Sabtu, 28 September 2019

Kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah - Mahkamah Koroner



SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, pada 27 September 2019, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

“Punca kematian Muhammad Adib bukan daripada dirinya sendiri,” katanya.

Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Berikutan itu, beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.

Peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Muhammad Adib menangis sejurus Rofiah selesai membacakan keputusan mahkamah itu.

Syazlin kemudian dilihat ditenangkan oleh suaminya dan beberapa peguam lain selepas prosiding tamat.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi selesai pada jam 10.15 pagi.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Sementara itu, tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi, 26, bersyukur dengan keputusan mahkamah berkenaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan keputusan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas prosiding.

Nurul Najihah yang berbaju kurung berwarna biru ditemani seorang wanita yang enggan dikenali.

Mereka berdua kemudian berlalu pergi ke kereta meninggalkan petugas media yang cuba bertanyakan beberapa lagi soalan lain.

Terdahulu, beliau yang tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi, masuk ke galeri awam mahkamah bersama Syazlin.


Deraian air mata ibu ayah Muhammad Adib

“Dari malam tadi hingga pagi ini, perasaan saya sangat berdebar. Namun sebaik saja dimaklumkan keputusan inkues menyebelahi arwah, saya berasa sangat lega,” kata Asma Aziz, 52.

Ibu kepada anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim itu berkata, apabila mengetahui keputusan inkues kematian anaknya, beliau dan suami, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, terus mengucapkan kesyukuran dengan deraian air mata.

Beliau berkata, doa mereka sebagai ibu bapa termakbul selepas hampir setahun menanti keadilan ditegakkan untuk arwah.

“Perasaan itu tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Walaupun berasa lega, Adib sudah tiada... Saya berharap selepas ini, penjenayah yang memukul arwah dapat ditangkap polis.

“Saya mahu melihat sendiri wajah orang yang memukul anak saya. Saya mahukan keadilan untuk arwah dan si pelaku mesti dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Ibu kepada empat anak itu berkata, beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberi semangat.

Katanya, beliau dan suami sepatut berada di Mahkamah Koroner Shah Alam untuk mendengar keputusan inkues.

Bagaimanapun, mereka kemudian membatalkan hasrat itu kerana perasaan tidak menentu dan risau sekiranya keputusan inkues tidak memihak kepada Allahyarham.
“Namun petang ini, saya dan suami akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan anak yang berada di sana,” katanya.

Mohd Kassim pula berkata, keputusan inkues itu adalah berita gembira untuk dirinya sebagai bapa, selain turut berterima kasih kepada semua pengamal media yang memberikan liputan baik terhadap kes berkenaan.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan keputusan ini. Segalanya sudah terjawab,” katanya.

Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, memutuskan punca kematian Muhammad Adib ialah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Serangan ganas, berniat jahat bunuh Adib

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu yang tak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-29 yang juga Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa Muhammad Adib dihentak dan diseret keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) boleh diterima dan mempunyai asas selain formula yang digunakan dalam eksperimen berkenaan pengiraan daya yang menyebabkan kecederaan trauma tumpul di dada mangsa disokong saksi ke-30, pakar Fizik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, teori dikemukakan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS dan dilanggar hingga terhumban ke kiri jalan adalah ditolak selain formula digunakan dalam kecederaan dada Muhammad Adib, adalah menolak hukum fizik.

Katanya, sekiranya Muhammad Adib turun sendiri, mungkin mangsa akan jatuh ke belakang dan keadaan itu akan menyebabkan kecederaan lebih teruk, iaitu mungkin digilis ketika Fire Rescue Tender (FRT) mengundur dan meninggal dunia di situ.

“Teori saksi ke-29 yang mengatakan Muhammad Adib dihentak ke jenang pintu dan diseret adalah lebih munasabah serta konsisten dengan fakta penemuan dua topi keledar dalam van EMRS yang hanya boleh memasuki ruang van apabila cermin dipecahkan.

“Eksperimen yang dilakukan (Dr Shahrom) jelas menunjukkan cermin van dihentak berkali-kali dan ini konsisten dengan keterangan saksi ketiga (Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman) bahawa dengar ketukan kuat dan bertalu-talu serta merasa goncangan.

“Ini menunjukkan ada individu yang bertindak ganas dan berniat jahat kepada Muhammad Adib,” hujahnya.

Rofiah berkata, keputusan yang dibuat bahawa kematian Muhammad Adib bukan berpunca daripada diri sendiri selepas meneliti beberapa keterangan saksi yang dipanggil ke mahkamah.

Katanya, saksi ke-10, Mohd Hafizan Nordin, yang mengejarkan Muhammad Adib untuk rawatan ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dalam keterangannya, berkata ketika terperangkap dalam kesesakan berhampiran kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada awal pagi, 27 November 2018, dia ditegur seorang wanita India yang melarangnya pergi ke arah kuil itu kerana ada orang dipukul.

“Bila seseorang mempunyai niat baik dan tidak mahu benda tidak elok berlaku, ia terbit dari pengalaman.

“Jadi, boleh rumuskan larangan itu dilihat mempunyai pengetahuan bahawa ada yang dipukul ketika itu,” katanya.

Beliau juga berkata, keputusan yang dibuat juga turut dipengaruhi dengan mengambil kira saksi lain di tempat kejadian.

Rofiah berkata, beliau menyimpulkan Muhammad Adib dipukul kerana beberapa saksi melihat aksi gerakan memukul seperti terajang dan pijak oleh 20 hingga 30 lelaki.

Katanya, Muhammad Adib menjadi subjek kepada perlakuan itu, selain saksi bernama S Suresh (saksi kelapan) memberitahu mahkamah yang dia terdengar perkataan yang disebut dalam bahasa Tamil ‘jangan pukul. Bomba pun nak pukul ke?’.

Beliau berkata, keterangan Suresh bahawa ketika dia melindungi Muhammad Adib yang tidak sedarkan diri dalam keadaan bersandar di bahagian belakang kereta, dia turut menjadi sasaran apabila terkena sepakan yang mahu ditujukan kepada anggota bomba itu.

Katanya, penelitiannya mendapati dalam rusuhan itu, Muhammad Adib dipukul oleh dua hingga 30 orang yang tidak dikenal pasti siapa.

Keluarga Muhammad Adib harap suspek dibawa ke muka pengadilan

SHAH ALAM: Abang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Asraf, berharap suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian adiknya segera dibawa ke muka pengadilan.

Beliau berkata, ini kerana keluarga Muhammad Adib masih menuntut keadilan, selepas hampir setahun insiden menyayat hati itu berlaku.

“Kami sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini bahawa kematian adik saya bukan akibat dilanggar.

“Mahkamah sebaliknya memutuskan punca kematian akibat perbuatan jenayah.

“Kami sekeluarga berharap pihak polis dapat segera menangkap pelaku jenayah dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini.

Mahkamah Koroner hari ini, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib berpunca akibat perbuatan jenayah oleh dua orang atau lebih individu yang tak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian boleh diterima dan mempunyai asas selain ia disokong saksi ke-30, iaitu pakar Fizik dalam pengiraan formula daya.

Beliau berkata, pihaknya juga menolak teori yang dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van EMRS sebelum dilanggar.

Ketika membacakan keputusan, Rofiah juga memberitahu keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan pasukan FRU dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Jumaat, 27 September 2019

Tun, pandanglah redha Allah dalam mencari pengganti – Mufti Perlis

YAB Perdana Menteri, saya menulis warkah terbuka ini dengan saya penuh sedar tentang semangat YAB Tun mempertahankan identiti tanahair ini. Pengalaman saya mengenali Tun sejak dulu, menerusi perbualan dan perbincangan sendirian, menjadikan saya percaya ‘semangat Melayu’ Tun melebihi saya. Walaupun mungkin dalam beberapa isu agama, kita berbeda pandangan, namun saya dapat merasai semangat Islam itu berada dalam urat nadi Tun. Pengetahuan saya tentang hal inilah yang menyebabkan saya menyokong Tun dalam beberapa isu.
YAB Tun, langkah menjatuhkan kerajaan yang lepas atas isu rasuah dan salah guna kedudukan yang berleluasa disebabkan lamanya berada di tampuk kuasa menggembirakan ramai rakyat jelata. Malangnya, dalam membentuk kerajaan baharu, pasukan yang bersama Tun dilihat tidak seindah yang diimpikan bagi memenuhi harapan rakyat. Banyak masalah yang tidak sewajarnya muncul satu demi satu. Ia bukan sahaja faktor kurang pengalaman, tapi faktor kekurangan akal budi, keceluparan, sikap perkauman sehingga melupai identiti negara, ketandusan idea tentang urus tadbir yang baik, dan tidak boleh dinafikan juga keinginan pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa selepas ketiadaan Tun.
YAB Tun, justeru saya ingin mengemukakan beberapa perkara untuk diberikan perhatian;
1. Walaupun kita memuji usaha menghapuskan rasuah dan perasuah, namun seperti yang kami rakyat bawahan rasai, keadaan negara semakin membimbangkan. Kebiadapan dan kemelampauan golongan yang ingin menghapuskan identiti negara yang termaktub dalam perlembagaan makin ketara. Sementara kita ketandusan pemimpin yang mempunyai karisma yang tinggi yang dapat diletakkan kepercayaan majoriti rakyat kepadanya. Jika hal ini terus berlaku, negara akan hilang arah kepimpinannya, lantas keadaan yang tidak aman dan tenteram akan berlaku.
2. Saya menulis warkah terbuka ini apabila teringat sebelum YAB Tun menjadi PM semula, ketika saya di rumah YAB Tun minum petang bersama Tun dan Tun Siti. Ketika itu saya ada bertanya tentang kerjasama politik Tun dan siapakah bakal menjadi PM Malaysia jika rancangan politik Tun diteruskan. Seingat saya, jawapan ketika itu tidaklah sama dengan apa yang diwar-warkan sekarang. Namun, itu bukanlah satu isu.
3. Apapun strategi politik yang YAB Tun susun dan apapun tekanan keadaan YAB Tun sekarang, saya sebagai seorang rakyat Malaysia berharap masa depan negara tidak tergadai disebabkan keadaan yang ada. Saya percaya negara bukan satu hadiah peribadi yang boleh dipindah milik kepada sesiapa sahaja tanpa satu penelitian dan renungan terhadap masa depan identiti, keluhuran budi dan nilai keinsanan yang waras.
4. YAB Tun, seperti yang Tun lebih maklum bahawa hukum alam menyatakan bahawa manusia apabila sampai kepada tahap tertentu, mereka tidak mampu lagi melakukan hal-hal yang mereka telah lakukan semasa mereka muda dan sihat. Umur mempunyai peranannya. Allah telah menjadikan YAB Tun dalam satu keadaan yang luar biasa dan istimewa untuk manusia di zaman ini. Kesihatan dan tahap pemikiran yang masih kuat pada usia yang begitu lanjut. Pun begitu, ia pasti menuju kepada tahap pengakhirannya. Demikian itulah ketetapan Tuhan bagi penciptaan manusia dan alam.
5. YAB Tun dalam sejarah, Rajak bin Haiwah merupakan penasihat yang soleh untuk khalifah-khalifah Bani Umayyah. Sulaiman bin ‘Abd al-Malik merupakan khalifah sebelum ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Sebelum Sulaiman meninggal, dia telah meminta nasihat daripada Rajak bin Haywah tentang siapakah yang wajar menjadi penggantinya. Rajak bin Haywah menjawab: “Antara yang dapat memelihara khalifah dalam kuburnya adalah apabila dia melantik orang yang baik memerintah kaum muslimin”.
Akhirnya, Sulaiman sendiri membuat cadangan yang menyalahi kebiasaan pentadbiran sebelum itu. Dia mencadangkan seorang yang bukan saudara kandung, juga buka anaknya, tapi sepupunya ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Apabila Sulaiman bertanya pendapat Rajak bin Haywah, jawabnya: “Saya berpendapat dia seorang yang baik, muslim yang mulia, sukakan kebaikan dan sukakan orang-orang yang baik. Cuma aku bimbang saudara- saudaramu tidak bersetuju dengannya”. Kata Sulaiman: “Nampaknya begitulah”. Lalu Sulaiman bin ‘Abd al-Malik mengambil langkah politik agar cadangan itu mendapat sokongan kaum keluarganya yang mencengkam pemerintahan Bani Umayyah ketika itu dengan mencadangkan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz sebagai khalifah, sementara adik Sulaiman iaitu Yazid bin ‘Abd Malik sebagai timbalan (Waliy al-‘Ahd). Dia menulis surat wasiatnya seperti berikut: “Bismillah al-Rahman al-Rahim, ini surat Sulaiman bin ‘Abd al-Malik untuk ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Aku telah melantiknya menjadi khalifah selepasku, dan selepasnya Yazid bin ‘Abd al-Malik. Kamu semua dengar dan taatlah kepadanya (‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz). Jangan kamu berselisih pendapat nanti musuh-musuh akan bertindak ke atas kamu” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/207, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
6. YAB Tun, walaupun ada perkara-perkara yang dipertikaikan tentang Khalifah Sulaiman bin ‘Abd al-Malik, namun beliau dikenang jasanya dalam sejarah kerana tindakan berani yang mengenepikan kebiasaan dan melantik calon yang agak jauh menjadi khalifah yang telah membawa rahmat kepada Dunia Islam. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz telah menjadi kha;ifah yang sangat adil dan soleh. Dalam tempoh dua tahun memerintah, dia telah mencatatkan sejarah pemerintahnya dengan tinta emas bertatah berlian. Sulaiman bin ‘Abd Malik walaupun tidak setanding ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, namun sejarah akan mengenangnya kerana dialah yang memberi laluan tersebut kepada khalifah yang adil itu. Ini semua kerana dia menerima nasihat Rajak bin Haywah bahawa melantik pengganti yang soleh merupakan amalan yang dapat memelihara seorang khalifah apabila dia menemui Allah nanti.
Saya berharap banyak jasa Tun pada negara ini tidak dilupai disebabkan melantik pengganti yang salah. Sebaliknya, jasa yang banyak itu bertambah dikenang dengan pelantikan pengganti yang baik di sisi Allah dan rakyat.
7. YAB Tun, dalam sejarah awal Umat Islam, Khalifah Pertama Saidina Abu Bakr al-Siddiq telah mencadangkan agar Saidina ‘Umar bin al-Khattab sebagai pengganti beliau. Di sini saya terjemahkan surat Abu Bakar mengenai cadangan tersebut:
“Bismillah al-Rahman al-Rahim. Inilah apa yang dipesan oleh Abu Bakr bin Abu Quhafah di waktu akhir hayatnya di dunia ini, sedang keluar daripadanya. Ketika permulaan tempohnya di Akhirat, sedang masuk ke dalamnya. Di kala seperti ini, seseorang yang kafir akan beriman, seseorang pendusta akan bercakap benar. Maka aku –dalam keadaan begini- melantik pemerintah kamu selepasku ini ‘Umar bin al-Khattab. Maka dengar dan taatlah kepadanya. Aku tidak akan mengurangkan sedikit kebaikan pun pada (ajaran) Allah, rasulNya, agamaNya, diriku dan kamu. Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itulah sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu dibalas berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr).
8. Dalam surat di atas, jelas bahawa pencalonan yang dibuat oleh Abu Bakr, bukan atas kepentingan dirinya. Dia mencalonkan seorang calon yang terbaik pada keyakinannya dengan penuh rasa takutkan Allah dan hukuman Allah apabila dia mati kelak. Padahal ‘Umar itu insan terbaik selepas dirinya. Pun begitu Abu Bakr masih bimbang dan memberikan amaran yang keras kepada bakal penggantinya tersebut.
Sebagai seorang rakyat muslim, saya mengharapkan YAB Tun mencalonkan pengganti yang benar-benar membolehkan YAB Tun menjawab di hadapan ALLAH tentang orang yang akan mengambil kuasa politik tertinggi dalam negara ini. Jangan sampai kuasa itu jatuh ke tangan si rakus yang sanggup menggadaikan apa sahaja untuk kehendak dirinya berkuasa.
9. YAB Tun, berdoalah, beristikharahlah agar Tun membuat pilihan yang betul dalam hal ini. Semua akan menutup tirai hayatnya di dunia ini. Amalan kita akan dibawa bertemu Allah. Semoga baki waktu berharga dalam umur Tun ditutupi dengan amalan yang paling soleh iaitu mewariskan kuasa pada pengganti yang baik untuk agama, negara dan rakyat. Saya berdoa agar kuasa itu tidak jatuh ke tangan pihak yang akan merosakkan segala kebaikan dan kerahmatan yang ada. Jika itu berlaku dengan pilihan seseorang pemimpin sebelum dia pergi, ia merupakan pengakhiran yang buruk.
10. YAB Tun, maka nekadlah dalam menentukan masa depan negara. Janganlah dipandang wajah sesiapa, pandanglah keredhaan ALLAH dan murkaNYA pada hari kita bertemu denganNYA, kemudian tentukan calon, atau biarlah rakyat membuat pilihan untuk diri mereka sendiri. – MalaysiaGazette
Penulis adalah Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin