Jumaat, 11 April 2008

Gandum dan mi...naik jangan tak naik

Dua tanda terima kasih kerajaan kepada rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008:-

Pertama, kerajaan membisu ketika Persatuan Pengilang-Pengilang Tepung Malaysia mengumumkan kenaikan harga tepung gandum berprotein tinggi dan sederhana sehingga RM10 bagi setiap 25 kilogram. Maknanya sekarang seguni tepung bagi sukatan 25 kilogram boleh dibeli dengan harga RM62.15 berbanding RM52.15 sebelum ini.

Kedua, kerajaan masih juga membisu ketika Persatuan Peniaga-peniaga Roti, Biskut, Manisan dan Mi Malaysia menaikkan harga mi kuning dari 20 sen hingga 70 sekilogram. Kenaikan mi kuning itu kononnya disebabkan bahan asas untuk memproses mi telah naik harga menyebabkan pengusaha mi tidak boleh memproses mi kalau harga mi kuning tidak dinaikkan.

'Kuat' jugalah alasan persatuan itu untuk menaikkan harga tepung gandum dan mi kuning sehingga kerajaan sehingga kini pun belum tampil membuat sebarang kenyataan sama ada membantah atau bersetuju dengan tindakan persatuan itu.

Ke mana agaknya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad ketika ini? Masih seronok 'berhoneymoon' lagikah dia? Atau apa yang berlaku di luar sana itu belum sampai kepengetahuannya lagi?

Alangkah malangnya rakyat. Baru 12 hari selesai memilih kerajaan, tiba-tiba mereka dihadiahkan dengan kenaikan harga tepung. Bagaimanapun, 21 hari kemudian iaitu selepas 20 Mac, rakyat sekali lagi menerima ucapan 'terima kasih' daripada kerajaan dengan menghadiahkan kenaikan harga mi kuning.

Tentu pengusaha dan peniaga mi kuning akan tersenyum lebar dalam usahanya mengaut keuntungan kerana tiada sebarang halangan pun diterimanya daripada kerajaan. Mereka boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga roti canai dan semua jenis roti serta kek. Begitu juga menaikkan harga mi goreng, mi lakna, mi rebus, mi kari dan semua jenis masakan berasaskan mi.

Rakyat 'tertanya-tanya', takkan dua bahan itu saja yang naik tahun ni?

Jawabnya, "jangan risau", selepas ini harga beras pula akan menyusul. Kemudian akan diikuti telur ayam, telur itik, telur angsa, telur serati, lobak, kubis, cili, ulam-ulaman, ikan, sotong, ketam, bawang merah bawang putih, bawang besar, halia, lengkuas, kunyit, kicap, budu, cuka, garam dan macam-macam jenis lagi.

Ikan darat pun ada ura-ura akan naik. Inilah yang terkandung dalam 'manifesto' kerajaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat selepas rakyat memberi mandat kepada mereka melalui pilihan raya umum lalu.

Ke mana perginya pemimpin-pemimpin berjiwa rakyat? Adakah mereka hanya mempunyai jiwa rakyat ketika musim pilihan raya? Kemudian selepas pilihan raya, mereka bukan lagi ada jiwa rakyat?

Jangan kita yang bergaji RM5,000 ke atas dan mempunyai dua atau tiga tanggungan menganggap kenaikan harga bahan asas itu tidak ada kesan. Kita harus memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh golongan berpendapatan RM1,000 ke bawah yang mempunyai lima hingga 12 tanggungan.

Renung-renung dan fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran