Rabu, 28 Mei 2014

Sultan Perak mangkat, Siapa bakal penganti?

Bakal Sultan PErak
Di sebalik kesedihan berikutan kemangkatan Sultan Perak ke-34, DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah tengah hari tadi, ramai mula tertanya-tanya siapakah yang bakal dipilih menduduki takhta pemerintahan kerajaan negeri Perak.

Ini kerana sekiranya dirujuk kepada undang-undang tubuh kerajaan, sistem pemerintahan beraja negeri Perak mempunyai keunikan tersendiri.

Berikut adalah antara senarai calon yang dipilih melalui mesyuarat yang akan diputuskan oleh Dewan Negara negeri Perak.


Raja nazrin Shah
1) Duli Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah ibni Almarhum DYMM Sultan Azlan Shah

 Raja Dihilir Perak
2) Duli Yang Amat Mulia Raja Dato’ Seri Ja’afar bin Raja Muda Musa

 Raja Kechil besar
3) Yang Amat Mulia Raja Dato’ Seri Iskandar Zulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah

Berikut adalah maklumat ringkas berhubung pemilihan bakal Sultan:

Secara asasnya negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai sembilan daerah besar dan lapan daerah kecil. Hirarki sistem pemerintahan berajanya berlainan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Setiap bakal sultan akan melalui tangga-tangga raja bergelar sebelum menduduki takhta utama negeri.

Pemilihan dan pelantikan Raja Pemerintah bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara Perak.

Sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat bakal sultan, bukan mengikut sistem turun temurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya.

Sistem yang unik ini adalah melalui ikut giliran pemerintahan. Buat masa ini Negeri Perak mempunyai tiga keluarga diraja yang memerintah secara giliran. Keluarga yang dimaksudkan ialah dari Keluarga Iskandar, Yusuf dan Abdullah.

Biasanya, hika seorang sultan pemerintah mangkat, bakal pemerintah menggantinya adalah daripada keluarga yang berikutnya dan keluarga sultan yang mangkat terpaksa menunggu giliran mereka untuk memerintah negeri mengikut susunan yang telah ditetapkan oleh Dewan Negara.

Oleh itu, apabila seseorang sultan itu mangkat, seluruh keluarga baginda terpaksa mengosongkan istana dalam masa 100 hari dan istana tersebut akan didiami pula oleh keluarga sultan yang baru.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, seseorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah hendaklah mempunyai zuriat yang diakui telah diperanakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh dan darah daging sultan yang ke-18.

Ianya hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun temurun sehingga yang akhir sekali.

Undang-Undang Tubuh tidak sesekali membenarkan dan adalah diharamkan memilih dan melantik seseorang raja pemerintah selain daripada zuriat seumpama itu daripada sultan ke-18 selagi ada hidupnya seorang zuriat seumpama itu daripada sultan tersebut dengan syarat raja pemerintah itu tiada mempunyai suatu cacat yang besar dan berat yang kerananya ia tidak akan diluluskan oleh Hukum Syarak menjadi seorang raja pemerintah.

Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih sultan yang ke-18, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang raja pemerintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih sultan yang pertama.

Jikalau sekiranya tiada seorang yang layak dilantik menjadi raja pemerintah, maka pilihan dari lantikan raja pemerintah hendaklah diserahkan kepada timbangan, hukuman dan keputusan Dewan Negara.

Setelah raja pemerintah dimashyurkan, dua orang bakal sultan hendaklah dilantik oleh raja pemerintah dengan nasihat Dewan Negara. Dua gelaran yang dipegang oleh bakal sultan itu ialah Raja Muda dan Raja Di Hilir.

Gelaran Raja Bendahara telah dihidupkan semula kepada gelaran biasa iaitu Yang Amat Bahagia Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja dan tidak dengan gelaran Yang Amat Mulia Tuanku Raja Bendahara, Wakilus-Sultan Wazirul-Kabir.

Pelantikan bakal sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang raja pemerintah.

Sebelum dilaksanakan haknya atau menjalankan tanggungjawabnya, bakal sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara.

Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran itu dianugerahkan mengikut adat Melayu.

Bagaimanapun, sebelum seseorang itu dilantik menjadi bakal sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-Raja Bergelar. Gelaran yang diberi kepada Raja-Raja Bergelar adalah seperti berikut;

1. Raja Kecil Bongsu
2. Raja Kecil Tengah
3. Raja Kecil Sulong
4. Raja Kecil Besar
5. Raja Di Hilir
6. Raja Muda
7. Sultan dan Yang DiPertuan.

Pada kebiasaannya Raja Muda akan dilantik menjadi Raja Pemerintah setelah mangkatnya Raja Pemerintah (Sultan) dan Raja Di Hilir akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh Raja Muda dan tempat Raja Di Hilir pula diganti oleh Raja Kecil Besar dan seterusnya sehingga ke jawatan Raja Kecil Bongsu menjadi kosong.

Pada lazimnya Raja Pemerintah yang baru akan mengurniakan gelaran Raja Kecil Bongsu kepada putera sulong baginda.

Bagaimanapun, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyatakan bahawa dalam pemilihan bakal sultan, pertimbangan pertama hendaklah diberikan kepada calon yang paling dekat mengikut tertib susunan kedudukan bakal sultan dan kemudian barulah kepada tiap-tiap orang Raja-Raja Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya sebelum menimbangkan seseorang daripada peringkat atas, peringkat am daripada mereka yang harus dipilih menjadi Raja Pemerintah.

Tiada ulasan: