Rabu, 7 Mei 2014

Aziz Sattar: Sebutir bintang yang sukar dicari ganti

Trio sekuel 'Bujang Lapok' sudah kembali ke rahmatullah dan yang terbaru ialah Aziz Sattar.
Trio sekuel 'Bujang Lapok' sudah kembali ke rahmatullah dan yang terbaru ialah Aziz Sattar.

Oleh Nuraina Hanis Abd Halim (journalist@abnxcess.com)

KUALA LUMPUR – Perginya trio terakhir sekuel ‘Bujang Lapok’, Datuk Aziz Sattar disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada industri perfileman negara.

Antara yang cukup merasai kehilangan legenda itu ialah bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, Aziz merupakan pelakon hebat kerana dianugerahkan bakat berlawak secara spontan dan diibaratkan seperti sebutir bintang yang sukar dicari ganti dalam sejarah perfileman Melayu.

Rais Yatim
Rais Yatim

“Salah satu daripada perkara yang tersohor bagi Allahyarham Datuk Aziz ialah kebolehannya berkomedi secara spontan. Saya khasnya salah seorang sahabat merasa kehilangan dari satu tokoh yang sukar diganti dalam sinema Melayu,” katanya.

Tambahnya lagi, sifat Allahyarham yang sentiasa ceria dan cekal dalam menangani kontroversi yang melanda juga jadi kunci kejayaan hidupnya sama ada dalam karier mahupun peribadi.

“Datuk Aziz mempunyai sifat keceriaan yang luar biasa dan tidak pernah sugul dalam menghadapi masalah-masalah peribadi mahupun dalam karier,” katanya.

Fauziah Ahmad Daud
Fauziah Ahmad Daud

Sementara itu, pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud mengakui terkejut apabila mendengar berita pemergian Allahyarham Aziz Sattar melalui televisyen.

Beliau yang mengenali Allahyarham sejak kecil berkata, Aziz merupakan seorang contoh yang baik dan perlu diteladani oleh pelapis-pelapis muda dunia perfileman kini.

“Tak pernah menyombong, bersopan santun, beradab dan bila saya panggil dia berlakon, tidak pernah minta harga. Sikapnya bila berada di khalayak ramai ataupun di lokasi penggambaran. Dia begitu terbuka untuk semua orang menghampiri dia untuk berkenalan dengan dia. Arwah ini contoh yang begitu baik untuk pelakon-pelakon generasi sekarang ini,” katanya.

Zainuddin Sattar
Zainuddin Sattar

Dalam pada itu, anak lelaki Allahyarham, Zainuddin Sattar menyifatkan Allahyarham merupakan seorang yang sangat istimewa bagi keluarga serta negara serantau dengan bakat yang dikurniakan padanya.

“Bagi saya, dia insan yang sangat istimewa. Bukan sahaja kepada anak tetapi kepada seluruh ahli keluarga baik di Malaysia, Singapura, Brunei atau di mana-mana saja,” katanya.

Menurut Zainuddin, cinta ayahnya terhadap dunia seni tidak dapat ditandingini kerana sepanjang hayatnya, Allahyarham bergiat aktif dalam bidang seni sebagai pelawak, pelakon mahupun penari.

“Tiada orang boleh lawan. Kekuatan hatinya lain dari orang lain, tak sama. Apa yang boleh saya katakan dia adalah lagenda,” katanya.

Aziz Sattar meninggal dunia pada jam 2 pagi akibat serangan jantung di Hospital Kajang.

Tiada ulasan: