Jumaat, 25 April 2008

Keris: Hishamuddin akui silap


Isu menjulang keris Panca Warisan oleh Pemuda UMNO yang dikatakan menjadi salah satu faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, menyaksikan Ketua Pemuda BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.
Kepada orang Melayu, Hishamuddin memohon maaf kerana tidak dapat mempertahankan keris Panca Warisan sebagai simbol ketuanan Melayu dan kepada bukan Melayu pula beliau memohon maaf kerana isu keris berkenaan telah disalah erti sehingga menimbulkan ketakutan kepada mereka.
"Secara ikhlas banyak perkara yang boleh menjadi sebahagian daripada punca kemerosotoan kita dalam beberapa negeri. Termasuk juga soal keris Panca Warisan ia telah dibincang secara telus.
"Saya beritahu kepada mereka, saya sendiri akan bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan dan sekiranya ia menjejaskan prestasi kita, saya tidak boleh lari daripada realiti dan kalau itu boleh menjejaksan sesiapa, saya minta maaf kepada kaum bukan Melayu dan kepada orang Melayu juga.
"Kepada bukan Melayu (saya minta maaf) kerana mereka merasakan takut dengan sesuatu simbol yang itu bukan niat saya. Orang Melayu saya minta maaf kerana tidak dapat pertahan simbol warisan kita yang sebenarnya nilainya tidak seperti apa yang digembar-gemburkan. "Tetapi kalau realitinya seperti itu saya bukan seorang yang angkuh yang tidak boleh terima hakikat itu dan ini merupakan pengajaran sedih, tetapi kalau politik hari ini sebegitu rupa, kita sebagai pemimpin mestilah mempunyai jiwa besar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan PWTC Kuala Lumpur petang Jumaat selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN.
Mesyuarat berkenaan adalah yang pertama diadakan oleh Pemuda BN selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu.
Prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lalu turut dikaitkan dengan isu keris Panca Warisan yang secara tradisinya diarak dan dijulang oleh Ketua Pemuda UMNO semasa perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia.
Menurut Hishamuddin, isu keris Panca Warisan itu telah digembar gemburkan menjadi politik persepsi dan sebarang usaha untuk menjelaskan perkara berkenaan tidak membawa makna apa-apa.
"Ia digembar-gemburkan oleh politik persepsi. Saya nak terang macam mana pun kalau itu merupakan persepsi yang diwujudkan saya rasa ia tidak akan membawa manfaat kepada perjuangan kita," ujarnya.
Menjawab satu soalan, beliau menjelaskan, bagi dirinya dan Pemuda, keris memang mempunyai makna yang besar dalam perjuangan orang Melayu.
Namun jelasnya, jika sesuatu yang diperjuangkan itu jelas ditolak, ia tidak akan membawa erti apa-apa.
"Bagi saya dan Pemuda, keris memang ada maknanya, tetapi kalau kita nak perjuangkan sesuatu, di mana ditolak kadang-kadang oleh pemimpin UMNO itu sendiri … ia digembar- gemburkan oleh politik persepsi.
"Saya nak terang macam mana pun kalau itu merupakan persepsi yang diwujudkan saya rasa ia tidak akan membawa manfaat kepada perjuangan kita," ujar beliau.
Ditanya adakah ini bermakna Pemuda UMNO tidak akan lagi menjulang keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agungnnya Disember ini, Hishamuddin menjelaskan, mesyuarat hari ini bukanlah platform untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan.
Hishamuddin juga mengulangi bertanggungjawab sebagai Ketua Pemuda terhadap isu berkenaan dan jika diberi pilihan antara kepentingan atau parti, beliau akan mengutamakan kepentingan parti yang perlu dipertahankan. – 25/4/2008

Tiada ulasan: