Ahad, 22 Februari 2015

Ucaptama Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat di Multaqa Ulama SeMalaysia 2015


TERUS ISTIQAMAH BERSAMA KEPIMPINAN ULAMA

Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan dengan berkata: "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang benar, akan turunlah malaikat kepada mereka seraya berkata "Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. ( Fussilat :30 )

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakan kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah SWT diatas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita semua dalam memperjuangkan agama-Nya diatas muka bumi ini. Sempena Multaqa Ulama Se-Malaysia yang di anjurkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada tahun ini, saya mengajak seluruh hadirin dan hadirat untuk mengingati kembali penglibatan awal kita ke dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS. Jadikanlah intima kita dalam PAS adalah semata-mata untuk mardhatillah dan buka selainnya.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulama dipilih sebagai tema kepada Multaqa Ulama Se-Malaysia kali ini adalah sebagai menyahut seruan Presiden PAS yang terkandung dalam ucapan dasar beliau Terus Beristiqamah. Tuntutan beristiqamah ini amat bersesuaian dan tepat memandangkan cabaran dan tribulasi perjuangan PAS pada hari ini semakin mencabar dari luar dan dalam. Hanya mereka yang istiqamah mampu menghadapinya dengan tenang. Berapa ramai pejuang terdahulu dalam PAS yang telah meninggalkan kita dan mereka berjuang dengan penuh istiqamah dan kita pada hari ini ditegaskan agar terus beristiqamah diatas dasar perjuangan yang telah ditetapkan.

Baharu 10 hari lepas kita dikejutkan dengan pemergian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sememangnya kita amat memerlukan beliau dalam mengharungi mehnah perjuangan ini, namun Allah terlebih sayangkan kepada beliau. Kita telah kehilangan sosok pejuang dan murabbi ummah yang agung dalam PAS. Beliau telah istiqamah sehingga ke akhir hayat perjuangan dan Allah telah anugerahkan husnul khatimah yang semua mata menyaksikannya. Sama-sama kita berdoa semoga Allahyarham Tok Guru ditempatkan di Syurga Firdaus yang paling tinggi, insya-Allah.

اللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَدْخِلْهُ الجَنَّةَ يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ

Tuntutan beristiqamah ini adalah suatu yang utama dan ia adalah sahutan kepada seruan Nabi SAW setelah kita beriman kepada Allah SWT. Dinyatakan dalam sebuah hadis:

عَنْ سُفْيَانِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قال: قُلْتُ یَا رَسُولَ الله قُلْ لِّيْ فِي الإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ قال : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Daripada Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah, Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (Riwayat Muslim)

Kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma Ulama dan Qiyas. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, sama ada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini.

Perjuangan suci demi mendaulatkan agama Allah adalah sebuah perjuangan yang tidak bermusim dan tidak juga bertepi. Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu dan persoalan semasa sebagai landasan utama untuk kita berjuang akan tetapi persoalan aqidah adalah teras dan dasar perjuangan PAS.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya. Dasar dan pegangan PAS tidak lain adalah memperjuangkan lslam. Dasar ini tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang. PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 ini mempunyai matlamatnya yang telah jelas iaitu:

i. Menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan serta berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah.

ii. Bercita-cita melaksanakan hukum Allah di dalam pemerintahan dan seterusnya mendirikan Daulah Islamiah.

Dalam perlembagaan PAS sudah dinyatakan hal ini, iaitu dibawah tajuk Tujuan PAS dalam FASAL 5 ceraian 1 berbunyi:
memperjuangkan wujudnya dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Sementara dalam FASAL 6 ceraian 2 nas yang berbunyi:
memperjuangkan islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

Dengan tujuan itulah, kita telah bersepakat untuk menegakkan hukum Allah supaya ia tertegak dalam Negara kita. Apabila Negeri Kelantan ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang telah sekian lama diluluskan di Dewan Undangan Negeri, maka ini adalah agenda utama PAS untuk memberi sokongan yang padu terhadap usaha menegakkan perundangan Allah yang sudah termaktub dalam perlembagaan PAS ini.

Baru-baru ini, rakyat berhadapan dengan keputusan kes liwat yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim. Penghakiman tersebut tidak berlaku berlandaskan prinsip keterangan undang-undang jenayah Islam. Maka sudah sampai masa rakyat dan Negara kita kembali kepada prinsip perundangan Islam dan kaedah keterangan undang-undang jenayah Islam. Keadaan ini menguatkan lagi betapa pentingnya Kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan patut disokong oleh semua pihak termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Tuntutan kita dalam PAS pada hari ini ialah membina kekuatan diperingkat anggota parti dan kita pasti tidak dapat bertahan dalam berhadapan dengan gelombang dan arus yang mencabar sekiranya kesatuan amal dan kesatuan fikrah (wahdatul fikri wa wahdatul amal) tidak wujud di kalangan ahli-ahli peringkat bawahan dan pimpinan yang mengemudi bahtera ini. Oleh yang demikian, perkara ketaatan kepada pimpinan merupakan suatu yang utama untuk diberi perhatian dalam PAS. Dalam soal ketaatan ini Allah telah menyatakan dalam firmanNya :

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum di antara mereka ialah ucapan, “kami mendengar, dan kami patuh”, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Surah Al-Nur ayat 51)

Sementara dinyatakan dalam sabdaan Nabi SAW:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan kepada setiap muslim dalam perkara yang dia suka atau tidak, selagi dia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat (Riwayat Muslim)

Hadis ini menekankan ketaatan kepada pemimpin selagimana tidak disuruh melakukan maksiat. Oleh itu keputusan pemimpin dalam situasi dimana pemimpin atau Presiden kita melaksanakan hak prerogatifnya perlulah diterima dan janganlah mudah menyalahkan Presiden sekiranya seseorang individu itu tidak berpuashati. Kita dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furu (cabang), tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, maka tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan tersebut, walaupun mungkin bertentangan dengan pendapat sendiri.

Ketokohan YB Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS dalam hubungan luar dan rangkaian kerja gerakan Islam sehingga dilantik sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia patutlah menjadi contoh. Taraf Tuan Guru Presiden adalah taraf Ustaz Mursyid yang tertinggi dari sudut Hiraki Harakah Islamiyah yang sukar dijumpai dimana-mana. Kepimpinan Dewan Ulama PAS khususnya dari kalangan ulama pelapis perlulah berjiwa besar untuk menjadi penerus kepada kecemerlangan rangkaian yang telah dibentuk oleh YB Tuan Guru Presiden ini.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Akibat tidak taat kepada keputusan pimpinan tertinggi bermakna seseorang itu telah menempah dosa kerana telah melanggar baiah yang telah di ikat antara dirinya dan Allah SWT. Ia juga dikira sebagai pengkhianatan kepada parti. Soal ketaatan ini bukan untuk memperbodohkan ahli bawahan dan mendewakan pimpinan. Jika dinilai dari sudut keputusan ketua dan pimpinan parti Islam, maka setiap keputusan itu sebenarnya bukanlah satu keputusan yang keluar mengikut hawa nafsu tetapi ia mempunyai fiqahnya yang tersendiri. Ini bersandarkan dalil-dalil syarie untuk menjaga survival parti dan dasar serta hala tuju parti daripada kerosakan dan kemusnahan yang bakal menimpa sekiranya masing-masing merasakan dirinya paling bijak dan mahu membuat keputusan sendiri sesuka hati. Oleh yang demikian, soal ketaatan bukanlah soal yang remeh kerana ia adalah perkara yang bersifat معلوم من الدين بالضرورة

Sabda Rasulullah SAW dalam hal ini:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya dilantik Pemimpin itu adalah untuk diikuti. (Riwayat Bukhari)
Merujuk kepada apa yang berlaku mutakhir ini, PAS sebagai parti politik dalam masa yang sama sebagai harakah islamiyah, mendokong konsep السمع والطاعة dengar dan patuh kepada kepimpinan tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulama (MSU) dan Presiden parti. Ia merupakan persoalan asas dan adab yang tertinggi dalam PAS yang wajib difahami dan di amalkan oleh semua anggota parti. Selain itu dengan adanya Majlis Syura Ulamak, ia memandu perjalanan parti kita agar tidak tersasar dijalanan. Majlis Syura Ulamak diberi kuasa pemutus dalam perkara ijtihadi dan ia adalah Badan tertinggi parti serta keputusannya adalah wajib diikuti. Hal ini kerana MSU adalah penghurai kepada dasar PAS yang empat iaitu Quran, Sunnah, Ijma dan Qias.

Maka, perjuangan yang dibawa berlawanan dengan MSU tersebut, dasar tidak puas hati dan tidak mematuhi kepimpinan akan melenyapkan matlamat asal kita. Disini, kita mesti beristiqamah dengan segala arahan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat dan juga Majlis Syura Ulama (MSU) serta penegasan daripada Presiden PAS sendiri. Sebarang pelanggaran arahan MSU dan keputusan Presiden adalah satu kesalahan mandatori dalam undang undang PAS walau apa jua alasan dan sebab yang diberikan serta jawatan yang disandang.

Merujuk kepada NGO PASMA yang secara terang-terangan masih bergiat aktif sedangkan MSU termasuklah Presiden PAS sendiri telah mengeluarkan arahan kepada mana-mana ahli PAS agar tidak terlibat dengan NGO ini, jelas ia adalah satu usaha untuk merosakkan PAS dan menghancurkannya dari dalam serta memecah-belahkan PAS. Ini dapat disaksikan apabila banyaknya kenyataan-kenyataan ahli PASMA jelas menyerang dan melanggar dasar PAS bahkan yang lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata menghina ulama dan Presiden PAS sendiri.

Hari ini, berlaku serangan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah apabila saya dengan tegas menyatakan bahawa insya-Allah Kerajaan Negeri akan membuat pelaksanaan undang-undang islam ini pada 2015. Nada yang dimainkan oleh golongan yang tidak berpuas hati ini sama seperti nada juhala UMNO dan orang bukan islam yang menentang pelaksanaan hudud. Ini tidak lain hanya kerana pemikiran liberal yang merosakkan akidah semakin menular di kalangan ahli PAS yang menyokong PASMA dan mereka sanggup memberikan wala mereka kepada pemimpin parti lain tetapi tidak kepada Presiden PAS.

Keputusan Majlis Syura Ulama dan Presiden agar ahli-ahli PAS menjauhi PASMA dan tidak terlibat dengan segala aktiviti mereka mempunyai banyak asas. Antaranya ialah wujud aliran pemikiran songsang dalam individu-individu yang terlibat dengan PASMA yang bersetuju dengan ajaran liberalisme atau Islam liberal. Ini sebenarnya telah wujud apabila suara-suara untuk mengetepikan pelaksanaan syariat Islam demi mencapai kemenangan dalam pilihanraya menjadi inti ucapan mereka. Aliran pemikiran tajaan barat ini dilihat bertapak dalam PAS yang membuatkan sebilangan anggota PAS telah tersasar matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan syariat Allah SWT.

Golongan ini mencari kemenangan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai Allah berdasarkan kaedah-kaedah syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun caranya berlawanan dengan Panduan Al-Quran dan Hadis. Dengan cara ini mereka berharap memperolehi kekuatan dan kemuliaan, padahal kekuatan dan kemuliaan tersebut hanyalah milik Allah SWT dengan melaksanakan manhaj Islam yang asli. Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa aliran Islam liberal sebenarnya ingin mencipta manhaj tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas perjuangan agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Diharap ahli-ahli PAS walaupun seorang tidak terlibat dengan anutan sesat yang merosakkan ini.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Bagi memastikan anasir-anasir perosak ini tidak lagi mengambil kesempatan daripada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, Dewan Ulama PAS Pusat menggesa kepada pihak Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin agar mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan PASMA.

Baru-baru ini kita turut dikejutkan dengan satu isu berkaitan akuan berkanun yang mendakwa terdapatnya gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden yang terdiri daripada kalangan pemimpin PAS Pusat serta ahli kumpulannya yang berada di dalam sebuah kumpulan yang menggunakan Whatsapp sebagai medium komunikasi mereka. Merujuk kepada akuan berkanun tersebut terdapat gerakan yang cuba menjatuhkan Presiden dengan cara yang tidak syarei.

Sekiranya benar dakwaan tersebut, pihak Dewan Ulama PAS meminta kepada pihak yang membuat dakwaan supaya membuat laporan disiplin bagi memastikan isu tersebut tidak berlarutan dan berpanjangan supaya satu siasatan dalaman boleh dilakukan. Sekiranya tiada laporan disiplin dibuat, ia akan mengundang budaya tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan.

Setelah laporan disiplin dibuat, pihak Dewan Ulama PAS Pusat menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat agar menyegerakan siasatan di bawah Jawatankuasa Disiplin ataupun ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bukan dianggotai oleh AJK PAS Pusat untuk menyiasat berkenaan laporan dakwaan tersebut sama ada benar atau sebaliknya. Pihak kami memandang serius terhadap dakwaan tersebut kerana ia melibatkan persoalan wala dan akhlak yang boleh merosakkan imej parti yang berasaskan Islam.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Antara aspek yang diberi tumpuan oleh PAS setelah perkara tarbiyah, dakwah ialah aspek politik ataupun pemerintahan. Dalam aspek ini, ianya memerlukan seni dan juga strategi yang menatijahkan matlamat yang baik demi kebaikan seluruh masyarakat. Namun, di sebalik strategi yang diatur, ianya tidak boleh melanggar perkara yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sepertimana yang dipetik daripada kata Imam Syafie Rahimahullah:
لَا سِيَاسَةَ اِلَّا مَا وَافَقَ الشَّرْعُ
Maksudnya: “Tidak boleh lakukan gerak kerja politik itu melainkan apa yang menepati Syara’”

Justeru, setiap perencanaan politik yang dilakukan perlu mengikut garis panduan syara’ yang ditetapkan. Sekiranya strategi tersebut bercanggah dengan syara, maka perkara tersebut perlu ditolak walaupun memberi kebaikan kepada parti dan masa depan PAS.

Pendekatan Tahaluf Siyasi yang direncanakan oleh kepimpinan politik mutakhir ini merupakan strategi yang diharuskan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Namun, pendekatan ini bukanlah merupakan sebuah matlamat asas yang mesti dicapai, akan tetapi sebagai satu strategi dan wasilah sahaja supaya Islam dapat ditegakkan. Dalam meneliti konsep tahaluf islam ini, Allah membenarkan pihak islam untuk meleraikan tahaluf yang telah dirosakkan oleh pihak rakan tahaluf lain. Ini disebabkan pengkhianatan dalam tahaluf adalah jalan kepada kemusnahan kekuatan tahaluf dan tiada lagi manfaat kepada tahaluf itu. Hal ini adalah bersandarkan kepada ayat :

وإِمَّا تَخَافَنَّ مِنْ قَوْمٍ خِيَانَةً فَانْبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ

Maksudnya: “Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat. (Surah Al-Anfal : 58 )

Kalimah Fanbiz ilaihim adalah kenyataan arahan yang membawa erti tinggalkan perjanjian yang dipersetujui. Pada hari ini PAS telah memutuskan tetap bersama dengan tahaluf siyasi dengan rakan-rakan dari kompenan parti lain, jadi kita mesti meneruskan keputusan ini.

Namun janganlah ada pihak yang menyelar tindakan Dewan Ulama PAS Pusat yang mengadakan perbincangan tentang tahaluf serta membuat kajian baru ke atasnya. Pembatalan tidak berlaku dengan kajian ini, dan kajian ini dibuat boleh jadi terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mencantik dan melengkapkan lagi tahaluf kita. Dalam hal ini persoalan ukhuwwah dan lapang dada amat perlu dititik beratkan oleh semua kompenan Pakatan Rakyat. Perlu diingat oleh ahli PAS, dikala kita bertahaluf jangan sampai ada berlaku wala kepada rakan tahaluf, kita bekerjasama untuk mencapai tujuan yang disepakati tanpa mengenepikan dasar PAS. Jangan sampai berlaku prinsip-prinsip islam dibiarkan tidak dipertahankan demi menjaga tahaluf siyaasi. Dewan Ulama PAS Pusat selaku Dewan yang berperanan sebagai penasihat kepada perjalanan parti akan sentiasa memantau perkara ini dan memberi nasihat daripada semasa ke semasa.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Perlu diingat juga bahawa kemenangan dalam perjuangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi halatuju dalam setiap perjuangan parti. Tidak kira perjuangan itu benar atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.

Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah SWT menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.

Setiap pejuang Islam dalam PAS perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Allah boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan. Maka jangan ada dikalangan anggota parti yang mahu kemenangan segera atau hanya yakin kemenangan dicapai dengan ramai bilangan ahli dan dengan perancangan jentera kita yang hebat. Kemenangan adalah hak Allah maka dengan laksana hak Allah baharu kemenangan diperolehi.

Muslimin Muslimat Sekalian,

Alhamdulillah, PAS telah membuktikan ketabahannya dalam menghadapi apa juga cabaran dan rintangan. PAS telah mentarbiyah ahli dan penyokongnya supaya mengutamakan kepentingan parti daripada yang lain-lain serta terus beristiqamah, berakhlak mulia dan sentiasa mencerminkan syakhsiyah lslam. PAS mestilah tetap dengan identitinya disamping berkewajipan pula menyatu dan meningkatkan lagi penyatuan hati di kalangan ahli dan penyokong-penyokongnya. Dengan kesepaduan sokongan daripada ahli-ahli dan penyokong, PAS bukan sahaja mampu menghadapi lawan dengan mudah, malah boleh mengalahkan mereka.

Sebagai Parti yang mempunyai sikap dan prinsip tersendiri, perjuangan PAS tidak mungkin boleh dijual beli. Atas sebab-sebab itu, maka PAS tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak sekiranya ia boleh menjejaskan dasar dan identiti PAS. Harapan kita, agar semua ahli PAS bermula daripada pimpinan tertinggi sehinggalah kepada akar umbi terus bekerja mengikut apa yang telah diputuskan oleh pimpinan tertinggi dan jangan istijal untuk menang serta suka mengguna pemikiran tersendiri apatah lagi bekerja dengan sikap keindividuan. Bersabarlah dengan sesuatu keputusan yang telah diputuskan khususnya dalam situasi masa kini, semuanya menguji kesabaran kita, perkara-perkara sebegini amat perlu kita tekankan dalam parti demi meraih keredaan Allah. Firman Allah SWT :
Maksudnya :Dan bersabarlah kerana tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah. Janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Nahl : 127-128)
أَقُولُ قَوْلِيْ هَذَا، وَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ والْسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

USTAZ TUAN GURU DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat

Isnin, 16 Februari 2015

Kes Anwar bukan satu konspirasi



MUKADIMAH : KES Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sejak 2008 telah menemui noktahnya pada 10 Februari lalu apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan Ketua Pembangkang itu bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Namun, pelbagai teori konspirasi dan tuduhan yang mengatakan Anwar tidak bersalah, sebaliknya dianiaya oleh “orang jahat” masih dicanang oleh pembangkang bagi meraih simpati dan mengelirukan rakyat. Bagi menjawab tuduhan-tuduhan yang masih berlegar itu, wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, AMIRUDDIN HARUN dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewancara TAN SRI DR. MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH yang dilantik mengetuai pendakwaan kes itu pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga ke peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.
 
Menurut beliau, keterangan terhadap Anwar dalam kes ini terlalu kuat untuk membuktikan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah sehingga tidak seorang pun daripada 14 orang peguam Anwar berani mempertikaikan fakta kes tersebut.
 
"Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah," katanya.

MINGGUAN: Selepas 10 Februari lalu, Tan Sri berkata secara profesional berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan berpendapat bahawa keadilan akhirnya ditegakkan. Bagaimana pula secara peribadi?

MUHAMMAD SHAFEE: Dari segi peribadi, saya tidak ada isu langsung sebab itu satu tugas yang diberikan kepada saya oleh Peguam Negara. Jadi saya laksanakan. Kalau ada pun dari segi peribadi, hanya berkenaan sama ada saya sendiri percaya dengan kesalahan Anwar sebelum saya membuat tugas rasmi tersebut. Sebab, kalau saya sendiri tidak percaya dan saya rasa dia dianiayakan, saya tidak akan buat kes itu. Tetapi saya percaya apabila saya lihat rekod rayuan tersebut. Hari pertama saya dapat (rekod rayuan), saya sudah baca sampai pagi sebab saya hendak tahu dengan jelas. Tidak ada langsung keraguan bagi saya yang Anwar salah. Saya terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Anwar dan sebab asas hanyalah berkenaan dengan beg plastik.
Jadi, Mahkamah Rayuan kata kalau itu sahaja sebabnya, sebab itu tidak bagus kerana kita ada banyak kes keadaan yang sama. Ada kotak yang hancur tetapi di dalam kotak itu ada bahan bukti yang termeterai dalam plastik-plastik berasingan tetapi mahkamah terima asalkan boleh buktikan benda itu tidak tercemar. Semasa ahli kimia terima, dia kata sampel-sampel itu tidak tercemar dan masih lagi sempurna. Satu lagi perkara yang ketara ialah apabila ahli kimia periksa, dia dapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) "Lelaki Y". Empat-empat itu dapat "Lelaki Y". Kalau kita bandingkan standard dalam dunia, negara kita dikatakan mempunyai keperluan yang paling tinggi sekali. Kita minta 16 bacaan sepadan.
Dalam tubuh kita, DNA kita ini, berjuta-juta dan trilion lokus (tempat) yang kita ada. Cap jari kita pun berjuta-juta dan trilion lokus. Macam-macam punya berlainan tetapi kita perlukan 16 sahaja. Kalau 16 bacaan sepadan jari kita dengan cap jari, itulah orangnya. Kebarangkaliannya ialah satu bersamaan dengan beberapa quadrilion, bukan trilion. Ertinya mustahil orang lain yang ada sama cap jari termasuk dengan dia (Anwar) ini. Tidak ada jari orang lain yang sama bacaan dengan bacaan yang kita kata 16 tadi.
Sebab negara kita, ada undang-undang yang tidak wajibkan DNA diberi secara sukarela oleh orang yang kena tuduh seperti Anwar. Negara-negara lain diwajibkan. Kalau tidak beri, akan jadi kesalahan undang-undang. Oleh sebab itu, Anwar ambil kesempatan tidak mahu beri langsung DNA. Kalau dia tidak salah, apa yang dia takut tetapi itu hak dia. Apabila dia ditangkap, DNA Saiful sudah hantar kepada ahli kimia dan ahli kimia sudah tahu keputusan tetapi kita tidak tahu siapa "Lelaki Y". Apabila Anwar ditempatkan di dalam lokap, dia diberi tuala Good Morning, berus gigi dan ubat gigi. Dia sendiri bawa masuk satu botol minuman. Isterinya beri dia dua helai tuala yang bersaiz medium.
Apabila dia bangun pagi itu, dia sudah gunakan berus gigi dan ada pengawal yang dengar dia memberus gigi. Air itu juga habis dia minum tetapi botol dia tinggalkan. Dia tinggal ubat gigi, berus gigi dan tuala Good Morning. Yang ini dihantar kepada ahli kimia yang lain. Ahli kimia yang pertama itu namanya Dr. Seah Lay Hong. Ahli kimia kedua yang pakar DNA ini namanya Nor Aidora Saedon. Dia memeriksa DNA tanpa tahu menahu siapa punya DNA, tetapi dia diberitahu lokus yang sama untuk buat perbandingan. Apabila dia periksa, dia pun kata "Lelaki Y" tetapi tidak tahu profil DNA "Lelaki Y" yang itu dan yang ini, sama atau tidak. Apabila Nor Aidora bandingkan, 100 peratus sepadan. Habis cerita. Begitulah betapa kukuhnya kes ini.

Dalam kenyataan Tan Sri tentang ”Anwar Ibrahim Verdict”, kenapa Tan Sri mengharapkan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara membaca fakta secara teliti dalam penghakiman sebelum membuat kesimpulan?

MUHAMMAD SHAFEE: Oleh sebab kes kita ini amat kuat. Keterangan terhadap Anwar ini terlalu kuat. Kita tidak boleh pertikai. Tak boleh hendak kata apa-apa pun berkenaan dengan fakta ini. Kalau saya jadi peguam bela dia pun, saya pening kepala sebab keterangan memang kuat. Jadi, oleh sebab keterangan itu kuat, kita berani kata sila masuk, kita tengok keterangan itu. Jangan cerita benda-benda lain. Konspirasilah, itulah dan inilah, semua itu cerita politik untuk propaganda. Kalau kita hendak tahu orang ini dianiayakan atau tidak, kita tengok fakta kes. Mereka tidak berani masuk fakta kes. Saya tidak pernah dengar sekalipun dalam mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan yang Anwar kata itu bukan DNA dia. Apa yang dia pertikaikan ialah cara DNA itu dikaji, cara analisis itu semua dia kata teknik salah.
Apabila dia beri keterangan dari kandang tertuduh (dock), bukan kandang saksi, jadi dia tidak boleh disoal balas. Jadi, dia penakutlah dan ada yang dia nak sembunyi. Selalunya keterangan dari dock ini, orang-orang yang lemah fikiran dan otaknya tidak pandai. Mungkin orang terlalu muda atau ada cacat sedikit cara pemikirannya. Anwar bukan sebegitu. Anwar cakap lancar, bijak fikiran dan orang yang petah. Pasal apa dia tidak masuk dalam kandang saksi. Walhal subjek, Saiful ini tujuh hari disoal balas dan Saiful sekali pun tidak tersilap dari segi beri keterangan. Jadi, mahkamah jelas. Anwar main sandiwara banyak sangat.

Anwar dan penyokong beliau masih anggap ini merupakan konspirasi politik dan bukan kisah aduan “serangan seksual” majikan ke atas pekerjanya. Apa komen Tan Sri?

MUHAMMAD SHAFEE: Kalau konspirasi politik, ini bukan baru bermula. Ia bermula daripada kes liwat pertama. Kalau begitu konspirasi, orang yang harus masuk dalam konspirasi ini ialah Karpal Singh juga sebab dia timbulkan perkara ini dalam tahun 1997, setahun sebelum Anwar dibuang kerja. Kita hendak tanya Anwar, konspirasi itu apa maksudnya? Apakah konspirasi untuk kenakan dia atas perkara memang dia lakukan atau konspirasi kenakan dia atas perkara dia tak pernah lakukan. Kalau dia lakukan, kalau orang kata kita perlu siasat dan kenakan dia, itu bukan konspirasi yang salah di sisi undang-undang. Polis pun pakat kalau hendak siasat kes tetapi itu konspirasi yang tidak ada maksud membuat kesalahan undang-undang, sebab itu hak polis untuk siasat termasuk kes liwat kedua ini.
Orang tanya kenapa Saiful pergi jumpa Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari sebelum dia kena liwat pada 26 Jun 2008. Menurut Saiful, dia sudah hilang akal berkenaan kepada siapa dia hendak laporkan kerana ini Anwar, Ketua Pembangkang. Dahulu pun, Anwar menang kes itu. Apabila Saiful datang jumpa, Najib terus katakan tidak boleh dan nasihatkan Saiful jumpa Ketua Polis Negara (KPN) pada masa itu. Najib beritahu Saiful perkara ini amat sensitif dan tidak mahu orang buat tuduhan.Apabila Saiful hubungi KPN, beliau pula minta Saiful jangan telefon dia lagi kerana ingat Saiful main-main. Jadi, Saiful serba salah. Apabila perkara 26 Jun 2008 berlaku, Saiful letak jawatan kerana tidak sanggup diliwat lagi sebab sembilan kali dia kena. Saiful kata dia tidak rela tetapi terpaksa menyerah kerana dominasi Anwar terlampau kuat. Hari itu, Saiful kata tidak mahu tetapi Anwar marah dia dan minta dia masuk ke dalam bilik.
Kita hendak tanya di mana kita boleh dapat air mani Anwar? Bukan dia simpan dalam bank. Bukan hanya air mani tetapi air mani itu ada sperma. Dalam kes ini, oleh sebab antara 48 hingga 56 jam, ekor sperma sudah putus sebab proses pembusukan sudah berlaku tetapi tidak begitu ketara. Sebab itu ekor sperma itu tidak ada. Ahli kimia kata proses pembusukan itu tidak mencemarkan. Dia mendapat DNA daripada kepala sperma. Apabila dia pecahkan tiap-tiap kepala, dia ekstrak DNA. Itu yang 16 bacaan menunjukkan Anwar.

Walaupun dengan bukti-bukti kukuh ini, penyokong Anwar masih tidak percaya insiden liwat ini benar-benar berlaku tetapi masih menganggap satu konspirasi.

MUHAMMAD SHAFEE: Dalam mahkamah, peguam Anwar sendiri tidak kata itu bukan dia punya DNA. Jadi, apa yang penyokong-penyokong bising. Peguam dia 14 orang, tidak pernah seorang pun kata itu bukan dia. Hanya mereka mempertikaikan proses analisis. Itu sahaja. Kalau proses analisis itu, macam mana dapat 16 daripada 16 bacaan.

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengatakan hukuman penjara lima tahun itu ialah pengorbanan Anwar untuk rakyat Malaysia. Tidakkah ini mengelirukan rakyat?

MUHAMMAD SHAFEE: Mana ada pengorbanan. Kalau pengorbanan, dia mengaku salahlah. Yang itu baru kita kata korban. Ini dipaksa masuk dalam penjara sebab didapati bersalah sebab dia bohong daripada awal. Awal-awal lagi dia kata pembelaan dia ialah alibi. Sebanyak 13 nama dia beri masuk tetapi seorang pun dia tak panggil sebab daripada awal lagi dia hendak tipu. Dia hendak kata dia bukan di apartment itu tetapi di apartment sebelah. Akhirnya apabila kita tunjuk kamera litar tertutup (CCTV), dia sudah terpegun. Alibi dia semua habis terbang. Saya pun hendak tengok dia panggil Wan Azizah untuk apa. Dalam keterangan dari kandang pun dia tidak kata alibi. Jadi, alibi kira lesap terus.

Anak perempuan Nurul Izzah ada bertanya kepada Anwar, “Atuk, kenapa mereka cakap pasal penjara?” Anwar cakap kepada cucunya, “Orang jahat nak sumbat atuk dalam penjara.” Komen Tan Sri?

MUHAMMAD SHAFEE: Saya rasa kalau dia kata orang jahat, bukan sahaja mahkamah, dia maksudkan ada konspirasi dengan kerajaan, menteri-menteri, Perdana Menteri, Pendakwa Raya dan polis pun termasuk. Kita tengok konspirasi ini. Ada satu kes di India melibatkan Sushil Sharma yang dipanggil sebagai kes pembunuhan Tandoor. Dia orang politik di Delhi, Ketua Pemuda Parti Kongres, seorang yang berpengaruh. Dia bergaduh dan menembak mati isterinya. Dia bawa mayat perempuan itu ke restorannya dan dimasukkan dalam tandoor untuk dibakar bagi hancur tetapi badan manusia bau kuat.
Polis pun tengok dan nampak ada kaki dan jari tetapi badan hampir hancur. Itu pun DNA ahli politik ini dipertikaikan. Dia kata konspirasi daripada polis, ahli kimia, kerajaan dan macam-macam lagi untuk jatuhkan karier politiknya, sama seperti Anwar tetapi semua bahan bukti ini sudah diperolehi. Dia pun buat alibi tetapi tidak pakai alibi tetapi dia lari dari tempat itu. Dia pun beri keterangan dari dock, macam Anwar 100 peratus.
Kalau konspirasi, mesti ada konspirasi daripada Saiful, kerajaan dan mungkin Kabinet, polis dan empat doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tetapi yang doktor ini menarik. Pada 28 Jun 2008, Saiful pergi ke Hospital Tawakal dahulu tetapi diberitahu hospital itu beroperasi sampai tengah hari dan tidak ada doktor.
Baru dia pergi ke Hospital Pusrawi dan jumpa dengan doktor dari Myanmar yang mahkamah kata tidak jujur. Memang dia mengaku dia buat itu semua silap. Benda yang dia tidak pernah tulis dalam rekod, selepas tiga minggu baru dia tulis untuk menyokong Anwar. Dia yang kata Saiful kena pergi HKL sebab di situ tidak ada forensik.
Apabila sampai HKL 3.30 petang, akhirnya Saiful diperiksa pukul 9.30 malam. Kamu fikirlah kalau ada konspirasi, takkan mereka tidak aturkan untuk permudahkan. Selain itu, ahli kimia pun kena masuk konspirasi. Dua ahli kimia; seorang Cina dan seorang Melayu. Doktor pun ada satu Cina dan tiga Melayu. Selepas itu pegawai penyiasat, timbalan pendakwa raya yang awal dan saya pun mesti ada dalam konspirasi dan hakim pun mesti konspirasi, tetapi hakim pertama buang kes. Mana ada konspirasi.

Kes jenayah ini, semua dikatakan konspirasi, sebaliknya apabila kes sivil yang banyak mereka menang tidak pula dikatakan konspirasi?

MUHAMMAD SHAFEE: Hakim yang dia maki hamun di Mahkamah Tinggi, hakim itu yang bebaskan dia. Apabila hakim itu bebaskan dia, dia kata keadilan ditegakkan. Cuba tengok dalam kes liwat satu, Anwar dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan. Mereka ada baca penghakiman tentang Anwar. Dalam itu, dia kata macam-macam pasal Anwar. Seorang peguam Anwar masa itu, Christopher Fernando muncul di televisyen dan menyatakan ini hari paling istimewa bagi badan kehakiman sebab buang kes ini. Selepas itu, mereka baca keputusan dengan terperinci. Hakim kata, walaupun Anwar dilepaskan atas dasar teknikal, ada bukti-bukti menunjukkan dia homoseksual. Ada aktiviti itu berlaku di Tivoli Villa.
Pada 2014, mereka cuba buat satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk buangkan kenyataan-kenyataan berkenaan yang hakim Mahkamah Persekutuan dahulu kata, tetapi hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu kata tidak boleh kerana ini dapatan fakta daripada mahkamah. Dia kata, kita kekalkan sebab ada dasar dan sebab kukuh kenapa dapatan fakta itu dibuat. Jadi, ia jadi lebih konkrit.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menyatakan Ketua Pembangkang sepatutnya lebih wajar didakwa mengikut Seksyen 377C iaitu bagi kesalahan lebih berat yang akan mendedahkan Anwar kepada hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun. Soalnya, kenapa pasukan Pendakwa Raya memilih untuk mendakwa Anwar di bawah Seksyen 337B yang tidak menetapkan tempoh penjara minimum?

MUHAMMAD SHAFEE: Dalam kes 377C, kita harus tunjukkan dengan begitu jelas yang tidak ada kerelaan dia dan dibuat dengan paksaan. Jadi, Peguam Negara mungkin kata kenapa hendak pergi melalui jalan itu kerana kesalahan itu memang kesalahan, sama ada dengan kerelaan Saiful atau tidak. Hukuman maksimum penjara 20 tahun juga.
Kalau Anwar kena 377C, hukuman penjara minimum lima tahun. Kalau minimum lima tahun, dia mesti terpaksa kena penjara tujuh atau lapan tahun. Lagi satu, dia kena rotan. Orang lebih 50 tahun tidak boleh dirotan kecuali kes 377C sebab kes itu serius. Mungkin sebab itu Peguam Negara tidak mahu kontroversi sangat sebab Anwar sudah berumur dekat 70 tahun. Dia patut berterima kasih kepada Peguam Negara.

Datuk S. Ambiga menyatakan dia kecewa kerana Tan Sri "menyerang" Anwar apabila mengeluarkan kenyataan menghina Anwar selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara selama lima tahun bagi pertuduhan liwat. Tan Sri juga didakwa melanggar hak asasi manusia apabila "menyerang" Anwar yang tidak boleh mempertahankan diri. Komen Tan Sri?

MUHAMMAD SHAFEE: Saya hanya keluarkan kenyataan sebab mula-mula Christopher Leong kata ini bukan pendakwaan tetapi penganiayaan. Sebagai Presiden Majlis Peguam, dia tidak boleh bercakap macam itu. Ertinya apa? Mahkamah buat aniaya, saya buat aniaya dan polis semua buat aniaya. Takkan saya tidak ada hak asasi saya sebagai Pendakwa Raya untuk menegakkan apa yang saya buat itu betul. Saya hanya menjawab. Dia yang buka pekung dulu.
Kemudian Ambiga masuk buat cerita Barisan Nasional (BN) salah langkah untuk mempenjara Anwar. Adakah mahkamah itu sebahagian BN? Sepatutnya Ambiga didakwa menghina mahkamah kerana dia menyabitkan mahkamah seolah-olah sebahagian BN. Saya cadangkan Peguam Negara ambil tindakan. Kalau perkara-perkara begini dikeluarkan, takkan kita tidak boleh jawab? Kalau kita tidak jawab, rakyat masih percaya.

Bagaimana dengan status Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh? Adakah ia akan terbatal selepas tempoh 14 hari daripada tarikh sabitan dan hukuman? Tempoh itu mungkin lebih panjang sekiranya Anwar mengemukakan petisyen bagi mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong?

MUHAMMAD SHAFEE: Anwar ada 14 hari untuk kemukakan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Tetapi yang peliknya, kalau kita hendak minta ampun, kita mesti kata kita salah dan minta ampun. Boleh kita kata kita tak salah tetapi kita hendak minta ampun. Kedua, ini bermaksud dalam 14 hari itu dia masih lagi Ahli Parlimen. Selepas 14 hari itu pun dia masih lagi ahli Parlimen. Sebab badan Parlimen kena bersidang dan membuat keputusan berdasarkan kes ini, dia harus disingkirkan, barulah keahlian hilang. Ini berdasarkan kes Ahli Parlimen daripada DAP, Fan Yew Teng pada 1975.

Sistem kehakiman dan mahkamah kita pada mata dunia sudah teruk sebab diburuk-burukkan dan dihentam. Bagaimana hendak memulihkannya?

MUHAMMAD SHAFEE: Apabila mahkamah buat keputusan setiap kes, hakim mesti tulis alasan penghakiman. Alasan penghakiman itu akan menunjukkan cara perjalanan otak hakim tersebut. Kalau tersalah tulis atau tersalah penghakiman, ia akan tertera dalam tulisan tersebut. Orang boleh baca. Jadi, standard alasan penghakiman mesti dipertingkat. Jadi, bukan sahaja kita tahu bahawa kita buat penghakiman yang baik tetapi orang juga harus tahu dengan membaca alasan yang kita buat keputusan yang baik. Jadi, penghakiman berlaku dan penyaksi penghakiman dilakukan juga mesti ada. Itu dalam bahasa Inggeris kata “not only justice must be done but justice must be seen to be done”. Sebab baru ada keyakinan.
Cara kita kendali dalam mahkamah pun mesti baik termasuk etika dan cara kita dengar. Saya percaya orang Melayu paling bagus sebagai hakim. Kita sabar dan tidak mudah hilang sabar. Bukan kita hendak jadi rasis tetapi peguam bangsa lain pun kata Melayu lebih bagus sebab kita sabar. Kalaulah saya aniaya Anwar, tidak payah tunggu saya mati masuk neraka. Di sini, di dunia saya dah masuk neraka. Kalau tidak jadi kepada saya, mungkin jadi kepada anak atau keluarga saya. Saya berani bersumpah di masjid atau di Mekah bahawa apabila saya buat rayuan kes ini, saya dengan jujur percaya Anwar salah. - MINGGUAN MALAYSIA

Musuh sebenar Yahudi bukan Palestin, tapi Bani Jawi.

BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...