Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan
Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah diumumkan mangkat sebentar tadi.
Almarhum yang berusia 86 tahun mangkat pada jam 1.38 petang sebentar tadi.
Kemangkatan Paduka Seri Sultan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry secara langsung melalui RTM, sebentar tadi.
Beliau mengisytiharkan seluruh negeri berkabung selama 100 mulai hari
ini dan kerajaan meminta semua pihak mengibarkan bendera separuh tiang
sepanjang tempoh itu.
PM rafak takziah kepada kerabat diraja Perak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada
kerabat diraja Perak atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
"Sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Sultan Perak yang ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum
Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Al-Fatihah," kata perdana menteri dalam
entri Facebook beliau di sini hari ini.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan
kemangkatan Sultan Azlah Shah, 86, secara langsung menerusi TV1, Radio
Televisyen Malaysia (RTM) pada pukul 3.40 petang tadi.
Baginda mangkat pada pukul 1.30 petang dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan
pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah,
Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
Berikutan kemangkatan Sultan Perak, Najib yang sedang dalam rangka
lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini untuk memberi
penghormatan terakhir.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri Datin Seri
Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di
Beijing.
Selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Istana
Iskandariah, Kuala Kangsar esok, mereka akan kembali ke Beijing untuk
menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula semalam sempena ulang
tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China.
Etika pakaian orang awam ziarah jenazah almarhum
Orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada jenazah
Almarhum Sultan Azlan Shah esok perlu mematuhi beberapa garis panduan
berpakaian.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak hari ini, lelaki Islam
perlu memakai pakaian kebangsaan berwarna gelap, bersamping warna gelap
tanpa corak benang emas atau perak serta bersongkok hitam dengan lilitan
kain putih atau riben selebar satu inci.
Lelaki bukan Islam pula perlu memakai sut berwarna gelap dengan bertali
leher hitam atau berseluar panjang dan berbaju tangan panjang dengan
dililit nkain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju
tangan kiri.
Sementara itu, perempuan Islam pula perlu berbaju kurung atau berkain sopan dan bertudung hitam.
Perempuan bukan Islam pula hendaklah berpakaian sopan serta memakai
lilitan kain hitam (toha) berukuran tiga inci lebar di lengan baju kiri.
Penghormatan terakhir oleh orang ramai diadakan mulai 11 pagi hingga 2
petang esok di Balairong Seri Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.
Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang
putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri
Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong
Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Istiadat pelantikan Sultan Perak baharu esok (29 Mei 2014)
Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu akan
diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada petang
esok.
Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata istiadat
tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Almarhum
Sultan Azlan Shah, yang mangkat hari ini.
Beliau berkata satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak akan diadakan
lewat petang ini bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk
menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi
Zainuddin akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung di
Istana Iskandariah, katanya.
Mesyuarat khas itu diadakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal
LXIII yang antara lain menetapkan Dewan Negara hendaklah bermesyuarat di
Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan
seorang Raja Pemerintah.
Ayob berkata, istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang
baharu itu akan berlangsung selepas orang ramai dan orang kenamaan
menziarahi serta memberi penghormatan terakhir buat Almarhum Sultan
Azlan Shah.
Jenazah almarhum tiba di Istana Iskandariah
Jenazah Sultan Perak Sultan Azlan Shah tiba di Istana Iskandariah, di sini pada pukul 8.15 malam ini.
Jenazah Almarhum yang dibawa oleh kenderaan Kementerian Pertahanan dari
Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur disambut Pemangku Raja Perak Raja
Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.
Turut mengiringi adalah kenderaan membawa Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun serta kerabat diraja yang lain.
Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak
Raja Normahani Shahar Shah tiba di istana pada pukul 9.15 malam.
Seramai 30 pelajar Ma'ahad Tahfiz Masjid Negeri hadir untuk
menyempurnakan majlis tahlil dan bacaan Yasin sepanjang malam ini yang
berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah.
Tinjauan Bernama mendapati kenderaan silih berganti keluar masuk istana
yang membawa kerabat diraja, orang-orang kenamaan, pegawai-pegawai
kerajaan dan pasukan keselamatan.
Laluan utama yang menuju ke Istana Iskandariah di Bukit Chandan, di
sini ditutup berhampiran menara jam Kuala Kangsar bagi melancarkan lalu
lintas.
Penghormatan terakhir almarhum 9 pagi esok
Orang awam dijadual memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah
Almarhum Sultan Azlan Shah bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi di
Balairong Seri, Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Perak malam ini, kumpulan kedua yang akan memberi penghormatan terakhir
pada pukul 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari adalah orang kenamaan,
menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan
asing.
Ia disusuli Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan pada 1.30 petang hingga 2.15 petang.
Istiadat pelantikan dan pengisytiharan raja baharu akan disempurnakan
pada 2.30 petang di balai sama sebelum diteruskan dengan istiadat
pemakaman di Makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah di
sini, pada 3 petang.
Sultan Azlan Shah raja berjiwa rakyat
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan seorang raja berilmu dan
berjiwa rakyat selain dikenali sebagai tokoh perundangan yang dikagumi,
kata Ketua Penerangan Umno Perak Datuk Khusairi Abdul Talib.
Beliau berkata, kemangkatan Sultan Azlan Shah amat dirasai oleh rakyat
jelata kerana baginda merupakan seorang raja yang mengambil berat
tentang permasalahan mereka.
"Semasa hayatnya, setiap tahun baginda mengadakan sambutan majlis
berbuka puasa bersama rakyat pada Ramadan. Cuma, sejak tahun lepas
baginda tidak dapat meneruskan rutin tahunan itu atas faktor kesihatan
yang tidak mengizinkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 petang tadi dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Almarhum berusia 86 tahun.
Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang
putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri
Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong
Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan, Pertanian,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohammad berkata
sepanjang hayatnya, Almarhum telah menunjukkan komitmen yang tinggi
terhadap kerajaan Perak.
"Sultan merupakan tempat kita bernaung dan baginda banyak memberi
nasihat kepada kerajaaan negeri. Baginda selalu membimbing dan menegur
kepada kerajaan negeri sekiranya perlu," katanya.
Ketua Wanita Umno Perak Datuk Rusnah Kassim berkata, Almarhum seorang
tokoh perundangan yang sangat disegani berdasarkan kepada penghakiman
baginda yang amat bernas.
"Baginda seorang yang penting dalam bidang undang-undang... baginda
bukan sahaja seorang sultan yang begitu pengasih kepada rakyat bahkan
seorang sultan yang berilmu," katanya.
Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak Mohd Zamri Mustajab
pula berkata Almarhum sangat dekat di hati rakyat terutama dalam
kalangan masyarakat Orang Asli sehingga menganggap masyarakat itu adalah
'anak emas'.
"Sepanjang saya berkhidmat di bawah jabatan itu selama 10 tahun
sehingga bertukar pada September lepas, jabatan itu adalah yang paling
hampir dengan baginda.
"Kenangan semasa baginda merasmikan Kompleks Orang Asli di Sungai Siput empat tahun lepas tidak mungkin saya lupakan," katanya.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming turut merafak takziah kepada keluarga diraja Perak di atas kemangkatan baginda.
"Pemergian Tuanku merupakan satu kehilangan yang besar kepada Perak
amnya dan rakyat jelata seluruh negara kerana baginda juga pernah
menjadi Yang di-Pertuan Agong.
"Jasa Tuanku dikenang di atas kebijaksanaan baginda khususnya ketika menjadi Ketua Hakim Negara...," katanya.
Sementara itu, Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Annuar Zaini
berkata Sultan Azlan Shah merupakan seorang yang tegas dan amat teliti.
"Baginda seorang sultan yang mempunyai intelektual yang cukup tinggi
dan terhormat. Baginda juga seorang yang cukup teliti dan berhati-hati
dalam berkata-kata," katanya.
Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lam Pau Yin pula tidak dapat
melupakan pengalamannya membuat liputan acara-acara Sultan Azlan Shah
termasuk upacara perkahwinan anakanda-anakanda baginda.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan