Pertumbuhan ekonomi menurun separuh kedua
KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menurun menjelang separuh kedua tahun ini, berikutan kesan langsung kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Pengarah Eksekutifnya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Karim berkata, MIER mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 5.4 peratus yang disasarkan sebelum ini sehingga terdapat kesan kukuh bahawa ekonomi negara semakin hilang momentum.
"Pertumbuhan ekonomi dijangka masih kukuh pada separuh pertama tetapi keadaan diramal akan merosot pada separuh kedua.
"Kebimbangan ketidaktentuan dalam ekonomi AS semakin mendalam dan setakat ini tiada seorang pun yang tahu bila ia akan berakhir,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Taklimat Ekonomi Korporat ke-13.
Pertumbuhan KDNK tahun ini jangka merosot
Mei lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengumumkan pertumbuhan KDNK negara pada tahun ini dijangka merosot antara lima hingga enam peratus berbanding 6.3 pada tahun 2007.
Bagaimanapun, pada masa sama ekonomi negara dijangka melonjak kembali dengan anggaran pertumbuhan 5.7 peratus sejajar dengan pemulihan ekonomi global pada tahun 2009.
Apabila ekonomi global semakin stabil, ekonomi Malaysia mempunyai potensi untuk terus berkembang pada landasannya.
Walaupun ekonomi global tidak menentu pada tahun ini, tetapi ekonomi Malaysia masih mampu bertahan berikutan pengukuhan perbelanjaan awam.
Harga barangan makanan terus naik
Sehubungan itu, harga barangan makanan dijangka terus meningkat dan Malaysia bakal berhadapan dengan kenaikan kadar inflasi.
Tekanan harga dijangka berterusan dengan kenaikan harga global bagi hasil pengeluaran pertanian dan kenaikan harga minyak dunia.
Kadar inflasi negara pada Februari meningkat kepada 2.7 peratus berbanding 2.3 peratus pada Januari berikutan kenaikan tinggi harga barangan.
Bank Negara Malaysia meramalkan kadar inflasi negara pada tahun ini naik antara 2.5 peratus hingga tiga peratus berbanding dua peratus pada 2007.
Kerajaan tiada kuasa kawal harga beras import
PUTRAJAYA - Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga beras import di pasaran tempatan menyebabkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu termasuk menaikkan harganya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui kenaikan itu berkata, pada masa ini negara mengimport 700,000 tan metrik beras setahun.
Kata beliau, meskipun Bernas memonopoli pengimportan beras khususnya dari Vietnam dan Thailand namun penetapan harganya masih di bawah kawalan negara pengeluar.
"Beras import kebanyakannya dari Vietnam dan Siam (Thailand)... sekitar 700,000 tan metrik setahun dan ia (harga) sukar dikawal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pelan untuk membendung kenaikan harga beras di seluruh negara yang mencatatkan peningkatan mendadak antara 10 peratus hingga 20 peratus sejak Ahad lalu, dipercayai berpunca daripada peningkatan harga beras global.
Tinjauan mendapati beras Super Special 5% Tempatan jenama Jasmine naik antara RM3 hingga RM4 sekampit dengan harga terbaru RM15.90 bagi kampit 5 kilogram berbanding RM12.90 sebelum ini dan RM28.80 bagi kampit 10 kilogram berbanding RM24.80.
Pemantauan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati ia berlaku di kawasan bandar di seluruh negara termasuk di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad pada sidang akhbar di sini berkata, kerajaan hanya mengawal harga beras tempatan yang mengandungi 15 peratus beras hancur.
‘‘Pihak penguat kuasa kementerian saya telah membuat siasatan dan pemeriksaan di seluruh negara dan mengesahkan memang berlaku kenaikan harga beras.
"Tetapi tindakan tidak boleh diambil kerana ia melibatkan beras import.
"Ia bukan barang kawalan tetapi jika berlaku kenaikan harga beras tempatan, orang ramai diminta buat laporan segera," katanya.
Ditanya sama ada bekalan beras mencukupi untuk rakyat dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan suasana panik, beliau berkata: ‘‘Insya-Allah, insya-Allah."
Beliau bagaimanapun yakin kenaikan harga beras import hanya akan mendorong permintaan orang ramai terhadap beras tempatan sehingga boleh mencapai 50 peratus berbanding 30 peratus sekarang.
Harga beras dunia kini berada pada paras AS$$780 (RM2,464) setan metrik berbanding AS$360 (RM1,137) setan metrik pada akhir tahun lalu.
Harga tersebut dijangka meningkat antara AS$1,000 (RM3,160) hingga AS$1,200 (RM3,792) setan metrik dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kesukaran memenuhi permintaan dan masalah untuk meningkatkan pengeluaran dalam masa singkat.
Ahad lalu, Mustapa berkata, kerajaan akan menambah stok beras negara yang kini sebanyak 600,000 tan metrik kerana ia hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan sahaja.
Belanja mewah: BPR mula siasat yayasan sukan wanita
PUTRAJAYA 16 April - Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memulakan siasatan berhubung pendedahan perbelanjaan mewah oleh Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM) seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menyiasat dakwaan tersebut.
"Kita sudah hantar pegawai untuk siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kota Kinabalu di sini hari ini.
Akhbar The Sun antara lain mempersoalkan perbelanjaan WSFFM yang memperoleh geran tahunan daripada kerajaan bagi tujuan hiburan dan acara yang mencecah RM1.4 juta.
Perbelanjaan lain WSFFM ialah pelancongan dan pengangkutan sebanyak RM858,000, pengiklanan dan media RM932,000 serta percetakan dan alat tulis RM710,000.
Peruntukan tahunan kepada yayasan diberikan semasa Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Pengerusi WSFFM menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif WSFFM, Dr. S. S. Hamala berkata, Azalina tiada kaitan langsung dengan pengurusan perbelanjaan itu.
Tegasnya, Azalina tidak ambil satu sen pun daripada peruntukan itu.
Jelasnya, terdapat satu jawatankuasa induk khas yang menapis tender dan mengaudit akaun yayasan.
"Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 29 Januari lalu, sebanyak 196 ahli telah bersetuju dengan penggunaan wang tersebut selepas penjelasan diberikan oleh ahli jawatankuasa itu.
"Mereka yang tidak menghadirinya pasti musykil bagaimana wang itu digunakan. Malangnya, wartawan yang menulis artikel itu tidak pernah menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan," jelasnya.
Khamis, 17 April 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan