Sabtu, 31 Mei 2014

Kanak-kanak dibunuh kejam dipercayai akibat dendam

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dibawa oleh seorang lelaki sebelum ditemui mati di tepi Sungai Klang berdekatan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, kelmarin.
Hanya kerana dendam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki tidak berhati perut yang tergamak menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa hingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Beberapa saksi yang ternampak perbuatan suspek dari jauh berkejar ke tebing sungai itu sambil menjerit memintanya menghentikan perbuatan itu tetapi suspek tidak peduli dan tangannya terus menghentak dan mengelar leher kanak-kanak malang itu.

Sebaik sahaja saksi-saksi ber-kenaan menghampirinya, suspek terus terjun ke dalam sungai dan menghilang di dalam arus deras. Yang ada hanya mayat mangsa yang bahagian kepalanya telah terpisah daripada badan.

Mayatnya ditemui dalam keada-an tertiarap dengan kepalanya yang putus berada berdekatan kakinya. Mangsa hanya memakai seluar panjang putih dan lampin pakai buang. Terdapat kesan potong di leher dan bahagian kepalanya pecah.

Turut ditemui ialah sandal hitam dipercayai milik suspek, sandal kanak-kanak berwarna hitam hijau, baju kanak-kanak tanpa lengan berwarna putih, tali pengikat rambut dan serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehidupan ibu mangsa seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai penagih dadah sejak beberapa tahun lalu serta mempunyai sikap negatif hingga menimbulkan kemarahan suspek.

"Mungkin orang tak puas hati dengan ibu mangsa dan balas dendam pada anaknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan polis mendapati suspek telah mengekori pergerakan mangsa di sebuah kompleks beli-belah sebelum melarikan kanak-kanak berkenaan ketika ibunya yang berusia 32 tahun memasuki tandas di premis itu kira-kira pukul 3 petang.

Kong Meng berkata, mangsa ketika itu ditinggalkan bersama rakan ibunya di luar tandas tersebut.

"Beberapa jam selepas itu, saksi kejadian ternampak seorang lelaki dipercayai berketurunan India sedang mendukung seorang kanak-kanak menyusuri Sungai Klang. Orang awam turut melihat lelaki itu merebahkan kanak-kanak berkenaan sebelum menghempaskan sesuatu ke kepala dan melakukan sesuatu di leher kanak-kanak tersebut.

"Orang awam kemudiannya bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu, sebaliknya lelaki tersebut terus memukul kepala kanak-kanak berkenaan. Sewaktu saksi menghampiri tempat kejadian, suspek melarikan diri dan terjun ke dalam sungai," katanya.

Menurut Kong Meng, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang dipercayai lemas di Sungai Kelang masih diteruskan oleh polis dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam.

Khamis, 29 Mei 2014

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mangkat

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah diumumkan mangkat sebentar tadi.

Almarhum yang berusia 86 tahun mangkat pada jam 1.38 petang sebentar tadi.

Kemangkatan Paduka Seri Sultan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry secara langsung melalui RTM, sebentar tadi.

Beliau mengisytiharkan seluruh negeri berkabung selama 100 mulai hari ini dan kerajaan meminta semua pihak mengibarkan bendera separuh tiang sepanjang tempoh itu.


PM rafak takziah kepada kerabat diraja Perak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Perak atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

"Sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Al-Fatihah," kata perdana menteri dalam entri Facebook beliau di sini hari ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah, 86, secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi.

Baginda mangkat pada pukul 1.30 petang dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.

Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

Berikutan kemangkatan Sultan Perak, Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini untuk memberi penghormatan terakhir.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di Beijing.

Selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar esok, mereka akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula semalam sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China.


Etika pakaian orang awam ziarah jenazah almarhum

Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah esok perlu mematuhi beberapa garis panduan berpakaian.
  
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak hari ini, lelaki Islam perlu memakai pakaian kebangsaan berwarna gelap, bersamping warna gelap tanpa corak benang emas atau perak serta bersongkok hitam dengan lilitan kain putih atau riben selebar satu inci.
  
Lelaki bukan Islam pula perlu memakai sut berwarna gelap dengan bertali leher hitam atau berseluar panjang dan berbaju tangan panjang dengan dililit nkain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju tangan kiri.
  
Sementara itu, perempuan Islam pula perlu berbaju kurung atau berkain sopan dan bertudung hitam.
  
Perempuan bukan Islam pula hendaklah berpakaian sopan serta memakai lilitan kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju kiri.

Penghormatan terakhir oleh orang ramai diadakan mulai 11 pagi hingga 2 petang esok di Balairong Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
  
Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
  
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.


Istiadat pelantikan Sultan Perak baharu esok (29 Mei 2014)

Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada petang esok.
   
Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata istiadat tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah, yang mangkat hari ini.
  
Beliau berkata satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak akan diadakan lewat petang ini bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.
  
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung di Istana Iskandariah, katanya.
  
Mesyuarat khas itu diadakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII yang antara lain menetapkan Dewan Negara hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.
  
Ayob berkata, istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu itu akan berlangsung selepas orang ramai dan orang kenamaan menziarahi serta memberi penghormatan terakhir buat Almarhum Sultan Azlan Shah.


Jenazah almarhum tiba di Istana Iskandariah

Jenazah Sultan Perak Sultan Azlan Shah tiba di Istana Iskandariah, di sini pada pukul 8.15 malam ini.
  
Jenazah Almarhum yang dibawa oleh kenderaan Kementerian Pertahanan dari Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur disambut Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.
  
Turut mengiringi adalah kenderaan membawa Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun serta kerabat diraja yang lain.
  
Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Shahar Shah tiba di istana pada pukul 9.15 malam.
 
Seramai 30 pelajar Ma'ahad Tahfiz Masjid Negeri hadir untuk menyempurnakan majlis tahlil dan bacaan Yasin sepanjang malam ini yang berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah.

Tinjauan Bernama mendapati kenderaan silih berganti keluar masuk istana yang membawa kerabat diraja, orang-orang kenamaan, pegawai-pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan.
  
Laluan utama yang menuju ke Istana Iskandariah di Bukit Chandan, di sini ditutup berhampiran menara jam Kuala Kangsar bagi melancarkan lalu lintas.


Penghormatan terakhir almarhum 9 pagi esok

Orang awam dijadual memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.
  
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak malam ini, kumpulan kedua yang akan memberi penghormatan terakhir pada pukul 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari adalah orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing.
  
Ia disusuli Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan pada 1.30 petang hingga 2.15 petang.
  
Istiadat pelantikan dan pengisytiharan raja baharu akan disempurnakan pada 2.30 petang di balai sama sebelum diteruskan dengan istiadat pemakaman di Makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah di sini, pada 3 petang.


Sultan Azlan Shah raja berjiwa rakyat

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan seorang raja berilmu dan berjiwa rakyat selain dikenali sebagai tokoh perundangan yang dikagumi, kata Ketua Penerangan Umno Perak Datuk Khusairi Abdul Talib.
  
Beliau berkata, kemangkatan Sultan Azlan Shah amat dirasai oleh rakyat jelata kerana baginda merupakan seorang raja yang mengambil berat tentang permasalahan mereka.
  
"Semasa hayatnya, setiap tahun baginda mengadakan sambutan majlis berbuka puasa bersama rakyat pada Ramadan. Cuma, sejak tahun lepas baginda tidak dapat meneruskan rutin tahunan itu atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  
Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 petang tadi dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
  
Almarhum berusia 86 tahun.

Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
 
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
  
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohammad berkata sepanjang hayatnya, Almarhum telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kerajaan Perak.
  
"Sultan merupakan tempat kita bernaung dan baginda banyak memberi nasihat kepada kerajaaan negeri. Baginda selalu membimbing dan menegur kepada kerajaan negeri sekiranya perlu," katanya.
  
Ketua Wanita Umno Perak Datuk Rusnah Kassim berkata, Almarhum seorang tokoh perundangan yang sangat disegani berdasarkan kepada penghakiman baginda yang amat bernas.

"Baginda seorang yang penting dalam bidang undang-undang... baginda bukan sahaja seorang sultan yang begitu pengasih kepada rakyat bahkan seorang sultan yang berilmu," katanya.
  
Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak Mohd Zamri Mustajab pula berkata Almarhum sangat dekat di hati rakyat terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli sehingga menganggap masyarakat itu adalah 'anak emas'.
  
"Sepanjang saya berkhidmat di bawah jabatan itu selama 10 tahun sehingga bertukar pada September lepas, jabatan itu adalah yang paling hampir dengan baginda.
  
"Kenangan semasa baginda merasmikan Kompleks Orang Asli di Sungai Siput empat tahun lepas tidak mungkin saya lupakan," katanya.
  
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming turut merafak takziah kepada keluarga diraja Perak di atas kemangkatan baginda.

"Pemergian Tuanku merupakan satu kehilangan yang besar kepada Perak amnya dan rakyat jelata seluruh negara kerana baginda juga pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong.
  
"Jasa Tuanku dikenang di atas kebijaksanaan baginda khususnya ketika menjadi Ketua Hakim Negara...," katanya.
  
Sementara itu, Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Annuar Zaini berkata Sultan Azlan Shah merupakan seorang yang tegas dan amat teliti.
  
"Baginda seorang sultan yang mempunyai intelektual yang cukup tinggi dan terhormat. Baginda juga seorang yang cukup teliti dan berhati-hati dalam berkata-kata," katanya.
  
Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lam Pau Yin pula tidak dapat melupakan pengalamannya membuat liputan acara-acara Sultan Azlan Shah termasuk upacara perkahwinan anakanda-anakanda baginda.

Rabu, 28 Mei 2014

Sultan Perak mangkat, Siapa bakal penganti?

Bakal Sultan PErak
Di sebalik kesedihan berikutan kemangkatan Sultan Perak ke-34, DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah tengah hari tadi, ramai mula tertanya-tanya siapakah yang bakal dipilih menduduki takhta pemerintahan kerajaan negeri Perak.

Ini kerana sekiranya dirujuk kepada undang-undang tubuh kerajaan, sistem pemerintahan beraja negeri Perak mempunyai keunikan tersendiri.

Berikut adalah antara senarai calon yang dipilih melalui mesyuarat yang akan diputuskan oleh Dewan Negara negeri Perak.


Raja nazrin Shah
1) Duli Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah ibni Almarhum DYMM Sultan Azlan Shah

 Raja Dihilir Perak
2) Duli Yang Amat Mulia Raja Dato’ Seri Ja’afar bin Raja Muda Musa

 Raja Kechil besar
3) Yang Amat Mulia Raja Dato’ Seri Iskandar Zulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah

Berikut adalah maklumat ringkas berhubung pemilihan bakal Sultan:

Secara asasnya negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai sembilan daerah besar dan lapan daerah kecil. Hirarki sistem pemerintahan berajanya berlainan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Setiap bakal sultan akan melalui tangga-tangga raja bergelar sebelum menduduki takhta utama negeri.

Pemilihan dan pelantikan Raja Pemerintah bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara Perak.

Sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat bakal sultan, bukan mengikut sistem turun temurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya.

Sistem yang unik ini adalah melalui ikut giliran pemerintahan. Buat masa ini Negeri Perak mempunyai tiga keluarga diraja yang memerintah secara giliran. Keluarga yang dimaksudkan ialah dari Keluarga Iskandar, Yusuf dan Abdullah.

Biasanya, hika seorang sultan pemerintah mangkat, bakal pemerintah menggantinya adalah daripada keluarga yang berikutnya dan keluarga sultan yang mangkat terpaksa menunggu giliran mereka untuk memerintah negeri mengikut susunan yang telah ditetapkan oleh Dewan Negara.

Oleh itu, apabila seseorang sultan itu mangkat, seluruh keluarga baginda terpaksa mengosongkan istana dalam masa 100 hari dan istana tersebut akan didiami pula oleh keluarga sultan yang baru.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, seseorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah hendaklah mempunyai zuriat yang diakui telah diperanakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh dan darah daging sultan yang ke-18.

Ianya hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun temurun sehingga yang akhir sekali.

Undang-Undang Tubuh tidak sesekali membenarkan dan adalah diharamkan memilih dan melantik seseorang raja pemerintah selain daripada zuriat seumpama itu daripada sultan ke-18 selagi ada hidupnya seorang zuriat seumpama itu daripada sultan tersebut dengan syarat raja pemerintah itu tiada mempunyai suatu cacat yang besar dan berat yang kerananya ia tidak akan diluluskan oleh Hukum Syarak menjadi seorang raja pemerintah.

Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih sultan yang ke-18, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang raja pemerintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih sultan yang pertama.

Jikalau sekiranya tiada seorang yang layak dilantik menjadi raja pemerintah, maka pilihan dari lantikan raja pemerintah hendaklah diserahkan kepada timbangan, hukuman dan keputusan Dewan Negara.

Setelah raja pemerintah dimashyurkan, dua orang bakal sultan hendaklah dilantik oleh raja pemerintah dengan nasihat Dewan Negara. Dua gelaran yang dipegang oleh bakal sultan itu ialah Raja Muda dan Raja Di Hilir.

Gelaran Raja Bendahara telah dihidupkan semula kepada gelaran biasa iaitu Yang Amat Bahagia Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja dan tidak dengan gelaran Yang Amat Mulia Tuanku Raja Bendahara, Wakilus-Sultan Wazirul-Kabir.

Pelantikan bakal sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang raja pemerintah.

Sebelum dilaksanakan haknya atau menjalankan tanggungjawabnya, bakal sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara.

Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran itu dianugerahkan mengikut adat Melayu.

Bagaimanapun, sebelum seseorang itu dilantik menjadi bakal sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-Raja Bergelar. Gelaran yang diberi kepada Raja-Raja Bergelar adalah seperti berikut;

1. Raja Kecil Bongsu
2. Raja Kecil Tengah
3. Raja Kecil Sulong
4. Raja Kecil Besar
5. Raja Di Hilir
6. Raja Muda
7. Sultan dan Yang DiPertuan.

Pada kebiasaannya Raja Muda akan dilantik menjadi Raja Pemerintah setelah mangkatnya Raja Pemerintah (Sultan) dan Raja Di Hilir akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh Raja Muda dan tempat Raja Di Hilir pula diganti oleh Raja Kecil Besar dan seterusnya sehingga ke jawatan Raja Kecil Bongsu menjadi kosong.

Pada lazimnya Raja Pemerintah yang baru akan mengurniakan gelaran Raja Kecil Bongsu kepada putera sulong baginda.

Bagaimanapun, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyatakan bahawa dalam pemilihan bakal sultan, pertimbangan pertama hendaklah diberikan kepada calon yang paling dekat mengikut tertib susunan kedudukan bakal sultan dan kemudian barulah kepada tiap-tiap orang Raja-Raja Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya sebelum menimbangkan seseorang daripada peringkat atas, peringkat am daripada mereka yang harus dipilih menjadi Raja Pemerintah.

Jumaat, 23 Mei 2014

Tentera rampas kuasa

Pihak tentera gantung perlembagaan Thailand

BANGKOK: Pihak tentera Thailand mengumumkan bahawa mereka sudah menggantung perlembagaan negara berkenaan.

Kenyataan pihak tentera yang disiarkan menerusi televisyen hari ini mengesahkan kerajaan sementara negara itu tidak lagi berkuasa tetapi Senat masih dikekalkan.

Perkara itu dinyatakan dua jam selepas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha mengumumkan tentera merampas kuasa negara itu selepas enam bulan kemelut politik melanda negara berkenaan. - AP

 


Tentera arah PM, menteri lapor diri
Tentera Thailand meminta Pemangku Perdana Menteri, Niwatthamrong Boonsongphaisan dan menterinya supaya melapor diri di markas tentera di utara Bangkok, hari ini.

Jurucakap tentera, Winthai Suvaree mengeluarkan arahan itu menerusi kenyataan di televistyen beberapa jam selepas tentera merampas kuasa kerajaan negara terbabit. - Reuters 

 
Tentera Thailand umum perintah berkurung
BANGKOK: Tentera Thailand hari ini mengumumkan perintah berkurung seluruh negara bermula dari jam 10 malam hingga 5 pagi selepas mengumumkan tentera mengambilalih kuasa kerajaan bagi mengembalikan kestabilan.

Jurucakap Tentera berkata, Winthai Suvaree berkata, pengumuman itu dibuat secara langsung menerusi televisyen. - AP 
 
 
Tentera Thailand minta penunjuk perasaan pulang ke rumah BANGKOK: Penunjuk perasaan anti kerajaan di sini bersurai buat kali pertama sejak negara itu dilanda krisis politik yang bermula enam bulan lalu.

Pihak tentera yang merampas kuasa hari ini meminta penunjuk perasaan supaya pulang ke rumah dan beratus-ratus orang bersurai secara aman meninggalkan tapak demonstrasi berdekatan bangunan kerajaan.
 
Ketua penunjuk perasaan, Thaworn Senneam berkata, pihak tentera sedang menyediakan kenderaan untuk membawa penunjuk perasaan pulang. - AP

Hamza Taib nafi dakwaan MyWatch

Hamza Taib
Hamza Taib

SERI KEMBANGAN – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib menyelar kenyataan Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R. Sri Sanjeevan yang menuduh anak lelaki tunggalnya memiliki kekayaan luar biasa.
Beliau menyifatkan Sanjeevan sengaja mengeluarkan kenyataan itu semata-mata bagi mendapat publisiti murahan.

Jelas beliau, anaknya, Mohammad Azhan, 30, telah menjalankan perniagaan sejak ertahun-tahun di Kuala Lumpur dan tidak menganggur seperti didakwa.

“Lelaki muda zaman sekarang memang bekerja keras untuk mencari wang dan membeli kereta, saya tak sangka pula mempunyai kereta jenis dua pintu dianggap kereta mewah,” katanya kepada sebuah portal online hari ini.

Sanjeevan dalam satu sidang media di ibu negara mendedahkan kekayaan luar biasa seorang anak pegawai kanan anggota polis sebuah negeri yang dianggarkan lebih RM2 juta ringgit.

Selain memiliki dua buah kereta mewah jenie Audi dan Jaguar yang dibeli secara tunai, lelaki yang berumur 30-an itu turut memeliki enam akauan bernilai lebih RM500,000.

Isnin, 19 Mei 2014

MH370: Mahathir sibuk, Pak Lah bercuti

pak lah

PETALING JAYA: Setelah 71 hari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal hilang, usaha menjejak rangka pesawat tersebut masih belum berhasil.

Dalam masa itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak henti-henti menggesa supaya misi pencarian pesawat MH370 dipergiat dan menyeru agar semua pihak tidak menuding jari kepada MAS semata-mata.

Mahathir sering meluahkan hasrat dan harapannya berkenaan kehilangan pesawat malang itu di laman blog miliknya iaitu www.chedet.cc.

Namun perkara ini tidak dilakukan oleh seorang lagi mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)  yang juga merupakan Penasihat MAS yang telah dilantik pada 1 Mei 2009.

Terdapat dakwaan bahawa  Pak Lah dipercayai telah berlepas ke Barcelona 14 Mei lalu menaiki pesawat Emirates Airlines bersama-sama isteri dan rakan karibnya seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Hassan dan juga anaknya yang hanya dikenali sebagai Kamal.

“Tun Abdullah telah pergi ke Barcelona bergembira bersama rakan dan keluarganya bagi menaiki kapal layar mewah,” kata seorang sumber yang enggan namanya didedahkan.

Ujarnya lagi, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan tumpuan masyarakat dunia masih ke arah syarikat penerbangan yang sering dilabelkan sebagai ‘anak emas’ dalam industri penerbangan negara.

Malah, orang ramai masih menanti pengumuman rasmi daripada pihak MAS berkenaan khabar gembira mengenai pesawat MH370.

“Sepatutnya, penasihat MAS sendiri yang lebih peka dan prihatin terhadap kehilangan pesawat MH370, dan bukannya mereka yang langsung tidak memegang sebarang jawatan daripada pihak MAS,” tegasnya.

FMT difahamkan cuti Penasihat MAS itu ditanggung oleh kerajaan kecuali naik kapal mewah dibayar sendiri.

Ahad, 11 Mei 2014

Jumlah ahli Umno

Sabah kekal sebagai teraju dalam jumlah ahli Umno teramai dengan bilangannya 518,773 orang, manakala Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah Silam, Sabah dengan jumlah ahli seramai 49,880 orang, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Jelasnya, kedudukan keahlian UMNO sehingga 4 Disember 2013 adalah seramai 3,430,750 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,208 dan keahlian cawangan teramai dengan jumlah ahlinya 1,855 orang juga masih didahului Kampung Tinosa Jaya /Libaran.

Jumlah terkini ahli UMNO mencecah 3.5 juta membabitkan 21,800 cawangan di seluruh negara sekali gus mencatatkan peningkatan hampir 500,000 ahli baru dalam tempoh setahun.

Rabu, 7 Mei 2014

AL-FATIHAH... Pak Cik Jamal meninggal dunia

jamal-m7-May

PUTRAJAYA, 7 Mei: Pak Cik Jamal atau Jamal Muhamad, 75 menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Jamal yang juga personaliti televisyen veteran popular dengan watak Speaker menerusi program Mini Parlimen terbitan RTM di era 80-an mengalami sesak nafas sejak kelmarin.

Akhbar hari ini melaporkan, Jamal tenat dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya, semalam, selepas mengadu sesak nafas.

Jamal atau lebih mesra disapa Pak Cik Jamal melalui program Mini Parlimen yang popular pada era 1980-an, turut menjalani ujian khas mengesan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), berikutan beliau baru pulang daripada mengerjakan umrah pada 30 April lalu.

Anak beliau, Sheila berkata, ayahnya mengalami masalah pernafasan yang didakwa berpunca daripada penyakit ankylosing spondylitis yang dihidapi sejak 14 tahun lalu, menyebabkan tulang belakang Jamal membengkok hingga mengganggu paru-paru.

Katanya, ayahnya dikejarkan ke Hospital Putrajaya menggunakan ambulans selepas mengadu sukar bernafas, tengah hari kelmarin.

“Sejak pulang daripada mengerjakan umrah bulan lalu, kesihatan ayah makin terganggu. ”Doktor memberitahu paru-parunya kronik dan disyaki terkena virus MERS-CoV.

“Ayah terpaksa dikuarantin sebelum keputusan mengenai virus itu diketahui antara tiga hingga empat hari lagi,” katanya.

Aziz Sattar: Sebutir bintang yang sukar dicari ganti

Trio sekuel 'Bujang Lapok' sudah kembali ke rahmatullah dan yang terbaru ialah Aziz Sattar.
Trio sekuel 'Bujang Lapok' sudah kembali ke rahmatullah dan yang terbaru ialah Aziz Sattar.

Oleh Nuraina Hanis Abd Halim (journalist@abnxcess.com)

KUALA LUMPUR – Perginya trio terakhir sekuel ‘Bujang Lapok’, Datuk Aziz Sattar disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada industri perfileman negara.

Antara yang cukup merasai kehilangan legenda itu ialah bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, Aziz merupakan pelakon hebat kerana dianugerahkan bakat berlawak secara spontan dan diibaratkan seperti sebutir bintang yang sukar dicari ganti dalam sejarah perfileman Melayu.

Rais Yatim
Rais Yatim

“Salah satu daripada perkara yang tersohor bagi Allahyarham Datuk Aziz ialah kebolehannya berkomedi secara spontan. Saya khasnya salah seorang sahabat merasa kehilangan dari satu tokoh yang sukar diganti dalam sinema Melayu,” katanya.

Tambahnya lagi, sifat Allahyarham yang sentiasa ceria dan cekal dalam menangani kontroversi yang melanda juga jadi kunci kejayaan hidupnya sama ada dalam karier mahupun peribadi.

“Datuk Aziz mempunyai sifat keceriaan yang luar biasa dan tidak pernah sugul dalam menghadapi masalah-masalah peribadi mahupun dalam karier,” katanya.

Fauziah Ahmad Daud
Fauziah Ahmad Daud

Sementara itu, pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud mengakui terkejut apabila mendengar berita pemergian Allahyarham Aziz Sattar melalui televisyen.

Beliau yang mengenali Allahyarham sejak kecil berkata, Aziz merupakan seorang contoh yang baik dan perlu diteladani oleh pelapis-pelapis muda dunia perfileman kini.

“Tak pernah menyombong, bersopan santun, beradab dan bila saya panggil dia berlakon, tidak pernah minta harga. Sikapnya bila berada di khalayak ramai ataupun di lokasi penggambaran. Dia begitu terbuka untuk semua orang menghampiri dia untuk berkenalan dengan dia. Arwah ini contoh yang begitu baik untuk pelakon-pelakon generasi sekarang ini,” katanya.

Zainuddin Sattar
Zainuddin Sattar

Dalam pada itu, anak lelaki Allahyarham, Zainuddin Sattar menyifatkan Allahyarham merupakan seorang yang sangat istimewa bagi keluarga serta negara serantau dengan bakat yang dikurniakan padanya.

“Bagi saya, dia insan yang sangat istimewa. Bukan sahaja kepada anak tetapi kepada seluruh ahli keluarga baik di Malaysia, Singapura, Brunei atau di mana-mana saja,” katanya.

Menurut Zainuddin, cinta ayahnya terhadap dunia seni tidak dapat ditandingini kerana sepanjang hayatnya, Allahyarham bergiat aktif dalam bidang seni sebagai pelawak, pelakon mahupun penari.

“Tiada orang boleh lawan. Kekuatan hatinya lain dari orang lain, tak sama. Apa yang boleh saya katakan dia adalah lagenda,” katanya.

Aziz Sattar meninggal dunia pada jam 2 pagi akibat serangan jantung di Hospital Kajang.

Selasa, 6 Mei 2014

AL-FATIHAH... Aziz Sattar meninggal dunia



Aziz Sattar meninggal dunia 
PELAKON veteran, Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi. 
KAJANG: Pelakon veteran, Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Anak perempuannya, Sandakiah memberitahu, Aziz menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu. 
"Ayah dimasukkan ke hospital sejak kelmarin selepas diserang penyakit jantung.

Kami sekeluarga sedang menguruskan jenazah yang akan dibawa pulang ke rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sebaik dibenarkan pihak hospital," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Sandakiah berkata, pihaknya juga sedang menguruskan pengebumian ayahnya yang dijangka dilakukan pagi ini. Gandingan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Pak Ajis bersama Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin sebagai trio Bujang Lapuk menjadi antara watak ikonik dalam dunia senimatik Melayu sejak era 1950an.

Seniman legenda Aziz Sattar meninggal dunia

Seniman legenda Aziz Sattar meninggal dunia

Seniman lagenda Datuk Aziz Sattar dalam kenangan - Al Fatihah
 
KUALA LUMPUR: Pemergian seorang lagi legenda trio Bujang Lapok, pelakon veteran Datuk Abdul Aziz Sattar, bermakna negara kita kehilangan trio hebat zaman kegemilangan filem melayu Jalan Ampas.

Aziz Sattar, 89 meninggal dunia pada pukul 2 pagi tadi di Hospital KPJ Kajang akibat penyakit jantung.

Allahyarham telah dikejarkan ke hospital yang sama pada Ahad lalu.

Ketika hayatnya, Allahyarham amat dikenali dengan watak Ajis bersama trio Ramlee dan Sudin menerusi filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan banyak lagi.

Siri filem Bujang Lapok sememangnya kekal segar dalam ingatan peminat filem melayu sehingga ke hari ini oleh segenap lapisan usia.

Usai era Jalan Ampas, Allahyarham mengarah filem pertamanya iaitu Keluarga Si Comat pada tahun 1975.

Allahyarham kemudian terus diberi kepercayaan mengarah beberapa filem lagi seperti Si Badol, Prebet Lapok, Penyamun Tarbus, Setinggan, Tujuh Biang Keladi, Ok dan Adik yang sekali gus turut melahirkan nama-nama besar dalam dunia komedi seperti AR Badul dan Mr. Os.

Ikon lawak negara yang turut dikenali sebagai Pak Ajis ini dilahirkan di Pekalongan, Provinsi Jawa Tengah, Indonesia pada 8 Ogos 1925.

Pemergian Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak, 19 cucu, lima cicit dan seorang balu.

Jenazah akan disempurnakan pada pukul 11.30 pagi hari ini di kediaman anaknya, di alamat 37 Jalan Suasana 2/2 Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan akan dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Cheras Perdana.

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...