Umno akan hanyut dan tidak boleh bangkit lagi sekiranya tidak dilakukan perubahan segera terhadap pucuk pimpinan parti, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, sekiranya perubahan itu tidak dilakukan segera, Umno juga akan hilang kuasa dan tidak akan bangkit selama-lamanya.
Muhyiddin berkata, pilihan raya umum ke12 jelas memperlihatkan perasaan tidak senang hati rakyat terhadap kepimpinan parti dan kini pelbagai pihak dari dalam dan luar parti memperkatakan soal kepimpinan Umno yang dikaitkan dengan masalah keluarga dan sistem yang diamalkan.
"Justeru, saya bimbang jika tidak ada satu perubahan berlaku sepertimana yang dituntut oleh bukan sahaja anggota Umno, malahan oleh orang luar Umno, rakyat akan terus tolak Barisan Nasional (BN) dan Umno.
"Saya fikir ada perasaan membuak-buak di peringkat bawah, iaitu perasaan tidak puas hati yang ketara. Oleh itu kalau tidak berlaku perubahan dalam Umno maka banyak perkara tidak baik akan terjadi.
"Justeru saya takut jika saya tidak bercakap dengan benar ia akhirnya boleh membawa bencana kepada orang Melayu dan Umno," katanya dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia, Ahad.
Muhyiddin berkata, pilihan raya umum ke-12 juga memperlihatkan dominasi politik Melayu menerusi Umno yang dulunya agak sukar ditandingi dan dianggap sudah berlaku sekian lama sejak merdeka seolah-olah sudah menjadi mitos.
"Oleh itu kita fikir tidak boleh kalah, tetapi hari ini ramai pemimpin Umno yang berada di lima negeri yang dikuasai pembangkang tidak menyangka akan kehilangan kuasa.
"Sebab itu bagi saya ini adalah pengajaran yang amat getir dan tidak boleh dipandang ringan," katanya.
Muhyiddin berkata, persoalannya sekarang sejauh mana Umno boleh bertahan dalam menghadapi gelombang pemikiran politik baru di Malaysia dan lebih penting sejauh mana kuasa politik Melayu boleh bertahan dalam tempoh yang mendatang.
"Dalam tempoh sepenggal sebelum pilihan raya umum ke13, bolehkah Umno ‘survive’ dan mampukah ia menebus semula kekalahan dalam kita menentang arus gelombang pemikiran politik baru ini atau kita akan terus terjunam ke dalam gaung politik yang tidak boleh kita bangkit lagi," katanya.
Muhyiddin berkata, mungkin ramai yang tidak sedar perkara ini dan masih ada dalam kalangan orang Umno yang menganggap ini hanya "set back" biasa dan mereka tidak fikir ini sebenarnya satu fenomena yang berkekalan.
"Kini bukan sahaja BN kurang majoriti malahan tidak boleh mempertahankan majoriti dua pertiga dan kalah banyak di negeri. Ini fenomena yang harus menyedarkan orang Melayu khususnya tentang apa yang boleh berlaku dan apakah trend politik seperti ini akan kekal atau ia menjadi lebih teruk atau bertambah baik.
"Bagi tujuan mengkondisikan pemikiran kita, elok kita ambil pendekatan senario yang terburuk. Maknanya kalau kita tidak mengambil satu langkah dengan segera kita boleh hanyut.
"Saya pernah sebutkan bahawa kuasa politik akan hilang daripada tangan kita, dan Umno mungkin tidak akan bangkit selama-lamanya," kata Muhyiddin. BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan