, yang penting bagi kami ilmu kepenulisan perlu ditimba untuk dijadikan panduan menulis.
Saya berbangga sekarang ini kerana ahli-ahli Pesisir telah ramai melahirkan penulis yang telah berjaya spt Asmui Mustapha, Hashim Latif, Ediramlee, Azlee Abdullah, Wan Zakaria Wan Busu, Anuar Musa, Wilai Ah Jok, Nik Azman NM, Naapie Mat, Awang Abdullah, sekadar beberapa nama sahaja yg dapat disebutkan di sini.
Kami sentiasa mencari jalan untuk memajukan Pesisir dari semasa ke semasa, tanpa mengira tempat dan waktu. Terpenting bagi kami ketika itu biar Pesisir sentiasa subur di laman hati warga ahli baru dan ahli lama. Kerana tanpa ahli baru, ahli lama tidak boleh bekerja, dengan saling bantu membantu di antara satu sama lain, maka Pesisir sentiasa mekar mewangi sehinggalah sekarang ini.
Saya berharap agar Pesisir akan maju dari semasa ke semasa, walaupun terdapat ahli-ahli lama yg sekarang ini telah berkeluarga dan berhijrah ke mana-mana di dalam Malaysia ini, yg penting bagi kami hubungan persaudaraan tetap erat dan kekal sepanjang masa. - Eziz Shukman (Penjara Kajang, Selangor)

Ediramle:
Sdr. Eziz. Janganlah hanya kerana mesyuarat AJK atau aktiviti pesisir, sdr berkorban dan pulang dari jauh. Saya tak mahu sdr. akan kecewa dengan apa keadaan sebenarnya. Bagaimanapun, kalau sdr. balik untuk urusan keluarga atau urusan penting ketika itu dan aktiviti Pesisir hanyalah sebagai hal sampingan, saya sangat merasa berbesar hati kerana kita boleh berjumpa lagi.
Sdr. Eziz, dalam seminggu dua ni saya masih berhasrat untuk pergi ke pantai-pantai delta sekali lagi dan bermalam di sana dengan berlampukan bintang-bintang dan bulan separuh mengambang. Ingin tidur berkipaskan bayu malam yang lembutnya bagai gumpalan kekabu di belakang rumah nenek ketika zaman kanak-kanak dulu.
Entah mengapa, sejak akhiran ini, saya sering inginkan ketenangan, inginkan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan dan inginkan juga kesenangan hidup kalau mungkin. Jiwaku sering berkata-kata, tinggalkan sebahagian besar permainan-permainan hidup yang menyerabutkan dan kembalilah kepada ketenangan.
Pastinya orang akan katakan. Untuk ketenangan pergilah ke masjid dan surau-surau, di sana akan ada ketenangan. Itu adalah betul dan amat wajar sekali. Begitu pun, sekali sekala kita harus juga ke bukit, kita harus juga ke jeram, kita harus juga pergi ke kolam dan ke sungai-sungai dan ke pusat-pusat membeli belah juga ke pantai.
Apakah mungkin saya telah berusia atau apakah ada petanda yang saya seperti akan kembali ke dunia yang lalu iaitu menjadi lebih peka dan seterusnya kembali ke dunia penulisan. (diharapkan lambat lagi kembali ke dunia asal yang abadi). Ketika kembara pantai delta hari tu, selepas waktu maghrib hingga jam 8.00 pagi saya merasa begitu tenang.
Selepas subuh ketika hari masih belum cerah sepenuhnya saya berjalan-jalan di tepian pantai, saya merasakan seperti saya sedang melepaskan pelbagai perasaan yang menjadi sampah sarap rasa di dalam dada atau di dalam otak. Ombak-ombak kecil yang meniarap di tepian seakan menghanyutkan rasa tersebut ke laut yang luas. Air laut kemudian melarutkan perasaan itu dan mengadunkannya serta membuatkan ianya bertambah masin. - Ediramle

Muhammad Saiful Haq Hussin:
ketenangan dan kedamaian hanya ada di dalam diri, lantaran itu carilah dahulu KEBENARAN yang juga berada di dalam diri, barulah ketenangan dan kedamaian akan datang dengan sendirinya... insyaAllah.

Manzaidi MohdAmin:
Aduhh!! Edi... kata-kata sdr mendesak minda saya untuk turut kembali ke zaman kanak-kanak dulu yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian. Di mana tika pulang dari sekolah, saya bersama rakan-rakan (skg mereka ada yang tugas sebagai pegawai polis, tentera, jabatan, politik dan bisnesman) berkampung di kawasan ‘hutan’ belakang rumah dengan lastik sangkut di tengkok.
Tika itu kami dapat melihat bagaimana tupai lompat dari dahan ke dahan pokok berlari ketakutan. Kami juga dapat tengok burung candik, merbah hutan, merbah sungai, merbah kepala putih, tok rok (kerak), puing, cak ciak, cak tuli, dan macam-macam jenis burung yang hari ini tidak ada lagi di depan mata kita.
Kenangan lampau saya lekas datang setiap kali saya menatap rintihan Edi. Jiwanya sama dgn jiwa saya... cintakan kedamaian, ketenangan dan keharmonian.
Kini saya terpaksa menerima hakikat bahawa kehidupan sekarang tidak seceria kehidupan zaman lampau. Saya rindukan kawan-kawan yang bernama Shuhairi, Suhaizan, Suhaimi, Mimi, Fauzana, Imi Jusoh, Sedi Dolah, Nawi Wook, Jiman Pok Win, Azam, Mat Noor, Imi Che Kar, Pok, Ijo, Che Noh, Hamid, Zarina, Maizun, Awi, Nina, Liza, Miza, Kak Ni, makcik Mah, makcik Yam, seman, kak nab, abe Ji, abe man dan lain-lain lagi.
Semua nama-nama itu adalah mereka yang tinggal satu kampung di Pengkalan Pasir, Pasir Mas. Sekarang entah ke mana mereka menghilang. Tidak dapat dikesan sehingga kini. Masing-masing membawa diri selaras dengan tuntutan hidup. Kadang-kadang apabila celik mata (sejak tinggal di Selangor), hati memberontak marah apabila banyak hutan-hutan yang melahirkan alam semula jadi paling indah dihilangkan secara rakus dalam sekelip mata.
Suara burung yang saya sebutkan tadi tidak pernah kedengaran. Yang ada hanya si gagak hitam yang nakal mencuri sisa makanan dan mematuk pakaian yang disidai. Ah!!! banyak lagi kalau nak diterjemahkan di sini....

Muhammad Saiful Haq Hussin:
...dan dengan peluru anak batu penuh poket kan man? adusss... betapa indahnya kehidupan alam kanak-kanak, tidak ada apa yang perlu difikirkan. Makan, minum dan bermain... tanpa ada perasaan belas kasihan terhadap mangsa lastik (bi’dah) kita tu kan? kasihan burung-burung tu, ada cat tuli yang tercabut kepalanya, ada cak ciak yang terbelah dadanya, ada murai yang patah kakinya... dan entah ada 1001 macam lagi kesengsaraan yang ditanggung oleh haiwan-haiwan itu.
Paling tidak pun kalau tak ada mangsa hari itu, kucing yang sedang berak di tepi pagar pun akan kita lastik kan? Apalagi lari la kawe tuh congek ekor-ekornya... zalim... zalimmmm... memang zaliiiimmmm...
Saya berhenti main lastik ni apabila diberitahu oleh ibu bahawa akhirat nanti kita terpaksa memikul bulu-bulu burung tu untuk dibawa ke langit, tetapi tidak sebagaimana bulu yang kita lihat pada burung tersebut, sebaliknya setiap helai bulunya sama besar dengan batang kelapa, apalagi bayangkan... Entah betul atau pun tidak tak tahulah. namun begitulah hikmahnya didikan dari seorang ibu...

wan zainab saupik:
Membaca sejarah kalian, teringat kembali zaman kanak2 saya. Permainan kanak2 perempuan ketika itu tidak sama dengan anak2 kita zaman ini. Kalau main masak2, kita menggunakan tempurung atau tin2 kosong sebagai periuk dan pinggan. Adakala main masak2 menggunakan api betul2, masak guna tin kosong.
Tapi hari ini berapa ramai parents yg mengizinkan anak2 mereka bermain api seperti dulu. Dan lagi permainan sekarang semuanya sudah tersedia. Saya ingat adik2 lelaki saya dulu mencari dahan bercabang dua untuk buat lastik tp hr ini lastik boleh dibeli dan dibuat dari plastik. Adik2 saya juga buat senapang kayu dengan papan, rekacipta sendiri mengikut kreativiti mereka...

Muhammad Saiful Haq Hussin:
Betul la tu, n siap main kawin-kawin lg pada masa alam kanak-kanak tu kan, tapi tak lah sampai... Namun kalu ari ni jangannnn... sebab mereka dah terdedah dgn pelbagai penyelewengan sosial di bawah era globalisasi. Bab masak-masak ni duit utk membeli nasi dan kuih tu kita gunakan kulit etak atau pun kulit kerang kan?

Siti Aminah Mat:
saya beruntung lahir dan mnjadi kanak2 pd zaman naif dan daif - matang dan berdikari pd waktunya. boleh membaca - in English pd umur 3 tahun. dan mnguasai kemahiran menulis, melukis seawal sebelum 4 tahun. syukur sungguh dgn kurniaan ini.


Manzaidi MohdAmin:
Beruntung sungguh cik siti ni, kecik lagi dah pandai speaking. Saya pulak tika darjah lima baru boleh membaca, mengira dan menulis. Selalu kena marah kat cikgu sebab tak siap kerja sekolah.
Dalam buku tulis petak (ingat tak buku petak empat segi utk ilmu hisab tu - sekarang ada lagi ke tak, tak tau lah) kena tulis huruf A a banyak banyak, malah sampai lima muka surat sebagai denda kerana tak tau baca, nulis dan ngira. Hehehehe... itulah manzaidi masa kecik2. Pandai bohong pulak tu.
Bohong sunat la... bohong tak nak gi sekolah. Pandai milih pulak tu... Tiap hari ahad dan khamis mesti buat hal... setiap hari tu (ahad dan khamis) bila dengar je azan Subuh, mulalah buat batuk karat...berdekeh dekeh...mula-mula slow, kemudian kuat..tujuan tak lain, melainkan nak suruh mak ayah yang tika tu sibuk di dapur dengar. Nak mak kata kat ayah..."kuatnya zaidi batuk, demam pulak la tu..." hehehehe
Tapi apapun taktik saya tak menjadi. Mak dan ayah dah tau pun (mana taknya, tiap ahad dan khamis mesti buat hal), Malah tiap kali saya berdekeh batuk, ayah cepat2 masuk bilik paksa saya bangun mandi. heheheh padan muker...
Sebab tu masa periksa penilaian (masa darjah lima) saya dapat 5E. Kawan saya yang bernama Suhairi dapat 5A, Fauzana dapat 3A. Suhairi dapat lanjut pelajaran ke sekolah shah alam, di selangor. saya pulak kena sambung di sekolah sultan ibrahim satu bawah guru besar Chameras Eko (lupa spelling) dan Merican di sekolah menengah sultan ibrahim satu.
Cikgu paling saya takut ialah cikgu Yap yang ajar ilmu hisab, cikgu Husin (bahasa inggeris, ingat lagi kata-kata dia "past away sad to said...."), cikgu zul (kata-kata lucunya, "cik samsul ko darus kamariah mat silong di laoh peraksi hayati kamus - entah apa maknanya)... entah di mana mereka sekarang... Cikgu!! maafkan saya... saya akui saya anak murid paling bodoh dan lembab, tapi saya sayang cikgu. Saya masih ingat cikgu semua.

Ahad, 20 April 2008

Filem kita pun ada unsur hina Islam


Seantero dunia baru saja dikejutkan dengan filem 'Fitna' yang dikatakan menghina umat Islam. Maka hebohlah di sana sini umat Islam mengadakan demonstrasi membantah tindakan pengeluar filem Belanda, Geert Wilder itu.

Lantaran filem pendek itu juga, mereka mahu kerajaan Belanda berusaha membatalkan penayangan filem yang menghina Islam. Di negara kita, Wisma Putra turut membantah tayangan filem itu.
Kenyataan yang dikeluarkan menyatakan tindakan itu tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam. Apa yang lebih menarik, gara-gara filem itu umat Islam di seluruh dunia diseru memulau barangan keluaran Belanda.
Dalam sedar atau tidak, sebenarnya penghinaan terhadap agama Islam juga telah berlaku di dalam negara kita sendiri. Mungkin kita terlepas pandang atau sengaja buat-buat tak nampak.
Sebelum ini, kita dikejutkan dengan kontroversi yang melibatkan pelakon drama Rosnah Mat Aris. Beliau dikatakan menghina isteri Nabi Muhammad SAW dan kini telah menerima hukuman digam oleh pihak berkuasa di atas keceluparan mulutnya itu.
Bahkan apa yang lebih memeranjatkan siaran rancangan terbitan sebuah stesyen TV swasta itu juga telah dibatalkan gara-gara perbuatan Rosnah itu.
Kini, sebuah filem terbitan pengeluar filem tempatan Grand Brilliant iaitu "Dunia Baru The Movie" juga dikatakan telah terdapat unsur menghina Islam.
Filem yang diadaptasikan daripada drama "Dunia Baru" itu telah ditayangkan kepada umum bermula awal Februari 2008 lalu.
Ia diarahkan oleh M. Hitler Zami iaitu anak kepada pelawak terkenal Zami Ismail. Mungkin kerana namanya Hitler, beliau langsung tidak faham akan sensitiviti umat Islam dan orang Melayu di negara ini.
Mungkinkah Hitler merasakan bahawa membuat filem sekadar untuk suka-suka semata-mata, lantaran itu tidak mahu langsung memikirkan impaknya terhadap penonton. Walhal filemnya itu ditonton oleh pelbagai golongan masyarakat dari yang muda hinggalah yang tua.
Filem yang membariskan pelakon terkenal seperti Elyana, Ann Ngasri, Pierre Andre, Mustapha Kamal, Anita Baharom dan ramai lagi itu telah dirakamkan di beberapa lokasi di Yan dan Pendang, Kedah Darul Aman.
Filem itu mengisahkan gelagat gila-gila pelajar di sebuah kolej dalam menjalani aktiviti seharian mereka. Ia telah mendapat perhatian meluas dalam kalangan penonton sejak mula ditayangkan di TV3.
Pencipta dunia baru dan penulis skripnya untuk televisyen dan filem ialah Wan Hasliza Wan Zainuddin. Drama bersiri untuk filem ini di TV dulu dikatakan pernah mencapai rating yang tinggi iaitu tiga juta penonton.
Populariti inilah yang menyebabkan pengarahnya M. Hitler Zami berusaha membawanya ke layar perak.
Kisah penghinaan ini berlaku dalam satu babak di sebuah majlis perkahwinan. Dalam adegan itu, Opie yang dilakonkan oleh Elyana telah berbesar hati untuk menyumbangkan suaranya bagi menyerikan majlis berkenaan.
Beliau berpasangan dengan pelakon muda Pierre Andre, telah menyanyikan sebuah lagu dalam majlis itu. Oleh kerana rakannya Mardhiah lakonan Ann Ngasri kelihatan agak warak dan sememangnya menggemari irama nasyid, Elyana dan Pierre Andre telah memilih untuk menyumbangkan sebuah lagu nasyid yang telah popular sepanjang zaman iaitu berjudul ‘Sepohon Kayu".
Melihat liriknya sahaja, kita sudah tahu yang lagu ini adalah sebuah lagu ketuhanan yang memerlukan penyampainya memiliki ciri-ciri Islamik. Lagu ini adalah sebuah lagu dakwah yang telah popular sejak sekian lama.
Bahkan lagu serta liriknya sahaja sudah boleh meremangkan bulu roma penyanyi dan pendengarnya. Boleh dikatakan hampir seluruh umat Islam di negara ini boleh menghafal dan mengingati seni kata lagu ini.
Maka itu, apabila ianya hendak dijadikan sebagai sebuah lagu dalam filem, pendekatannya haruslah selaras dengan lagu berkenaan. Lagu itu adalah lagu dakwah dan bukan lagu pop komersial atau pun lagu rock yang membolehkan penyanyinya terkinja-kinja, berjoget lambak serta bersuka ria macam orang tak sedar diri.
Dalam filem "Dunia Baru The Movie", pengarahnya Hitler sengaja membutakan mata apabila mengarahkan Elyana dan Pierre Andre menyampaikan lagu berkenaan dengan diiringi oleh band rock, berpakaian mendedahkan aurat, terkinja-kinja seolah-olah tidak memahami langsung akan lirik serta tujuan lagu berkenaan dinyanyikan.
Lebih menyedihkan lagi, pengantin yang diraikan ketika itu adalah ayah kepada pengarah itu sendiri iaitu Zami Ismail. Sebagai seorang tua, beliau langsung tidak mempunyai kesedaran dan memikirkan perkara ini, walhal beliau boleh menyunting adegan berkenaan jika mahu.
Justeru, kita amat berharap agar pihak berkuasa dapat memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pengeluar filem terbabit atas penghinaan ini. Biarpun ianya tidak secara "jelas" menghina agama Islam, tetapi langkah mempersendakan lagu-lagu nasyid berbentuk dakwah dengan elemen yang boleh merosakkan jelas sekali bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan agama Islam itu sendiri.
Tambahan pula si penyanyinya juga tidak menutup "aurat" dan langsung tidak menonjolkan imej Islamik ketika mendendangkannya. Sudahlah tu, dengan muzik Metal yang dimainkan serta mereka berjoget-joget keseronokan seolah-olah tidak memahami langsung maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu nasyid tersebut.
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita merasa sungguh kecewa dengan kejadian ini. Kita berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan tegas kepada artis dan penerbit filem berkenaan demi menjaga maruah Islam itu sendiri.
Sudahlah rancangan tersebut jelas sekali memaparkan betapa sosialnya pelajar kolej di negara kita. Pergaulan bebas serta pelbagai aktiviti yang sungguh memualkan sering kali didedahkan kepada kita.
Justeru, kita haruslah juga mendesak serta mengambil tindakan sama apa yang berlaku kepada pengeluar filem Belanda baru-baru ini. Khabarnya DVD filem berkenaan sedang dijual di pasaran.
Apa akan jadi kepada generasi muda yang melihat perbuatan ini. Adalah lebih elok mereka memilih lagu pengantin baru untuk menghiburkan pengantin dalam adegan berkenaan. Semoga selepas ini, pihak-pihak berkenaan akan lebih berhati-hati dalam menerbitkan sesebuah drama atau pun filem.

'SCHISM' vs dakyah Fitna


JEDDAH - Seorang penulis blog Arab Saudi berjaya menghasilkan sebuah video selama enam minit berjudul Schism dengan memetik ayat dalam kitab Injil yang menghalalkan peperangan sebagai reaksi tindakan ahli parlimen Belanda, Geert Wilder menghina Islam menerusi filem bertajuk Fitna.

Raid Al-Saeed, 33, menunjukkan di dalam filemnya beberapa petikan kitab Injil yang menggalakkan peperangan dan membuat tambahan dengan klip rakaman memperlihatkan kumpulan ekstremis Kristian menyampaikan ceramah berunsur keganasan.
"Saya menghasilkannya dalam tempoh kurang 24 jam. Dalam ‘Schism’, saya menggunakan metodologi sama digunakan Wilders dan ia membabitkan petikan yang disalah tafsir," katanya.
Beliau berkata, langkah yang diambil untuk menghasilkan filem itu adalah bagi membuktikan bahawa adalah salah untuk mengadili dan menilai Islam dengan menonton Fitna. Petikan ini dicatatkan Raid pada penghujung filemnya.
"Memang mudah untuk memetik mana-mana bahagian dalam kitab suci dan menyalah tafsiran petikan itu sehingga membuat ia seolah-olah kelihatan seperti sebuah kitab yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan.
"Inilah yang dilakukan Geert Wilders untuk mendapat sokongan bagi ideologinya yang penuh perasaan kebencian. Berikutan itu saya menghasilkan Schism sebagai satu reaksi balas," katanya.
Raid berkata, beliau tidak percayai ada kitab suci menggalakkan keganasan dan pertumpahan darah.
Beliau berkata, Fitna dibuat ‘berasaskan kebencian’ dan Wilders menyalahgunakan ‘kebebasan bersuara yang dinikmatinya," kata beliau yang menambah, filem Wilders menunjukkan perasaan perkauman dan kebencian yang dimilikinya.
Apabila Raid mengirim klipnya ke You Tube pada 1 Mac, ia dibatalkan 12 jam kemudian dengan satu pesanan daripada laman itu yang menyatakan klip berkenaan bercanggah dengan terma yang ditetapkan.
Raid menulis semula kepada You Tube dan bertanya mengapa filemnya dibatalkan sedangkan Fitna dibenarkan untuk terus dilayari. Beliau memuat naik filem itu sekali lagi dan menambah mesej kepada pentadbir laman meminta mereka menyaksikan Wilders sebelum membatalkan ‘Schism’.
Video beliau sudah disaksikan lebih 1,800 kali dan kembali semula ke You Tube sejak 2 Mac. Ia juga boleh disaksikan melalui Google.
Raid menegaskan matlamat beliau bukan untuk menyemarakkan kebencian, sebaliknya untuk memberitahu dunia bahawa seseorang itu tidak boleh mengadili sesuatu agama atau ideologi dengan tafsiran yang menyalahi hakikat dan perkara sebenar. – Agensi

Jumaat, 18 April 2008

Pengorbanan Ibu

wajah ibu

terkembang gurinda, anak senja menyinsing naik tahulah, aku sedang melukis namamu, ibu dalam penjelmaan resap wajah seorang tua hati budi di rakaman benak seorang pahlawan terukir rindu dengan wajah-wajah gigih berani lukisan bayangan resah gelisah ibu mendesak payah.

aku tahu, padaa wajah ibu pun aku tahu dari rona mata mahupun mimik kedutan segala persis genggaman perangkuman tak terjangkaukan dalam babak-babak sejarah tak bertalian meski awal gerak perhitungan begitu menghina mula dari watan yang dicela.

lukisan ini tak seghairah wajahmu kulukiskan juga namamu dalam suasana senja melepas rinduku dari belantara lepas seluas alam untukmu sebuah nama yang mencipta sejarah esok betapa megahnya aku melihat wajahmu menempa bibir lirik sopan seorang perempuan sekeping wajahmu, membaca hati seorang pejuang : wajah seorang ibu.

- Manzaidi Mohd Amin

Kg. Dangar 1987

Khamis, 17 April 2008

MENGHAYATI MAKSUD RAJA BERPERLEMBAGAAN

KRISIS yang berlaku antara kerajaan negeri dengan istana mula merebak dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Masalah ini harus dipandang serius oleh Perdana Menteri kerana ia tidak sepatutnya berlaku, lebih lagi Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Kemelut yang berpanjangan antara kedua pihak secara tidak langsung memberi kesan kepada sistem pentadbiran sesebuah kerajaan negeri kerana pentadbirnya tentu tidak dapat memberi tumpuan kepada pemerintahan yang dikatakan ada campur tangan istana.

Justeru, tidak mustahil dengan penglibatan istana dalam kancah pergaduhan dengan kerajaan negeri menyebabkan institusi raja dipandang rendah oleh kebanyakan pihak terutama rakyat.

Menyedari hakikat itu, pada tahun 1980, Sultan Azlan Shah yang ketika itu Ketua Hakim Negara telah mengingatkan bahawa 'mahkota' akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar.

Ketika melunaskan pendapatnya dalam titah ucapan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, baginda telah menzahirkan rasa bimbang dengan keadaan yang berlaku sekarang, di mana hubungan antara istana dengan kerajaan mula renggang.

Pada pertengahan tahun 1990-an, putera baginda yang juga Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, turut menekankan dalam nada yang seakan-akan sama dengan ayahndanya.

Titah baginda, bahawa banyak berlaku dalam sejarah, institusi raja tumpas apabila ia tidak direstui oleh rakyat. Dalam senario tindakan rakyat, tidak ada yang lebih penting daripada melakukan pemilihan wakil rakyat dan kerajaan rakyat dalam pilihan raya.

Walaupun Sultan Azlan Shah dan puteranya, Raja Dr. Nazrin Shah meluahkan kebimbangan itu, tetapi masih ada pihak istana di sesebuah negeri tidak mengambil berat perkara berkenaan menyebabkan krisis dan kemelut yang berlaku mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara.

Contoh agak ketara penglibatan atau campur tangan pihak istana dalam politik dan pentadbiran negeri ialah selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu.

Campur tangan sultan di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Terengganu dalam pelantikan Menteri jelas memperlihatkan penglibatan secara langsung institusi raja dalam pentadbiran kerajaan negeri. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana Raja atau Sultan hanya perlu merestui pemimpin pilihan raya dan watikah pelantikan daripada Perdana Menteri.

Adalah tidak wajar Sultan Perlis menafikan watikah pelantikan Menteri Besar di negeri itu sebagaimana yang dikehendaki oleh Perdana Menteri. Dalam watikah itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merestui Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar, tetapi sebaliknya pula berlaku apabila Sultan Perlis mengisytiharkan Datuk Mohd Isa Sabu sebagai Menteri Besar.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak iaitu yang paling ketara ialah Shahidan. Beliau berasakan tercabar kerana gagal menduduki kerusi menteri besar sebagaimana lazimnya.

Beliau mendapat restu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, tetapi pada masa sama dinafikan oleh pihak istana Perlis.

Senario itu menyebabkan pemerhati sependapat menyatakan bahawa, "Inilah aktiviti kemuncak dalam amalan demokrasi. Apabila rakyat telah membuat pilihan, maka pilihan itulah yang menjadi restu rakyat. Tidak ada pihak sewajarnya menafikan restu mereka.

"Memandangkan institusi raja di Malaysia kini diasaskan pada institusi Raja Berperlembagaan seperti yang diamalkan di Wesminster, London, maka apa yang berlaku kepada institusi ini di United Kingdom (UK) adalah amat relevan untuk dihayati," katanya.

Persoalannya sudahkah Raja atau Sultan di negeri ini menghayati institusi raja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri? Ke mana perginya penasihat-penasihat bijaksana yang bertanggungjawab memberi nasihat kepada Raja dan Sultan mengenai fungsinya?

Dalam sejarah Raja Berperlembagaan di UK, tidak pernah berlaku sebarang pelantikan yang dibuat oleh parti yang menang dalam pilihan raya dinafikan oleh raja, baik bergelar king mahupun queen. Raja Berperlembagaan di UK telah banyak melalui pengalaman yang luas dalam sejarah.

Antara episod terpenting dalam sejarah institusi raja UK berlaku pada tahun 1587 apabila Queen Mary dihukum pancung dan tahun 1649 apabila Oliver Cromwell menjadi Lord Protector setelah King Charles I juga mengalami nasib yang sama.

Sepatutnya pihak istana mengambil iktibar daripada apa yang berlaku terutama terhadap institusi raja di luar negara seperti UK. Telah jelas lagi nyata, raja di UK tidak pernah walau sekali pun mahu campur tangan dalam urusan pelantikan ketua pentadbir.

Malah menurut pengarang buku British Royalty, Richard Buskin, sebab utama pemberontakan Cromwell yang disokong oleh 15,000 soldadu ialah semaraknya kemarahan rakyat akibat keengganan King Charles I mengadakan persidangan Parlimen kerana bimbang akan terjejasnya kuasa.

Di UK, peruntukan mengatakan raja berhak melantik Perdana Menteri, sebagai contoh. Namun hak itu bergantung kepada parti politik yang menang dalam pilihan raya. Di sinilah letaknya ‘semantics’ (atau ‘pemerian’) bahawa Perdana Menteri hendaklah terdiri daripada ahli (Parlimen atau badan perundangan yang serupa) yang mendapat keyakinan ‘majoriti’ ahli-ahli Parlimen atau badan demikian.

Di peringkat negeri di Malaysia, istilah ‘Perdana Menteri’ dalam ungkapan di atas boleh digantikan dengan ‘Menteri Besar’ atau ‘Ketua Menteri’.

Pada realiti amalan politik, ketua parti relevan yang menang dalam pilihan raya berhak menamakan siapa menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri. Menghayati dan menghormati segalanya itu membuatkan ‘constitutional monarchies’ di Jepun dan beberapa buah negara di Eropah itu menjadi begitu stabil dan amat tinggi estemnya.

Raja Berperlembagaan di Malaysia tentunya mampu selaras kalaupun tidak melebihi daripada itu. Kerajaan negeri harus menjaga adat istiadat, kesopanan istana pada setiap masa serta mempertahankannya daripada dicemari.

Ia adalah bagi menjalinkan hubungan yang baik antara raja dan kerajaan. ‘Menteri Besar hendaklah dapat menjadi jambatan penghubung yang berkesan, menghubungkan rakyat dengan rakyat dan rakyat dengan raja.

Keharmonian hubungan raja dengan kerajaan adalah salah satu prasyarat untuk menjamin kestabilan sesebuah kerajaan dan kemakmuran sesebuah negeri.

Dalam pada itu, raja dan istana adalah pelindung kepada adat dan kebesaran kerajaan yang sejarahnya di bumi ini bertunjangkan kerajaan Melayu. Institusi raja yang merupakan sebahagian daripada sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu kekal relevan dan memenuhi peranan secara berkesan sepanjang masa dari zaman kolonial Inggeris membawa kepada era pascamerdeka yang memilih sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Dalam setiap fasa waktu, institusi raja terus kekal, berupaya melakukan pengubahsuaian dari segi peranan dan pendekatan, berfungsi sebagai payung negeri tempat rakyat dapat bernaung, merupakan sumber keadilan, mengurniakan keampunan, menawarkan keistimewaan, tonggak keutuhan, gerbang kebebasan dan payung kehormatan. ‘Berdamping eratlah dan serapat yang mungkin dengan rakyat dan berperananlah sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan istana.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara sudah menjelaskan tidak terlibat apatah lagi memperkenankan tindakan perhimpunan haram di depan Istana Negara.

Kemudian, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pula yakin Yang di-Pertuan Agong difitnah. Perkembangan politik yang dibawa oleh pemimpin parti-parti pembangkang sekarang nampaknya menjurus untuk melibatkan institusi raja dalam politik negara.

Mereka barangkali percaya dengan melibatkan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana sultan, perjalanan politik mereka akan lebih mudah.

Dengan mengaitkan institusi raja kononnya berkenan untuk menerima memorandum mereka, pembangkang akan menggunakannya bagi meyakinkan rakyat bahawa institusi raja turut menyokong mereka.

Jika perhimpunan haram itu tidak dihalang, mereka akan gunakan peristiwa itu untuk mengadakan perhimpunan lain pula. Dengan menggunakan Istana Negara untuk memburuk-buruk kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah suatu tindakan tidak betul.

Pendekatan meniru corak politik negara jiran yang mengguna ‘kuasa rakyat’ untuk menjatuhkan kerajaan sebenarnya tidak sesuai di negara kita. Misalnya apa yang berlaku dalam politik Thailand yang melibatkan rajanya, tidak sesuai berlaku di negara kita.

Apakah masalah politik Thailand sama dengan Malaysia, hinggakan pembangkang mahu menggerakkan perhimpunan rakyat dengan memakai baju kuning seperti di Bangkok. Kita rasa bangga apabila institusi raja yang menjadi payung negara tidak terperangkap dengan taktik politik pembangkang, sebaliknya berdiri teguh menyokong kepimpinan sekarang yang meneruskan tradisi membela rakyat.

Dalam sistem pemerintahan negara kita, ia terbahagi kepada tiga iaitu institusi Raja Berperlembagaan, Eksekutif dan Kehakiman yang mempunyai bidang kuasa masing-masing. Jadi, sebarang masalah politik harus diselesaikan melalui cara politik dan bukan melibatkan pihak istana.

Pilihan raya umum adalah saluran yang betul untuk parti-parti politik mendapatkan kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Pada hari pengundian, biar rakyat yang menentukan siapa yang mereka pilih untuk menjadi pemimpin.

Sebenarnya sudah banyak tuntutan pihak pembangkang telah dilaksanakan oleh SPR. Jika perjalanan pilihan raya tidak bersih, bagaimana pembangkang boleh menawan negeri Kelantan hingga sekarang? Ingat, apa yang berlaku di negara orang tidak semestinya elok untuk negara ini.

Jangan sekali-kali kita biar institusi raja dicemari dengan tindak-tanduk pihak yang sentiasa tidak puas hati dengan kerajaan. Jangan biar pihak istana dipandang rendah. Oleh itu, institusi raja jangan dikacau, apatah lagi melibatkannya dalam kancah politik.

Mengapa masyarakat Islam kekeringan idea?

BANYAK alasan yang dapat dikemukakan untuk menunjukkan mengapa kita memerlukan pemikiran lateral. Namun, sebelum dikemukakan sebarang alasan eloklah kita bertanya beberapa soalan. Antaranya, mengapa masyarakat kita menghadapi kelemahan sikap? Mengapa kita kurang motivasi? Mengapa sesetengah masyarakat kita masih bermentaliti subsidi, menanti disuap? Mengapa masyarakat Islam kekeringan idea?

Soalan-soalan ini mula ditanyakan oleh pelbagai pihak termasuk sarjana tempatan terutama apabila masyarakat Melayu/Islam sedang menghadapi krisis kelesuan pemikiran. Misalnya, Dr Siddiq Fadhil dalam eseinya "Umat Sekarang Muflis Idea" menyebut bahawa "Memang sudah lama umat kita kehilangan 'thinking capacity' atau kemampuan berfikir."

Akibat kemampuan berfikir secara kreatif dan inovatif, umat Islam sering mengambil jalan mudah, mengambil model penyelesaian dari luar terutama dari Barat...(Berita Minggu, 18 Oktober 1992). Pengakuan Dr. Siddiq ini jelas memperlihatkan bahawa memang terjadi kelesuan pemikiran dalam masyarakat kita.

Walaupun Dr. Siddiq hanya mengkritik cendekiawan yang menghadapi masalah berfikir, tetapi dipercayai kelesuan ini ikut dialami oleh masyarakat Melayu secara menyeluruh. Oleh kerana masalah ini semakin serius, maka diperlukan langkah segera mengatasinya.

Bagaimanapun, sebelum dibincangkan lebih lanjut mengenai langkah-langkah ini, ada baiknya dijelaskan terlebih dahulu bahawa ada individu dalam masyarakat yang berfikir. Tetapi yang mereka fikirkan ialah hal-hal yang mudah, untuk memenuhi kehendak harian.

Malah ada kalanya ada individu berfikir untuk kepentingan diri sendiri, bukan demi pejabat atau negara. Hal ini terjadi disebabkan banyak faktor persekitaran. Hal inilah yang menyebabkan individu tambah mempersempitkan pemikirannya. Ini adalah fenomena masyarakat kita yang perlu diatasi segera. Kita memilih pemikiran lateral iaitu satu cabang pemikiran kreatif sebagai landasan untuk masyarakat berfikir secara kreatif.

Ini kerana pemikiran ini ternyata mampu menghasilkan orang yang dapat menyelesaikan masalah secara kreatif dan idea baru dalam bidang pekerjaan. Hal ini bukan bererti jenis pemikiran kreatif seperti yang diajukan oleh Alex Osborn dalam bukunya: "Applied Imagination" dan "Arthur Koestler" dalam bukunya: "The Act of Creation" yang memperkenalkan pemikiran bisosiatif (bisosiative thinking) itu tidak berkesan dalam melatih kita berfikir secara kreatif; cuma pemikiran lateral memanfaatkan lelucon (humour), kreativiti dan provokasi.

Pemikiran lateral lebih menarik sebab ia adalah pengajaran berfikir yang cukup sistematik, tersusun dan mendalam. Sebab kedua, pemikiran lateral bertolak daripada pemahaman asas terhadap fungsi kedua-dua belah otak - kanan dan kiri. Mengikut ahli sains saraf dan ahli falsafah saraf, kedua-dua belah otak ini mempunyai tugas masing-masing - otak kiri untuk pemikiran logik, sementara otak kanan untuk pemikiran kreatif (lateral, bisosiatif dan sebagainya).

Kekuatan berfikir seseorang dapat diukur daripada usaha memaksimumkan tenaga mental. Seseorang yang berusaha berfikir secara serius dan tajam yakni dapat menganalisis sesuatu perkara dengan baik, mendalam, sistematik dan radikal dapat dianggap memaksimumkan tenaga mental otak kirinya.

Sementara seseorang yang dapat berfikir secara kreatif (dapat berimaginasi, berfantasi dan merenung) dapat dianggap memaksimumkan tenaga otak kanan. Selanjutnya orang yang dapat berfikir secara logikal, mendalam, sistematik dan radikal dan dapat berfikir secara kreatif dianggap memaksimumkan kedua-dua otak kiri dan otak kanannya.

Ini adalah tahap yang paling ideal, tetapi usaha ke arah itu bukanlah mustahil. Bagaimanapun sebelum dimaksimumkan tenaga mental kedua-dua belah otak itu, harus dikenal pasti terlebih dahulu halangan yang ada dalam fikiran (terutama dalam persepsi dan kesedaran manusia sehingga menyebabkan orang tidak mahu berubah, tidak mahu menerima idea baru dan masih bahagia berada di takuk lama.

Mengapakah orang tidak mahu berubah? Jawapan malah kesimpulannya dapat kita peroleh di dalam buku Edward de Bono, pencipta pemikiran lateral iaitu I' Am RightYou Are Wrong. De Bono menganggap orang yang tidak mahu berubah, dalam erti kata tidak mahu akan pembaharuan idea dan idea baru, sebagai "rocklogic" (logik batu).

Di antara ciri orang yang bersifat logik batu ialah orang ini suka berhujah, berdebat dengan tujuan semata-mata untuk menghalang dan membunuh idea atau cadangan. Orang yang seperti ini hanya menganggap dirinya benar, orang lain sentiasa salah.

Orang yang bersifat logik batu senantiasa berada di sekeliling kita. Di tangan merekalah terbunuhnya idea-idea kreatif. Mereka termasuklah ketua jabatan yang menggunakan kuasa untuk membunuh idea yang baik daripada orang bawahan, sarjana, intelektual yang ego dan sombong yang mempertahankan idea masing-masing sehingga sanggup membunuh idea orang lain.

Mereka ini orang yang berpandangan sempit, melihat sesuatu dari pandangan sebelah mata. Mereka lupa separuh benar bukanlah kebenaran mutlak. Mereka ini anti intelektual, anti idea. Mereka di antara kalangan yang ikut melembabkan masyarakat. Akibatnya, masyarakat pasif, beku dan tidak mampu bersaing.

Tembok halangan idea inilah yang kita perlu robohkan. Inilah syarat yang harus dipenuhi terlebih dahulu untuk membolehkan orang berfikir secara lateral. Jika syarat ini tidak dapat dipenuhi dengan ikhlas, agak sukar untuk kita berfikir secara lateral. Oleh itu kita perlu waspada terhadap persoalan ini.

Untuk memahami pemikiran lateral, ada perkara yang perlu diperhatikan.
* Kita harus ada masalah yang perlu diselesaikan secara kreatif.
* Kita ingin mencipta idea baru atau memperbaharui idea lama.
* Kita harus membezakan pemikiran logik daripada pemikiran lateral, dan
* Kita harus mengamalkan kaedah berfikir secara lateral.

Istilah pemikiran lateral dicipta oleh Dr. Edward de Bono, Rhodes Scholar, Christ Church, Oxford. Istilah ini dimasukkan dalam Oxford English Dictionary yang memberi takrif (edisi kedua, 1989), pemikiran lateral ialah "cara pemikiran yang mencari penjelasan terhadap masalah rumit melalui cara yang tidak akan dipedulikan oleh pemikiran logik".

Makna pemikiran lateral ini memadai untuk menerangkan serba sedikit pemikiran ini, terutama pada peringkat awal pemikiran lateral ini diciptakan. Tetapi perkembangan selanjutnya terutama apabila konsep pemikiran lateral dilihat daripada pelbagai dimensi, maka makna awal pemikiran lateral ini agak kurang sesuai lagi, terutama apabila terjadi perkembangan dalam pemikiran de Bono sendiri. Beliau bukan sahaja memberi perhatian kepada masalah, malah kepada penciptaan idea-idea baru.

Perkembangan idea pemikiran lateral ini bermula daripada bukunya; The Mechanism of Mind, (1969) hinggalah kepada bukunya yang terbaru; Superstition (1991) dan Six Action Shoes (1991). Nampaknya kecenderungan Edward de Bono kini ialah kepada penciptaan idea baru.

Di peringkat awal pemikiran lateral memperlihatkan kecenderungan de Bono membincangkan soal-soal pola berfikir dalam otak kanan dan otak kiri. Kecenderungan ini bagi beliau cukup penting kerana otak adalah sumber sistem pemprosesan maklumat. Dua halyang sering dibicarakan oleh de Bono ialah persepsi dan pola (pattern) seperti dalam The Mechanism of Mind.

Menurut de Bono, kita berfikir mengikut persepsi dan pola berfikir yang ditentukan oleh pandangan dunia(world view) kita. Biasanya persepsi dan pola berfikir ini mendarah daging dalam diri kita. Ia menjadi pandangan dan amalan yang tidak dapat diubah sehingga menebal dan menjadi batu. Hanya air yang dapat memecahkan batu, tetapi prosesnya agak lambat.

Jadi tidak ada jalan lain melainkan menunjukkan teladan mengenai keberkesanan kepentingan dan manfaat pemikiran lateral. Memang dapat dibayangkan usaha untuk menerapkan pemikiran lateral akan berdepan dengan masalah pada peringkat awalnya. Tetapi jika usaha mendedahkan masyarakat dilakukan dengan tekun, Insya-Allah akan berhasil juga akhirnya.

Berbeza daripada kaedah berfikir logik yang sering menekankan pemikiran berbentuk analisis dan mendalam, ibarat menggali sebuah lubang dengan lebih mendalam. Kaedah berfikir lateral menekankan usaha mendapatkan seberapa banyak idea baru yang mungkin (termasuk idea logik), melalui apa cara sekalipun sehingga melalui cara yang tidak logik, ibarat menggalikan lubang pada tempat-tempat yang berbeza.

Ibarat seperti ini mudah kerana walau kita berfikir logik, kita hanya berfikir satu lorong, tetapi berfikir lateral menemukan kita dengan banyak lorong, malah lorong yang berbeza. Oleh yang demikian dikatakan, berfikir logik itu sempit kerana ia membabitkan satu lorong, sebaliknya berfikir secara lateral itu luas kerana ia membabitkan banyak lorong, malah lorong yang berbeza.

Oleh demikian, dalam keadaan tertentu, terpaksa kita menerima pemikiran lateral. Hal ini tidak bererti kita menolak pemikiran logik secara menyeluruh. Sebaliknya, bagi de Bono, pemikiran logik dan lateral saling memerlukan. Tegasnya yang satu tidak akan tegak tanpa sokongan yang lain. Kebiasaan kita menyelesaikan masalah melalui berfikir secara logik.

Bagi sesetengah orang, hanya pemikiran logik satu-satunya wahana penyelesai masalah. Mereka lupa akan hakikat bahawa ada dimensi lain yang dapat diterokai (termasuk dimensi yang tidak logik) untuk menyelesaikan masalah,untuk mencadangkan idea dan mencipta idea baru. Dimensi ini ialah pemikiran lateral.

Pemikiran lateral juga disebut pemikiran menyamping. Ia disebut 'pemikiran menyamping' kerana segala yang dikeluarkan melalui kaedah ini kadang kala menyamping dari pemikiran logik, malah ada kalanya tidak logik. Memang ada banyak kaedah dalam pemikiran lateral ini. Kaedah-kaedah ini ada dalam buku khususnya membincangkan pemikiran lateral iaitu; Lateral Thinking, New Think (The Use of Lateral Thinking) PO: Beyond Yes and No, Six Thinking Hat, Six Action Shoes dan sebagainya.

Antara kaedah yang dipetik daripada 'Thingking Course' karya Edward de Bono ialah, kaedah PO; Kaedah batu loncatan dan Kaedah Pelarian (escapemethod). PO ialah wahana untuk mengeluarkan idea dalam fikiran kita. Edward de Bono mencipta istilah PO berdasarkan kata 'hypothesis', 'possible','suppose' dan 'poetry'.

Dengan 'hypothesis' kita mengemukakan idea yang boleh dibuktikan untuk memberikan kita asas melakukan percubaan. Dengan'possible' kita mencadangkan sesuatu yang belum diwujudkan di masa depan. Dengan 'suppose' kita membentuk situasi khayalan untuk melihat kesannya.

Dengan 'poetry', kita menggabungkan kata dan cipta untuk menghasilkan kesan yang hanya muncul selepas ia digabungkan dengan citra. Oleh itu PO dapat dikatakan sebagai wahana provokatif yang dapat mencetuskan idea baru dan kadangkala menyimpang daripada logik.

Menurut Edward de Bono, PO diperlukan sebagai sistem pergerakan iaitu menggerakkan idea dari otak, bukan sebagai sistem untuk memahami idea yang dihasilkan. Sebagai kesimpulannya, PO adalah suatu alat memprovokasi idea.

Sementara itu, menurut de Bono, Kaedah Batu Loncatan ialah mementingkan penggunaan kata PO sebagai nilai pergerakan batu loncatan untuk menyenangkan kita berpindah dari pola berfikir kepada pola berfikir yang lain. Edward de Bono memberi contoh bagaimana menggunakan PO bagi kaedah batu loncatan itu.

Misalnya, apabila kita memikirkan masalah pencemaran air sungai kerana ada kilang di sepanjang sungai. Lebih jauh kita menghiliri sungai, kita mendapati lebih banyak air sungai tercemar. Provokasi untuk masalah air ialah "PO kilang harus didirikan di hulu sungai". Idea ini sekali pandang tidak logik. Tetapi "nilai pergerakannya" begitu cepat membawakan kita kepada idea yang dilaksanakan di beberapa buah negara.

Nilai pergerakan ini dapat diperolehi dalam pelbagai cara: Dengan menghasilkan prinsip idea, dengan memberi fokus kepada idea yang berbeza daripada idea biasa dan dengan memberi penekanan kepada aspek yang positif. Kaedah Pelarian pula menggerakkan kita supaya mengenal pasti fokus utama idea kita dan kemudian lari daripada keutamaan idea ini.

Untuk memperolehinya ialah dengan mencari cara alternatif untuk mencari hasil yang sama. Contohnya ialah bagaimana kita dapat "melarikan" idea mengenai mesyuarat yang terlalu kerap diadakan dan membabitkan kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang.

Fikiran kita selalu "tidak kisah" dengan keadaan mesyuarat yang memerlukan kos yang tinggi. Tetapi kalau kita hendak menjimatkan kos mesyuarat, kita hendaklah "PO" mesyuarat terus menjimatkan belanja. PO ini akan menjadi suatu pelarian yang membawa idea "menutup lampu ketika mesyuarat" atau "menutup hawa dingin semasa mesyuarat".

Idea ini mungkin tidak logik tetapi dapat membawa kita bersedia untuk menamatkan mesyuarat sependek mungkin dengan kesan yang hampir sama. Kuasa pemikiran lateral dapat dikaitkan dengan perubahan.

Apakah pemikiran lateral berkuasa mengubah sikap dan pemikiran manusia? Oleh kerana kuasa pemikiran lateral dikaitkan pula dengan penerimaan seseorang terhadap idea perubahan, jika seseorang masih mengamalkan logik batu, dan kita tidak nampak tanda-tanda dia ingin berubah kepada logik air, maka ternyata pemikiran lateral tidak berkuasa.

Jika terjadi hal sebaliknya maka pemikiran lateral tentu berkuasa. Pendeknya penerimaan idea perubahan haruslah secara ikhlas dan berterus terang tanpa paksaan.

Terkini Hari Ini

Pertumbuhan ekonomi menurun separuh kedua
KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menurun menjelang separuh kedua tahun ini, berikutan kesan langsung kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah Eksekutifnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Karim berkata, MIER mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 5.4 peratus yang disasarkan sebelum ini sehingga terdapat kesan kukuh bahawa ekonomi negara semakin hilang momentum.

"Pertumbuhan ekonomi dijangka masih kukuh pada separuh pertama tetapi keadaan diramal akan merosot pada separuh kedua.

"Kebimbangan ketidaktentuan dalam ekonomi AS semakin mendalam dan setakat ini tiada seorang pun yang tahu bila ia akan berakhir,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Taklimat Ekonomi Korporat ke-13.



Pertumbuhan KDNK tahun ini jangka merosot

Mei lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengumumkan pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini dijangka merosot antara lima hingga enam peratus berbanding 6.3 pada tahun 2007.

Bagaimanapun, pada masa sama ekonomi negara dijangka melonjak kembali dengan anggaran pertumbuhan 5.7 peratus sejajar dengan pemulihan ekonomi global pada tahun 2009.
Apabila ekonomi global semakin stabil, ekonomi Malaysia mempunyai potensi untuk terus berkembang pada landasannya.

Walaupun ekonomi global tidak menentu pada tahun ini, tetapi ekonomi Malaysia masih mampu bertahan berikutan pengukuhan perbelanjaan awam.



Harga barangan makanan terus naik

Sehubungan itu, harga barangan makanan dijangka terus meningkat dan Malaysia bakal berhadapan dengan kenaikan kadar inflasi.

Tekanan harga dijangka berterusan dengan kenaikan harga global bagi hasil pengeluaran pertanian dan kenaikan harga minyak dunia.

Kadar inflasi negara pada Februari meningkat kepada 2.7 peratus berbanding 2.3 peratus pada Januari berikutan kenaikan tinggi harga barangan.

Bank Negara Malaysia meramalkan kadar inflasi negara pada tahun ini naik antara 2.5 peratus hingga tiga peratus berbanding dua peratus pada 2007.



Kerajaan tiada kuasa kawal harga beras import

PUTRAJAYA - Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga beras import di pasaran tempatan menyebabkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu termasuk menaikkan harganya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui kenaikan itu berkata, pada masa ini negara mengimport 700,000 tan metrik beras setahun.

Kata beliau, meskipun Bernas memonopoli pengimportan beras khususnya dari Vietnam dan Thailand namun penetapan harganya masih di bawah kawalan negara pengeluar.

"Beras import kebanyakannya dari Vietnam dan Siam (Thailand)... sekitar 700,000 tan metrik setahun dan ia (harga) sukar dikawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pelan untuk membendung kenaikan harga beras di seluruh negara yang mencatatkan peningkatan mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak Ahad lalu, dipercayai berpunca daripada peningkatan harga beras global.

Tinjauan mendapati beras Super Special 5% Tempatan jenama Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.

Pemantauan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati ia berlaku di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad pada sidang akhbar di sini berkata, kerajaan hanya mengawal harga beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur.

‘‘Pihak penguat kuasa kementerian saya telah membuat siasatan dan pemeriksaan di seluruh negara dan mengesahkan memang berlaku kenaikan harga beras.

"Tetapi tindakan tidak boleh diambil kerana ia melibatkan beras import.

"Ia bukan barang kawalan tetapi jika berlaku kenaikan harga beras tempatan, orang ramai diminta buat laporan segera," katanya.

Ditanya sama ada bekalan beras mencukupi untuk rakyat dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan suasana panik, beliau berkata: ‘‘Insya-Allah, insya-Allah."

Beliau bagaimanapun yakin kenaikan harga beras import hanya akan mendorong permintaan orang ramai terhadap beras tempatan sehingga boleh mencapai 50 peratus berbanding 30 peratus sekarang.

Harga beras dunia kini berada pada paras AS$$780 (RM2,464) setan metrik berbanding AS$360 (RM1,137) setan metrik pada akhir tahun lalu.

Harga tersebut dijangka meningkat antara AS$1,000 (RM3,160) hingga AS$1,200 (RM3,792) setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan dan masalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa singkat.

Ahad lalu, Mustapa berkata, kerajaan akan menambah stok beras negara yang kini sebanyak 600,000 tan metrik kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja.



Belanja mewah: BPR mula siasat yayasan sukan wanita

PUTRAJAYA 16 April - Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memulakan siasatan berhubung pendedahan perbelanjaan mewah oleh Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM) seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Kita sudah hantar pegawai untuk siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kota Kinabalu di sini hari ini.

Akhbar The Sun antara lain mempersoalkan perbelanjaan WSFFM yang memperoleh geran tahunan daripada kerajaan bagi tujuan hiburan dan acara yang mencecah RM1.4 juta.

Perbelanjaan lain WSFFM ialah pelancongan dan pengangkutan sebanyak RM858,000, pengiklanan dan media RM932,000 serta percetakan dan alat tulis RM710,000.

Peruntukan tahunan kepada yayasan diberikan semasa Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Pengerusi WSFFM menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif WSFFM, Dr. S. S. Hamala berkata, Azalina tiada kaitan langsung dengan pengurusan perbelanjaan itu.

Tegasnya, Azalina tidak ambil satu sen pun daripada peruntukan itu.

Jelasnya, terdapat satu jawatankuasa induk khas yang menapis tender dan mengaudit akaun yayasan.

"Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 29 Januari lalu, sebanyak 196 ahli telah bersetuju dengan penggunaan wang tersebut selepas penjelasan diberikan oleh ahli jawatankuasa itu.

"Mereka yang tidak menghadirinya pasti musykil bagaimana wang itu digunakan. Malangnya, wartawan yang menulis artikel itu tidak pernah menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan," jelasnya.

Rabu, 16 April 2008

RENUNGAN 2008:-

Jika perlu MARAH, marahlah... tetapi usah terlupa dengan perkataan SABAR.

Jika perlu MENANGIS, menangislah... tetapi usah terlupa dengan perkataan TENANG.

Jika perlu PATUH, patuhlah... tetapi jangan sampai hilang KEMERDEKAAN .

Isnin, 14 April 2008

Abdullah umum tanding jawatan Presiden

14/04/2008 5:05pm
KUALA LUMPUR 14 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan UMNO Disember ini.
Mengenai pelan peralihan kuasa, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan bila ia akan dilaksanakan.

Ahad, 13 April 2008

UMNO-PERALIHAN

PELAN PERALIHAN KUASA MAMPU PULIH SOKONGAN TERHADAP UMNO DAN K'JAAN
Pelan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak perlu disegerakan pelaksanaannya secara tersusun dan teratur untuk memastikan rakyat tidak tertanya-tanya mengenainya, kata Ketua Penerangan Umno Johor, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, pelan peralihan kuasa daripada seorang pemimpin kepada pemimpin yang lain telah dilaksanakan oleh Umno sebelum ini, seperti peralihan kuasa daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj kepada Allahyarham Tun Abdul Razak dan ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah.
"Umno Johor pada perjumpaan dengan Abdullah Jumaat lalu meminta Perdana Menteri menyediakan pelan peralihan kuasa.
"Ia merupakan sesuatu yang perlu dilaksanakan. Ada juga ketua bahagian yang mahukan pelan itu dilaksanakan dengan segera," katanya.
Kesemua 26 Ketua Umno Bahagian di Johor, kecuali Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong menghadiri perjumpaan dengan Perdana Menteri pada Jumaat lepas yang diadakan secara tertutup.

Umno akan hanyut jika tidak dilakukan perubahan segera: Muhyiddin

Umno akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, sekiranya perubahan itu tidak dilakukan segera, Umno juga akan hilang kuasa dan tidak akan bangkit selama-lamanya.
Muhyiddin berkata, pilihan raya umum ke12 jelas memperlihatkan perasaan tidak senang hati rakyat terhadap kepimpinan parti dan kini pelbagai pihak dari dalam dan luar parti memperkatakan soal kepimpinan Umno yang dikaitkan dengan masalah keluarga dan sistem yang diamalkan.
"Justeru, saya bimbang jika tidak ada satu perubahan berlaku sepertimana yang dituntut oleh bukan sahaja anggota Umno, malahan oleh orang luar Umno, rakyat akan terus tolak Barisan Nasional (BN) dan Umno.
"Saya fikir ada perasaan membuak-buak di peringkat bawah, iaitu perasaan tidak puas hati yang ketara. Oleh itu kalau tidak berlaku perubahan dalam Umno maka banyak perkara tidak baik akan terjadi.
"Justeru saya takut jika saya tidak bercakap dengan benar ia akhirnya boleh membawa bencana kepada orang Melayu dan Umno," katanya dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia, Ahad.
Muhyiddin berkata, pilihan raya umum ke-12 juga memperlihatkan dominasi politik Melayu menerusi Umno yang dulunya agak sukar ditandingi dan dianggap sudah berlaku sekian lama sejak merdeka seolah-olah sudah menjadi mitos.
"Oleh itu kita fikir tidak boleh kalah, tetapi hari ini ramai pemimpin Umno yang berada di lima negeri yang dikuasai pembangkang tidak menyangka akan kehilangan kuasa.
"Sebab itu bagi saya ini adalah pengajaran yang amat getir dan tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Muhyiddin berkata, persoalannya sekarang sejauh mana Umno boleh bertahan dalam menghadapi gelombang pemikiran politik baru di Malaysia dan lebih penting sejauh mana kuasa politik Melayu boleh bertahan dalam tempoh yang mendatang.
"Dalam tempoh sepenggal sebelum pilihan raya umum ke13, bolehkah Umno ‘survive’ dan mampukah ia menebus semula kekalahan dalam kita menentang arus gelombang pemikiran politik baru ini atau kita akan terus terjunam ke dalam gaung politik yang tidak boleh kita bangkit lagi," katanya.
Muhyiddin berkata, mungkin ramai yang tidak sedar perkara ini dan masih ada dalam kalangan orang Umno yang menganggap ini hanya "set back" biasa dan mereka tidak fikir ini sebenarnya satu fenomena yang berkekalan.
"Kini bukan sahaja BN kurang majoriti malahan tidak boleh mempertahankan majoriti dua pertiga dan kalah banyak di negeri. Ini fenomena yang harus menyedarkan orang Melayu khususnya tentang apa yang boleh berlaku dan apakah trend politik seperti ini akan kekal atau ia menjadi lebih teruk atau bertambah baik.
"Bagi tujuan mengkondisikan pemikiran kita, elok kita ambil pendekatan senario yang terburuk. Maknanya kalau kita tidak mengambil satu langkah dengan segera kita boleh hanyut.
"Saya pernah sebutkan bahawa kuasa politik akan hilang daripada tangan kita, dan Umno mungkin tidak akan bangkit selama-lamanya," kata Muhyiddin. BERNAMA