Ahad, 20 April 2008

Filem kita pun ada unsur hina Islam


Seantero dunia baru saja dikejutkan dengan filem 'Fitna' yang dikatakan menghina umat Islam. Maka hebohlah di sana sini umat Islam mengadakan demonstrasi membantah tindakan pengeluar filem Belanda, Geert Wilder itu.

Lantaran filem pendek itu juga, mereka mahu kerajaan Belanda berusaha membatalkan penayangan filem yang menghina Islam. Di negara kita, Wisma Putra turut membantah tayangan filem itu.
Kenyataan yang dikeluarkan menyatakan tindakan itu tidak menghormati sensitiviti masyarakat Islam. Apa yang lebih menarik, gara-gara filem itu umat Islam di seluruh dunia diseru memulau barangan keluaran Belanda.
Dalam sedar atau tidak, sebenarnya penghinaan terhadap agama Islam juga telah berlaku di dalam negara kita sendiri. Mungkin kita terlepas pandang atau sengaja buat-buat tak nampak.
Sebelum ini, kita dikejutkan dengan kontroversi yang melibatkan pelakon drama Rosnah Mat Aris. Beliau dikatakan menghina isteri Nabi Muhammad SAW dan kini telah menerima hukuman digam oleh pihak berkuasa di atas keceluparan mulutnya itu.
Bahkan apa yang lebih memeranjatkan siaran rancangan terbitan sebuah stesyen TV swasta itu juga telah dibatalkan gara-gara perbuatan Rosnah itu.
Kini, sebuah filem terbitan pengeluar filem tempatan Grand Brilliant iaitu "Dunia Baru The Movie" juga dikatakan telah terdapat unsur menghina Islam.
Filem yang diadaptasikan daripada drama "Dunia Baru" itu telah ditayangkan kepada umum bermula awal Februari 2008 lalu.
Ia diarahkan oleh M. Hitler Zami iaitu anak kepada pelawak terkenal Zami Ismail. Mungkin kerana namanya Hitler, beliau langsung tidak faham akan sensitiviti umat Islam dan orang Melayu di negara ini.
Mungkinkah Hitler merasakan bahawa membuat filem sekadar untuk suka-suka semata-mata, lantaran itu tidak mahu langsung memikirkan impaknya terhadap penonton. Walhal filemnya itu ditonton oleh pelbagai golongan masyarakat dari yang muda hinggalah yang tua.
Filem yang membariskan pelakon terkenal seperti Elyana, Ann Ngasri, Pierre Andre, Mustapha Kamal, Anita Baharom dan ramai lagi itu telah dirakamkan di beberapa lokasi di Yan dan Pendang, Kedah Darul Aman.
Filem itu mengisahkan gelagat gila-gila pelajar di sebuah kolej dalam menjalani aktiviti seharian mereka. Ia telah mendapat perhatian meluas dalam kalangan penonton sejak mula ditayangkan di TV3.
Pencipta dunia baru dan penulis skripnya untuk televisyen dan filem ialah Wan Hasliza Wan Zainuddin. Drama bersiri untuk filem ini di TV dulu dikatakan pernah mencapai rating yang tinggi iaitu tiga juta penonton.
Populariti inilah yang menyebabkan pengarahnya M. Hitler Zami berusaha membawanya ke layar perak.
Kisah penghinaan ini berlaku dalam satu babak di sebuah majlis perkahwinan. Dalam adegan itu, Opie yang dilakonkan oleh Elyana telah berbesar hati untuk menyumbangkan suaranya bagi menyerikan majlis berkenaan.
Beliau berpasangan dengan pelakon muda Pierre Andre, telah menyanyikan sebuah lagu dalam majlis itu. Oleh kerana rakannya Mardhiah lakonan Ann Ngasri kelihatan agak warak dan sememangnya menggemari irama nasyid, Elyana dan Pierre Andre telah memilih untuk menyumbangkan sebuah lagu nasyid yang telah popular sepanjang zaman iaitu berjudul ‘Sepohon Kayu".
Melihat liriknya sahaja, kita sudah tahu yang lagu ini adalah sebuah lagu ketuhanan yang memerlukan penyampainya memiliki ciri-ciri Islamik. Lagu ini adalah sebuah lagu dakwah yang telah popular sejak sekian lama.
Bahkan lagu serta liriknya sahaja sudah boleh meremangkan bulu roma penyanyi dan pendengarnya. Boleh dikatakan hampir seluruh umat Islam di negara ini boleh menghafal dan mengingati seni kata lagu ini.
Maka itu, apabila ianya hendak dijadikan sebagai sebuah lagu dalam filem, pendekatannya haruslah selaras dengan lagu berkenaan. Lagu itu adalah lagu dakwah dan bukan lagu pop komersial atau pun lagu rock yang membolehkan penyanyinya terkinja-kinja, berjoget lambak serta bersuka ria macam orang tak sedar diri.
Dalam filem "Dunia Baru The Movie", pengarahnya Hitler sengaja membutakan mata apabila mengarahkan Elyana dan Pierre Andre menyampaikan lagu berkenaan dengan diiringi oleh band rock, berpakaian mendedahkan aurat, terkinja-kinja seolah-olah tidak memahami langsung akan lirik serta tujuan lagu berkenaan dinyanyikan.
Lebih menyedihkan lagi, pengantin yang diraikan ketika itu adalah ayah kepada pengarah itu sendiri iaitu Zami Ismail. Sebagai seorang tua, beliau langsung tidak mempunyai kesedaran dan memikirkan perkara ini, walhal beliau boleh menyunting adegan berkenaan jika mahu.
Justeru, kita amat berharap agar pihak berkuasa dapat memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pengeluar filem terbabit atas penghinaan ini. Biarpun ianya tidak secara "jelas" menghina agama Islam, tetapi langkah mempersendakan lagu-lagu nasyid berbentuk dakwah dengan elemen yang boleh merosakkan jelas sekali bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan agama Islam itu sendiri.
Tambahan pula si penyanyinya juga tidak menutup "aurat" dan langsung tidak menonjolkan imej Islamik ketika mendendangkannya. Sudahlah tu, dengan muzik Metal yang dimainkan serta mereka berjoget-joget keseronokan seolah-olah tidak memahami langsung maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu nasyid tersebut.
Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita merasa sungguh kecewa dengan kejadian ini. Kita berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan tegas kepada artis dan penerbit filem berkenaan demi menjaga maruah Islam itu sendiri.
Sudahlah rancangan tersebut jelas sekali memaparkan betapa sosialnya pelajar kolej di negara kita. Pergaulan bebas serta pelbagai aktiviti yang sungguh memualkan sering kali didedahkan kepada kita.
Justeru, kita haruslah juga mendesak serta mengambil tindakan sama apa yang berlaku kepada pengeluar filem Belanda baru-baru ini. Khabarnya DVD filem berkenaan sedang dijual di pasaran.
Apa akan jadi kepada generasi muda yang melihat perbuatan ini. Adalah lebih elok mereka memilih lagu pengantin baru untuk menghiburkan pengantin dalam adegan berkenaan. Semoga selepas ini, pihak-pihak berkenaan akan lebih berhati-hati dalam menerbitkan sesebuah drama atau pun filem.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenapalah saya x terfikir tentang ini lgsung..artikel yg amat bagus untuk direnungi..jgn hanya menuduh seterusnya menemplak media dr luar yg menghina islam sedangkan di dalam negara sendiri terang lagi bersuluh hal ini berlaku...